Thursday, 4 November 2021 0 comments By: Naemah

PERMULAAN NOVEMBER INI



Genap 19 hari meninggalkan kampung. Genap 19 hari juga jauh dari abi yang kembali bertugas.


1/11 bermula persekolahan. Anas (kumpulan A) mula bersekolah minggu pertama. Mussaab (kumpulan B) akan bersekolah minggu depan. Tapi sekolah agama (SRIPN) tak ada sessi penggiliran, makanya Mussaab juga dah kembali ke sekolah agama (sessi pagi). Miqdad teruskan sekolah macam biasa. Pagi hari kembali sibuk, kejutkan anak-anak serentak, sediakan breakfast, bantu siapkan anak-anak, dan terus hantar ke sekolah masing-masing (3 buah sekolah). Suri dah tak ada teman lagi di waktu pagi. Hanya bertemankan ummi.


Minggu pertama, hanya sempat masuk sekolah 2 hari. Kemudian cuti bersempena Deepavali pula selama 5 hari. Minggu berikutnya Anas akan pdpr, Mussaab pula sekolah pagi dan petang. 


Walaupun cuti banyak hari, tak dapat juga nak ke mana-mana. Kesian, terkurung lagi anak-anak semua. Abi masih di laut. Sepupu ramai yang balik ke kampung. Frustnya anak-anak tak dapat nak jumpa dan berkumpul. Sabarlah, pasti ada hikmahnya.


Hari pertama cuti, ummi bawa ‘piknik’ di South Creek, tempat biasa kita pergi. Itu sajalah yang ummi mampu. Beli nasi lemak di gerai berdekatan rumah dan terus menuju ke South Creek. Alhamdulillah orang tak ramai lagi masa sampai (jam 8.30 pagi). Terus ambil tempat untuk makan dan bermain. Dah puas main dan round taman, masa untuk kita beransur balik (sejam kemudiannya). Alhamdulillah untuk keceriaan pagi ini. 


Balik rumah, balik kepada aktiviti biasa. Esok dan seterusnya juga mungkin sama. Sehingga kembali bersekolah, dan pdpr. Bosan? Bertahanlah. Sedikit masa saja lagi. Abi juga akan balik, insya Allah. Pastinya akan lebih baik dan lebih sempurna dengan pulangnya abi. Sabarlah dulu. 


Bukan tak biasa. Sampai tahapnya rasa ‘lelah’ tak tertahan. Tapi masih Allah anugerahkan kekuatan untuk kekal bertahan. Biarpun dalam keadaan serba tak kena dan jauh dari sempurna.


Ya Allah moga terus Engkau memberiku rasa kuat dan mampu untuk meneruskan hari-hari bersama anak-anak.


Ya Allah Engkau permudahkan urusan suamiku di dalam usahanya mencari rezeki yang halal. Moga baik-baik saja dia di sana dalam lindunganMu.


Ya Allah satukan kami kembali dalam situasi yang lebih baik dan hubungan yang lebih baik dan bahagia. Ameen





Back to school

Saturday, 30 October 2021 0 comments By: Naemah

OKTOBER 2021 MENUTUP TIRAINYA



Sudah berada di penghujung Oktober. Alhamdulillah, meski hari tak selalu cerah, kita sudah laluinya dengan jaya hingga ke hari ini. 


Abi tamat tempoh kuarantin hari ni (17/10-30/10). Sudah menuju ke laut untuk bertugas. Tidak pasti untuk berapa lama di laut, kita doakan saja agar urusan abi dalam mencari rezeki dipermudahkan Allah dan kita kan bersua kembali. 


Sudah 2 minggu juga saat kembalinya dari kampung. Juga tak pasti, bila akan balik ke kampung lagi. Mungkin cuti sekolah nanti.


Masa pun berlalu pantas. Kita tak lagi di dalam ‘kurungan’ setelah diumumkan kebenaran merentas negeri tempoh hari. Walaupun pandemik masih belum reda sepenuhnya, namun jumlah kes dah banyak kurang berbanding dulu (tapi masih ribuan juga). Tapi memandangkan majoriti dah terima vaksin, insya Allah banyak mudarat dapat dielakkan.


Dan akhirnya sekolah juga bakal dibuka pada 1/11 ini. Bergiliran pembelajaran secara bersemuka (selama seminggu) dan pdpr (seminggu berikutnya). Katanya untuk mengurangkan jumlah pelajar dalam satu masa. Apa sajalah, asalkan semuanya berjalan dengan baik. Lagipun risau juga memandangkan anak-anak sekolah rendah belum menerima vaksin untuk melindungi mereka.


November bakal mendepani rutin baru. Perlu bersedia lebih awal pagi, siapkan sarapan dan hantar anak-anak sekolah seperti sebelum ni. Untuk permulaan ini perlu sendirian uruskan semua. Insya Allah bila abi balik akan lebih mudah. Dan biarpun tanpa abi, tetap akan lancar berjalan semua. Insya Allah.


Oktober bakal menutup tirainya. Berbaki 2 bulan untuk ke tahun baru 2022. Masa berjalan cepat. 2021 hanya habiskan masa di rumah dan sibuk dengan pdpr anak-anak. Allah.. tak sangka sebenarnya sudah jauh berjalan, meski di balik ujian demi ujian.


November ini, semoga ia permulaan untuk melangkah ke dunia yang lebih baik. Bebas pandemik, bebas menjelajah dunia. 


Tiada sia-sia tiap apa yang Allah takdirkan dalam hidup ini. Baik atau buruk pada pandangan kita, sentiasa ia yang terbaik dari Allah buat hamba-hambaNya.


Selamat melangkah ke dunia yang lebih indah, meskipun tetapkan bersulamkan ujian dariNya :)





Pelangi menanti di depan harimu, insya Allah









Friday, 22 October 2021 0 comments By: Naemah

MIQDAD KEMBALI KE SEKOLAH



22/10/2021

Hari pertama Miqdad bersekolah selepas berbulan lamanya (sejak bulan Jun)  tak sekolah dan belajar secara pdpr. Sebenarnya dah minggu ke-3 sekolah Miqdad dibuka untuk pelajar, tapi Miqdad (mungkin) yang terakhir masuk sekolah atas sebab tertentu (salah satunya sebab balik kampung). Pada mulanya ummi nak hantar minggu depan saja, tapi sebab hari ni (Jumaat) ada majlis penyampaian hadiah, ummi hantar juga Miqdad ke sekolah. 


Hari ni bawa semua buku sekolah yang dibawa balik sebelum ni. Alhamdulillah tak susah nak siapkan Miqdad di pagi hari. Bangun awal, mandi, breakfast dan ke sekolah. Dah besar kan. Harapnya akan kurang drama pagi. Tambahan pula lepas ni Anas dan Mussaab juga akan kembali bersekolah. Rutin pagi akan berubah :)


Ummi ambil Miqdad balik hampir jam 12. Miqdad bawa balik ‘hadiah’ yang diterima di majlis tadi. Alhamdulillah Miqdad dapat hadiah untuk 3 kategori pertandingan yang disertai ( pertandingan rumah merdeka, fesyen merdeka dan nyanyian merdeka). Semua dapat tempat ke-3. Alhamdulillah. Kalau dapat saguhati pun dah syukur sangat :)


Balik ke rumah, share hadiah dengan abang dan adik, dan teruskan hari macam biasa. Petang bawa ke malam. Tidur malam awal seperti kebiasaan. Alhamdulillah.


Esok dah cuti. Isnin nanti baru akan kembali ke sekolah. Insya Allah Miqdad akan kembali belajar bersama kawan-kawan di Little Diamond Kindergarten. Pdpr Miqdad dah berakhir. Harapnya tak akan ada lagi pdpr. 


Sementara Anas dan Mussaab pula, akan menempuh minggu terakhir pdpr sebelum kembali ke sekolah pada 1/11/2021. Semoga akan dipermudahkan urusan anak-anak, dan juga urusan ummi menguruskan anak-anak yang bakal bersekolah. 




Hadiah dari teacher;









Wednesday, 20 October 2021 0 comments By: Naemah

MERENTAS NEGERI: MENUJU KAMPUNG HALAMAN


13 Januari 2021- bermula PKP 2.0 di mana kita semua ‘terkurung’ di rumah dan tak boleh lagi merentas negeri. Januari itulah kali terakhir kita sekeluarga berada di kampung. Balik ke rumah, langsung tak balik ke kampung lagi. 


11 Oktober 2021- pada tarikh ini rakyat Malaysia yang telah lengkap vaksin dibenarkan untuk merentas negeri. 


Alhamdulillah kita sekeluarga berpeluang untuk balik ke kampung setelah sekian lamanya tak balik. Syukur abi masih ada di rumah, peluang yang ada tak dipersiakan, walaupun tak dapat balik lama. 


Perjalanan pulang ke kampung pada 11/10 sangat dipermudahkan oleh Allah. Jalan masih lengang, mungkin sebab hari bekerja tak ramai yang dapat balik. Bertolak jam 9.30 pagi lepas kelas pdpr Anas dan Mussaab, dan tiba di kampung (rumah mek), jam 5.30 petang. Alhamdulillah dapat jumpa mek, dan adik beradik ummi semua. 


Di kampung juga, berpeluang ke Campsite Telaga Bijih untuk main air. Berpagian di sini bersama mek, dan bermain air sepuasnya. Petang hari ke rumah pok muda, malam pula ke rumah pok long dan pok ngoh. Rumah cik macam biasa, berkali ulang pergi dan balik. Mussaab pula 2 malam tidur di rumah cik. Ya Allah, seperti sedang bermimpi, ulangi rutin balik kampung kita seperti sebelum ni. 


Pada 13/10 (hari lahir Miqdad), menuju pula ke rumah nenek di Kota Bharu. Rumah nenek masih sunyi belum ada yang balik. Pada esok malamnya barulah meriah bila acik dan pak lang sekeluarga balik. Belum cukup semua adik beradik abi, tapi sudah sangat meriah. Dapatlah main dengan sepupu yang dah lama tak jumpa. Di rumah nenek, banyak main dan banyak makan juga :)


Hari terakhir di kampung (16/10), ke Pantai Sri Aur bersama semua ahli keluarga nenek yang ada. Bermain dan berkelah di pantai, seronok tak terkata. Dah lama tak menikmati suasana seperti ini. Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri benar-benar menikmati kegembiraan bersama sepupu. Main sepuasnya, hinggalah sampai masa untuk pulang ke rumah. 


Bertolak ke rumah pada jam 2.30 petang dan sampai di rumah jam 10 malam. Alhamdulillah. Penat dan mengantuk, tapi seronok dan sangat bermakna. 


Syukur walaupun tak dapat balik lama. Semua tak puas sebab sekejap sangat, tapi apakan daya abi perlu ke Terengganu pada keesokan harinya untuk berkuarantin dan kembali bekerja. Anas dan Mussaab juga perlu kembali kepada pdpr. Bahkan dah banyak kerja sekolah yang sedang menunggu untuk disiapkan.


Ummi tahu semuanya masih terkenangkan kampung. Rindu nak main dengan sepupu lagi. Lagipun tak dapat jumpa semuanya lagi. Insya Allah nanti kita akan balik lagi ya!


Alhamdulillah. Syukur sesungguhnya. Tiada yang lebih membahagiakan selain dapat bertemu kembali dengan ibu dan ibu mertua yang sangat dirindui, serta ahli keluarga yang dah lama tak bertemu. 


Setelah berbulan lamanya menanti dengan kesabaran, melalui ujian ini bersama-sama, akhirnya Allah menganugerahkan nikmat yang manis dan tidak ternilai harganya ini. 


Moga tak akan ada halangan lagi untuk kita kembali kepada yang dirindui. Insya Allah.




Di Lata Bijih bersama Mek















Di Pantai Sri Aur bersama family nenek
























Monday, 18 October 2021 0 comments By: Naemah

SELAMAT HARI LAHIR ILHAM MIQDAD




13/10/2016-13/10/2021

Alhamdulillah genap usia Miqdad 5 tahun


Baru sempat ummi nak menulis bersempena hari lahir Miqdad. Berkebetulan telah diumumkan kebenaran untuk merentas negeri pada 11/10/2021, kita sekeluarga balik ke kampung setelah hampir 10 bulan tak balik jumpa keluarga.


Tahun ni, Miqdad ‘sambut’ birthday kat kampung. Tak sambut sangatlah, tapi tak lupa untuk ucapkan selamat hari lahir buat Miqdad. Pada hari lahir Miqdad kita balik ke Kota Bharu (dari Jeli). Just singgah makan tengahari di kedai makan yang biasa kita singgah, terus balik ke KB. Tak dapat nak raikan dengan something yang lebih special, sebab kita sangat mengejar masa. Balik kampung pun sekejap saja.


Di rumah nenek, abi banyak buat kerja tolong nenek itu dan ini. Tapi ada la abi beli ayam goreng dan burger Edlee, katanya untuk birthday Miqdad. Lepas tu mak ngah bawa donat ala big apple, anggap saja untuk birthday Miqdad. Kek memang tak sempatlah nak beli. Pada hari seterusnya nenek buat jamuan kat rumah, juga anggaplah sebagai meraikan birthday Miqdad ya! Malahan pelbagai juadah makanan yang ada bila ramai yang balik ke rumah nenek. 


Bukan sekadar makan, dapat berjalan dan main di pantai dan air terjun juga. Alhamdulillah. Ummi tahu Miqdad seronok balik kampung jumpa sepupu dan ahli keluarga yang lain. Momen balik kampung kali ini, jadikan ‘hadiah’ untuk hari lahir Miqdad yang tak mampu dibeli di mana-mana pun. Kan?


Kini dah kembali ke rumah. Jalani kehidupan seperti biasa. Abi juga dah kembali berkuarantin. Kita jalani kehidupan sekadarnya.


Alhamdulillah Miqdad dah pun berusia 5 tahun. Dah lama tak ke sekolah, insya Allah next week akan kembali ke sekolah. Oh ya, hari tu teacher Zeeda hantar video ucapan birthday dari kawan-kawan Miqdad. Senyum saja Miqdad melihat, dan hairan macam mana kawan-kawan boleh tahu birthday Miqdad kan?


Miqdad dah besar, dah bersunat pun. Moga akan jadi lebih matang, lebih mengerti akan hakikat hidup ini. Alhamdulillah Miqdad ada kawan kat rumah. Along, angah, dan adik. Meskipun hidup di zaman pandemik, Miqdad masih dapat jalani hidup dengan baik. Insya Allah lepas ni Miqdad akan dapat keluar lagi meneroka dunia yang luas bersama ummi, abi, along, angah dan adik. 


Selamat hari lahir Miqdad. Ummi sayang Miqdad. Sayang selamanya. Doa ummi kan sentiasa mengiringi langkah perjalanan Miqdad.


Moga Miqdad membesar sihat dan cerdas, dikurniakan segala kebaikan dan dijauhi dari segala keburukan. Moga mudah perjalanan hidupmu anakku. Moga kan cemerlang dan berbahagia sentiasa di dunia dan akhirat. 


آمين



Momen di kampung












Sunday, 19 September 2021 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 190921

Hari terakhir cuti sekolah (cuti seminggu). Tak ke mana, di rumah saja sepanjang seminggu ni. 


Alhamdulillah bangun pagi semua, tunaikan solat subuh dan terus turun cari gadjet masing-masing untuk main game. 


Breakfast roti canai sama-sama. Miqdad saja tak makan, tak suka roti canai. Sambung main game sorang. Dah siap makan, sambung main game lagi semuanya. Hari terakhir dapat enjoy game sebelum kembali ke pdpr esok.


Sampai jam 9.30 pagi, stop main dan mandi kolam. Miqdad saja tak mandi, makan nasi lemak yang ummi panaskan (nasi lemak semalam). Suri juga ikut abang-abang mandi kolam. Kolam yang abi baru beli, lepas yang dulu dah patah palang besinya. Abi kata upah duduk berkurung lama sangat. Walaupun dah boleh bercuti (dalam negeri), tapi sebab ummi belum lengkap vaksin, kita tak dapat nak ke mana-mana juga.


Lepas makan Miqdad join mandi bila abi balik(dari Tesco) bawa sekali dengan pelampung baru (dari kedai Rm 2). Anas dan Mussaab selesai mandi dulu, tinggal Miqdad dan Suri yang masih belum puas main air. 


Jam 10.30 semua dah masuk dalam rumah. Buat aktiviti sendiri, bila abi tutup wifi, tak dapatlah main game dah. Anas buat kerja ‘buku skrap’ tugasan sekolah. Jam 11, ummi masak untuk makan tengahari, tinggalkan semua dengan hal masing-masing. Suri mencari abi yang sedang buat kerja di luar. Kemudian abi bawa Suri masuk dan bukakan video untuk Suri. Anas, Mussaab dan Miqdad sambung main game lagi. 


Jam 12.30 makan tengahari bersama, kecuali Miqdad yang katanya masih kenyang makan nasi lemak tadi. Lepas makan semua masuk kolam dan mandi lagi, termasuk abi. Mandi sepuasnya walaupun dalam hujan renyai. Lepas mandi naik solat zohor bersama. 


Lepas solat macam biasa ummi tidurkan Suri. Anas, Mussaab dan Miqdad sambung main game dan tengok video. Hampir masuk waktu asar, semua berhenti bermain dan ready untuk solat. Masa untuk game pun dah tamat. Esok akan kembali ke pdpr, no more game. Solat asar bersama, dan lepak sekejap di beranda ambil angin. Cuaca sangat sejuk, hujan mula turun. 


Jam 5 turun ke bawah. Semua dah kelaparan. Abi masak nasi goreng. Habis licin semuanya makan. Lepas makan abi bawa pusing-pusing naik kereta dan beli yong tau fu. Anas tak ikut, sambung buat buku skrap dengan ummi. 


Jam 6 mandi kolam lagi. Masih belum puas main air. Suri juga main di luar bersama abi. 


Maghrib naik semula ke atas dan ready untuk solat. Macam biasa, solat maghrib, baca Quran, buat aktiviti sendiri, dan solat isyak. Lepas isyak bersedia untuk tidur. Semuanya dah mengantuk dan penat sangat. Tak ambil masa lama untuk lelap. Suri juga tidur awal. Alhamdulillah.


Cuti dah berakhir. Esok Anas, Mussaab dan Miqdad akan kembali menghadap pdpr. Ummi tahu, ia kurang menyeronokkan untuk semua. Sudah bosan, sepanjang tahun berpdpr. Namun ummi harapkan semuanya dapat bertahan. Sudah hampir ke penghujung tahun. Kemudian akan bercuti panjang. Semoga keadaan akan menjadi lebih baik, dan tahun depan insya Allah akan kembali ke sekolah. Untuk tahun ini, sabar dan bertahan dululah ya!


Selamat malam semua. Moga kan bermimpi indah, bangun pagi dengan lebih ceria dan bersemangat, insya Allah.


Ummi sayang semua. Ummi redha pada semua.






Sunday, 12 September 2021 0 comments By: Naemah

SEPTEMBER: MASIH SAMA


Sudah pun berada di bulan September 2021. Ya Allah, masa berlalu pantas. Nak dekat hujung tahun dah. Sejak balik dari kampung Januari yang lepas, sampai sekarang tak balik kampung lagi. Dah berbulan lamanya. Rindu sangat. Alhamdulillah keluarga di kampung dalam keadaan baik semua. Cuma baru-baru Ini mendapat berita kematian mak saudara suami asbab covid-19. Agak terkeiut juga, moga Allah merahmatinya dan masukkan Makcik Nab dalam kalangan hambaNya yang beriman.

September ini masih belum bersua dengan suami (yang pergi berkuarantin dan bekerja di Terengganu sejak 25/8). Insya Allah esok atau lusa akan bertemu. Moga dipermudahkan urusan suamiku, dan moga disatukan kembali kami sekeluarga.

Perkembangan semasa covid-19 pula, nampaknya kes dah berkurang (sikit la), masih lagi antara 19k-20k sehari, cuma lega tengok kes di Selangor dah turun banyak. Mungkin kerana sudah ramai yang dah lengkap vaksin. Tapi kes kematian masih menyedihkan, masih ratusan kematian sehari. Nak kata lega sangat, tak juga. Masih perlu sangat berjaga-jaga.

Kini dah boleh merentas daerah di Selangor, KL dan Putrajaya. Dah boleh bercuti di sekitar Selangor, untuk yang dah lengkap vaksin. Tapi nampaknya aku masih tak boleh melangkah jauh. Masih perlu menunggu hari untuk dos kedua vaksin. 

Cuti pertengahan penggal dah bermula (11/9-19/9). Dua hari dah berlalu, seperti biasa anak-anak hanya habiskan masa di rumah dengan aktiviti sendiri. Tak dapat nak kemana-mana, mungkin tunggu abi balik, dapat ke taman permainan pun dah cukup untuk menikmati 'kebebasan' setelah sekian lama terkurung.

Ya Allah, hambaMu ini masih setia bertahan dengan ujian ini. Sekian lama tak bertemu keluarga di kampung, sendirian menguruskan anak-anak bila suami perlu berkuarantin dan bekerja, sibuk pula dengan pdpr yang belum berkesudahan, di samping urusan rumahtangga yang lain, aku redha, aku pasrah, aku tetap kan bersangka baik padaMU ya Allah. Kerana di balik ujian yang kurasa ini, aku tahu lebih ramai yang lebih berat diuji. 

Moga Allah kurniakan ku kesabaran dan ketahanan agar ku tak rebah. Pintaku agar semua yang kurindu, dalam keadaan baik dan sihat, dipermudahkan tiap urusan. Mungkin sedikit kesabaran lagi diperlukan untuk kita kembali bersua. Harapanku semuanya baik-baik saja.

Juga buat semua yang sedang diuji. Bertahan dan bersabarlah. Percayalah sabar itu manis. Percayalah kita diuji untuk dikurnia yang lebih baik dan indah. 
Insya Allah.


Cuti pdpr :)