Sunday 3 January 2021 By: Naemah

DIARI KITA 2020


Januari 2020


Kembali ke rumah. Kembali ke sekolah

Masing-masing dengan rutin tersendiri; abi dengan tugasannya, ummi dengan kerja ummi, Anas dan Mussaab pergi dan balik sekolah, Miqdad dan Suri peneman setia ummi saban waktu

Birthday Anas,8 dan Mussaab,6- selang seminggu 

Masa luang banyak habiskan di rumah sahaja

Cuti Chinese New Year- trip to Kota Kinabalu-Kundasang (masa ni first time dengar pasal virus yang asalnya dari Wuhan)

Kembali ke sekolah, kembali kepada rutin

ALHAMDULILLAH untuk segala-galanya





Februari 2020


Meneruskan rutin harian yang seperti biasa. Tidak kemana-mana kecuali dekat-memandangkan jadual kerja abi yg padat. 

Genap usia Suri 6 bulan- dah boleh makan, dah ada 2 gigi dan sedang mencuba-cuba untuk merangkak 

Anas- sukan tahunan sekolah dan sessi persekolahan macam biasa

Mussaab- sekolah macam biasa juga, dan start kelas taekwondo bulan ni

Miqdad- pun macam biasa juga. Masih jadi teman ummi dan Suri di rumah setiap hari setiap masa

Menerima tetamu; mek, p.long dan family 

Dan di penghujung Februari akhirnya dapat balik kampung. Alhamdulillah ❤️






Mac 2020


2 minggu pertama, sessi persekolahan seperti biasa. Seminggu cuti sem 1, dapat balik kampung sekejap. Sambung ‘cuti’ lagi selepas kerajaan umumkan ‘perintah kawalan pergerakan’ (18/3/-31/3)- dan disambung lagi 2 minggu berikutnya. .


Makanya... terus menyahut seruan dan menunaikan tanggungjawab untuk  ‘stay at home’ sehingga tempoh yang diyakini selamat untuk keluar. Menukil sejarah, seluruh dunia ‘lumpuh pergerakan’ angkara virus covid-19. .


Sedikit berbeza pada Abi yang perlu berkhidmat seperti biasa, yang lebih dari separuh bulan ini, abi berada d luar-tempat kerja. .

.Semoga akan berakhir tiap kepayahan, kesusahan dan kesukaran. Moga bergantian dengannya kebaikan, kesenangan dn kesejahteraan. آمين





April 2020


April menyaksikan kita semua ‘duduk di rumah’ sepanjang bulan. Tidak ke mana-mana. Entah dah lupa bagaimana ‘rupa’ kat luar tu :) dan langsung tak berjumpa sesiapa, kecuali jiran-jiran yang lalu lalang sesekali. .


Anas dan Mussaab kini belajar secara online. Sessi belajar adalah pada waktu pagi. Mussaab masuk Google classroom, Anas Selangor tutor dan menerima nota dan latihan dari group whatsapp kelas. .


Menyambut Ramadhan di penghujung April. Alhamdulillah dapat sambut bersama-sama satu keluarga. Mussaab berpuasa untuk pertama kali tahun ni. Alhamdulillah masih tak tertinggal puasa Anas dan Mussaab sehingga setakat hari ke-7 ini. .


Rindu. 

Kadang2 sepi-Di dalam kalut 

Terima kasih cik yg selalu bertanyakan khabar Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri yg ‘asing’ di sini-tanpa ahli keluarga yang lain. Juga dah lama tak bertemu sesiapa. Moga sihat dn baik2 semua yg d sana.

.


Di bulan yang penuh kemuliaan ini, moga Allah sentiasa lindungi kita semua. Moga Allah sucikan hati-hati kita. Moga Allah akhiri episod PKP dan Covid-19 yang masih berangkai. Seterusnya kita semua dapat menjalani kehidupan normal yang jauh lebih baik dari sebelum ini. .


آمين





Mei 2020


PKP yang masih berlanjutan-dan entah sehingga bila. Tempat kita hanya di rumah semata


Sekali dua, abi bawa anak-anak pusing-pusing kat jalan luar tu. Sekali, hantar ummi dan Suri ke klinik. Sekali, raya ke-3 abi bawa jalan-jalan naik kereta singgah di Family Mart dan beli nasi goreng. Itu saja..


Bulan ni berpuasa dan sambut Aidilfitri. Hanya sesama kita. Dh tentu tak semeriah raya di kampung. Namun tetap meraikannya dgn penuh kesyukuran. 


Alhamdulillah sepanjang bulan puasa abi ada bersama. Lepas raya, abi kembali bertugas.


Anas dan Mussaab makin kebosanan di rumah. Rindu sekolah dan kawan-kawan. Miqdad, dah tak tanya lagi bila dia boleh ke sekolah sebab dah faham situasi. Suri makin aktif, sihat dan merata explore. 


Alhamdulillah semuanya dalam keadaan baik dan terkawal. Cuma bab bosan, tak dinafikan, memang bosan bila perlu jalani rutin yang hampir sama setiap hari. Tak dapat kemana2, tak bertemu sesiapa..


Pertama. Rindu nak balik kampung. Kedua. Rindu nak jalan2 ambil angin di pantai atau mana-mana saja untuk release stress sebab dah lama berkurung. 


Semoga akan ada sinarnya. Tetap percaya pada takdir Allah yang sentiasa terbaik. 





Jun 2020


JUNE bermula dengan satu ‘cahaya’ apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 June 2020. Pertamanya, Alhamdulillah boleh menuju ke kampung yang dirindui (10/6/2020-18/6/2020).


Gembira yang tetap bersulamkan ujian, sudah tentu- tapi bukan selalu. Kereta rosak pulak di kampung, balik ke Semenyih dengan meminjam kereta mak ngah. Abi pergi dan kembali dari bekerja seperti biasa. Namun syukur, Abi yang sepatutnya berkuarantin di Labuan ditukarkan ke tempat lain yang mana boleh pergi dan balik seperti kebiasaan. Alhamdulillah. 


Anas, Mussaab dan Miqdad paling excited bila tahu yang kita boleh ‘balik kampung’. Dari sebelum tarikhnya, sudah kerap bertanya ‘bila nak balik kampung?’ Masya Allah.. anak2 yang sangat merindui kampung! Dah ada senarai siapa yang mereka nak jumpa. Alhamdulillah, family di kampung yang semuanya baik melayan, nama kalian ada di hati anak-anak ini. 


Seminggu balik dari Kampung, nenek, makde, mak su dan abang Faiz pula datang berkunjung. Tetamu pertama selepas PKPP bermula. Eiman juga datang bermalam dan bermain di sini. Sempat juga melawat baby mak cu yang baru lahir, dapat pula main dengan Umar, Uwais, dan Urwah, dan mereka juga datang ke rumah.. makanya, sangat  meriah! Dan memang seronok lah semua. Bila dah start sunyi balik, macam biasa ada yang bersedih sampai mengalirkan air mata. Sabarlah nak... kegembiraan hakiki hanyalah di syurga. 


Di penghujung bulan, Abi bawa berjalan (makan angin pertama semenjak PKP) sebelum nantinya Abi akan kembali bertugas di Labuan. 


Alhamdulillah di atas suka dan duka yang datang bersilih ganti mewarnai hidup. Moga dapat mengambil iktibar dan pengajaran dari setiapnya. Moga tetap beringat di dalam gembiranya kehidupan. Moga tetap bersabar dan yakin pada pertolongan Allah di atas setiap musibah. 


Betapa baiknya Allah terhadap kita

Moga hati sentiasa tetap merasainya dj setiap ketika dalam mengharungi hidup. 






Julai 2020


Bulan ini terasa seperti mendapat lebih ‘kebebasan’ apabila rakyat Malaysia sudah berada di dalam tempoh PKPP-bermula 10/6/20 dan anak-anak juga sudah kembali bersekolah. Walaupun terpaksa hidup dengan normal baru, namun bersyukur kehidupan masih tetap dapat diteruskan dengan baik.


Bulan ini juga menyaksikan angka kes -COVID-19- meningkat dari satu angka kembali ke 2 angka. Dan ia sedikit sebanyak mencetuskan gerun kerana pada hakikatnya, dunia masih mecatatkan peningkatan kes saban hari.


Abi pula bulan ini bertugas di Labuan dan (kerana covid-19 juga) perlu berkuarantin di sana sebelum dibenarkan bertugas. Hampir tak dapat balik beraya (kerana polisi baru yang lebih ketat) tapi Alhamdulillah ‘lepas’ balik ke rumah dan seterusnya balik ke kampung untuk meraikan Aidiladha.


Anas dan Mussaab - kembali bersekolah dengan normal baru

Miqdad- daftar sekolah, kemudian tak nak sekolah dah

Suri-dah mula melangkah, 1 langkah, 2 langkah, dan seterusnya 

Aidiladha- 31/7/2020


Bersyukur atas kurniaNya

Dalam tiap ujian sentiasa terkandung hikmah 

Dalam tiap kepayahan tetap bersamanya kemudahan.





Ogos 2020


Ogos-bulan kemerdekaan menutup tirainya. 1 bulan yang banyak dihabiskan masa d rumah.


Abi-lebih dari separuh bulan ini berada di luar atas tuntutan kerja. Masih setia menanti pulangnya abi. Menuntut ‘masa’ abi yang perlu diganti balik utk ‘kita’.


Anas dan Mussaab- bersekolah mengikut takwim yang telah ditetapkan. Ada cuti, tapi tak dapat nak ke mana, sudahnya habiskan masa bersama di rumah sahaja. Tak sudah minta dibawa balik ke kampung. 


Miqdad dan Suri - teman ummi di sepanjang hari. Alhamdulillah genap usia Suri setahun pd 15/8/2020. Pejam celik-pejam celik sahaja kan? Begitulah pantasnya masa berlalu. Suri dah makin laju melangkah. Miqdad pun dah makin boleh membaca, dgn rasa inginnya (ya, bulan 8 ummi start fokus ajar Miqdad membaca)


2020- 8 bulan berlalu-4 bulan berbaki. 8 bulan yang diiring suka dan duka. Dan Insya Allah bersedia mendepani  hari2 yang mendatang. Biar mungkin ujian tentang mendatangi, semoga dapat terus membina positif dalam diri dan sama2 dapat menempuh segalanya dengan baik. Kerana Allah sentiasa ada untuk kita. Sentiasa ada!





September 2020


September pula menutup tirainya . 9 bulan yang sangat teruji- lebih-lebih lagi selepas dunia berdepan dengan COVID-19


September yang biasa-biasa, namun Alhamdulillah ada momen indah untuk disimpan dan dikenang. Seperti bulan-bulan yang lepas, banyak menghabiskan masa di rumah sahaja. Abi, hanya lebih kurang 1/3 bulan ini berada di rumah. Selebihnya di luar. Balik hari tu sempat bawa keluarga ‘keluar’ sekejap dari Semenyih. Tapi.. sebulan ni juga tak berkesempatan untuk balik ke kampung. 


Anas dan Mussaab sekolah macam biasa. Miqdad dan Suri, juga bersama ummi di rumah macam biasa. Alhamdulillah, sihat dan dalam keadaan baik semua. Kecoh-kecoh biasa je kan :)


Bersilih ganti suka dan duka. Ada saatnya cemas, diuji yang tak pernah. Perlu sendiri tempuh semua. Allah saja tempat bergantung . Alhamdulillah, akhirnya tetap baik2 saja. Allah tak pernah pergi meninggalkan. Sentiasa ada pertolonganNya.


Anas, Mussaab, Miqdad, Suri. Terima kasih menjadi teman setia. Maaf atas tiap segala kekurangan tika ummi perlu ambil peranan keduanya ‘Ummi dan abi’ 😢


Semoga di hadapan akan muncul sinar yang lebih indah. Insya Allah.





Oktober 2020


Oktober pula menutup tirainya. 2020 sedang mendekati penghujungnya. 


Oktober ini, hanya seminggu abi ada bersama. Sempat jumpa nenek time nenek datang hari tu, balik kampung sekejap hantar nenek, jumpa family d kampung, makan angin walau sekejap cuma. Alhamdulillah. Itu juga nikmat dan anugerah. 


Bermula 14/10/2020, kembali kepada episod PKPB di seluruh negeri Selangor. Maknanya dah tak boleh nak rentas negeri, Anas dan Mussaab tak bersekolah, 24 jam kat rumah saja-tanpa abi. 


Kes Covid-19 meningkat saban hari dengan jumlah kes yang sudah mencapai 4 angka. Dugaan besar buat kita semua. Abi masih dengan episod kuarantin demi kuarantin yang tak tahu bila akan berakhir. Anak-anak makin 'jauh' dengan abi. Syukur, ada teknologi yang mampu mendekatkan walaupun hakikat maya dan nyata itu sama sekali tak serupa. Tapi kita belajar, redha dan sabar dengan tiap ketetapanNya. Setiap insan berdepan dengan kemelut hidup yang tersendiri. Pasti ada hikmahnya kan? 


Pada saat-saat seperti ini, yang paling ummi syukuri adalah nikmat kesihatan yang Allah anugerahkan buat ummi, untuk menggalas tanggungjawab yang penuh mencabar ini, pada anak-anak, yang Allah saja tahu bagamana resah hati seorang ibu yang perlu menjaga anak yang sakit/tidak sihat-sendirian. Juga kesihatan yang baik buat abi yang terus dapat menunaikan tanggungjawab di medan juangnya. Dan doa buat mek, buat nenek dan keluarga semua, jangan ada 'apa-apa', baik-baik sahaja semua hendaknya. .. Kita ini pada saat dan ketika yg 'sukar'.. Nak ziarah, nak jumpa, ia tak semudah dulu. 


Menutup tirai Oktober 2020, Moga kita terus bertahan dengan sabar atas setiap ujian, mensyukuri atas tiap anugerah yang banyak, dan tak pernah berhenti berdoa dan mengharap pada rahmat dan belas kasihNya. Insya Allah.






November 2020


November pun melabuhkan tirainya. November-sebulan penuh berPKPB dan bersama-sama tanpa berpisah (kecuali abi).


Namun syukur Alhamdulillah bulan ni abi banyak masa di rumah, tak menjalani kuarantin yang lama seperti sebelum ini. November yang hampir sempurna dan melengkapkan. Allah sebaik-baik Perancang.


COVID-19 masih mencatat kes harian yang tinggi ( dah mencecah 2000+ kes harian), dan masih belum nampak bila akan berakhir PKPB ini.


Alhamdulillah jalani hidup yang baik-baik saja meskipun hanya di rumah. Anas dan Mussaab masih mengikuti pembelajaran secara online di rumah. Dah tak sabar-sabar nak menunggu cuti akhir tahun. Entah apa bezanya, mungkin tak berpeluang juga untuk balik ke kampung, walaupun dah rasa rinduu sangat nak balik kampung.


Alhamdulillah kesihatan juga baik. Moga terus dikurniakan kesihatan dan kudrat untuk meneruskan hari-hari.


Di sebalik ujian, sentiasa terkandung hikmah yang banyak. Moga terus akan bersabar dan bersyukur. Mudah-mudahan akan sentiasa tenang dan bahagia kita diulit cinta Sang Pencipta. 






Disember 2020


December sampai ke penghujungnya-sekaligus menutup tirai 2020 yang penuh dengan kisah suka dan duka 


December mengukir kisah tersendiri. December adalah tempoh perpisahan paling lama antara kita dan abi yang perlu berkuarantin dan bertugas di Bintulu Sarawak.


2 minggu pertama di rumah, dapat video call abi setiap hari. Kemudian balik kampung-dengan pok long-dah tak boleh video call abi, hanya whatsapp yang menghubungkan. 


Alhamdulillah bersatu kembali pada 31/12/2020 (syukur bukan tahun depan 😬)


Kesian anak-anak ummi. Tahun ini kerap berjauhan dengan abi- ya, Covid menguji kita pada sudut yang ini- Dan kali ini lebih lama tempoh berpisah. Alhamdulillah Allah kurniakan rasa ‘faham’ di hati semua akan tugas abi yang seperti itu. Semakin lama semakin faham dan tak lagi mempersoalkan.


Cuti sekolah bermula pada 18/12/2020-dah tak ada kerja-kerja sekolah lagi. Di kampung banyak main game, main dengan sepupu yang datang sesekali, dan sempat ziarah nenek sekejap. Tunggu abi balik barulah akan ke rumah nenek lagi.


Apapun tetap bersyukur dengan apa yang telah kita lalui bersama. Tiada kesusahan melainkan bersamanya pertolongan Allah. Alhamdulillah :)


Kita tutup tirai 2020 dengan penuh kesyukuran. Moga 2021 akan lebih baik dan lebih membahagiakan. Insya Allah


(update: kes harian tertinggi covid-19 dengan jumlah 2525 kes pada 31/12/2020).


0 comments:

Post a Comment