Sudah masuk 30 minggu usia kehamilanku. Sudah di trimester terakhir dalam episod kehamilan ini. Hanya tinggal lebih kurang 2 bulan untuk aku melahirkan si kecil ini. Dah tak lama. Pejam celik pejam celik, sampailah masanya yang penuh dengan debaran itu.
Biar kali ke-4, jujurnya aku tetap rasa berdebar untuk mendepani saat melahirkan sekali lagi. Makin difikir, makin berdebar. Tapi bila dipujuk-pujukkan hati, tenang kembali. Bahagianya pasti lebih besar selepas kehadiran cahaya mata yang ditunggu ini. Insya Allah.
Minggu ini kesihatanku agak kurang memuaskan. Baru memenuhi temujanjiku di klinik desa Rinching Tengah. Hb terlalu rendah, patutlah aku rasa penat dan lesu yang teramat sejak akhir-akhir ini. Buat kerja semua dalam ‘terpaksa’. Aku rasa mahu tidur dan baring saja. Badan rasa berat. Sakit pinggang menjadi-jadi. Nak berjalan lurus pun terasa sukar. Kaki pula kerap diserang cramp, juga pening kepala yang boleh datang tiba-tiba ketika tengah sibuk buat kerja rumah. Bukan tak biasa semua ni, tapi rasa lebih teruk dari biasa.
Mungkin juga ‘raya’ dan balik kampung jadi faktor utamanya. Makan tak terjaga. Asal apa yang ada. Dah tak fikir panjang, yang aku ini perlu berwaspada bab makan minum. Di kampung, makan saja apa yang dihidang. Memang tak masak sendiri dah. Tambahan pula bila di kampung, semuanya nampak sedap. Bulan puasa pula tu. Semua hidangan menyelerakan.
Kini tanggunglah akibat. Mungkin juga sudah di akhir-akhir kehamilan. Perut makin membesar. Diri tak mampu nak secergas biasa. Bangun duduk amatlah terasa payah. Menukar posisi badan amatlah terasa sukar. Apatah lagi ada anak-anak yang perlu aku uruskan semuanya, rumahtangga yang aku perlu maintain, sekurang-kurangnya tak nampak semak dan bersepah sangat, makan minum yang perlu aku sediakan, takkan nak beli di kedai setiap hari, belum masuk bab kain baju, pinggan mangkuk, dll.. semua ini menjadi tugas aku, bila suami tiada di rumah.
Allah.. aku penat. Aku rasa tak berupaya. Tapi setiap masa aku pohonkan kekuatan dari DIA. Sekurang-kurangnya urusan anak-anak tak terabai. Kerja rumah pun Alhamdulillah, yang sulung dah banyak boleh bantu. Especially bab kemas rumah. Masak pun sekadarnya, yang simple-simple saja. Kadang-kadang keluar membeli di luar juga :)
Saat dan ketika ini, aku tiada pilihan lain. Perlu untuk selalu positifkan diri. Redha ini hanya ujian kecil dari Dia. Hamba Allah yang lain, lebih besar ujian mereka. Insaf.. aku usah terlalu mengeluh, yakinkan hati bahawa aku mampu tempoh segala, dengan pertolongan Dia. Aku sedar ada ketika aku seakan meratap dan berkeluh kesah. Moga Allah ampunkan aku, hamba yang tak lepas dari dosa ini. Yang sering lemah berdepan dengan ujian.
Semoga aku kuat untuk tempuh semua. Insya Allah, tak lama lagi akan melahirkan anakku ini. Insya Allah, bahagia itu ada di setiap penjuru pada hati yang sentiasa redha dengan ujianNya, dan syukur sentiasa atas nikmatNya.
0 comments:
Post a Comment