selepas 3 minggu anak-anak menempuh sessi persekolahan di tahun baru, akhirnya tiba masa untuk berehat seketika. Seminggu lamanya (cuti Tahun Baru Cina), kampung menjadi destinasi pilihan untuk percutian sekeluarga. Kebetulan abi juga baru balik dari kapal, maka tiada halangan untuk pulang ke kampung kali ini.
Bermula cuti sekolah pada 29/1/2022, tapi pada hari tersebut perlu hadiri majlis graduasi sekolah Miqdad (Little Diamond Kindergarten), maka plannnya nak bertolak balik selepas majlis.
Selesai majlis sekitar jam 4.30 petang. Niat nak terus balik terpaksa dibatalkan kerana (cek melalui Google maps) kesesakan di Highway Karak yang sangat panjang dan lama. Rupanya ada kemalangan yang melibatkan beberapa buah kereta dan lori. Terpaksa tangguhkan perjalanan sehingga kesesakan berkurangan.
Akhirnya bertolak dari rumah sekitar jam 9.30 malam. Alhamdulillah perjalanan boleh dikatakan lancar walaupun banyak sangat kereta di jalan. Maklumlah, cuti panjang, semua menghala balik kampung barangkali.
Tanpa (driver) berhenti rehat dan tidur walaupun sekejap, akhirnya sampai di Jeli pada jam 4.30 pagi. Anak-anak sudah lena di awal perjalanan lagi. Ummi pula, sekejap lelap sekejap jaga, abi dah tentulah perlu fokus pada pemanduan. Hasratnya nak berhenti rehat sekejap di masjid Gua Musang, tapi bila berhenti terus tak mengantuk katanya. Maka teruskan perjalanan hingga ke destinasi. Alhamdulillah perjalanan lancar dan dijauhkan dari perkara yang tak diingini.
Di kampung kali ini (di rumah mek) agak meriah sebab ramai yang balik. Seperti hari raya, dapat berkumpul dan jumpa ramai saudara. Walaupun berkumpul sekejap saja (sebab lepas tu masing-masing ke destinasi yang lain pula), tapi sangatlah bermakna. Walau hakikatnya kita masih hidup bersama covid-19, harapannya pertemuan kali ini memberikan kita 1001 kebaikan dan dijauhkan dari sebarang kemudaratan.
Selepas 2 hari di Jeli, akan ke Kota Bharu pula (rumah ibu mertua). Di sana mungkin meriah juga (atau lebih meriah). Tak pasti siapa yang balik dan siapa yang tidak. Anak-anak dah tak sabar nak jumpa sepupu di sana pula. Harap kepulangan kali ini akan memberikan keseronokan berganda pada anak-anak. Dan sentiasa mengharapkan kebaikan dari setiap pertemuan dan dijauhkan dari kemudaratan.
Alhamdulillah, momen balik kampung sentiasa dinanti oleh anak-anak. Alhamdulillah masih bisa bertemu dengan ahli keluarga. Masih ada mek dan nenek (yang dah uzur), moga Allah pelihara mereka sentiasa. Harap lepas ni akan kerap dapat balik, kerap dapat ziarah orang tua dan berbakti yang sepatutnya. Insya Allah, kita akan usahakan biar dalam keterbatasan waktu dan kesibukan dengan urusan harian yang sukar untuk ditinggalkan.
Demi ibu yang telah tua dan uzur, moga Allah masih memberikan kesempatan waktu untuk kita pulang kepada mereka.
0 comments:
Post a Comment