Alhamdulillah berlalu sudah sebulan Ramadan. Alhamdulillah dapat sempurnakan puasa bersama anak-anak biarpun tanpa suami di sisi. Teringat momen-momen di sepanjang Ramadan menyediakan juadah sahur dan berbuka, kejutkan anak-anak sahur, angkut anak-anak pergi dan balik sekolah, dan lain-lain, berseorangan tanpa suami (kecuali dalam tempoh beberapa hari dia di rumah).
Kini semua itu berlalu. Kembali ke kehidupan normal.
1 Syawal menjelang tiba. Tapi tahun ini meraikan Aidilfitri dalam suasana berbeza lagi. Kini di dalam tempoh PKP 3.0. Biarpun lebih setahun berlalu, kita rakyat Malaysia masih dibelenggu wabak Covid-19. Bahkan kes makin mencanak naik, tak berkurang. Allah saja mengerti apa rasanya hati ini bila sekali lagi tak dapat balik beraya di kampung, dan ditambah pula dengan suami yang juga terpaksa jauh kerana perlu berkuarantin di Sarawak.
Namun semuanya diterima dengan lapang hati. Selagi namanya ujian, hati akan cuba menerima dan akan sentiasa bersangka baik dengan Dia.
Pagi ini sekadarnya menyediakan juadah hari raya. Masak nasi beriani atas permintaan Anas, tempah lemang, rendang dan sate (nak meriahkan meja makan), dan itu jelah untuk kami anak beranak. Alhamdulillah ‘istimewa’ juga la juadah hari raya kita :)
Mulakan dengan menikmati juadah hari raya, video call dengan suami, bergambar, dan bersalaman, itu jelah. Nak ziarah menziarahi memang dah tak boleh. Anak-anak pagi lagi dah start bosan dan cari game. Beberapa kali ‘melawat’ meja makan, bergaduh dan berbaik sesama sendiri, dan video call dengan family di kampung. Tak lupa bertukar-tukar gambar dengan family yang jauh. ‘Meriah’ dalam whatsapp sajalah seperti tahun lepas :)
Suamiku pula, whatsapp gambar juadah hari raya yang diterima dari seseorang di sana. Wah, lagi sedap nampaknya berbanding juadah di rumah :D Alhamdulilah tumpang bersyukur, kalau tak rasa kesian sangat kat dia, terpaksa beraya sorang-sorang, makan pun seadanya. Syukurlah ada yang sudi memberi dan menggembirakan suamiku di sana :)
Dan haripun berlalu dengan begitunya. Kembali ke rutin biasa. Tengok youtube, main game, dan lain-lain. Anak-anak merungut raya tak best. Sabarlah duhai anak. Apa yang mampu kita buat? Terima dan bersyukur sajalah. Hakikatnya kat luar sana lebih ramai yang lagi ‘tak best’ berbanding kita. Tapi dalam situasi macam mana pun, jika kita ajarkan hati redha dan terima, akan ada juga rasa kemanisannya. Insya Allah.
Ummi pun hakikatnya rasa suram sangat hati pada hari raya kali ini. Berharap sangat ini raya terakhir kita bersama covid-19, dan tak ada lagi yang lain yang menjadi halangan untuk kita kembali memeriahkan Syawal bersama keluarga. Rindu sangat pada kemeriahan Syawal yang lalu.
Malam harinya, anak-anak tidur awal seperti biasa. Ummi kemaskan rumah, pastikan dalam keadaan rapi untuk esok pula menempuh hari bersama anak-anak.
Ya, esok akan kembali ke hari ‘biasa’. Tiada lagi keistimewaan Ramadan. Namun tetap juga kita perlu melangkah.
Doa ummi, moga esok akan menjanjikan yang lebih baik buat kita sekeluarga.
Oh ya tahniah Anas, cukup sebulan puasa tahun ni. Dan tahniah juga Mussaab, untuk 27/30 hari puasa. Alhamdulillah semua dah cuba yang terbaik. Semoga kita kan bertemu Ramadan yang akan datang. Semoga kita dapat usahakan untuk jadi hambaNya yang lebih baik.
Selamat hari raya Aidilfitri buat semua
Semoga diterima segala amalan kita
Ameen.
‘Gambar raya’ family
Family Wan Fatimah (mak mertua)
0 comments:
Post a Comment