Friday, 3 December 2021 0 comments By: Naemah

TENTANG AKU



Ketika mula memahami tentang kehidupan, aku rasa hidup aku hanya berdua dengan ibuku. Mana taknya, ayah pergi ketika usia aku 3 tahun. Abang dan kakak pula berkahwin masa aku masih kecil (aku tak sedar pun bila mereka kawin). Yang paling last, kawin masa aku tingkatan 3. Sorang tu jelah yang aku ingat. 


Dan setelah itu, hiduplah aku berdua dengan ibu. Memang rumah sunyi, kecuali bila anak-anak saudara balik. Sedikit sebanyak, persekitaran masa kecil membentuk peribadi aku yang pendiam, dan sukakan ketenangan. Tak ramah mesra, tak sukakan suasana bising.


Masuk asrama, paling rasa stress bila suasana bising dan bingit. Dan susah nak berkawan, kecuali ada yang sudi datang dekat. Sebab tu kawan tak ramai. Tapi syukurlah tak ada musuh.  


Hingga masuk universiti, aku masih tetap aku yang pendiam dan lebih suka bersendiri. Tapi ada juga kawan yang mesra, yang ikhlas terima aku seadanya. Alhamdulillah hidup dengan baik-baik tanpa ada musuh dan orang tak suka kita. 


Kemudian hidup berumahtangga, dah hampir 11 tahun, Alhamdulillah. Aku masih tetap aku. Suami juga tak banyak cakap, tapi kami masih boleh mesra berkomunikasi. Malahan aku banyak bercerita pada dia, lantaran tak ada teman bicara selain dia. Tetap ada gurau senda suami isteri. Ya, tetap bahagia dengan cara kami yang tersendiri. Syukurlah, hubungan tidak ‘mati’ meski dengan watakku seperti ini. Yang paling penting, syukurlah dia terima aku seadanya.


Dengan kehadiran anak seorang demi seorang, kehidupan lebih ‘meriah’. Di sini bahagia, dan di sini juga ujian. Dulu yang susah dan ‘malas’ nak bersuara, kini perlu lebih banyak bersuara. Semakin banyak anak makin banyak suara. Jadi ibu, masakan boleh ‘diam’ saja. Dari mereka bayi sampai membesar seperti sekarang, banyaknya yang perlu diajar, dipesan, diingat, dileter :D haih.. penat tau nak jadi seorang yang banyak cakap, bila kita sebenarnya jenis tak banyak cakap!


Tapi ini aku anggap ujian dan perjuangan aku dalam kehidupan. Kerana ujian setiap orang tak sama. Yang dikatakan ujian untuk aku, mungkin pada orang lain hal remeh dan biasa saja. Begitu juga sebaliknya. Aku yang cepat stress dengan kebisingan, perlu ajarkan diri untuk hadapi kebisingan setiap hari dengan tenang. Apalagi saat berdepan dengan hal dan situasi tak terduga dan di luar kawalan diri. Susah.. aku memang ‘struggle’ nak tempuh semua itu saban hari. Lebih-lebih lagi bila terpaksa handle anak-anak seorang diri ketika suami tiada. Ada harinya aku sabar dan tenang, ada harinya juga aku berubah watak yang sebaliknya. Watak mana paling banyak menjelma? Tanyalah suami dan anak-anakku. Kerana mereka ‘lebih kenal’ aku. Di sudut ini ketenangan dan ketenteraman hati aku teruji. 


Kini dah hampir 11 tahun bergelar isteri dan ibu. Aku masih berjuang setiap hari menjadi yang lebih baik. Tak ingin aku bandingkan diri ini dengan sesiapa, kerana perbandingan itu lebih menyakitkan. Namun ada sosok yang boleh kujadikan contoh dan inspirasi dalam mengatasi kekurangan yang banyak ini.


Apapun aku bahagia dengan kehidupan yang Allah kurniakan buatku. Suami adalah yang terbaik, anak-anak juga adalah yang terbaik, untuk aku. Tiada yang lain.


Langkah demi langkah akan aku teruskan, selagi Allah masih meminjamkan usia untukku. Aku mahu menjadi yang paling bahagia, meski aku tahu jalan bahagia tetap berliku. Moga Allah anugerahkan kesabaran serta petunjuk, untuk melalui jalan yang benar. 




Ujian dan Anugerah










Wednesday, 24 November 2021 0 comments By: Naemah

RIVER & GLAMP: GLAMPING PERTAMA KALI




Cerita seminggu yang lalu (17-18 Nov 2021).


Kami sekeluarga merasai pengalaman glamping buat pertama kalinya di River & Glamp, Ulu Yam. Tak jauh sangat dari rumah, lebih kurang 1 jam perjalanan saja. Dan pengalaman kali ini berbeza dari kebiasaannya. Walaupun sekejap, cukup memberikan pengalaman yang pasti akan dikenang di suatu hari.


Pertamanya, macam mana boleh tahu tentang kewujudan River & Glamp ni? 


Ok, ceritanya aku ada follow (fb: Puan Cahaya Norhaini Sulaiman) di laman facebook. Follow yang tak ada kaitan dengan glamping pun, sekadar suka pada perkongsiannya di fb yang berbentuk ilmiah. 


Sampai satu masa (lupa dah bila) Puan Cahaya share tentang River & Glamp ni. Kalau tak silap info, beliau adalah owner tempat ni. So, dari situ aku mula follow fb dan ig ‘River & Glamp’ ni. Best pulak tengok apa yang di’share’kan di fb dan ig. Ada tent, ada sungai, suasana hutan, dll. Rasa dah lama teringin nak pergi tempat macam tu. Maklumlah, lama terkurung sejak pkp 1.0 lagi. Rasa nak cari tempat yang mampu memberikan rasa tenang dan damai. 


Nak dijadikan cerita, pada bulan Februari yang lepas mereka menawarkan diskaun harga untuk dapatkan baucer penginapan (pada bila-bila masa sepanjang tahun 2021), aku tanpa berfikir panjang terus dapatkan voucher tersebut. Harganya ialah Rm 139 tak termasuk makan dan minum, untuk weekdays sahaja (harga asal ketika itu ialah Rm 159). Alhamdulillah dah ada ‘tiket’ masuk. Tinggal nak cari tarikh yang sesuai saja.


Tapi nak dijadikan cerita lagi, pkp berlanjutan dan bersambung tanpa kesudahan sehinggalah bulan Oktober. Dah boleh merentas negeri dan daerah, bermakna juga punya harapan untuk ‘bercuti’ ke mana saja. 


Nak jadi cerita lagi, cek punya cek, tak ada kekosongan di River & Glamp untuk kami book penginapan (tent). Ditambah lagi dengan suami yang perlu jalani episod kuarantin demi kuarantin untuk tujuan bertugas, maka kami give up sajalah, tak ada rezeki barangkali. Voucher pula sah sehingga akhir Disember ini saja (tak pasti kalau tempoh sah masih dilanjutkan ke tahun depan). 


Akhirnya atas takdir dan rezeki dari Allah (sebab hati ni teringin sangat agaknya), dekat-dekat tarikh suami nak balik dari laut, ada 3 kekosongan yang diiklankan pada tarikh 17 November 2021. Apa lagi, cepat-cepatlah aku ‘lock’ tarikh tersebut. Suami pun dah setuju. Maka confirmlah tarikh tersebut untuk kami. Berharap tak ada aral dan halangan untuk sampai ke sana nanti. Oh ya, kami membuat bayaran tambahan untuk 3 hidangan makan (breakfast, lunch, dinner) sebanyak Rm 240 ( Rm40x6). Dan 1 extra bed (Rm 50). 


Pada tarikh tersebut, bergeraklah kami ke Ulu Yam, Gombak. Kami bertolak jam 12, dan tiba di sana jam 1 (Mussaab habis sekolah agama, Miqdad tak ke sekolah sebab ingatkan nak bertolak lebih awal, Anas pula giliran pdpr minggu ni).


Waktu untuk check in ialah pukul 3 petang. Sebaik sampai, sudah masuk waktu zohor. Kami solat dulu di surau yang terdapat di situ. 


Lebih kurang jam 2.30 petang, kami dibenarkan untuk check in. Bayar deposit, ambil kunci dan terus ke khemah kami. Ada 5 buah khemah semuanya, juga ada pilihan chalet juga untuk pengunjung yang berminat untuk datang ke sini. 


Anak-anak excited dengan percutian yang lain dari biasa ini. Sebaik masuk khemah, semuanya teruja dengan penginapan mereka pada hari tersebut. Kami berehat sekejap di dalam khemah, kemudian turun bermain air di sungai yang sangat cantik dan jernih airnya.


Namun cuaca tak mengizinkan untuk main air lebih lama. Hujan mulai rintik turun, dan kami naik ke khemah. Bila hujan reda, suami melayan anak-anak bermain di halaman khemah yang agak luas juga. Oh ya, untuk setiap khemah kita akan dapat satu kunci toilet. Maknanya kita tak perlu share toilet dengan pengunjung yang lain.


Jam 6 petang, masa untuk dinner. Makanan dihantar ke setiap khemah. Lepas makan hanya berehat, baring dan buat aktiviti sendiri. Anak-anak riang ria bermain sesama mereka. Cuaca agak sejuk, namun rasa aman dan nyaman dengan suasana hutan yang sukar untuk kita dapat di luar sana.


Malam harinya, semua tidur awal kerana keletihan. Malam bertemankan irama hutan, juga alunan air sungai mengalir tanpa henti. Damai. Tidur juga lena.


Usai subuh, kami memulakan hari di sini sebelum tiba masanya untuk pulang. Breakfast dihantar jam 7.30 pagi. Lepas breakfast terus turun mandi di sungai. Main air sepuasnya, walaupun sebenarnya sejukkk sangat air dan masih pagi. Tapi bak kata suami, dah sampai sini rugilah tak mandi sungai puas-puas :D 


Hampir jam 10 pagi, kami meninggalkan sungai. Masa untuk kemaskan apa yang patut, sebab pukul 12 dah nak check out. 


Jam 11 pagi kami menikmati hidangan terakhir di sini (lunch), dan kemudian bergambar untuk kali terakhir sebelum check out. Akhir sekali check out dan meninggalkan River & Glamp dengan 1001 kenangan.


Secara peribadi, aku sangat berpuas hati dapat rasa pengalaman pertama kali glamping dengan family tercinta. 


Di sini suasananya sangat menenangkan, kerana ia sangat dekat dengan alam semulajadi. Tempatnya agak privacy, tak sesak dengan pengunjung (just yang menyewa tent dan homestay saja yang masuk sini). Selain itu, khemah juga agak besar, kemas dan selesa. Untuk kami sekeluarga (6 orang) pun masih sangat selesa. Kalau kurang sikit mungkin pada bab makan (ikut citarasa dan penilaian masing-masinglah). Tapi kita ada option untuk ambil pakej makan sekali atau tak.


Selain itu ada juga disewakan ATV dan basikal untuk yang berminat. Ada lagi aktiviti lain (mungkin boleh refer ke ig/fb mereka untuk maklumat lanjut). Oh ya, semasa kami datang, mereka tengah buat khemah tambahan. Makin banyaklah khemah nanti.


Akhir kata, pengalaman glamping ini adalah antara pengalaman manis buat kami sekeluarga. Alhamdulillah seronok dapat tengok anak-anak happy bermain dalam suasana yang berbeza dari kebiasaan. Seronok dapat bawa mereka merasai pengalaman seperti ini.


Mungkin satu hari nanti, jika ada rezeki kami akan datang lagi ke sini. 


Terima kasih River & Glamp. 



Gambar kenang-kenangan;



Solat Zohor di Surau Laman Nur Bestari



Tent kami (No.2)



Berehat seketika selepas check in



Sembang adik-beradik


Di luar khemah



Pemandangan luar



Nombor Tandas ikut Nombor Khemah



Sungai dari pandangan atas



Mandi sungai round pertama





















Dah siap mandi, main di luar khemah dan menunggu hidangan makan malam



Tempat makan, di belakang khemah





Makan malam



Menunggu senja



Lepak main game seketika



Makan lagi lepas maghrib





Pagi hari ke-2 di sini



Nikmati dinginnya sungai







Santai menanti hidangan breakfast



Breakfast: kueteow goreng




















Enjoy main air sekali lagi sebelum balik



Lunch









Bergambar sebelum balik


-End of the story-