Bersempena cuti sekolah (17-25 Mac) selama seminggu, kami sekeluarga berpeluang balik ke kampung sekali lagi. Pada mulanya merancang untuk singgah di Ipoh untuk spend masa di maps. Tapi kemudian tukar plan, tak jadi ke Ipoh. Terus balik ke kampung. Anas beria nak jumpa kawan di kampung. Tapi tak bernasib baik juga, bila sepupu semuanya sibuk dengan hal lain dan tak dapat datang ke rumah nenek. Maka frust jadinya. Dah la tak dapat ke mana-mana. Main jelah dengan adik-adik di rumah nenek, dan buat aktiviti biasa iaitu melukis :)
Beberapa hari di kampung, sempat juga ‘berjalan’ di sekitar Bandar Kota Bharu. Sebenarnya kami dah merancang untuk ikut kak Za (birasku) dan kawan-kawannya ke Thailand, sekadar untuk makan angin di sana. Maka urusan penting yang perlu diselesaikan segera ialah untuk mendapatkan border pass memandangkan aku dan anak-anak tak memiliki passport.
Pada 17/3/18, bergeraklah kami sekeluarga ke UTC Kota Bharu. Kami berada di sana jam 8.30 pagi. Urusan berjalan lancar, walau pada mulanya ada sedikit cabaran. Orang tak ramai, lebih kurang sejam kemudian urusan selesai. Border pass ke Thailand berjaya disiapkan. Alhamdulillah.
Info: untuk dapatkan border pass untuk anak-anak, yang diperlukan ialah surat beranak, atau myKid yang tertera nama dan ic ibu. Dan perlu menggunakan alamat di Kelantan.
Mengisi borang untuk mendapatkan border pass
Selesai urusan di UTC, singgah sebentar di KB Mall. Sempat membeli buku di kedai buku SMO, dan suamiku pula membeli pakaian anak-anak di situ. Kemudian tanpa berlengah, terus meninggalkan tempat itu dan menuju ke kedai kain Honyi untuk membeli kain untuk baju raya kami sekeluarga. Di sini juga tak lama, pilih saja warna yang berkenan dan terus membuat pembayaran.
Sebelum balik ke rumah, singgah pula di pesta makanan halal yang diadakan di perkarangan stadium sultan Muhammad. Di sini kami membeli dan mencuba makanan yang dijual. Agak mahal juga harganya. Kami makan hingga kekenyangan dan bertolak balik.
Di sekitar pesta makanan halal 2018-KB
Balik ke rumah, rehat dan tidur. Sambung pula cerita di petang hari.
Selepas asar, kami ke Pantai Cahaya Bulan yang letaknya berdekatan dengan rumah ibu mertuaku. Di sana juga sedang diadakan ekspo di perkarangan Perdana Resort. Sebelum masuk ke tapak ekspo, kami sekeluarga ambil angin dan bermain di pantai terlebih dahulu. Anas, Mussaab dan Miqdad seperti biasa excited bermain di pantai. Zawiah (anak saudara) juga datang bersama.
Dah puas bermain, singgah pula ke tempat ekspo. Banyak juga jualan makanan, pakaian dan lain-lain. Anak-anak berminat untuk bermain permainan yang disediakan di tapak ekspo. Suamiku menemani anak-anak bermain, dan aku hanya memerhati. Bila dah puas bermain dan hari pun beransur gelap, kami menuju pulang ke rumah.
Di pantai cahaya bulan dan ekspo
Tamat cerita hari ini. Satu hari yang terisi. Sekurang-kurangnya ada kegembiraan buat anak-anak. Alhamdulillah.
Itu saja yang ‘sempat’ sepanjang berada di kampung. Tak dapat berada lama di kampung. Nanti akan catat perjalanan 2 hari 1 malam di Thailand, dan selepas itu kembali ke Semenyih, walaupun cuti Anas dan Mussaab masih berbaki. Apa boleh buat, abinya dah perlu kembali bertugas. Maka cuti dihabiskan di rumah saja. Tak mengapalah, di rumah pun best! Insya Allah :)
0 comments:
Post a Comment