Monday, 27 December 2021 0 comments By: Naemah

IMBAS: 11 TAHUN MEMBINA KEHIDUPAN BERSAMA


11/12/2010

Dengan takdirNya kita bersatu


Mengimbas kenangan 11 tahun membina kehidupan bersama.



Tahun pertama (2010/2011)


Selepas lebih kurang 2 minggu diijabkabulkan, kita ditakdirkan untuk berpisah kerana panggilan kerjamu waktu itu. Sebelum itu sempat kita honeymoon di Cameron Highland, sempat kau bawa aku interview guru j-Qaf, sempat juga aku temankanmu interview kenaikan pangkat di KL. 


Berkenalan baru 2 minggu, sudah perlu berpisah. Saat ini sakitnya rasa, kerana sudah mula mencintaimu. Namun akur jua pada takdirNya.


Ketika kau jauh, aku disahkan hamil, namun tiada rezeki, aku keguguran. Hadapi kesedihan sendirian tanpamu. Kehilangan yang pertama ini sangat menyakitkan. 


Asbab itu juga aku dapat ikut belayar bersamamu. Lebih kurang 2 bulan aku berada di kapal bersamamu. Meredah lautan, merentas sempadan negara. Kenangan terindah, takkan dapat diulang lagi kenangan yang serupa. Waktu ini kau sudah bergelar ‘chief officer’, lagi satu tangga nak bergelar Kapten.


Sekali lagi aku hamil, Alhamdulillah. Turun dari kapal dalam keadaan berbadan dua. Rupanya itu pelayaranmu yang terakhir, bila kau memilih untuk berhenti belayar dan meninggalkan MISC. 


Ketika aku sarat mengandungkan Anas, kau dapat interview kerja baru di Singapura. Alhamdulillah dapat kerja tu. Belayar juga, tapi di perairan dekat saja, dan tak lama tempoh kau pergi. 



Tahun kedua (2011/2012)


Aku selamat melahirkan Anas pada Januari 2012. Setahun sebulan usia perkahwinan kita. Alhamdulillah kau ada hampir sepanjang kehamilanku sehinga lahirnya putera sulung kita. 


Selepas melahirkan Anas, kau bertukar kerja lagi. Kali ni dah tak perlu belayar, tapi masih juga kerja kapal. Ye, itu memang sudah bidang kemahiranmu. 


Pada April 2012 kita berhijrah ke Melaka. Kita menyewa di Tanjung Bidara, dan kau bekerja di Petronas Sungai Udang. Di sini kita mulakan hidup dengan keluarga kecil kita, jauh dari keluarga. Bahagianya hampir setiap hari kau ada bersama.


Pada tahun yang sama juga kita berpindah dan menyewa rumah di Taman Bertam Setia. Rumah yang lebih besar dan selesa, dan lebih dekat dengan tempat kerjamu.



Tahun ketiga (2012/2013)


Aku hamil anak kedua. Juga melalui hari yang indah, bila kau ada bersama setiap hari. Berpisah hanya pada waktu kerja. Anas setiap hari dapat jumpa abi. Sebulan sekali balik kampung, pantang ada masa terluang akan keluar makan angin di bandar Melaka atau ke pantai. Bahagia mencipta kenangan bersamamu.



Tahun keempat (2013/2014)


Aku melahirkan Mussaab pada Januari 2014. Bertambah ahli keluarga kita, bertambah bahagia dan berseri hidup kita. Kau masih di tempat kerja yang sama. Anas dan Mussaab setiap hari dapat jumpa abi dan mendapat sepenuhnya kasih sayang dan perhatian abi.



Tahun kelima (2014/2015)


Pada Disember 2014 kau bertukar tempat kerja lagi (Xilog-company yang sekarang). Kali ini kau perlu kerap bermusafir dan meninggalkan keluarga. Mulanya agak berat untuk aku terima, namun ku pujuk hati untuk terima semua. Awalnya agak susah nak terima hakikat ‘ditinggal’kan dengan anak-anak, namun lama kelamaan mampu terima semua. Mungkin ini yang terbaik.


Januari 2015 kita berpindah ke Kajang, menyewa di Apartment Ria Prima. Di sini kita bertemu dan berpisah. Anas dan Mussaab mula belajar hidup berjauhan dengan abi. Sekejap abi di rumah, sekejap di Labuan, sekejap di Bintulu, video call jadi penghubung. Anas dan Mussaab membesar bersama di apartment ini. Berkurung saja di rumah time abi tiada, dan banyak berjalan dan balik kampung bila abi ada. 


Tahun ini (2015) juga aku keguguran kali ke-2. Kali ini ‘sakit’nya tak sesakit kali pertama, meskipun ada rasa sedih, kesal dan kecewa. Serah hati ini pada Allah untuk rawat segala rasa. 


Tahun ini juga kita membuat keputusan untuk membeli rumah (di Semenyih)




Tahun keenam (2015/2016)


Kita berpindah ke Taman Pelangi 2, Semenyih. Masih juga menyewa, kerana rumah yang dibeli masih dalam pembinaan.


Alhamdulillah aku hamil lagi, dan selamat melahirkan Miqdad pada Oktober 2016. Di Taman Pelangi Semenyih 2 ini juga jalani kehidupan seperti sebelum ini juga. Bertemu dan berpisah, atas alasan kerjamu. Namun kini, kau perlu meninggalkan isteri dengan 3 anak. Bertambah zuriat, bertambah tanggungjawab. Dan kau sentiasa tekun mencari rezeki, dan tetap bertanggungjawab pada keluarga. Juga tak berkurang nilai cinta dan kasih sayangmu pada kami. 


Tahun ni kita mula membiasakan diri di tempat baru (Semenyih), nanti memang akan menetap dan menjadi penduduk di sini.



Tahun ketujuh (2016/2017)


Tahun 2017 Anas (5 tahun) dah mula masuk sekolah. Genius Aulad adalah sekolah pertama Anas. Aku mula beranikan diri untuk memandu kereta untuk hantar dan ambil Anas dari sekolah. 


Bulan Februari 2017 kita masuk rumah baru, rumah yang kau beli untuk keluarga kita. Alhamdulillah, syukur atas rezeki ini. Kau masih pada pekerjaan yang sama. Sekejap di rumah, sekejap di laut. Setiap pertemuan sentiasa yang terindah buatku.  


Aku jadi lebih berdikari, maklumlah dah berani bawa kereta. Oh ya, tahun ni juga kau beli kereta viva second hand untuk aku mudah ulang alik ke sekolah Anas. 



Tahun kelapan (2017/2018)


Anas (6 tahun) dan Mussaab (4 tahun) masuk sekolah baru Little diamond Kindergarten, tak jauh dari rumah. Jalan kaki saja ke sekolah. Anak-anak kita dah besar dah. Kita juga makin berusia, makin matang dalam perhubungan, walaupun masih tetap punya banyak kekurangan yang perlu diperbaiki. Yang pasti, aku tetap mencintaimu, dan aku bahagia hidup bersamamu.



Tahun kesembilan (2018/2019)


Anas dah masuk darjah satu. Dah besar anak sulung kita. Anas berjaya masuk SRAI Pekan Beranang, agak jauh dari rumah. Aku perlu lebih berani di jalan raya. Aku mengambil tugas menghantar dan mengambil Anas dari sekolah semasa ketiadaanmu. 


Rezeki Allah, aku hamil anak keempat kita. Tugas dan tanggungjawab lebih berat demi memberi yang terbaik untuk anak-anak. Kau setia dan tekun dengan kerjamu. Aku pula menggalas tanggungjawab dengan sebaik yang aku mampu. 


Suri selamat dilahirkan pada Ogos 2019. Bulan Ogos juga Anas dah mula naik van ke sekolah. Kehidupan lebih meriah, lebih berseri dan lebih mencabar dengan 4 cahaya mata, amanah dan tanggungjawab dari Allah. 




Tahun kesepuluh (2019/2020)


Anas darjah 2, sementara Mussaab masih di Little Diamond tahun ke-3. 


Tahun 2020 diuji dengan wabak Covid-19 seluruh dunia. Ujian besar buat semua orang termasuk kita. Kes jangkitan bertambah dan meningkat, sekolah ditutup, lockdown demi lockdown, pendek kata huru hara satu dunia. Tahun ni tak dapat balik raya, dan banyak berkurung di rumah. Paling teruji, bila kita perlu berpisah lebih lama bila kau terpaksa jalani episod kuarantin yang panjang dan kerap.

 

Anak-anak mula belajar berjauhan dengan abi dalam tempoh yang lama. Aku pula perlu biasakan diri untuk lebih berdikari menguruskan diri bersama 4 anak kita.


Anak-anak belajar secara pdpr, hanya sempat beberapa bulan hadir ke sekolah tahun ini.



Tahun kesebelas (2020/2021)


Anas melangkah ke tahun 3, Mussaab masuk darjah satu dan Miqdad pula masuk tadika. Dari 2 orang, kini dah 3 orang anak kita bersekolah. Dah makin besar kan anak-anak kita?


Tahun ini, kita masih dalam ‘perangkap’ covid-19. Hidup masih belum bebas. Sekolah tutup, sempadan negeri tutup, hidup terkurung. Kita perlu terus hadapi episod perpisahan yang panjang. Raya tahun ini juga tak dapat balik kampung, bahkan kau juga jauh di hari lebaran yang lalu. 


Satu lagi ujian, bila kau juga ditakdirkan positif covid-19 pada Julai 2021. Ujian ini sangat menyakitkan, namun pasti terkandung 1001 hikmah buat hambaNya.


Lama kelamaan ujian ini reda, walaupun masih tetap ada. Masih tetap perlu lebih berhati-hati. Bebas, tapi pantang alpa.


Oktober 2021 dah boleh balik kampung, dah boleh bercuti. Dan kita juga dah menerima tetamu di rumah. Anak-anak juga kembali ke sekolah.


Disember 2021 dah tak perlu berkuarantin lama di hotel atas tujuan kerja. Sudah banyak lega, dan perlu banyak bersyukur atas semuanya ini. 


11/12/2021, Alhamdulillah genap 11 tahun melayari bahtera rumahtangga bersamamu.


Untuk tahun ke-12 dan seterusnya (andai dipanjangkan usia kita), moga Allah sentiasa berkati ikatan antara kita. Moga Allah permudahkan perjalanan hidup dan cinta kita. Semoga Allah lorongkan kita ke jalan yang diredainya. Semoga bersatu selamanya kita, dunia dan akhirat. 



11 years and still counting


MASIH ‘EMPAT’




Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri, empat cahaya mata penyeri kehidupanku dan suami. Ya, masih empat. Belum hadir yang kelima.


Dulu selepas lahirkan yang sulung, rasa tak sabar nak dapatkan yang kedua. Alhamdulillah umur Anas setahun lebih, dah mengandungkan Mussaab. Jarak umur mereka 2 tahuh genap (Januari 2012-Januari 2014). Masa tu memang dah bersedia sangat nak timang anak kedua walaupun pada perkiraan, agak rapat umur mereka.


Bila dah anak dua, teringin yang ketiga pula. Memang berimpian nak anak ramai. Tapi perlu sedar juga tahap keupayaan diri, dan terserah pada rezeki yang Allah nak bagi. 


Mengandungkan Miqdad ketika Mussaab berusia 2 tahun (Sebelum tu mengalami keguguran). Dan melahirkan Miqdad pada usia Mussaab 2 tahun 9 bulan (Januari 2014-Oktober 2016). Alhamdulillah, makin berseri kehidupan rumahtangga. 3 orang pun sudah cukup meriah. Tapi masih berhasrat untuk punya anak lagi.


Alhamdulillah mengandungkan Suri dan melahirkan Suri pada Ogos 2019. Jarak usia Miqdad dan Suri pula ialah 2 tahun 10 bulan (Oktober 2016-Ogos 2019). Alhamdulillah semuanya pada jarak yang sudah dirancangkan bersama. 


Kini Suri sudah berusia 2 tahun 4 bulan. Dan Suri masih lagi yang ‘bongsu’. Bongsu selamanya atau akan jadi kakak, itu belum pasti. Bergantung pada rezeki Allah.


Kalau ikutkan kemahuan hati, masih nak tambah anak lagi. Walaupun sebenarnya rasa macam ‘tak larat’ nak tempuh episod kehamilan dan bersalin yang mencabar dan menguji. 


Tapi untuk anak yang seterusnya, aku rasa aku perlu berada pada persediaan yang lebih baik. Baik fizikal mahupun mental. Banyak faktor perlu diambil kira. 


Pertamanya, faktor usia yang jelas, dah mendekat angka 40. Insya Allah, tak ada lagi selepas usia 40 tahun (aku serah urusan zuriat ini pada Allah semata). 


Keduanya faktor kesihatan. Bila semua kehamilan aku perlu berdepan dengan masalah gdm (kencing manis), rasanya serik nak berdepan dengan masalah yang sama lagi. Dengan keadaan diri yang sekarang (berat badan berlebihan), dengan selera makan yang ‘luar biasa’ ni, memang surelah gdm akan bertandang lagi kalau mengandung sekarang. Gdm bukan yang biasa-biasa dah. Sampai tahap cucuk insulin. Hmm.. 


Ketiga faktor mental dan emosi yang masih belum bersedia. Dengan keadaan sekarang (pandemik), kehidupan yang berubah pada banyak sudut, juga kepenatan menguruskan anak-anak bersendirian (ketika suami tiada), rasanya tak tahu macam mana nak uruskan emosi bila dah ada yang kelima nanti. Risau, kesannya nanti adalah pada anak-anak.


Dalam masa yang sama, masih menghitung dan berkira-kira, bila nak tambah anak lagi. Nak kejar usia yang dah nak masuk 40 ni lagi, dalam masa yang sama nak fizikal sihat, mental bersedia sepenuhnya. Mampukah aku? 


Tahun 2022 bakal menjengah. Itu juga belum pasti apakah akan hadir yang kelima untuk aku dan suami? Jika bukan tahun depan, tunggulah tahun seterusnya. Ya, sebelum usia 40 tahun, harapannya akan ada rezeki untuk menimang cahaya mata lagi. Selepas itu, terus fokus pada urusan membesarkan anak-anak dan berusaha untuk memberikan pendidikan yang terbaik untuk mereka.


Namun perancangan ini hanyalah perancangan kami semata, manusia yang lemah dan tiada keupayaan. Kita merancang, Allah yang menentukan. Dan perancangan Allah sudah pastinya yang terbaik. 


Akhirnya, aku serah segala urusan zuriat dan seluruh takdir kehidupan ini hanya kepada Allah. Tiada yang berkuasa melainkan Dia.


Untuk kehidupan yang sekarang. Moga ku sentiasa berbahagia dengan suami dan yang ‘empat’ ini. Alhamdulillah. Mereka anugerah terindah dalam hidupku. 

Sunday, 26 December 2021 2 comments By: Naemah

GENAP SETAHUN MIQDAD DI LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN



Alhamdulillah setahun berlalu. Miqdad mula masuk Tadika Little Diamond pada 20/1/2021. Seminggu pertama agak mencabar, melayan ragam Miqdad yang tak nak ke sekolah, yang perlu berteman ketika di sekolah, yang banyak berdrama air mata, dan sebagainya.


Namun Alhamdulillah masuk minggu kedua Miqdad dah OK, tak perlu berteman lagi dan tak susah dah nak bersiap ke sekolah. Miqdad dah mula sukakan sekolah, suka ada kawan dan teacher yang baik melayan.


Namun alam tadika Miqdad tak sama macam Anas dan Mussaab. Mula bersekolah di zaman pandemik, banyak hal yang berubah. Tapi pasti ada hikmahnya jua. Miqdad tetap pergi dan balik sekolah dengan seronok.


Bermula Jun 2021, Miqdad juga perlu belajar secara pdpr kerana semua sekolah termasuk tadika tak dibenarkan beroperasi. Terpaksalah Miqdad belajar dengan menggunakan gadjet pula, secara online. Setiap hari hadiri kelas (1 jam sahaja) tanpa jemu. Bila pdpr, di samping abang dan adik, fokusnya tak sama seperti di kelas. Perlu sentiasa ada teman di sisi, agar fokus belajarnya tak lari.


Berbulan menjalani pdpr, akhirnya Miqdad kembali semula ke sekolah pada Oktober 2021. Alhamdulillah berpeluang juga untuk balik ke sekolah tahun ni, sementara Anas dan Mussaab masih menyambung pdpr.


Sepanjang tahun ini, tak banyak event/program yang diadakan di Little Diamond Kindergarten. Banyak yang terpaksa dibatalkan gara-gara PKP. Tapi ada juga la, seperti pada bulan Merdeka ada buat konvoi Merdeka bersama teacher dan ibubapa. Ada birthday celebration, lawatan sekolah (Miqdad tak dapat join sebab ada hal lain), dan yang terkini ialah Fun Carnival (ganti hari sukan). Kira oklah, ada juga aktiviti untuk anak-anak sertai dari tak ada langsung kan. 


Oh ya, graduation day yang ‘wajib’ ada setiap tahun juga masih belum diadakan lagi. Mungkin awal tahun depan. 


Lagi satu, ketika Miqdad dah start bercuti (ikut cuti abang-abang dia), kawan-kawan Miqdad dah berpindah ke sekolah baru (Little Diamond Kindergarten dah tukar lokasi). Kini lokasinya jauh sikit dari rumah. Insya Allah Miqdad akan masuk sekolah baru tahun depan (2022).


Alhamdulillah perjalanan Miqdad dari awal tahun 2021 kini dah sampai ke penghujung tahun. Dari segi pencapaian tertentu, Miqdad kini dah semakin lancar membaca English dan Bahasa Melayu, dah boleh selesaikan operasi matematik (tambah dan tolak) yang simple-simple. Alhamdulillah. Apapun masih banyak lagi yang Miqdad kena belajar. Banyak lagi terkurang sana-sini. Ummi pun tak sempat nak fokus pada Miqdad juga. 


Syukur untuk perjalanan tahun pertama Miqdad di alam tadika. Tinggal setahun lagi, untuk persediaan melangkah ke tahun satu. Semoga tahun 2022 membuka lembaran baru untuk masa depan yang lebih cerah dan lebih baik. Insya Allah. Moga Allah lancarkan dan permudahkan semuanya untuk perjalanan Miqdad di alam pengajian. Ameen.


Alhamdulillah sudah selesai membuat bayaran pendaftaran Miqdad untuk tahun depan. Dah besar kan Miqdad…



Gambar-gambar kenangan Miqdad sepanjang tahun 2021 sebagai student tahun pertama












































Wednesday, 22 December 2021 0 comments By: Naemah

SEMINGGU ABI DI LAUT





 Catatan (19/12/2021)


Genap seminggu abi di laut. Katanya akan pergi beberapa hari saja. Namun kini dah seminggu di sana, dan masih belum dapat bertugas kerana cuaca yang kurang baik. Katanya angin dan ribut,kerja-kerja di sana menjadi sukar dan terpaksa ditangguhkan dulu.


Iya, sekarang Malaysia berdepan dengan ujian banjir pula. Selain pantai timur, Selangor dan KL juga berdepan dengan ujian banjir yang agak dahsyat. Banyak kawasan dinaiki air, termasuk kawasan yang sebelum ini tak pernah dilanda banjir. Ya Allah… tak terjangka takdirMU. Sayunya melihat keadaan mereka yang diuji. Apatah lagi yang pertama kali berdepan dengan situasi seperti ini. Cemasnya tak tergambar.


Kita sekeluarga mengulangi episod perpisahan yang sama seperti tahun lepas. Kerana abi ‘terperangkap’ di laut, anak-anak pula habiskan waktu cuti sekolah di kampung. Sabar menanti abi pulang. Sentiasa mengharapkan abi baik-baik saja di sana.


Alhamdulillah kita tak diuji dengan ujian banjir. Rumah mek selamat, insya Allah. Walaupun hujan tak henti, keadaan di kampung ini tak terjejas.


Abi juga insya Allah baik-baik saja di sana. Sedang menunggu situasi tenang untuk bertugas. Insya Allah tak lama lagi abi akan balik. 


Ujian di kampung ini ialah akses internet yang terlalu lembap. Ada macam tak ada. Bayangkan nak hantar whatsapp pun susah nak lepas, apa lagi nak buat kerja lain. Memang langsung tak boleh! Sesekali dapat whatsapp abi. Itupun syukur dapat tahu keadaan masing-masing walaupun gap nak berbalas masej tu sangat lama. Sabar jelah. Ujian sementara saja. 


Cuti sekolah masih berbaki lebih kurang 2 minggu. Semoga abi cepat balik, dan kita akan ke rumah nenek pula. Kemudian akan balik ke Semenyih dan meneruskan hari kita di sana pula. 


Insya Allah segalanya akan dipermudahkan olehNya.

Tuesday, 14 December 2021 0 comments By: Naemah

LANTARAN RINDU…





Masih nak menulis ‘tentang kita’. Mungkin sebab banyak masa di kampung. Mungkin sebab merindukanmu yang jauh. Walau hakikatnya apa yang aku rasakan di hati ini takkan termampu aku luahkan dengan tulisan atau kata-kata.


11 tahun usia pernikahan, 11 tahun juga usia perkenalan aku denganmu. Tak lebih. Kerana kita tak lalui episod percintaan sebelum berkahwin. Kerana kita tak saling mengenali sebelum berkahwin. Bertunang pun, tak pernah berkenal-kenalan lebih dari mengenal nama, usia dan pekerjaan. 


Beberapa tahun sebelum kita ‘diperkenalkan’, aku mula berkenalan dengan adikmu (zaman MCIIUM). Adikmu banyak bercerita tentang  keluargamu, tentang adik beradiknya yang ramai, tentang abang-abangnya (sesekali tentang abangnya yang belayar), tentang kakak dan adik-adiknya, tentang ibu ayahnya, seronok aku mendengar cerita tentang keluarga besarmu. Sudah pastinya tak terlintas langsung tentang jodoh. Rupanya itulah permulaan pada segalanya. 


Berganjak tahun, dari MCIIUM ke IIUM, hubungan kami makin dekat. Dari sahabat sekuliyyah, kemudian sahabat satu mahallah, akhirnya sahabat berjiran bilik (dikira sebilik juga la sebab bilik aku boleh menembusi bilik dia). Ya, masa tu hubungan kami lebih rapat dan lebih mesra, di samping roomate lain yang ceria dan menghiburkan setiap masa. Rindulah…


Sampai ke tamat pengajian, langsung tak terdetik tentang jodoh antara aku denganmu. Takkanlah, kenal pun tidak. Seperti dulu juga, hanya mendengar cerita-cerita tentang keluargamu dari adikmu. Ya, dia memang suka bercerita tentang keluarganya. Itu tanda dia berbangga dengan keluarga besarnya. Aku juga seperti selalu, suka mendengar. Sesekali disuakan gambar ahli keluarga. Aku melihat sepintas lalu. Ada rupa yang kuingat, ada juga tidak (termasuk dirimu). Sungguh, selain Azim aku tak tahu ada abangnya yang masih bujang. Bila Azim berkahwin, aku kira dah ‘habis’lah abangnya yang sedang mencari jodoh :D


Tak lama selepas tamat pengajian (dah balik kampung pun), masa tengah tak tahu nak buat apa lepas habis belajar, datang pertanyaan tentang jodoh ‘aku dan kamu’. Akhirnya kita bertemu buat pertama kali, akhirnya kita ikat tali pertunangan, akhirnya kita dijabkabulkan.  Ya, pada tahun yang sama aku tamat pengajian, bertunang dan berkahwin. Masya Allah, Maha Hebat Allah yang mengatur semuanya untuk kita. Aku dan kamu ditemukan, disatukan, hidup berdua,   kemudian dihadirkan zuriat, dikurniakan bahagia, bahagia dengan cara kita tersendiri. Masya Allah.


11 tahun dah berlalu. Kadang aku rasakan masa terlalu pantas berlalu. Mengenang detik hubungan ini bermula, terlalu manis aku rasakan. Walaupun kita tak seperti pasangan lain yang bermula dengan cinta, kita masih mampu bahagia bersama cinta yang hadir selepas terlafaznya ijab dan kabul. Bercinta denganmu sangat membahagiakan. 


11 tahun ini, kita melalui hari-hari yang tak sentiasa indah dan gembira. Seperti pasangan lain juga, diuji dengan pelbagai. Namun Alhamdulillah, tetap utuh cinta dan ikatan, walaupun ada ketika dan waktunya kita pilih untuk berbeza. Biarpun berbeza, kita tetap bersama. Kita tetap memilih cinta dan kesetiaan. 


Terima kasih suamiku yang tercinta. Seperti aku katakan, tiada lafaz untuk aku gambarkan betapa aku mencintaimu. Cukup kau tahu, aku mencintamu kerana Allah. Aku cinta dan setia padamu kerana Allah. Kau anugerah terbaik dariNya untukku. 


11 tahun menyemai cinta bersamamu. Moga selama-lamanya tetap cinta dan semoga Allah satukan kita hingga ke syurgaNya. Ameen

Monday, 13 December 2021 0 comments By: Naemah

CUTI SEKOLAH: BALIK KAMPUNG DENGAN NENEK




Balik kampung juga akhirnya.


Plan asal nak balik sebelum cuti sekolah bermula (dalam 7-8hb macam tu), sebab suami kena balik kerja. Tapi mak mertua tiba-tiba bagitau nak datang rumah sebab nak pergi kenduri kat KL. Mereka datang dengan flight. So cancel lah plan balik kampung dulu, raikan mak dan adik-adik juga anak saudara yang datang dari jauh. Suamiku berkuarantin di rumah (untuk tujuan kerja) dan ke Terengganu pada 12/12/2021. 


Lepas discuss semua, aku bersetuju untuk balik dengan mak dan ahli keluarga yang lain pada 13/12/2021. Adik iparku (Nor) bawa kereta kami, dan abang ipar (yang tinggal tak jauh dari rumah kami) bawa sebuah kereta lagi. Kami bertolak balik kampung dengan 2 buah kereta.


Perjalanan kali ini agak mencabar, namun masih dipermudahkan olehNya. Traffic sangat perlahan. Banyak kereta dan lori di jalan. Ditambah dengan ragam anak-anak yang pelbagai, rasa penat sangat. Dari Semenyih ke Kota Bharu, perjalanan mengambil masa selama 10 jam (9 pagi-7 malam). Penat…


Penat bukan sebab apa, tapi sebab tanpa suami bersama agaknya. Tak rela dah nak berjalan jauh tanpa dia. Nak control anak-anak seorang diri memang memenatkan. Adik ipar pun banyak membantu sebenarnya, tapi itulah.. kalau dengan abinya sendiri lebih mendengar kata dan lebih terkawal. 


Alhamdulillah selamat sampai akhirnya. Penat dan mengantuk sangat. Dalam kereta langsung tak dapat pejamkan mata. Sampai rumah, mandi, solat, makan dan tidur awal semuanya. 


Alhamdulillah atas urusan musafir yang dipermudahkan Allah, meskipun di balik cabaran yang ditempuh. Kini sudah berada di rumah ibu mertua. Menunggu kepulangan suamiku, katanya tak lama tapi bergantung pada cuaca di sana juga. Moga Allah permudahkan urusan suamiku di laut sana. Insya Allah akan balik ke rumah ibuku pula. Dah lama tak jumpa, sejak Oktober lalu. 


Anak-anak kini riang bermain di rumah nenek pula. Tapi tak ramai sepupu yang ada. Eiman saja, dan Abang Faiz. Masih kurang meriah, tapi ada juga lah teman bermain di sini. 


Sekali lagi syukur, dah selamat sampai kampung. Rindukan suamiku yang jauh, kerana akan lebih bermakna bila dia ada bersama. Semoga Allah permudahkan urusannya di sana, dan selamat kembali ke pangkuan kami yang merindu. Semoga dapat memanfaatkan waktu di kampung bersama keluarga yang tercinta.  Insya Allah. 




Suri ready nak balik kampung



Peace!!



Anas, Mussaab, Miqdad dan Eiman



With Makde- yang tolong drive dari Semenyih ke Kota Bharu

Sunday, 12 December 2021 0 comments By: Naemah

11 TAHUN BERSAMAMU



(11/12/2010-11/12/2021)

11 tahun bersama. Alhamdulillah.


Tiada kesempatan untuk aku menulis panjang di sini. Kebetulan keluarga dari kampung datang berkunjung, kita melalui hari dengan melayan dan cuba memberikan yang terbaik untuk tetamu. Alhamdulillah, meriah rumah. Setelah sekian lamanya tak menerima kehadiran tetamu. Dan ini, pastinya hadiah terbaik untuk hari ulangtahun perkahwinan kita juga ulangtahun kelahiranmu. Apatah lagi, ibu yang melahirkanmu ada bersama-sama.


Hari ini (11/12/2021) juga hari terakhir dirimu ada bersama, kerana esok harinya akan kembali bertugas. Alhamdulillah, dah tak perlu berkuarantin lama. Insya Allah pergi juga tak lama.


Tiada ungkapan untuk gambarkan betapa bersyukurnya aku atas takdir jodoh yang telah Allah aturkan ini. 11 tahun berlalu, banyak yang telah kita lalui bersama. Bukan bahagia tiap masa, namun kaulah kebahagiaanku.


Sudah pasti kita bukan pasangan yang paling sempurna. Banyak lagi yang perlu kita perbaiki dalam diri masing-masing. Aku bukan terbaik, namun terima kasih tetap mencintai dan menyayangi hingga ke hari ini.


Selamat hari lahir suamiku yang tercinta.

Selamat ulangtahun perkahwinan yang ke-11. 11 tahun berlalu, ku mengharapkan lebih lagi dari itu untuk kita sama-sama melangkah ke hari mendatang, berdamping, berpimpin, penuh ikhlas dan setia, hingga ke hari tua, hingga ajal menjemput, hingga dipertemukan lagi di sana, di syurgaNya yang abadi.


Tak salah aku bermimpi. Tak jemu aku berdoa. Moga kau kan selamanya jodohku, dunia dan akhirat.


Ameen.




Di hari lahirmu.

Bersama bonda yang melahirkan



Breakfast. Meriah di luar dan di dalam rumah. Pagi hingga ke malam hari.