Sunday 3 January 2021 By: Naemah

TAKDIR YANG TERSUSUN SEMPURNA




Perkenalkan aku, seorang yang berlatarbelakangkan pendidikan agama sejak dari kecil (bermula dengan keluarga) kemudian menyambung pengajian di peringkat menengah di sekolah agama sehingga SPM. Alhamdulillah cemerlang akademik dan agama di dalam semua peperiksaan. Dengan keputusan 9A2B aku diterima masuk ke Pusat Matrikulasi UIA (pilihan pertama) mengambil jurusan ekonomi dan sains pengurusan (juga pilihan pertama). 


Kenapa ekonomi? Kenapa bukan bidang agama? Entahlah. Ketika itu aku rasakan aku mahu ‘lari’ dari bidang tersebut dan mahu buktikan aku akan cemerlang dalam bidang yang selain agama. Mungkin kerana abang-abang dan banyak ahli keluarga yang bergelar ustaz dan ustazah, aku rasa nak jadi yang ‘selainnya’ walaupun sebenarnya aku pun tak tahu aku nak jadi apa sebenarnya. Asal bukan ustazah! Itulah yang aku rasa masa tu agaknya.


Alhamdulillah, aku cemerlang dalam bidang yang aku pilih. CGPA setiap sem 3.5 ke atas. Sehinggalah aku ambil double degree pada tahun ke-3, CGPA drop ke 3.4 pada semester terakhir. Sedikit frust, tapi pujuk juga hati, rezeki setakat tu je. Aku patut bersyukur, at least dapat pegang 2 degree tanpa extent tahun pengajian (dan masa tu tak sampai 10 orang pun yang berjaya buat double degree ekonomi dan ilmu wahyu). Alhamdulillah. Orang kata, dengan 2 degree yang aku ada, peluang lebih cerah ke alam kerjaya. 


Tapi.


Selepas tamat pengajian aku ditakdirkan bertemu jodoh dengan seseorang yang tak pernah ku kenal dan tahu latar belakang kehidupannya. Dari perkenalan ringkas melalui adiknya (juga kawanku) aku dapat tahu dia berbeza dari aku dari segi latarbelakang pendidikan. Dia bukan dari aliran agama sepertiku. Sekolah menengahnya di sekolah cina (katholik) (tingkatan 1 hingga tingkatan 3), dan menyambung ke sekolah teknik (tingkatan 4 dan 5). Kemudian menyambung pengajian di Akademi Laut Malaysia dan bekerja sebagai pelaut. 


Tapi apa yang mendetikkan hati untuk terima dia? Ya, kerana ‘agama’ juga. Pengenalan serba ringkas tentang dia ketika itu aku pandang serius bila adiknya memberi keyakinan tentang ‘agama’nya. Mengenal peribadi adiknya yang juga sahabat di zaman kampus, dan tahu serba sedikit tentang latarbelakang keluarganya, bertambah positif aku pada peribadinya yang insya Allah soleh! Berpandukan istikharah dan restu keluarga, kami bersatu tanpa berkenal-kenalan sedikit pun meski di waktu tempoh pertunangan selama 6 bulan. Tawakkal sungguh! 


Genap 10 tahun melayari bahtera bersama. Aku bersyukur padaNya atas kurniaan jodoh yang aku kira sangat membahagiakan ini. Sangka aku (sebelum bertemu jodoh), suamiku pasti dari background yang sama dengan aku juga. Dari keluarga ustaz-ustazah, dari sekolah agama, walaupun mungkin bukan ustaz. Tapi realitinya ternyata berbeza. Latar belakang pendidikan, ya, bukan dari aliran agama. Dalam 10 adik beradiknya, hanya yang bongsu (rasanya) yang mengambil aliran agama. Mereka adik beradik ada yang jadi guru dan pensyarah (akademik), ada doktor dan ahli farmasi, ada engineer dan akauntan (kawan aku), dan dia sendiri sebagai ahli pelayaran. 


Tapi ternyata, asuhan ibubapa mertuaku menjadikan mereka semua ini hidup ‘beragama’. Yang perempuan menutup aurat sempurna dan pandai menjaga maruah diri. Yang lelaki penuh dengan kelembutan dan tinggi rasa hormat pada orang lain. Mereka 10 beradik walaupun berbeza (sudah semestinya) tapi setiap mereka mempunyai identiti dan peribadi yang menyenangkan. At least, aku rasa setiap mereka menghormati antara satu sama lain termasuk ipar duai. 


Ternyata jodoh pilihan Allah ini melengkapkan kehidupanku. Dia ‘imam’ yang terbaik untukku dan anak-anak. Alhamdulillah.


Begitulah rahsia hidup ini. Takdir Allah kadang tak terjangka dek akal. Kita menyangkakan yang lain, tapi Allah mentakdirkan yang selainnya.


Aku bersyukur atas takdir yang Allah aturkan untuk kehidupanku-walaupun jauh dari apa yang mungkin aku atau orang sangkakan sebelum ini.


Aku pelajar cemerlang sejak sekolah, mungkin orang ingat aku akan bekerjaya hebat. Hakikatnya aku hanya seorang suri rumah sepenuh masa. Tak sempat nak rasa pun gelaran wanita berkerjaya. Jauh sekali nak sandang jawatan hebat. Tapi aku bahagia dengan pilihan dan takdir ini. Biarpun dunia harianku adalah anak-anak dan rumahtangga semata. 


Kalau dulu aku ingatkan suami orang ‘pejabat’ macam orang lain juga, keluar pagi balik petang. Tapi rupanya keluar berhari dan berminggu, barulah balik semula :D kalau boleh tak nak macam tu, tapi aku percaya ketentuan ini tetap yang terbaik untuk kami. Ia menjadikan masa bersama sentiasa berharga dan setiap pertemuan tak pernah menjemukan. 


Percayalah, hidup ini penuh dengan keajaiban dan hal yang tidak kita sangkakan. Kerana Allah sentiasa mahu berikan yang terbaik lebih dari yang kita mahu. Terima semua dengan redha dan syukur, setiap takdirNya adalah hadiah terindah buat hamba yang mahu berfikir dan berterima kasih. 


Aku terima semuanya 

Aku bersyukur atas segalanya


Alhamdulillah 


0 comments:

Post a Comment