Tuesday 27 October 2020 By: Naemah

TRAGEDI YANG DEKAT DI HATI




27-10-2020


Genap 13 hari suamiku di Miri, Sarawak. Sudah hampir seminggu di laut selepas berkuarantin di hotel. Katanya cuaca tidak baik di sana, susah nak buat kerja. Kerja juga tertangguh, hari ke hari. 


Alhamdulillah semalam (26-10-2020) dah selesai kerja suamiku. Kini tunggu masa nak balik ke darat, seterusnya balik ke rumah jumpa anak isteri yang setia menunggu. 


Namun apakan daya, kerana cuaca yang tidak baik itu juga, sukar untuk dia kembali ke darat. Angin yang kuat, dan laut yang bergelora, menyukarkan pergerakan di laut mahupun udara. Nak tak nak, terpaksalah tunggu sehingga cuaca mengizinkan. 


Pagi ini menerima berita yang agak mendebarkan dari suami. Katanya ada kemalangan di laut, di pelantar yang berdekatan, di mana lebih 100 orang terpaksa terjun ke laut  (dalam WhatsApp suami tak cerita detail sangat). Terus aku rasa terkejut, sebak, risau, dan segala rasa. Ingatkan nasib mereka yang terlibat dalam kemalangan tersebut (ramai tu), dan ingatkan suami sendiri. Allah.. Benar ini dugaanmu. Teringat aku pada family mereka, sukar untuk menggambarkan rasa. 


Kemudian barulah dapat baca detail kat news yang melaporkan tentang kemalangan ni. Dua maut, dan yang lainnya selamat. Alhamdulillah. Tumpang bersimpati pada keluarga yang menerima berita kematian ini, moga Allah kurniakan kesabaran yang tinggi kepada mereka dalam menghadapi dugaan ini. 


Kisah tragedi ini terasa sangat dekat dengan aku. Kerana suamiku juga seorang 'pelaut', tambahan pula dia kini sedang 'terperangkap' di laut, dan kejadian itu pula hampir dengan dia. 


Seperti yang pernah suamiku cakap, kerja di laut sangat berisiko. Mungkin orang tengok macam best, gaji besar, tapi katanya risiko juga besar. Suamiku jarang sekali nak cerita tentang apa yang perlu dia hadapi di laut. Adalah sesekali, dia cerita pasal kisah cemas di laut, tapi itupun bila kisah tu dah lama berlalu. Yang banyak lagi yang aku tak tahu, tinggallah ia sebagai kisah dia sendiri. Hadapi semua demi tanggungjawab, demi sesuap rezeki. 


Kini berada di musim gelora. Bila suamiku katakan cuaca tak baik dan tak boleh buat kerja, gambarannya adalah laut yang sedang bergelora hebat. Ombak besar yang entah berapa meter tingginya, kalau tak biasa hadapi seperti mereka (para pelaut) ianya memang sangat menakutkan. Tapi itulah yang mereka perlu hadapi bila tibanya musim begini.


Aku pada hakikatnya tak terlalu tahu tentang kerja suamiku. Sekadar apa yang dia ceritakan saja. Nak tahu lebih, kena ada sendiri di lapangan kerja dialah kan? Aku pun tak nak fikir lebih, nanti risau terlebih. Hanya mampu iringkan doa, pada setiap kali dia kembali bertugas. Aku faham kerjanya mencabar, tapi itulah bidang kepakaran dia, bukan yang lain. 


Kini masih menghitung hari, bila suamiku akan kembali. Entah berapa hari akan berada di rumah, entah berapa lama lagi akan kembali berkuarantin dan bertugas. Pendek kata, sepanjang dia berada dalam kerjaya ini, dan sepanjang hidup bersamanya, tempoh inilah aku rasa paling mencabar dan teruji. Di musim Covid-19, ditambah dengan cuaca buruk di laut, masa bersama menjadi sangat mahal dan sukar untuk kami dapat - paling kesian pada anak-anak. 


Namun Allah jualah tempat kembalikan hati. Allah jualah sebaik-baik Perancang. Redha dan sabar sentiasa pada tiap ujiannya. Insya Allah tak ada ruginya. Insya Allah ganjarannya pasti. 


Buat keluarga pelaut seluruhnya. Aku rasa apa yang kalian rasa. Percayalah, takkan ada kemudaratan kecuali jika Allah yang mengkehendakinya. Maka tenanglah. Insya Allah akan baik-baik saja. 


Ujian itu hadir untuk semua. 

Dalam bentuk yang sesuai kemampuan hamba.



Yang setia menanti abi

0 comments:

Post a Comment