Saja nak menulis tentang isu viral hari ini. Biasalah zaman media sosial ni, terlalu banyak cerita viral, hingga orang tak boleh beza ianya cerita benar atau tidak. Asal boleh share!
Kisah pakcik berjubah dan berkopiah yang meraba amoi berskirt pendek atas lrt, tentu semua orang (yang ada akaun fb, ig, Twitter dan seumpamanya) tahu tentang kes viral ini. Ia tular beberapa minggu lepas. Kali pertama membaca kisah pak cik ini, terasa amat tak sedap hati melihat penampilan pak cik yang jelas malambangkan ‘muslim’. Dalam perkongsian itu, wajah pak cik dikaburkan, dan langsung tak jelas wajahnya. Aku tak berminat untuk melihat video yang dikongsikan. Dalam hati, masih tak mahu percaya! Buruk sangat nampaknya akhlaq seorang Muslim yang disebarkan. Percayalah, hati sedikit sebanyak rasa tercalar.
Dan itu bukan perkongsian pertama dan bukan satu-satunya. Masih ada yang ringan jari menekan butang ‘share’ dan terus menghentam, mengutuk, mengata. Ditambah pula dengan commenters yang lain, bertambah pedas, bertambah sedap, secukup rasa menghukum ‘pak cik’. Sedih! Namun buat tak tahu sajalah, tak ada discussion lanjutan dengan suami atau dengan sesiapa. Hingga kisah itu dilupakan seketika.
Hari ini di’up’kan lagi kisah ‘pak cik’ yang kononnya meraba amoi tersebut. Kali ini dengan kisah yang sedap didengar, lantas memberi rasa lega luar biasa dalam hati. Ia adalah pengakuan dari saksi yang berada dalam lrt bersama ‘pak cik’ ketika hari kejadian, dan ketika video pak cik dirakam dan ditularkan. Lega, bila dia menyatakan bahawa kisah pak cik itu adalah ‘fitnah’ semata.
Dan hari ini aku mula ‘berani’ untuk menonton sendiri video viral tersebut. Demi Allah, aku tak melihat pada video itu sebagaimana yang dijajakan ceritanya sebelum ini. Aku tak melihat cubaan untuk meraba atau menyentuh peha si amoi. Aku masih sepenuhnya bersangka baik pada ‘pak cik’. Dan hari ini juga Allah tunjukkan wajah sebenar ‘pak cik’ pada aku. Aku jatuh kesian. Dahsyatnya fitnah! Kerana video ini Islam terfitnah lagi. Bukan saja dari non Muslim, bahkan dari Muslim sendiri :(
Perkongsian terbaru ini dikongsikan dan diviralkan oleh netizen yang percaya bahawa ‘pak cik’ tak bersalah. Tambahan membaca coretan ustaz Ebit Lew yang kenal rapat dengan pak cik ini, aku bertambah yakin, pak cik tak bersalah! Kesian pak cik kan!
Namun yang negatif, masih memilih untuk negatif. Masih mahu menghentam dan menghina. Masih tidak mahu percaya pada kebenaran.
Aku membayangkan bagaimana jika fitnah seumpama ini terkena pada ahli keluarga sendiri. Aibnya bila ‘cerita buruk’ kita dijaja oleh mereka yang tak bertanggungjawab. Kami berlindung dari semua itu ya Allah.
Kisah ‘pak cik’ ini patut dijadikan pengajaran bersama. Betapa penting untuk mencari kebenaran (bertabayyun) ketika menerima sesuatu cerita atau berita. Bukan terus berkongsi dan menyebarkan tanpa mengesahkan bahawa ia benar atau palsu. Please, stop dulu dan fikir dulu sebelum share apa-apa ‘berita terkini’!
Dalam menyebarkan kisah orang, fikir dulu aib orang dan ahli keluarganya. Jika benar ia salah, fikir dulu jalan yang lebih bijaksana untuk menegur sebelum disebarkan cerita aib sebegini. Bagaimana jika kisah aib kita juga nanti dijaja serata dunia dunia?
0 comments:
Post a Comment