Thursday 14 January 2021 By: Naemah

SELAMAT HARI LAHIR ANAS ZAYDAN




12 Januari 2012-12 Januari 2021


Genaplah usia Anas 9 tahun. Alhamdulillah. Dah besar dah anak sulung ummi dan abi. Cepat je rasanya 9 tahun berlalu. Anas dah makin besar dewasa. Dah melangkah ke darjah 3 (walaupun masih belum dapat kembali ke sekolah sebab PKP 2.0 dah dikuatkuasakan).


Tahun ni agak berbeza, Anas meraikan hari lahir di kampung. Sejak bersekolah, inilah first time sambut kat kampung. Sebenarnya taklah sambut sangat pun kan. Yang penting ingat dan ucap :) nak rasa special sikit, ummi masakkan macaroni cheese baked kegemaran Anas. Pagi tadi keluar cari barang, lepas zohor ummi masakkan dan makan sama-sama. 


Pada mulanya ummi nak Anas je masak dan belajar step by step macam tahun lepas (masak lasagna), tapi sebab ummi rasa kurang sihat dan nak cepat siap, ummi sendiri sajalah yang masak. Alhamdulillah menjadi juga walaupun ada bahan yang tak cukup. Yang pasti, Anas suka sangat sebab dah lama ummi tak masak makanan kegemaran Anas ni kan.


Oh ya, hari ni abi juga tak ada bersama sebab masih kat laut. Cuaca kurang baik kat sana, tak tahu bila abi akan balik. Semoga Allah permudahkan urusan abi dan cepat-cepat dapat balik jumpa kita semua. Insya Allah.


Di kampung ini, Anas dan adik-adik jalani rutin yang sama juga. Sekejap kat rumah mek, sekejap kat rumah cik. Sesekali ke rumah pok long. Ok jugalah, berbanding kat rumah hanya terperap di rumah dan tak ke mana-mana. Petang tadi Hafiz dan kak Aimi datang, seronok Anas dapat main dengan dengan sepupu yang dah lama tak jumpa sejak balik rumah nenek hari tu. 


Bezanya juga tahun ini Anas sambut birthday di musim COVID-19 yang masih belum berkesudahan bahkan dengan jumlah kes yang makin membimbangkan (dan hari ni kes harian tertinggi sebanyak 3309 kes). Kerana itu, dah agak lama Anas tak ke sekolah. Tahun lepas (darjah 2) hanya beberapa bulan dapat nikmati pembelajaran di sekolah. Selebihnya di rumah sahaja secara online. Tahun ini belum pasti bagaimana. PKP 2.0 pula dikuatkuasakan esok (13/1/2021), makanya sekolah juga tak dibuka untuk pelajar di negeri yang terlibat. Tapi masih perlu belajar di rumah. Kesian anak-anak semua, dah tentu merindukan saat kembali ke sekolah.


Sabarlah Anas ye. Insya Allah semua ini akan berlalu juga. Seperti yang Anas dan kawan-kawan dah lalui tahun lepas dengan baik (meskipun mencabar), tahun ini juga akan baik juga. Insya Allah. Jangan lupa untuk berdoa dan meminta padaNya. Moga semua ini akan berakhir. Semoga satu hari Anas dapat kembali ke sekolah jumpa kawan-kawan, dan belajar dengan guru-guru di dalam kelas seperti yang sebelum ini. 


Akhir kata, selamat hari lahir anak ummi, Anas Zaydan yang ke-9 tahun. Bersyukurlah atas anugerah dan nikmat usia yang Allah kurniakan ini. Ummi bahagia atas kehadiranmu. Ummi sangat menyayangimu. Anas mengajar ummi tentang banyak hal, dalam proses ummi menjadi ibu yang lebih baik. Dan untuk Anas, moga mampu menjadi yang jauh lebih baik dari ummi dan abi.


Baik-baik saja anakku. Moga terhias dirimu dengan peribadi dan akhlak yang mulia. Moga berjaya, cemerlang dan bahagia anakku dunia dan akhirat. Moga rahmat dan berkatNya sentiasa menemani langkah perjalananmu. 


آمين

0 comments:

Post a Comment