Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri, empat cahaya mata penyeri kehidupanku dan suami. Ya, masih empat. Belum hadir yang kelima.
Dulu selepas lahirkan yang sulung, rasa tak sabar nak dapatkan yang kedua. Alhamdulillah umur Anas setahun lebih, dah mengandungkan Mussaab. Jarak umur mereka 2 tahuh genap (Januari 2012-Januari 2014). Masa tu memang dah bersedia sangat nak timang anak kedua walaupun pada perkiraan, agak rapat umur mereka.
Bila dah anak dua, teringin yang ketiga pula. Memang berimpian nak anak ramai. Tapi perlu sedar juga tahap keupayaan diri, dan terserah pada rezeki yang Allah nak bagi.
Mengandungkan Miqdad ketika Mussaab berusia 2 tahun (Sebelum tu mengalami keguguran). Dan melahirkan Miqdad pada usia Mussaab 2 tahun 9 bulan (Januari 2014-Oktober 2016). Alhamdulillah, makin berseri kehidupan rumahtangga. 3 orang pun sudah cukup meriah. Tapi masih berhasrat untuk punya anak lagi.
Alhamdulillah mengandungkan Suri dan melahirkan Suri pada Ogos 2019. Jarak usia Miqdad dan Suri pula ialah 2 tahun 10 bulan (Oktober 2016-Ogos 2019). Alhamdulillah semuanya pada jarak yang sudah dirancangkan bersama.
Kini Suri sudah berusia 2 tahun 4 bulan. Dan Suri masih lagi yang ‘bongsu’. Bongsu selamanya atau akan jadi kakak, itu belum pasti. Bergantung pada rezeki Allah.
Kalau ikutkan kemahuan hati, masih nak tambah anak lagi. Walaupun sebenarnya rasa macam ‘tak larat’ nak tempuh episod kehamilan dan bersalin yang mencabar dan menguji.
Tapi untuk anak yang seterusnya, aku rasa aku perlu berada pada persediaan yang lebih baik. Baik fizikal mahupun mental. Banyak faktor perlu diambil kira.
Pertamanya, faktor usia yang jelas, dah mendekat angka 40. Insya Allah, tak ada lagi selepas usia 40 tahun (aku serah urusan zuriat ini pada Allah semata).
Keduanya faktor kesihatan. Bila semua kehamilan aku perlu berdepan dengan masalah gdm (kencing manis), rasanya serik nak berdepan dengan masalah yang sama lagi. Dengan keadaan diri yang sekarang (berat badan berlebihan), dengan selera makan yang ‘luar biasa’ ni, memang surelah gdm akan bertandang lagi kalau mengandung sekarang. Gdm bukan yang biasa-biasa dah. Sampai tahap cucuk insulin. Hmm..
Ketiga faktor mental dan emosi yang masih belum bersedia. Dengan keadaan sekarang (pandemik), kehidupan yang berubah pada banyak sudut, juga kepenatan menguruskan anak-anak bersendirian (ketika suami tiada), rasanya tak tahu macam mana nak uruskan emosi bila dah ada yang kelima nanti. Risau, kesannya nanti adalah pada anak-anak.
Dalam masa yang sama, masih menghitung dan berkira-kira, bila nak tambah anak lagi. Nak kejar usia yang dah nak masuk 40 ni lagi, dalam masa yang sama nak fizikal sihat, mental bersedia sepenuhnya. Mampukah aku?
Tahun 2022 bakal menjengah. Itu juga belum pasti apakah akan hadir yang kelima untuk aku dan suami? Jika bukan tahun depan, tunggulah tahun seterusnya. Ya, sebelum usia 40 tahun, harapannya akan ada rezeki untuk menimang cahaya mata lagi. Selepas itu, terus fokus pada urusan membesarkan anak-anak dan berusaha untuk memberikan pendidikan yang terbaik untuk mereka.
Namun perancangan ini hanyalah perancangan kami semata, manusia yang lemah dan tiada keupayaan. Kita merancang, Allah yang menentukan. Dan perancangan Allah sudah pastinya yang terbaik.
Akhirnya, aku serah segala urusan zuriat dan seluruh takdir kehidupan ini hanya kepada Allah. Tiada yang berkuasa melainkan Dia.
Untuk kehidupan yang sekarang. Moga ku sentiasa berbahagia dengan suami dan yang ‘empat’ ini. Alhamdulillah. Mereka anugerah terindah dalam hidupku.
0 comments:
Post a Comment