Tuesday, 11 June 2019 By: Naemah

PUASA PERTAMA: MABROOK ANAS ZAYDAN!



Berlalulah sudah sebulan Ramadhan 1440h. Alhamdulillah, ini tahun pertama Anas berpuasa di usianya 7 tahun. Sebelum ini memang tak pernah berpuasa, tak pernah diajak/dipaksa berpuasa, sekadar bertanya kalau-kalau dia nak cuba berpuasa. Tapi selalunya jawapan dia Tak Nak! :D ummi dan abi pun biarkan sajalah, rasa macam belum masanya lagi untuk Anas berpuasa (pada ketika itu) walaupun hakikatnya dah ada rakan sebaya Anas yang dah mula berpuasa pada awal usia mereka :)

Tahun ini, oleh sebab dah masuk 7 tahun usia Anas ummi dan abi mahu Anas mula belajar berpuasa (menahan lapar dan dahaga) di samping cuba mengerti makna puasa itu sendiri.

Antara langkah, ummi dah siap remind pada Anas tentang puasa beberapa bulan lagi sebelum Ramadhan. Beritahu Anas yang Ramadhan akan kunjung tiba, dan Anas perlu mula berpuasa pada tahun ini. Ummi cuba ingatkan Anas sekerap mungkin, hingga Anas jadi bersedia untuk berpuasa. Tak lupa ummi bacakan buku tentang puasa yang dibeli tahun lepas. Memang niat, nak ‘bercerita’ tentang puasa pada Anas.

Dan Alhamdulillah, tahun ini menjadi tahun pertama Anas berpuasa. Tak cukup 30 hari, tapi 27 hari pun kira dah cukup besar maknanya, untuk Anas yang baru mula belajar berpuasa. 3 hari yang miss itupun, disebabkan Anas kurang sihat, muntah dan sakit perut. Tak apalah, ummi bangga dan syukur sangat walaupun tak sempurna 30 hari puasa Anas.

Dari pengalaman berpuasa Anas, hari pertama adalah hari yang paling mencabar kerana baru Anas ‘rasa’ macam mana puasa yang sebenar. Lapar, dahaga... asyik mengadu dan tubuh pun lemah saja. Tapi dipujuk-pujuk, sempurna juga puasa di hari pertama. Cabaran yang lain ialah bila hari cuti sekolah/weekend, bila ada adik-adik yang tak berpuasa, memang jadi ‘dugaan besar’ untuk Anas. Asyik mengadu lapar dan haus. Alhamdulillah,tetap Anas bertahan meneruskan puasa. Kalau hari sekolah, tak ada masalah sangatlah, sebab di sekolah (mungkin) semua kawan berpuasa, kantin pun tak beroperasi. Balik rumah pun, dah tak perlu tunggu lama sangat untuk berbuka :)

Dalam meminta anak berpuasa, ummi juga perlu sentiasa pantau keadaan Anas, risau juga kalau-kalau nampak lemah semacam, takut memudaratkan pula. Kalau nampak riang, aktif senyum, ketawa dan bermain dengan adik-adik, legalah sikit rasa hati :)

Alhamdulillah semakin hari semakin Anas ‘biasa’ dengan lapar dan dahaga. Anas tempuh semuanya dengan baik. Harapan ummi, tahun depan Anas lebih bersedia untuk menjalani ibadah puasa ini sekali lagi, di samping lebih menghayati makna puasa yang sebenarnya. Ya, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Perlahan-lahan ya Anas, hingga Anas sedikit pun tak rasa Ibadah ini satu ‘beban’ untuk Anas. Ya, belum tahap wajib lagi untuk Anas berpuasa, ummi cuma mahu Anas belajar, dan cuba untuk mengerti dan menghayati erti puasa ini. Kalau bukan sekarang, di masa akan datang tetap Anas perlu mencuba dan membiasakan diri dengan Ibadan yang satu ini, kan?

Alhamdulillah Ramadhan sudah berlalu meninggalkan. Ternyata Anas kelihatan lebih seronok dan excited untuk menyambut raya tahun ini. Perasaan luar biasa yang tak mampu digambarkan, kan? Salah satu sebabnya, kerana Anas sudah berusaha untuk sempurnakan puasa Anas selama sebulan ramadan. Maka raya ini memberi makna yang besar untuk Anas. Alhamdulillah :)

Doakan semoga dapat bersua lagi dengan Ramadan yang akan datang, semoga kita semua dapat melaksanakan sekali lagi ibadah puasa yang telah diwajibkan ke atas Muslim. Dan insya Allah tahun depan akan sambut raya berenam pula, kerana adik kecil ini juga akan menjenguk dunia tak lama lagi. Semoga Allah terus memberkati dan merahmati keluarga kita ini. 


آمين

0 comments:

Post a Comment