1 Muharram 1439 hijrah jatuh pada hari Jumaat. Hari ini juga sekolah Anas bercuti sempena menyambut tahun baru hijrah. Kami memilih untuk balik ke kampung.
Kalau kebiasaannya kami bertolak selepas Anas balik sekolah, kali ni kami memilih untuk bertolak awal pagi. Kami meninggalkan rumah jam 4.45 pagi (hari jumaat). Subuh kami di Bentong, dan breakfast kami juga di Bentong. Damai rasanya menikmati nasi lemak dan nasi dagang di padang berhadapan masjid Bentong. Anak-anak masih dengan pakaian tidur mereka, menikmati hidangan di bawah langit yang masih gelap.
Selepas menikmati sarapan kami meneruskan perjalanan yang masih jauh. Isi petrol di Raub, dan berhenti mandikan anak-anak di r&r Benta. Sempat juga singgah makan sekali lagi di gerai di Kuala Lipis untuk memenuhi permintaan Anas yang nak makan roti canai. Sekali lagi mengisi perut hingga kekenyangan. Alhamdulillah. Perjalanan diteruskan.
Perhentian seterusnya ialah di air terjun Stong. Aku dan suami pernah datang sekali dulu, ketika aku mengandungkan Anas. Maka ini kali kedua untuk kami dan kali pertama untuk anak-anakku. Anak-anak seronok mandi manda si sungai yang jernih. Kebetulan kami sampai lebih awal, masih tiada pengunjung di situ. Suamiku melayan anak-anak mandi. Batu di dalam sungai agak licin dan agak berbahaya. Anak-anak perlu diawasi setiap masa.
Jam 12.45, kami meninggalkan air terjun Stong dan terus balik ke kampung legeh, rumah ibuku. Kami sampai jam 1.30.
Perjalanan hari ini agak panjang (lebih kurang 9 jam), namun Alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Perjalanan kali ini juga agak santai, tidak terlalu mengejar masa. Anak-anak ada ketikanya baik-baik saja di dalam kereta, ada ketika juga riuh rendah saling mengusik dan kebosanan di dalam perjalanan. Tapi biarlah mereka melalui pengalaman ini, yang nanti pasti dirindui.
Sungguh, musafir ini merapatkan dan mendekatkan. Dan dalam musafir ini, ada banyak ibrah yang boleh dikutip dan difikirkan. Memandang pada keindahan ciptaanNya, membuat hati terdetik Maha Hebatnya ALLAH.
0 comments:
Post a Comment