Sunday, 24 January 2021 0 comments By: Naemah

ILHAM MIQDAD: MINGGU PERTAMA SEKOLAH




Januari- Miqdad berusia 4 tahun 3 bulan. Tahun lepas dah daftar sekolah Miqdad (Little Diamond Kindergarten) tapi oleh sebab Miqdad tak nak sekolah (lepas 2 hari kehadiran), persekolahan Miqdad ditangguhkan ke tahun ini (2021)


Tadika dah mula dibuka pada awal Januari, tapi oleh kerana kita semua berada di kampung, Miqdad tak dapat masuk sekolah lagi. Balik dari kampung (17/1/2021) barulah Miqdad boleh bersekolah macam kawan-kawan yang lain.


Dan ini adalah catatan pengalaman minggu pertama persekolahan Miqdad. Memang pengalaman yang totally different dengan abang-abang :D


Isnin (18/1/2021)

Hari ni abi bercadang nak hantar Miqdad ke sekolah. Tapi pagi ni agak kelam kabut sebab malam tadi baru sampai dari kampung, tak sempat nak sediakan kelengkapan Miqdad ke sekolah. Ok takpelah, hari ni rehat di rumah dulu.


Selasa (19/1/2021)

Hari abi travel ke Labuan. Pagi ni sempat abi hantar Miqdad ke sekolah. Miqdad di rumah segalanya ok, sampai di sekolah, tak nak masuk ke sekolah. Dipujuk berkali, tak nak masuk juga. Sampai menangis-nangis dan terus berkeras tak mahu sekolah. Ummi terpaksa berjalan ke sekolah nak pujuk Miqdad, tapi tetap tak berjaya. Last-last, ummi dan abi akur, balik saja ke rumah dengan Miqdad. Lagipun dah pukul 8 lebih, teacher tengah sibuk mengajar, tak sempat nak menjenguk dan melayan drama Miqdad.


Rabu (20/1/2021)

Hari ni abi dah takde kat rumah. Ummi hantar lebih awal, kat rumah dah pujuk macam-macam dah, agak lambat juga nak bersiap. Nak tak nak je. Tapi bila cakap Anas nak teman barulah laju. Minta dengan teacher, untuk Anas teman hari ni dan teacher izinkan. Tapi ummi terpaksa ambil Anas jam 9.30 sebab Anas ada kelas online. Anas balik tanpa disedari Miqdad. Kat rumah, Anas pula yang tak tenteram teringatkan Miqdad takut menangis kat sekolah :D ummi pasrah, insya Allah pandailah teacher handle Miqdad tu :) balik sekolah, teacher cakap Miqdad ok je, tak menangis walaupun pada mulanya tercari-cari juga abangnya. Alhamdulillah untuk hari ini :)


Khamis (21/1/2021)

Hari ni Miqdad menuntut untuk Anas teman lagi. Sama seperti semalam, ummi tinggalkan Anas untuk temankan Miqdad, dan ummi datang ambil Anas jam 9.30 pagi. Waktu ambil Miqdad, teacher cakap Miqdad ok saja. Alhamdulillah. Teacher cadangkan esok tak perlu lagi Anas teman, just hantar sampai ke kelas dan balik terus bersama ummi.


Jumaat (22/1/2021)

Seperti yang teacher cadangkan, Anas hantar Miqdad ke kelas (level atas) dan tinggalkan Miqdad dengan teacher. Berat hati Anas nak balik, sebab katanya Miqdad menangis tak bagi Anas balik. Tapi perlu juga ajar Miqdad bersendiri dengan teacher dan kawan-kawan. Ummi tawakkal, insya Allah pandailah teacher pujuk Miqdad. Balik sekolah, Miqdad dah senyum lebar tengok ummi. Kata teacher, Miqdad menangis sekejap saja, lepas teacher pujuk dah ok. Alhamdulillah. Dan kata Miqdad, lepas ni Anas dah tak perlu teman lagi, Miqdad nak pergi sekolah sorang-sorang. Really?? Seronoknya ummi dengar :D


Tapi minggu pertama dah pun berakhir. Baru je nak tengok Miqdad seronok pergi sekolah. Kena tunggu next week pula.


Update: Isnin (25/1/2021)

Alhamdulillah hari ni Miqdad bagus sangat. Bangun pagi, mandi, breakfast, siap berpakaian sekolah dan ke sekolah dihantar ummi dan semua. Atas kereta video call abi sekejap, dapatkan motivasi dari abi. Sampai sekolah, Anas hantar sampai atas dan terus balik. Alhamdulillah Miqdad tak menangis dah hari ni. Good boy sangat :D


Alhamdulillah untuk minggu pertama, minggu permulaan ini. Ummi harapkan akan lebih baik lepas ni. Moga teacher dapat membantu untuk buat Miqdad rasa seronok untuk ke sekolah setiap hari. Di samping ummi dan abi berikan semangat setiap hari untuk Miqdad. 


Insya Allah akan baik-baik saja.

Miqdad bagus-bagus ya. Ummi percaya Miqdad akan seronok untuk ke sekolah. Seronok macam Anas dan Mussaab dulu walaupun situasi sekarang agak berbeza. 


Moga Allah jaga dan lindungi Miqdad sentiasa. Moga terlindung dari segala wabak penyakit. Moga lenyap covid-19 di suatu hari dan tiada lagi kembimbangan untuk hantar anak-anak sekolah.


Ya, Anas dan Mussaab pun rindu nak kembali bersekolah.


Moga akan ada sinarnya untuk anak-anak semua. 


آمين

Thursday, 21 January 2021 0 comments By: Naemah

SELAMAT HARI LAHIR ABDULLAH MUSSAAB


19 Januari 2021


Genap usia Mussaab 7 tahun. Alhamdulillah.


Ummi baru berkesempatan untuk menulis di blog bersempena hari lahir Mussaab. Situasi sekarang masih agak kelam kabut. 2 hari sebelum birthday Mussaab kita satu family travel balik dari kampung (lepas sebulan lebih berada di kampung). Pada hari lahir Mussaab, melayan drama Miqdad yang menangis tak nak ke sekolah. Dan pada hari yang sama, abi juga perlu segera bersiap untuk travel ke Labuan atas tuntutan kerja. 


Tapi, tetap tak melupakan hari istimewa Mussaab walaupun tak terlalu meraikan (maaf ye Mussaab). Pada mulanya Mussaab request nak makan nasi lemak seperti tahun lepas. Lepas tu tukar menu roti jala sebab abi ada kat rumah. Yelah, Mussaab penggemar roti jala abi. Abi tunaikan permintaan Mussaab, walaupun agak rushing pagi tu nak settle kan Miqdad dan nak travel, siap juga roti jala untuk Mussaab, dan kita makan bersama di samping hidangan sate dari kampung.


Seperti tahun-tahun lepas, tema birthday Mussaab ‘makan kat luar’. Nasib baiklah kat luar rumah je kan. Di musim PKP ni takde masalah la nak makan kat luar pun :) Excited Mussaab bawa keluar makanan dan hidangkan di atas meja di halaman rumah. Paling best, tahun ni lengkap ada abi bersama. Rasa-rasanya 3 tahun berturut pada tarikh birthday Mussaab yang lepas, abi tak dapat bersama. Untuk hari ini, Alhamdulillah. Walaupun pada hakikatnya sekejap saja dapat spend masa dengan abi pada musim pandemik ni.


Selamat hari lahir Mussaab. Mussaab tak request apa-apa pun, sekadar hidangan istimewa yang Mussaab suka dan seronok dapat nikmati sama-sama. Terima kasih Mussaab, kerana pada ummi, Mussaab seorang anak yang sangat baik dan mudah diuruskan. Mussaab yang banyak mengalah dengan adik-beradik, yang cepat kesian, yang mudah untuk diminta tolong. Kekalkan sikap baik Mussaab yang itu ya!


Tahun ni Mussaab dah berusia 7 tahun, dah masuk tahun 1 persekolahan. Tapi sayangnya, belum dapat ke sekolah kerana masih berada dalam tempoh PKP. Mussaab hanya mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (Pdpr) sejak 20/1/21. Semoga ianya tetap memberi manfaat dan ilmu untuk Mussaab. Kita sama-sama doakan ya, semoga PKP akan berakhir, pendemik ini juga akan berakhir, dan kita dapat menjalani kehidupan yang lebih baik. Insya Allah.


Doa ummi akan sentiasa mengiringi langkah dan perjalanan Mussaab. Ummi sayang Mussaab. Maafkan atas tiap kesalahan dan kekurangan ummi dalam mendidik. Ummi sayang Mussaab sama seperti sayang ummi pada Anas, Miqdad dan Suri. Sayang dunia dan akhirat.


Moga Mussaab diberi kekuatan untuk menjalani kehidupan yang penuh mencabar ini. Moga hati sentiasa ingat Allah, syukur padaNya sentiasa. Jangan lepas pergantungan padaNya tiap saat. Moga kejayaan dan kebahagiaan milik Mussaab selamanya. آمين


Ummi sayang Mussaab 









Sunday, 17 January 2021 0 comments By: Naemah

SEPINTAS LALU: AJAR ANAK MEMBACA





Catatan dari instagram


Anas- ummi mulakan dgn English-kaedah phonics-dan dia memang minat nak belajar. 3++ tahun dah merangkak membaca. Bila dh lancar membaca English, dengan sendirinya Anas boleh baca dalam BM, just betulkan sikit-sikit je sebab ada bunyi fonik English dan BM yang beza. Lama-lama dapatlah.. done Anas! Alhamdulillah 


Mussaab- walaupun dia masuk sekolah paling awal (4 tahun) tapi ummi tak tekankan sangat bab membaca sebab gaya dia yang kurang berminat. Maksudnya, tak boleh nak ajar dia macam ajar Anas. Byk main-main, byk ngelat🥱- tapi slow-slow ajar juga. Mulakan dengan English juga. Macam-macam teknik sampai akhirnya dapat. Alhamdulillah 6 tahun dah boleh baca English dan BM (BM dapat kat sekolah sebab ummi x tekankan BM pun selagi tak dapat English)- done Mussaab! Alhamdulillah 


Miqdad- sebelum ni dah try ajar English slow-slow guna flash cards (sight words) dan memang dia cepat tangkap (tak ajar kaedah fonik). Tapi sebab tak konsisten mengajar, lama-lama stop terus. Bulan 8,tengok dia pun macam dah ready nak belajar ummi mulakan dgn BM dulu, English kemudian, Insya Allah. Sebulan berlalu, walaupun masih belum lancar, Alhamdulillah dah boleh dah slow-slow. Dia pun tak susah nak diajak ‘membaca’ setiap hari. 2-3 Pages je sehari. Yg penting konsisten. Selain mak rajin nak mengajar, anak pun kena ready nak belajar. Insya Allah mudahlah jadinya.


*update (Jan 2021) masih teruskan membaca buku ‘Siri Buku Pantas Membaca’ sikit lagi nak khatam. Bacaan belum sempurna, tapi boleh la terus melangkah. Sejak pkpb (abang tak sekolah) ummi busy dengan homework sekolah Anas dan Mussaab. Dah tak konsisten ajak Miqdad membaca. Cuba juga walaupun tak setiap hari. Insya Allah akan teruskan lagi hingga Miqdad dapat membaca dengan lancar. 


Kadang bukan smooth je semua. Ada banyak ranjau dan likunya juga. Allah sajalah yang tahu. Ini baru part membaca.


Cuma ingatkan diri sentiasa. Jangan paksa. Jangan tekan. Jika belum masanya, sabarlah sehingga tiba masanya. Anak kita tak sama dengan anak orang. Bahkan sesama adik beradik pun, manakan sama. Ada yang cepat, ada yang lambat. Tp masing-masing akan bergemerlapan dengan cahaya tersendiri.

.

.


Menulis sekadar untuk ingatkan diri

Menulis untuk motivasi sendiri


Tak pernah sempurna 

Tapi takkam henti mencuba

Takkan jemu berdoa

Bukan kita mahu lebih dari sesiapa 

Cukup jika hari ini boleh jadi lebih baik dari semalam, alangkah beruntungnya.






PKP 2.0: MASIH DI KAMPUNG



Catatan (15/1/2021)


Anas, Mussaab dan Miqdad tidur di rumah cik malam ni. Tinggallah Suri seorang. Berseorangan bermain, jam 11 malam barulah lena. Suasana sunyi dan sepi tanpa suara semuanya.


Sudah berkuatkuasa arahan PKP (Selangor, Johor, Sabah, Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Labuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya), PKPB (Kelantan, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah), dan PKPP (Sarawak dan Perlis) bermula 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021.


Namun ekoran kes yang semakin mencanak naik di negeri Kelantan, hari ini diumumkan pula arahan PKP di seluruh negeri Kelantan bermula esok 16 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021. 


Makin complicated jadinya. Hari tu dah rasa lega sebab kat sini PKPB, masih boleh merentas daerah. Kebetulan suami kat laut area sini, nantinya akan turun di airport Kota Bharu, dan akan tiada masalah untuk sampai kepada kami di sini (Jeli). Tapi bila dah diumumkan PKP, alamat sukarlah untuk merentas daerah melainkan perlu mendapatkan permit dari polis. Alahai. Ya Allah.. ini benar-benar dugaan. Dah la sudah sering terpisah, diuji pula dengan situasi tak terduga. Pada Allah jua ku mohon petunjuk dan pertolongan. Moga Allah permudahkan sebuah pertemuan.


Hari ni genap sebulan berada di kampung. Lama sangat dah. Memang rindu dan perlu untuk balik ke rumah. Ada urusan (hal persekolahan anak-anak) yang perlu diselesaikan di sana. Sessi pembelajaran (di rumah) pun dah nak bermula. Nak tak nak, perlu juga balik untuk memudahkan akses internet untuk tujuan belajar anak-anak nanti. Di sini, ya Allah. Line internet yang sangat slow pasti akan menyukarkan (belajar dari pengalaman minggu terakhir pembelajaran yang lepas). Di tambah dengan PKP, ke mana nak keluar cari line internet?


Apapun, setiap kesulitan pasti ada jalan keluarnya. Memang sekarang rasa agak serabut dan stress, dan banyak fikir. Sedih pun ada. Seolah rasa macam berada di dalam ‘perangkap’. Terkurung dan tak mampu lari ke mana. Namun pada Allah jua tempat kembalikan hati. Moga keluh kesah ini digantikan dengan ketenangan. Moga ada jalan untuk ‘keluar’. Moga hati redha dan pasrah menerima tiap ketentuanNya. Moga-moga mudahlah semua. Insya Allah.

Thursday, 14 January 2021 0 comments By: Naemah

SEBUAH KERINDUAN




Catatan (11/1/2021)


Hari ni keadaanku agak kurang sihat. Dari semalam rasa tak sedap badan, memulas perut, mual dan loya, muntah dan cirit-birit. Entah apa sebabnya. Risau juga. Aku sorang yang mengalaminya. Alhamdulillah anak-anak semua ok, mek juga ok. Tak tahu salah makan apa. Harapnya akan beransur baik.


Dalam keadaan seperti sekarang ni memang aku tak berdaya sangat nak uruskan anak-anak. Sekadarnya saja. Alhamdulillah ada kakak yang tolong jagakan anak-anak. Anak-anak pun suka sangat ke rumak cik mereka. Tak cukuo siang hari, malam pun tidur kat rumah cik, kecuali Suri. Pening juga cik nak melayan semua agaknya.


Hari ni hari ke-4 berjauhan dengan suami. Hari tu sebulan berpisah, lepas tu dia balik seminggu, berpisah lagi untuk kesekian kali. Beginilah takdir. Tak dapat nak ditolak, hanya sabar dan redha, moga bertahan dan damailah hati dengan ketentuan ini.


Rindu. Sudah tentu. Rindu pada dia yang jauh. Kebelakangan ini (khususnya selepas covid-19 melanda), perpisahan menjadi semakin kerap dan lama. Pendek kata, masa menunggu lebih lama dari masa bersama. Sekarang ini, di samping kuarantin, ditambah lagi dengan gelora di laut, kerjanya juga jadi tertangguh. Makanya, tunggu dan tunggu lagi. Moga Allah anugerahkan kekuatan dan ketabahan seperti selalunya juga. Buat aku dan anak-anak, juga buat dia. Masa bersama terlalu mahal buat kita. Begini Allah menguji kita.


Dah hampir sebulan berada di kampung. Sebenarnya rindu nak balik rumah. Walaupun kat sana tak ada siapa-siapa, tapi berada di rumah sendiri rasanya lebih ‘bebas’ dan selesa untuk buat apa saja. Rindu pula pada rutin di sana yang pada hakikatnya memenatkan-bila seorang diri uruskan anak-anak. Tapi dah lama tinggal, rindu pula :D


Buat masa sekarang, nikmati saja kehidupan di sini. Alhamdulillah, ada family yang sentiasa dekat dan banyak membantu. Aku pula, takdelah 24 jam kena pantau anak-anak sebab mereka lebih bebas ke sana sini di kampung ni. Kalau kat rumah, tv dan game saja jadi teman setiap hari. 


Sedang menunggu pengumuman rasmi dari PM. Tak tahulah apa yang bakal diumumkan, tunggu dan lihat saja. Mengharapkan yang baik-baik saja. Insya Allah :)

SYUKUR YANG MENGUBAT RESAH




Kalau kita pilih untuk sentiasa bersyukur pastinya kita akan bebas dari segala bentuk stress dan tekanan hidup kan? Dengan kata lain, hidup sentiasa rasa tenang dan senang je. 


Tapi itulah. Selagi bernama manusia, ada saja yang tidak kena. Dikurniakan pasangan, tapi stress dan selalu bergaduh sebab banyak fokus apa yang tak kena pada pasangan berbanding syukur dengan apa yang positif pada pasangan.


Dikurniakan anak-anak, tapi stress sebab anak banyak buat hal, banyak karenah, bikin pening hari-hari. Stress sebab kurang bersyukur, betapa besar nikmat dikurniakan anak-anak yang selama ini sangat kita dambakan untuk hadir dalam hidup kita. Diuji dengan karenah mereka yang bermacam, kita cepat naik angin dan naik tangan, rasa mereka ini sangat menyusahkan.


Ada kediaman selesa untuk didiami, stress bila terpaksa berkurung dan tak boleh ke mana-mana (musim PKP ini especially). Tak bersyukur yang kita punya ‘tempat’ untuk makan minum dan tidur yang selesa berbanding yang tiada. Terlalu ingin untuk bebas berjalan makan angin, lihat dunia, jalan-jalan cari makan, dan buat apa saja di luar sana. Di rumah sangat rimas dan lemas. Ya, kita perlukan kebebasan, tapi jika kita pilih untuk bersyukur bukankah akan lebih tenang.


Ya, hakikatnya untuk mendapatkan tenang dan bahagia setiap masa itu bukan mudah. Setiap saat berperang dengan rasa sendiri. Kita sentiasa teruji dengan pelbagai situasi hidup. Tak semuanya mudah dilalui. Adakala kita akan marah, akan sedih, akan geram, akan sakit hati, dan bermacam rasa. Andai tak terkawal rasa itu, dari situlah tercetusnya stress, tekanan melampau, murung, dan sebagainya. Segalanya melibatkan rasa. 


Pada setiap rasa, alangkah baik jika kita dapat berhenti dan merenung sejenak, untuk hadirkan syukur pada kehidupan ini, lalu menghapuskan segala rasa yang sedang mencengkam hati. 


Ku tahu tak mudah, kerana aku pun juga sama. Kalimah dan rasa syukur itu tak mudah untuk dilafaz dan dirasa. Kerana pada kebanyakan masa kita pilih untuk mengeluh dan meratapi nasib.


Moga dapat melatih hati ini untuk sentiasa bersyukur, melihat kehidupan ini sebagai satu anugerah yang tak ternilai harganya. Biar dihadapkan dengan berbagai situasi yang menghadirkan bermacam rasa, moga syukurlah yang akan mengubat segalanya. Moga ku tenang dan bahagia dengan menjadi hamba yang banyak bersyukur.

SRAI PEKAN BERANANG: LANTIKAN SEBAGAI PENGAWAS SEKOLAH


Catatan (9/1/2021)


Pada 30/12/2020, menerima whatsapp daripada ustazah Nadiah (guru SRAIPB) dengan masej perlantikan Anas sebagai pengawas sekolah bermula sessi persekolahan 2021. 


Anas menyatakan persetujuan, dan guru memberikan surat perlantikan (melalui whatsapp juga) dengan senarai keperluan seragam yang perlu dipakai ke sekolah nanti.


Alhamdulillah. Tak lama lagi (12/1/2021) genap usia Anas 9 tahun. Dah masuk darjah 3, dan tak sangka Anas telah dilantik sebagai pengawas sekolah. Ummi tak pasti apa kriteria khusus yang dilihat oleh pihak sekolah, namun ummi bersyukur atas perlantikan ini. Sekurang-kurangnya lantikan ini juga satu langkah untuk mendidik Anas jadi seorang yang lebih berdisiplin dan berjiwa pemimpin.


Kini masih di kampung. Kelengkapan Anas belum disediakan lagi (sebahagiannya abi dah order online). Tunggu abi balik dari laut, barulah akan balik ke Semenyih. Entahlah, dengar pula khabar angin akan berlaku perintah berkurung lagi. Jika benar begitu, sessi persekolahan juga mungkin akan ditangguhkan lagi. Sungguh, ini ujian. Tapi memandangkan kes harian covid-19 yang semakin meningkat-especially Selangor, ada baiknya juga anak-anak tak perlu bersekolah lagi, sehingga kes kembali menurun dan diyakini selamat untuk anak-anak kembali ke sekolah.


Risau sudah tentu. Serba tak kena rasanya. Kes harian yang membimbangkan, juga anak-anak yang tak dapat lagi menikmati masa belajar di sekolah seperti sebelum ini. Moga ada kesudahan yang membahagiakan nanti. Insya Allah.


Anas, ummi nak ucapkan tahniah atas perlantikan sebagai pengawas sekolah. Bukan bermakna Anas lebih baik dari sesiapa ya, tapi pasti ada ‘nilai’ pada diri Anas yang dipandang oleh guru sekolah hingga Anas terpilih. Harapan ummi, nilai itu akan terus dipelihara dan digilap. Moga Anas akan jadi yang lebih baik, lebih  cemerlang akademik dan sahsiah diri, dan mampu jadi contoh terbaik pada pelajar-pelajar lain dan adik-adik di rumah. 


Anakku, ‘tampil’lah kamu sebagai model yang sebenarnya layak untuk dicontohkan!


Doa ummi sentiasa mengiringi tiap langkah perjalananmu. Insya Allah 


Update: sekolah masih belum dibuka untuk sessi persekolahan 2021 (PKP 2.0 bermula pada 13/1/2021) Sambung belajar online di rumah bermula 20/1/2021.