Sudah hari ke-27 Ramadan. Suamiku sudah kembali ke Bintulu pada 24Ramadan. Berkuarantin seperti biasa sebelum bertugas. Dan untuk kami, penantian yang panjang lagi.
Alhamdulillah, dari asalnya ingatkan tak berpeluang bersahur dan berbuka bersama tahun ni, Allah izinkan untuk suamiku balik dan berpuasa bersama anak isteri. Biarpun untuk seketika cuma (tak sampai seminggu pun), tetap aku syukuri nikmat yang sangat berharga ini.
Suamiku balik pada 18 Ramadan, berbuka pertama kali bersama-sama pada hari tersebut. Kemudian dia kembali ke Bintulu pada 24 Ramadan, hari terakhir dapat bersahur bersama. Kini dia di dalam ‘kurungan’ hotel, dan aku dan anak-anak meneruskan hari tanpanya di sini, menanti penuh setia saat diizinkan Allah untuk bertemu lagi.
Masih terkenangkan puasa tahun lepas yang full sebulan dapat bersama (Alhamdulillah), tahun ni Allah uji sebaliknya pula.
6 hari suamiku di rumah, sudah tentu memberi erti yang sangat besar padaku dan anak-anak. Diberi kesempatan untuk bersahur dan berbuka bersama, berjemaah setiap waktu solat dan berterawih, dan diberi kesempatan untuknya melayan anak-anak yang perlukan perhatian seorang ayah.
Walau untuk seketika, dapatlah juga merasa masakan air tangannya. Dah lama dia tak masuk dapur, balik hari tu sempatlah hidangkan beberapa menu istimewa untuk keluarga. Sempat mencukupkan keperluan dapur, dan membeli permainan untuk anak-anak isi masa lapang mereka.
Sempat juga dia bawa kami sekeluarga ke KL jumpa family adiknya (yang balik dari Sabah). Seronoklah anak-anak semua dapat jumpa sepupu yang dah lama tak jumpa.
Alhamdulillah. Tiada sebab untukku mengeluh dan meratapi nasib, walaupun tak dapat melalui Ramadan ini bersama suami tercinta. Aku faham akan kerjanya yang sebegitu. Aku redha ujian covid ini- yang menjadi penyebab perpisahan menjadi lebih lama. Semua ini ujian dariNya. Barangkali kerana ujian ini, Allah dah sediakan kehidupan yang lebih baik dan indah di depan hari buat kita semua. Aku yakin pada kasih sayang Allah.
Dan Raya kali ini, kali ke-2 tak dapat beraya bersama (kali pertama tahun 2013 kalau tak silap). Pula tu, tak dapat balik kampung dek PKP. Ya, aku redha. Aku percaya ada hikmahnya.
Di hari-hari terakhir Ramadan ini, moga kita dapat melipatgandakan lagi kebaikan untuk meraih pahala yang berganda dari Allah. Terus berusaha menjadi hambaNya yang lebih taat. Moga syurga tempat kembali kita semua.
آمين
Seketika abi di rumah
0 comments:
Post a Comment