Tuesday, 27 October 2020 0 comments By: Naemah

TRAGEDI YANG DEKAT DI HATI




27-10-2020


Genap 13 hari suamiku di Miri, Sarawak. Sudah hampir seminggu di laut selepas berkuarantin di hotel. Katanya cuaca tidak baik di sana, susah nak buat kerja. Kerja juga tertangguh, hari ke hari. 


Alhamdulillah semalam (26-10-2020) dah selesai kerja suamiku. Kini tunggu masa nak balik ke darat, seterusnya balik ke rumah jumpa anak isteri yang setia menunggu. 


Namun apakan daya, kerana cuaca yang tidak baik itu juga, sukar untuk dia kembali ke darat. Angin yang kuat, dan laut yang bergelora, menyukarkan pergerakan di laut mahupun udara. Nak tak nak, terpaksalah tunggu sehingga cuaca mengizinkan. 


Pagi ini menerima berita yang agak mendebarkan dari suami. Katanya ada kemalangan di laut, di pelantar yang berdekatan, di mana lebih 100 orang terpaksa terjun ke laut  (dalam WhatsApp suami tak cerita detail sangat). Terus aku rasa terkejut, sebak, risau, dan segala rasa. Ingatkan nasib mereka yang terlibat dalam kemalangan tersebut (ramai tu), dan ingatkan suami sendiri. Allah.. Benar ini dugaanmu. Teringat aku pada family mereka, sukar untuk menggambarkan rasa. 


Kemudian barulah dapat baca detail kat news yang melaporkan tentang kemalangan ni. Dua maut, dan yang lainnya selamat. Alhamdulillah. Tumpang bersimpati pada keluarga yang menerima berita kematian ini, moga Allah kurniakan kesabaran yang tinggi kepada mereka dalam menghadapi dugaan ini. 


Kisah tragedi ini terasa sangat dekat dengan aku. Kerana suamiku juga seorang 'pelaut', tambahan pula dia kini sedang 'terperangkap' di laut, dan kejadian itu pula hampir dengan dia. 


Seperti yang pernah suamiku cakap, kerja di laut sangat berisiko. Mungkin orang tengok macam best, gaji besar, tapi katanya risiko juga besar. Suamiku jarang sekali nak cerita tentang apa yang perlu dia hadapi di laut. Adalah sesekali, dia cerita pasal kisah cemas di laut, tapi itupun bila kisah tu dah lama berlalu. Yang banyak lagi yang aku tak tahu, tinggallah ia sebagai kisah dia sendiri. Hadapi semua demi tanggungjawab, demi sesuap rezeki. 


Kini berada di musim gelora. Bila suamiku katakan cuaca tak baik dan tak boleh buat kerja, gambarannya adalah laut yang sedang bergelora hebat. Ombak besar yang entah berapa meter tingginya, kalau tak biasa hadapi seperti mereka (para pelaut) ianya memang sangat menakutkan. Tapi itulah yang mereka perlu hadapi bila tibanya musim begini.


Aku pada hakikatnya tak terlalu tahu tentang kerja suamiku. Sekadar apa yang dia ceritakan saja. Nak tahu lebih, kena ada sendiri di lapangan kerja dialah kan? Aku pun tak nak fikir lebih, nanti risau terlebih. Hanya mampu iringkan doa, pada setiap kali dia kembali bertugas. Aku faham kerjanya mencabar, tapi itulah bidang kepakaran dia, bukan yang lain. 


Kini masih menghitung hari, bila suamiku akan kembali. Entah berapa hari akan berada di rumah, entah berapa lama lagi akan kembali berkuarantin dan bertugas. Pendek kata, sepanjang dia berada dalam kerjaya ini, dan sepanjang hidup bersamanya, tempoh inilah aku rasa paling mencabar dan teruji. Di musim Covid-19, ditambah dengan cuaca buruk di laut, masa bersama menjadi sangat mahal dan sukar untuk kami dapat - paling kesian pada anak-anak. 


Namun Allah jualah tempat kembalikan hati. Allah jualah sebaik-baik Perancang. Redha dan sabar sentiasa pada tiap ujiannya. Insya Allah tak ada ruginya. Insya Allah ganjarannya pasti. 


Buat keluarga pelaut seluruhnya. Aku rasa apa yang kalian rasa. Percayalah, takkan ada kemudaratan kecuali jika Allah yang mengkehendakinya. Maka tenanglah. Insya Allah akan baik-baik saja. 


Ujian itu hadir untuk semua. 

Dalam bentuk yang sesuai kemampuan hamba.



Yang setia menanti abi

Sunday, 18 October 2020 0 comments By: Naemah

BALIK HANTAR NENEK


Pada 5/10/2020 nenek datang ke rumah setelah lebih kurang 2 bulan kita tak balik kampung dan tak jumpa nenek. Keesokan harinya pula abi balik dari Terengganu selepas 10 hari berada di laut. Hari berikutnya abi bawa nenek ke hospital Ara Damansara untuk ziarah Mak saudara abi yang sakit. Dan esok harinya pula (8/10/2020) kita sekeluarga bertolak balik ke kampung untuk menghantar nenek. Kata abi, next kapal dia lambat lagi, boleh la balik kampung dulu. Anas ummi maklumkan pada guru kelas untuk tidak hadir ke sekolah selama seminggu. Mussaab pun sama. 




Semenyih - Kuantan

(8/10/2020)


Seperti yang dirancang, hari ni bertolak ke Kuantan sekitar jam 10 pagi. Ke Kuantan sebab nenek nak ziarah adiknya yang tinggal kat sana. Pagi ni juga dapat call dari acik (adik abi) yang memaklumkan dia dah sewa homestay di Kuantan. Maknanya malam ni akan bermalam di Kuantan. 


Dalam perjalanan ke Kuantan, sempat singgah makan tengahari di Restoren Go' Bang Maju, Temerloh. Try masakan yang terkenal di sini iaitu patin masak tempoyak dan Ikan pais tempoyak yang sangat menyelerakan.


Selesai menjamu selera, perjalanan diteruskan hingga sampai ke homestay yang telah disewa- Casa Leesa. Homestay ini mempunyai 2 bilik dan lengkap dengan kolam renang. Di sini Anas, Mussaab, dan Miqdad seronok mandi di kolam renang. Suri juga tak terkecuali, seronok bila abi bawa masuk mandi sama-sama dalam kolam. 


Pada petang hari, acik datang dengan anaknya Ruqayyah dan Ibrahim (ayah cik tak datang sebab on call), bertambah meriah jadinya. Malam ni bermalam di Casa Leesa. Nyenyak dan lena semuanya selepas menempuh perjalanan jauh dan bermandian di kolam. Oh ya, nenek juga dapat jumpa dengan adiknya dan family semua. 
















Kuantan - Kemaman- Kota Bharu 

(9/10/2020)


Hari ni breakfast dengan aneka makanan yang dibeli oleh nenek dan abi di gerai berhampiran homestay. Mak saudara abi (adik nenek) juga datang bawa makanan yang dibelinya. Ada nasi lemak, nasi minyak, roti canai, dan kuih muih juga. Lepas makan, mandi kolam lagi. Masih tak puas-puas semua. 


Sekitar jam 11 pagi, check out dari homestay dan singgah sekejap di rumah Mak Cik abi, dan meneruskan perjalanan ke Kemaman (acik tinggal di kuarters hospital Kemaman). 


Nak dijadikan cerita, tengah drive abi maklumkan yang dia perlu ke Sarawak lebih awal untuk berkuarantin di sana pula. Aduhai, memang rasa frust sangat, sebab abi kan cakap lambat lagi nak naik kapal. Kira punya kira, abi sepatutnya terbang esok (10/10/2020) untuk cukup kan 14 hari kuarantin sebelum bertugas. Ya Allah.. Kampung pun tak sampai lagi. Takkan nak patah balik. Siapa nak hantar nenek? 


Tapi oleh kerana abi belum terima emel dari ofis, abi abaikan dulu pasal kerja. Tapi memang nak kena segera balik juga, untuk standby di rumah. Anytime je akan dapat panggilan kerja. Macam tulah, di musim Covid-19 ni. Tak menentu. 


Singgah sekejap di rumah acik, makan tengahari dan solat, dan terus bertolak ke Kota Bharu sekitar jam 3 petang. Alhamdulillah perjalanan lancar, dan sampai di Kota Bharu jam 7 petang, dah masuk maghrib. Kat rumah nenek ada mak long dan family, dan juga Mak De. Mak Su pula busy dengan kerja, tak sempat jumpa. 


Malam ni abi masih belum terima emel/panggilan untuk ke Sarawak. Dapatlah berehat dan bermalam di rumah nenek dulu malam ni. 









Kota Bharu-Jeli

(10/10/2020)


Bertolak ke rumah mek di Jeli pula, sekitar jam 12 tengahari. Sampai di rumah mek jam 3 petang. Masih tak ada panggilan kerja, makanya bermalam dulu di rumah mek malam ni. Dapat jumpa semua adik beradik ummi (5 beradik je), dan malam ni juga meriah sebab Anas, Mussaab dan Miqdad dapat main dengan sepupu, Hafiz, Kak Aimi dan Kak zana. Alhamdulillah malam ni masih dapat tidur lena di kampung walaupun tak lama dapat stay kat kampung. 






Jeli - Cameron Highland - Semenyih 

(11/10/2020)


Bertolak dari rumah mek sebaik selepas menunaikan solat subuh. Breakfast di Gua Musang sekitar jam 8 pagi, dan (tanpa dirancang) 'melencong' ke Cameron Highland, sekadar untuk singgah dan ambil angin di tanah tinggi. 


Sampai di Cameron Highland jam 12 tengahari. Tempat persinggahan; Cactus Point, Big Red Strawberry Farm dan Taman Pertabalan, tempat yang dah biasa dikunjungi. Singgah makan tengahari di kedai makan berdekatan, dan singgah membeli jagung dan sayur. Selepas itu terus bertolak meninggalkan Cameron Highland. Singgah lagi solat di masjid (Tapah) dan R&R, dan yang terakhir singgah makan malam di kedai makan (di Seksyen 5 Bandar Rinching). Sampai di rumah sekitar jam 9 malam. Panjang perjalanan hari ni :)


















Alhamdulillah atas perjalanan kali ini. Walaupun tak seperti yang dirancang, masih bersyukur atas apa yang sempat. Dapat juga balik kampung walau sekejap cuma. Penat memang penat, tapi apakan daya perancangan Allah lebih mengatasi. Pasti ada hikmahnya kan? 


Ummi tahu Anas dan Mussaab tak puas lagi duduk di kampung. Tak sempat jumpa abang Faiz dan sekejap je dapat main dengan sepupu yang ada. Tapi takpelah, kita perlu belajar untuk sabar dan redha. Perlu faham kerja abi yang begitu. Insya Allah, tak lama. Walaupun tak tahu bila, tapi nanti bila kes Covid-19 dah menurun dan tak jadi isu besar lagi, abi dah tak perlu kuarantin lama lagi, dan akan ada lebih masa dengan kita, bawa balik kampung dan jalan-jalan. Kita doakan sama-sama ye. 


Abi akhirnya terbang ke Sarawak pada 15/10/2020 (hari kedua PKPB dikuatkuasakan). Kini dan sentiasa, Allah saja tempat kita bergantung sepenuh pengharapan. Semoga hari yang mendatang akan lebih baik dan lebih indah. 


This will pass

Insya Allah 


Saturday, 17 October 2020 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 171020

 Hari ke-3 Abi berkuarantin di Miri, Sarawak sebelum dibenarkan bertugas. Juga hari ke-4 PKPB di seluruh negeri Selangor. Anas dan Mussaab tidak bersekolah sejak minggu lepas (kerana PKPB). 


Hari ini bangun subuh seperti biasa. Semua bangun serentak, meriah di awal pagi lagi macam biasa. Lepas mandi dan Solat subuh, turun ke bawah semua. Ummi masak nasi goreng untuk breakfast, makan sama-sana dan buat latihan yang diberi oleh guru (semalam). Pagi ni selesaikan mana yang belum siap. Miqdad dan Suri juga join 'belajar' sekali. 


Dah selesai semua, ummi naik tidurkan Suri, Anas, Mussaab dan Miqdad di bawah tengok TV, main game dan buat aktiviti di kertas. Sekejap saja tidur Suri. Jam 10.30 dah bangun, tengah ummi sibuk nak memasak. Suri teman ummi masak nasi ayam di dapur. Keluar masuk dan bermain segala macam sampai bersepah rumah. Takpe lah, asalkan tak menangis. Abang-Abang Suri, dengan aktiviti masing-masing. 


Jam 11 pagi siap masak, dan makan bersama. Selesai makan, lepak di depan tv dan menonton video lego. Bemain, bergurau dan aktiviti lain seperti kebiasaannya. Sebelum naik ke atas, kemas segala yang bersepah di ruang tamu. Anas, Mussaab dan Miqdad mandi kolam di atas. Suri dah asyik menangis dan merengek kerana mengantuk. Ummi mandikan Suri, solat zohor dan tidurkan Suri. Anas, Mussaab dan Miqdad dipanggil masuk. Solat zohor, dan turun semula ke bawah. Ummi rehat dan tidur bersama Suri. Biarkan saja Anas, Mussaab dan Miqdad dengan hal sendiri. Tak lama kemudian Miqdad juga naik tidur di atas. 


Dekat masuk waktu asar, ummi turun ke bawah. Anas tengah main game, Mussaab tengah tengok TV. Miqdad dan suri masih tidur. Masuk asar, naik dan solat. Suri bangun lepas ummi solat. Miqdad juga bangun kemudiannya. Anas dan Mussaab dari tadi mengadu lapar. Dah siap goreng nuget, sosej dan karipap. Ummi goreng ayam, dan makan bersama sekitar jam 5.30 petang. Abi call dari Miri. Lepas makan kemas rumah sikit, dan Anas, Mussaab dan Miqdad naik mandi kolam lagi. 


Jam 6.30 mandikan Suri, Abang-Abang juga dah siap mandi kolam. Masuk dalam rumah, ready untuk Solat maghrib dan baca al-Quran. Lepas tu video call abi sekali lagi. Solat isyak, dan bersedia untuk tidur semua. Jam 9 malam sudah lena semua, kecuali Miqdad yang tadi siang dah tidur, malamnya jadi susah sikit nak lena. Pusing kiri, pusing kanan, last-last tidur juga. Alhamdulillah 


Selamat malam anak-anak ummi. Maaf atas kekurangan ummi dalam menjaga. Ummi sedar banyak yang kurang, tak pernah sempurna. Semoga esok akan lebih baik anakku. Mimpikan yang indah, doakan yang baik-baik sentiasa untuk kehidupan kita. Moga Allah jaga kita, Moga Allah jaga abi di sana. Ummi sayang semua.



Hari ini;






Friday, 16 October 2020 0 comments By: Naemah

LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN : DALAM TEMPOH PKPP INI

 Dah lama ummi tak mencatat perihal aktiviti Mussaab di sekolah. Pejam celik pejam celik, dah tahun ke-3 Mussaab di Little Diamond Kindergarten. Kini sudah di bulan-bulan terakhir sebagai pelajar kindergarten. Cepat masa berlalu. 


Tetapi tahun ini (2020) agak berbeza, tak seperti tahun-tahun yang sudah. 2020 yang sangat menguji, hinggakan sekolah terpaksa ditutup di sepanjang tempoh PKP yang lepas (Mac-Jun). Berakhirnya PKP dan PKPB, sessi persekolahan dimulakan semula pada bulan Julai 2020. Namun kini terpaksa menjalani kehidupan dengan normal baru. Di sekolah tak terkecuali, bila anak-anak tidak lagi se'bebas' dulu untuk berkawan dan bermesra. Perlu berjarak, dan terhad pergerakan. 


                          'mereka' Sebelum PKP


Oleh kerana panjang tempoh 'cuti' sekolah tahun ni, takde sangatlah aktiviti 'besar' kat sekolah. Namun sekadar untuk highlight aktiviti Mussaab di sekolah sejak PKPP ini:



Merdeka and Birthday Celebration 

(28/8/2020)


 Sebelum tu dah ada kempen kibarkan jalur gemilang di mana anak-anak little diamond ditugaskan untuk menampal bendera di kereta ibubapa dan penduduk setempat secara drive thru. Anak-anak juga terlibat menyiapkan bendera Malaysia, dan kemudiannya mereka sama-sama meraikan birthday dan Merdeka di sekolah yang diserentakkan majlisnya.


Tahun sebelumnya pun dah ada majlis seperti ni, cuma kali ini ia diraikan secara norma baru. Hari ni mereka makan-makan, main dan berhibur bersama dengan pengisian menarik yang disediakan oleh guru mereka. Ada VIP jemputan juga, iaitu Uncle Kentang, satu susuk yang dikenali oleh kebanyakan kita.


Oh ya, anak-anak berpakaian bertemakan kemerdekaan dan/atau flamingo. 











Sports Carnival 

(4/10/2020)


Walaupun masih berada di dalam musim Covid-19, ada juga sukan tahunan untuk tahun ini ya! Sukan tahunan kali ini bertemakan superheroes. 


Acara sukan diadakan di Taman Pelangi Semenyih, dan ianya diatur berbeza dengan acara sukan sebelum ini. Anak-anak bermain secara individu, bukan lagi berkumpulan dan tidak dalam bentuk pertandingan. Anak-anak hanya perlu cukupkan 6 stiker dengan bermain 6 acara sukan, dan selepas itu mereka boleh menuntut hadiah masing-masing. Bermakna semua layak untuk 'menang' dan mendapat hadiah (itulah yang paling mereka suka). 


Masa pula flexible, ibubapa boleh membawa anak-anak bila-bila masa sahaja antara pukul 9 pagi hingga pukul 12 tengahari dan boleh terus balik selepas anak habis bermain. Dengan ini dapat mengelakkan 'kesesakan', sebab ibubapa dan anak-anak tak datang serentak. Bijaksana jugalah cara ni, di musim wabak begini. Anak-anak dapat keseronokan, dalam masa yang sama boleh menjaga jarak dan ikut segala SOP yang ditetapkan. Alhamdulillah. 











Kini dah kembali kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Sekolah terpaksa ditutup kembali buat sementara. Namun ada tugasan setiap hari yang perlu dibuat oleh anak-anak untuk mengisi hari-hari di sepanjang tempoh PKPB ini. Ujian Covid-19 masih belum nampak tanda untuk berakhir. Banyak pihak yang terkesan, termasuk anak-anak yang terpaksa menangguhkan pembelajaran di bilik darjah. Bahkan belajar secara online lebih mencabar, untuk guru dan ibubapa yang perlu sering memantau. 


Semoga kali ini tidak akan berpanjangan lama. Insya Allah kes harian akan menurun, dan sekolah akan dibuka kembali. Sama-sama kita doakan. 


Sekian catatan untuk kali ini- aktiviti Mussaab di Little Diamond Kindergarten sepanjang tempoh PKPP. Dalam tempoh persekolahan yang agak terhad, anak-anak tetap mendapat manfaat dari apa yang pihak sekolah sediakan. Insya Allah akan jadi pedoman dan kenang-kenangan di masa yang akan datang. 

Wednesday, 14 October 2020 0 comments By: Naemah

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT (PKPB) KEMBALI









Negara mencatat kes terbaharu Covid-19 sebanyak 691 kes pada 6/10/2020 iaitu kes yang tertinggi semenjak Covid-19 melanda negara dan dunia. 


Pada Jun 2020, bermula Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dan ketika itu kes sudah mula menurun ke satu angka kes harian. Rasa lega dan bersyukur sangat masa tu sebab mula diberi 'kebebasan' setelah sekian lama berkurung di rumah. Dah boleh keluar berjalan, dah boleh balik kampung, dan anak-anak pun dah boleh kembali bersekolah. Walaupun perlu hidup dengan normal baru, namun ia tetap memberi rasa yang lega dan syukur tak terkata. Alhamdulillah. 


Namun barangkali kerana alpa dan atas asbab yang lain, kes kembali mencanak naik hingga ke angka yang tak terjangkau banyaknya. Bermacam nama kluster baru yang timbul, menghadirkan kebimbangan hari demi hari. Nak hantar anak ke sekolah pun dah mula risau. Suami pula, perlu menjalani kuarantin yang panjang setiap kali ingin bertugas. Masa bersama semakin terhad. 


Seperti yang dijangka, Selangor kembali menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh kerana kes yang meningkat di sekitar Selangor saban hari. Kali ini bukan seluruh negara yang dikenakan perintah berkurung, tapi hanya sebahagian- Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Sabah yang kini mencatat angka harian tertinggi setiap hari. Maka bermulalah PKPB berkuatkuasa pada 14/10/2020.


Aku sendiri, sejujurnya lebih bersedia untuk menempuh tempoh PKPB kali ini. Kerana ianya perintah bersasar untuk sebahagian negeri sahaja, pada aku 'taklah teruk sangat' - Insya Allah. Tambahan pula tengah dalam keadaan serba salah nak hantar anak sekolah, bila dah PKPB ni bermakna memang sekolah pun ditutuplah. 


Namun tak dinafikan, tetap ada banyak pihak yang terkesan dengan arahan PKPB ini, seperti peniaga-peniaga kecil yang tak dapat berjualan seperti biasa, ada pula ibubapa bekerja yang buntu nak hantar anak ke mana bila mereka keluar bekerja, dan tak boleh nak balik jumpa parents yang tinggal di daerah dan negeri yang berbeza. Namun kita harap semua ini tidak lama. Tak lama seperti episod PKP yang lepas, insya Allah. Mudah-mudahan langkah ini mampu untuk mengurangkan kembali kes harian covid-19. Insya Allah. 


Suami juga dah kembali bertugas selepas seminggu balik dari Terengganu. Kali ini bertugas di Miri, Sarawak. Perlu menjalani kuarantin 14 hari di hotel, turun ke laut dan Insya Allah kan bersua lagi bulan depan. Allah.. Anak-anak terpaksa berpisah lama lagi dengan abi mereka. Aku kembali perlu berdiri sendiri uruskan segalanya di rumah. Alhamdulillah, suami dah cukup kan semua keperluan sebelum pergi. Semoga dipermudahkan urusan dia, dan juga aku bersama anak-anak. 


Di rumah, tetap dengan aktiviti yang biasa. Kembali belajar di rumah, menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru, dan bermain sesama sendiri. 


Setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya. Pasti akan berakhir, pasti akan hadir episod kehidupan yang lebih indah, meski bersama ujian ini. Perancangan Allah.. Tak siapa tahu. 



Tuesday, 13 October 2020 0 comments By: Naemah

SELAMAT HARI LAHIR ILHAM MIQDAD




(13.10.2016-13.10.2020)


Alhamdulillah genap usia Miqdad 4 tahun. Pantas masa berlalu.


Hari ini tetap berjalan seperti biasa. Di rumah kita, bersama ahli keluarga kecil kita. Alhamdulillah Abi ada bersama. Menunggu masa untuk terbang ke Miri tak lama lagi. 


Kita masih di musim PKPP, malah akan kembali kepada PKPB berkuatkuasa esok (14.10.2020) memandangkan kes covid-19 yang semakin meningkat pada angka yang lebih tinggi berbanding sebelum ini. Agak tragis tahun ini, namun ini semua kehendak Allah jua. Moga Allah sentiasa lindungi kita. 


Hari ni Miqdad bangun pagi seperti kebiasaan. Ummi dan Abi ingatkan Miqdad pada ‘birthday’ Miqdad hari ni. Ingatkan Miqdad yang hari ni dah genap usia Miqdad 4 tahun. Dah besar, dah cerdik, dah boleh pergi sekolah next year. 


Pagi ni menu breakfast simple saja, nasi goreng, dan jagung rebus. Lunch pun ummi masak biasa-biasa je. Dinner pula Abi belikan nasi lemak (makanan favorite Miqdad) di luar. Oh ya, tadi Abi ke Tesco belikan barang keperluan, Abi bawa balik 2 buah skuter untuk Miqdad dan untuk Mussaab. Kiranya hadiah birthday Miqdad la tu kan? 


Alhamdulillah untuk kehidupan yang dijalani hari ini, bersama-sama. Syukur hari ini lengkap ahli keluarga kita. Sukar untuk dapat masa ‘bersama’ sejak covid-19 menyerang. Namun untuk hari ini, syukur tak terhingga, walaupun lusa Abi dah nak kembali berkuarantin dan bertugas. 


Hari ni Miqdad seronok bermain scooter yang dibeli Abi. Seronok main dengan Anas, Mussaab dan Suri. Tetap ada part bergaduh, berebut dan bergasak sampai menangis, namun di akhirnya tetap baik-baik saja. 


Alhamdulillah atas nikmat kehidupan kurniaan Allah ini. Dah 4 tahun Miqdad hadir dalam hidup ummi dan Abi. Miqdad yang ‘keras kemahuannya’, moga jadi seorang yang berpendirian teguh dan bersungguh-sungguh dan berusaha keras untuk mencapai sesuatu matlamat dan cita-cita tertinggi.


Oh ya, Miqdad sekarang dah boleh membaca- bahasa Melayu. Walaupun masih di peringkat beginner, tapi Alhamdulillah Miqdad cepat belajar. Insya Allah akan lebih lancar membaca lepas ni. Tapi kena rajin praktis ya!


Moga Miqdad sentiasa sihat, sentiasa ceria, dilapangkan hati, dimurahkan rezeki, diberikan kecerdasan, kepandaian, kebijaksanaan dan dapat menggapai segala cita-cita. Moga jadi hamba Allah yang taat, moga jadi anak yang soleh, moga dihiasi peribadi dengan akhlak yang mulia. Moga cemerlang Miqdad dunia dan akhirat. Ameen.


Ummi dan Abi sayangkan Miqdad. Anas, Mussaab dan Suri juga sayangkan Miqdad. Moga bersatu kita semua di dunia dan akhirat. 

AAMEEN 



Hari ini;












Wednesday, 30 September 2020 0 comments By: Naemah

ESOK AKAN LEBIH BAIK



Menutup tirai September 2020. 9 bulan telah berlalu. 9 bulan yang sangat menguji banyak orang. Covid-19 menjadi penyebab utama. Bermula dengan PKP, PKPB, dan kini masih dalam tempoh PKPP. Namun kisah covid-19 masih belum ada tanda untuk tamat. Bahkan kini makin menular di Semenanjung selepas sekian lama banyak negeri berada di zon hijau (bebas covid-19). Kembali ke 3 angka kes harian, ia memang menakutkan. Bimbang jika negara akan kembali kepada episod PKP yang terdahulu- tak boleh merentas sempadan negeri, sekolah ditutup semuanya, tak boleh keluar tanpa sebab yang dibenarkan, ramai yang tak boleh keluar bekerja, anak-anak pula 24 jam setiap hari hanya terkurung di dalam rumah. 


Aku sendiri, jujurnya sudah sangat penat dengan situasi sekarang. Situasi yang bukan di dalam kawalan, yang aku percaya banyak pihak yang terkesan kerana ujian covid-19.


Untuk keluarga kami, PKP semakin mengurangkan ‘masa bersama’ aku dan anak-anak dengan suami. Di musim covid-19 ini, suamiku tetap perlu berkhidmat seperti biasa. Cuma kesan dari penularan wabak ini, dia perlu menjalani kuarantin di hotel sebelum menjalankan tugas. Kalau sebelum wabak ini paling lama dia pergi pun mungkin dalam seminggu je, kini dah jadi lebih dari 2 minggu, especially bila perlu bertugas di Sabah atau Sarawak. Bayangkan dalam sebulan, lebih dari separuh bulan kami perlu berjauhan. Kesian anak-anak yang ‘kehilangan’ masa bersama Abi mereka.


September ini hanya 11 hari saja suamiku ada bersama. Bukan kata nak balik kampung jenguk orang tua, nak bersama family sendiri pun hampir tiada masa. Kebetulan bulan ni tak ada cuti sekolah, lagilah kami tak mampu nak balik kampung masa suami aku balik sekejap hari tu. Tapi sempatlah juga dia bawa anak-anak bercuti sekejap, keluar dari Semenyih ni :)


Dalam tempoh ini, ujian dirasakan berganda bila aku terpaksa bersendirian menguruskan anak-anak dan segala hal di rumah. Tak ada sesiapa yang dekat yang aku boleh minta tolong ataupun nak mengadu, terpaksa harung semua sendirian dengan anak-anak yang tak sepenuhnya mengerti. 


Tak ingin mengeluh, tapi tetap aku perlu akui bahawa menguruskan anak-anak sendirian memang sangat mencabar dan sangat menguji. Bukan sahaja tentang mereka yang perlu aku ambil berat, tapi juga tentang hal ehwal rumahtangga yang lain juga, yang sangat memerlukan kesabaran dan ketahanan mental yang kuat. 


Kadang-kadang akan menangis seorang, bila rasa tak berdaya. Anak-anak saksi yang bila-bila masa saja ibu mereka ini boleh bertukar watak. Serta merta boleh jadi garang macam singa, serta merta pula boleh bertukar lembut dan penyayang. Semuanya atas emosi yang kadang-kadang sukar nak dikawal. Fizikal penat, mental lebih penat lagi. Tapi syukur setakat ini masih terkawal dan tak adalah melampau sangat (kan anak-anak?)


Aku tahu bukan aku seorang yang berdepan dengan ujian. Aku faham, suamiku juga tak ingin tinggalkan keluarga lama-lama begini. Aku tahu orang lain juga ada kemelut hidup mereka yang tersendiri. Aku sedar, Allah menguji mengikut kemampuan setiap hambaNya. Dan aku percaya ujian ini adalah untuk tingkatkan ‘kualiti’ aku sebagai insan dan sebagai hamba.


Aku sedar aku sering kalah dengan emosi. Sering jatuh dan kemudian cuba untuk bangkit lagi. Ujian sering mendatangi. Aku tiada tempat mengadu kecuali padaNya. 


Kesian anak-anakku. Setiap kali abi pergi, tiada jawapan pasti bila abi akan kembali. Hanya tunggu dan lihat saja. Semoga Allah kurniakan pengertian juga buat mereka. Bahawa ini bukan kehendak sesiapa. Tapi kerana takdir semata. Dan kita perlu sentiasa akur dengan takdir. Bersangka baik sentiasa. Sabar dan redha tiap masa. Pasti ada hikmahnya. Sabar ya semua. 


Seperti selalunya, meskipun perlu berpisah lebih lama, yang didambakan adalah pertemuan yang akan menyusul selepas episod perpisahan demi perpisahan. Semoga Allah satukan kami kembali. 


Semoga Allah permudahkan urusan suamiku di sana. Semoga Allah permudahkan urusan aku dan anak-anak di sini. 


Insya Allah, kehidupan yang lebih baik akan menyusul 

Allah Maha Pengasih :)