Sedar tak sedar, kini anak-anak sudah berada di musim cuti sekolah -cuti pertengahan tahun. Rasa baru saja masuk sekolah awal Mac yang lalu. Kini dah kembali semula ber’pdpr’ (sebab kes covid-19 yang terlalu banyak), dan kini cuti sekolah pun menjelang tiba.
Serba ringkas tentang perjalanan sessi persekolahan anak-anak pada tahun ini (2021).
Anas Zaydan (SRAI Pekan Beranang)
Anas memulakan sessi persekolahan secara bersemuka pada 8 Mac 2021. Kembali ke sekolah dengan normal baru (dah biasa sebab tahun lepas dah mula dengan normal baru). Tapi tahun ni dah tak menyewa van sebab risaukan kes yang masih banyak. So, ulang alik ummi hantar dan ambil Anas dan adik-adik sekolah time abi takde. Bulan puasa, boleh dikatakan setiap hari ummi yang hantar dan ambil, sebab abi banyak habis masa dengan berkuarantin.
Sepanjang hampir 3 bulan bersekolah, Alhamdulillah tiada masalah. Hanya 2 hari tak dapat hadir ke sekolah kerana tidak sihat dan ada urusan lain. Tapi dari komen Anas, nampaknya belajar di sekolah dah tak seronok seperti dulu. Dengan pergerakan yang terhad (duduk dalam kelas tak boleh ke mana kecuali tandas) SOP yang ketat (bagus la sebenarnya), saat bersama kawan tak semesra dulu lagi dah.
Tahun ni Anas beruniform pengawas, tapi katanya tak ada yang berbeza. Sama seperti sebelum ni juga, belum diberikan tugas dan tanggungjawab yang selayaknya sebagai seorang pengawas.
Kini kembali ke pdpr, oleh kerana dah ada pengalaman, pdpr berjalan dengan baik, Alhamdulillah. Lagipun tak ada banyak tugasan sangat. Belajar santai-santai saja.
Abdullah Mussaab (SRI Permata Nusaybah dan SK Kampung Rinching)
Mussaab masuk ke SRIPN dan SKKR pada 1 Mac 2021. Mula melangkah ke sekolah baru (darjah 1) dan baru nak mula kenal sekolah, guru dan kawan-kawan baru.
Alhamdulillah Mussaab suka sekolah baru, walaupun jadual agak padat dari pagi sampai ke petang hari. Pagi di SRIPN, petangnya di SKKR. Sesekali mengadu penat juga, tapi lama-kelamaan dah biasa. Tiada masalah untuk ke sekolah setiap hari, cuma macam biasa, nak bersiap tu bukan main lama!
Alhamdulillah ummi bersyukur Mussaab dah makin ‘serasi’ dengan sekolah baru, guru baru, kawan-kawan baru, dan persekitaran baru. Lepas ujian kelayakan hari tu Mussaab kekal di kelas 1 Orkid (kumpulan 1).
Kini kembali ke pdpr, Mussaab kembali belajar menggunakan google meet mengikut jadual yang telah diberikan. Berbanding Anas, jadual Mussaab lebih padat (1-3 kelas sehari secara onilne dan offline pun ada juga). Agak banyak tugasan yang diterima setiap hari. Sabar jelah, setakat ni masih berjaya siapkan semua tugasan, Alhamdulillah.
Ilham Miqdad (Little Diamond Kindergarten)
Miqdad lain pula kisahnya. Alhamdulillah Miqdad dah masuk sekolah dari bulan Januari, sampailah ke hari terakhir sebelum bermulanya cuti pertengahan tahun. Kehadiran boleh dikatakan cemerlang (hanya beberapa hari tak dapat datang atas alasan tertentu).
Awal masuk dulu agak ‘drama’ di minggu pertama. Masuk minggu kedua dan seterusnya dah tak ada masalah. Dah tahu tugasnya sebagai pelajar, dan perlu hadir ke sekolah setiap hari. Mudah bangun pagi, mudah disiapkan. Adalah sesekali ber’drama’ tak nak ke sekolah, especially time abang-abang cuti.
Tak pasti apa cerita Miqdad di sekolah, ummi harap baik-baik saja dan seronok belajar. Momen di tadika mungkin dah tak sama macam Anas dan Mussaab dulu oleh sebab perlu patuh pada normal baru, tapi ummi harap Miqdad enjoy saja di sekolah dengan aktiviti-aktiviti yang teacher sediakan khas untuk semua.
Sering juga Miqdad bercerita tentang apa yang dipelajari di sekolah, dan ‘kenalkan’ kawan-kawan pada ummi. Alhamdulillah Miqdad juga dah makin ‘serasi’ dengan sekolah pertamanya.
2 minggu akan bercuti. Seterusnya belum pasti Miqdad akan masuk sekolah atau ber’pdpr’ seperti Anas dan Mussaab sebab pada 1 Jun akan bermula ‘total lockdown’ di seluruh negara.
Mengharapkan yang terbaik untuk perjalanan anak-anak dalam proses menimba ilmu di saat yang genting dan mencabar ini. Situasi kini dah berbeza. Jauh berbeza dengan dulu. Namun perjalanan tetap perlu diteruskan.
Baik guru, ibubapa dan anak-anak, ini adalah saat-saat yang mencabar buat semua. Namun sehabis baik kita perlu mencuba untuk tempuh semua ini dengan tabah dan sabar.
Terima kasih pada guru-guru di SRAI Pekan Beranang, SRI Permata Nusaybah, SK Kampung Rinching dan Little Diamond Kindergarten atas komitmen yang tinggi dan tak jemu mendidik anak-anak meski di saat-saat yang mencabar ini. Baik melalui Pdpr, juga secara bersemuka, semoga segala ilmu yang dicurahkan dapat memberi manfaat kepada anak-anak.
Belum terlambat untuk mengucapkan SELAMAT HARI GURU. Hanya Allah yang layak menilai dan membalas segala jasa guru.
0 comments:
Post a Comment