(22.11.19)
Mabrook Anas Zaydan!!
Dah lama ummi tak menulis tentang perjalanan Anas di sekolah. Tak sempat, dan tak ada yang luar biasa nak highlight. Maksudnya, persekolahan berjalan macam biasa, sama macam sekolah yang lain juga. Keluar pagi, balik petang.. begitulah hingga cukup sudah setahun Anas menjadi pelajar SRAI Pekan Beranang.
Alhamdulillah hari ini (22/11/19) Anas menjadi salah seorang daripada penerima anugerah kecemerlangan di sekolah. Ibubapa dijemput hadir untuk raikan kecemerlangan anak-anak. Alhamdulillah kebetulan abi ada di rumah, dapatlah ummi dan abi hadir bersama. Kebetulan juga hari ni ada majlis birthday dan jamuan perpisahan di sekolah Mussaab, maka hari ni semua perlu berpagian bersiap. Buah yang nak bawa ke sekolah Mussaab pun perlu dipotong pagi ni. Alhamdulillah abi uruskan semua. Ummi tinggal siapkan anak-anak je.
Jam 7 pagi, hantar Mussaab di sekolah (dengan buah untuk hidangan majlis nanti). Kemudian terus ke SRAI Pekan Beranang. Majlis bermula sekitar jam 8 pagi. Dimulakan dengan majlis khatam al-Quran murid darjah 6 dan bacaan doa, seterusnya ucapan aluan dan perasmian dari guru besar sekolah dan jemputan khas.
Selepas itu, jam 9.30 pagi barulah dimulakan penyampaian hadiah dan sijil kepada pelajar yang cemerlang. Dimulakan dengan penyampaian anugerah kepada murid tahap satu dan tahap dua untuk kategori cemerlang akademik dan cemerlang Agama, seterusnya kategori pelajar bersahsiah cemerlang (seorang wakil bagi setiap kelas), anugerah kehadiran penuh, hadiah untuk tenaga pengajar dan guru cemerlang, cemerlang UPSR, UPKK, PSRA, dan lain-lain lagi.
Mengikut tentatif, majlis dimulakan jam 7.30 pagi dan berakhir jam 12. Namun kami sekeluarga memilih untuk keluar lebih awal (sekitar jam 10.30 pagi). Maklum saja, dengan anak kecil 2 orang ni memang tak boleh nak stay lama-lama. Miqdad selepas jam pertama tadi dah tak senang duduk dan asyik bertanya bila nak habis ‘:) Suri pula, dah dua kali menyusu dan tidur, bila dah bangun adalah bunyinya. Tapi Alhamdulillah tak adalah sehingga mengganggu majlis. Cuma rasanya tak boleh nak menunggu lebih lama. Anas pun dah lepas, jadi balik rumah dululah.
Untuk pengalaman hari ini, syukur dipanjatkan pada Allah. Rezeki untuk Anas naik pentas dan menerima penghargaan di tahun pertamanya di SRAI. Ummi tak kata Anas yang paling hebat, ummi tahu semua pun hebat-hebat, cuma tahun ni rezeki berpihak pada Anas dan kawan-kawan yang terima anugerah hari ni. Adalah terlebih sikit kat mana-mana kan? Alhamdulillah.
Seperti yang sedia maklum, tahun ni memang dah tak ada exam untuk murid tahap satu. Yang ada hanya Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mana penilaian dibuat berdasarkan banyak aspek seperti ujian dan latihan dalam kelas, kerjasama yang diberikan murid dalam kelas dan aktiviti berkumpulan, keberanian menjawab soalan dalam kelas, akhlak dan sahsiah, dan lain-lain- lebih kurang macam tulah mengikut apa yang dijelaskan oleh guru besar semalam :)
Dan ibubapa pun masing-masing dah terima keputusan PBD (akademik dan Agama) anak-anak masing-masing. Alhamdulillah, untuk Anas ummi sangat berpuas hati. Baik akademik, baik Agama. Namun tetap juga ada yang perlu ditambah baik dan digandakan usaha. Ummi percaya, rakan sekelas Anas yang lain juga tak jauh beza sangat, mereka semuanya adalah saingan hebat untuk Anas. Jadi ummi nak selalu pesan pada Anas, jangan pernah berhenti berusaha dan merasa ‘dah cukup’! Ummi tak suruh Anas bersaing dan cabar kawan-kawan, ummi nak Anas ada kesedaran sendiri dan cabar diri sendiri untuk usahakan yang lebih baik. Jangan lupa, Allah pasti ‘pandang’ pada setiap usaha kita. Dan insya Allah, hasilnya takkan membuat kita kecewa.
Untuk anugerah hari ini, ummi tahu atas kemahuan dan usaha Anas sendiri. Ummi dan abi hanya sebagai orang tua yang tak jemu memberi pesan dan berdoa.
Sungguh, masih sangat jauh perjalanan Anas. Baru darjah 1. Ummi pun takut sebenarnya nak bercerita tentang kecemerlangan, apalagi jika sampai nak bandingkan yang cemerlang dan tak cemerlang. Anas hakikatnya bersama kawan-kawan yang semuanya cemerlang, hari ni rezeki Anas, esok belum tahu lagi. Anas juga ada adik-adik yang belum tentu akan serupa Anas, cemerlang Anas di bahagian ini, cemerlang adik-adik mungkin pada sisi yang lain. Siapa tahu...
Namun ummi tetap berterima kasih pada pihak sekolah yang memberikan penghargaan pada pelajar yang cemerlang. Majlis yang simple dan tertutup (hanya dihadiri pelajar yang berkenaan sahaja dan tak digemparkan penerima anugerah).
Dan antara yang ummi suka juga, bila sekolah ni banyak menekankan tentang adab, akhlak dan sahsiah pada anak-anak, seiring matlamat sekolah ini yang mahukan melahirkan ‘al-Fateh Junior’, yang mana seiring cemerlang akademik, Agama dan sahsiah anak-anak. Dan anak-anak ini nantinya sangat diperlukan oleh masyarakat, dan boleh tampil di mana-mana lapangan sekalipun. Insya Allah.
Dah panjang ummi menulis nampaknya ni. Alhamdulillah.. boleh menulis juga sambil memangku Suri yang ketiduran :D
Sekali lagi syukur pada Tuhan yang sentiasa memberi. Kerana hakikatnya anugerah ini hanyalah dari Dia. Anas usaha lebih baik ya! Moga jadi contoh yang terbaik untuk adik-adik. Dalam aspek apa sekalipun, moga tetap usahakan jadi dan beri yang terbaik. Insya Allah.
Special thanks untuk semua guru yang pernah mendidik dan mendoakan Anas; guru-guru di Genius Aulad Bandar Rinching (2017), Little Diamond Kindergarten (2018) dan yang kini, SRAI Pekan Beranang.. TERIMA KASIH. Kerana jasa-jasa guru juga Anas kini berada di tempatnya kini. Moga terus mendoakan Anas di dalam perjalanannya yang masih jauh.
Bersiap di pagi hari
Majlis yang baru bermula
Tetamu majlis
Miqdad yang sudah kebosanan
Suri yang dah tidur dan bangun semula
ALHAMDULILLAH
0 comments:
Post a Comment