Thursday, 15 September 2016 0 comments By: Naemah

KK AYER LANAS: SEKALI LAGI TANPA ABI

Hari ini Anas dan Mussaab teman ummi lagi ke klinik untuk temujanji doktor. Kali ini tanpa abi lagi, terpaksa minta tolong kak Ani bawa ummi ke klinik. Mek juga ikut sama, nak pergi beli barang di kedai. 

Sebaik sampai, ummi pujuk Anas dan Mussaab ikut kak Ani dan mek ke kedai. Alhamdulillah, Anas dan Mussaab nak ikut. Tak perlu ummi bawa sekali ke klinik.  Senang pulak nak ikut orang. Mungkin kerana dah biasa dengan kak Ani. So, ummi ke klinik seorang diri. Daftar dan lakukan check up di sana. 

Akhir sekali, jumpa doktor. Agak lama juga menunggu giliran. Tapi kerana dah biasa, so dah boleh agak. Sambil menanti giliran, sambil menanti Anas dan Mussaab. Meskipun kat klinik tak perlu nak mengawal Anas dan Mussaab yang ligat bermain sana sini, hati tetap teringat dan tak putus berdoa agar anak anak ummi baik baik je dengan mek dan kak Ani. Walau ada yang menjaga, ummi tak lepas dari rasa risau dan rindu. Macam nilah perasaan bila tak pernah serahkan anak anak untuk dijaga orang, kecuali abi.

Anas dan Mussaab sampai sebaik tiba giliran ummi bertemu doktor. Apa lagi, keduanya ikut masuk bersama. Cabaran bermula di sini. Anas dan Mussaab tak boleh duduk diam. Tarik kerusi, panjat kerusi dan katil, bertanya soalan pada ummi, main pintu, ke sana dan ke mari. Buat ummi tak dapat nak fokus pada doktor. Alhamdulillah doktor sporting, tak tunjuk rasa terganggu dengan kehadiran anak kecil berdua ni. Tapi nurse yang banyak menegur, tika ummi tak dapat nak control anak anakku, kerana memberi fokus pada percakapan doktor. 

Akhirnya, selesai untuk hari ini. Alhamdulillah dan rasa lega sangat. Sekurang kurangnya Anas dan Mussaab tak lama sangat di klinik. Sungguh, ummi dah tak daya nak control, apa lagi jika perlu bergerak ke sana sini. Sudahnya, Anas dan Mussaab tak lepas dari kemarahan ummi saja :(

Tetapi... Ummi perlu hadir ke klinik lagi selepas 3 hari, atas alasan dan masalah yang dinyatakan doktor. Termenung lagi ummi. Mungkin akan ke klinik tanpa abi lagi. Kak Ani juga dah kerja masa tu. Orang lain juga sama. Jawapannya, 'mungkin' ummi perlu drive sendiri dan datang bersama Anas dan Mussaab juga :)

Biarlah.. Lupakan dulu temujanji yang akan datang. Moga datang pertolongan Allah. Bukan ummi tak suka bawa Anas dan Mussaab, tapi kerana tempoh menunggu yang lama, sebolehnya ummi tak nak bawa Anas dan Mussaab bersama di atas banyak sebab. Dan klinik juga, bukan tempat yang sesuai untuk membawa kanak kanak. Tapi apakan daya, Anas dan Mussaab masih tak boleh ditinggalkan pada sesiapa. Nak mengikut ummi juga. Terutamanya Anas, paling sukar ditinggalkan. Mussaab pula, akan ok sekiranya Anas ok. Anas nak ikut, dia nak ikut juga. Kalau Anas tak ikut, Mussaab pun akan tak kisah dan tak akan ikut ummi juga. 

Inilah cerita pagi ini. Tentang Anas dan Mussaab yang menemani ummi di KK Ayer Lanas. Cabaran buat ummi yang mengandung, dan dalam masa yang sama perlu menjaga dua lagi anak kecil. Di ketika abi tiada bersama, terasa semakin mencabar, dan perlu panjang akal untuk berhadapan dengan situasi tak terduga.

Semoga Allah bantu ummi. Semoga ummi sabar, dan semoga ummi mampu. Anas dan Mussaab... Baik baik saja ya :)
Tuesday, 13 September 2016 0 comments By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: 36 MINGGU




Alhamdulillah kandungan kini berusia 36 minggu. Semakin menghampiri detik yang dinanti. Juga detik yang mendebarkan.

Kesihatan hari ini, boleh dikatakan baik. Cuma sekali lagi diuji dengan selesema dan hidung tersumbat. 

Penampilan diri, memang dah besar macam apa dah :D perut dah makin ke depan. Nak berjalan pun tak berapa gagah. Kalau tak berhati hati melangkah, mudah sangat nak terjatuh. 

Antara cabaran di usia kandungan ini, antaranya sukar nak melakukan pergerakan dalam solat. Namun selagi berdaya, aku akan solat seperti biasa. Ketika tidur, makin sukar nak tukar posisi badan, ke kiri dan ke kanan. Posisi terlentang pula boleh menyebabkan sakit pinggang dan makin sukar nak bergerak.

Dah semakin besar kandungan, pinggang juga sering sakit dan lenguh. Kadang sakitnya menjalar ke atas belakang. Nak jalan terasa payah sangat. 

Satu lagi, kaki dan paha sering terasa lenguh. Terutamanya bila banyak berjalan. Minyak angin dah jadi teman, untuk urut bahagian yang lenguh.

Dah mula rasa kontraksi yang kadang kadang sakit juga. Rasa sakit yang dapat dirasa untuk beberapa saat dan tidak konsisten. Gerakan anakku aktif, dan kerap juga perut terasa mengeras tanpa diiringi rasa sakit. Alhamdulillah, aku percaya dia sihat :)

Satu hal lagi, badan rasa nak duduk, baring dan rehat saja. Nak melayan anak yang dua orang tu pun rasa kurang berdaya. Kesian Anas dan Mussaab. Kalau suamiku ada bersama, oklah. Boleh serah urusan anak anak pada dia saja. Maafkan ummi ya. Insya Allah dah tak lama. Nanti adik lahir, dan ummi kembali sihat, boleh layan Anas dan Mussaab seperti biasa. Insya Allah.

Di minggu-minggu terakhir ini, semakin tak sabar menanti meskipun rasa takut tetap mengiringi. Cuba tenangkan hati  dengan ingatan yang baik baik. Tak lupa berdoa pada Allah, mohon segalanya dipermudahkan. 

Masanya kian tiba. Tenang dan sabarlah.. 

PENGORBANAN HATI

11 Zulhijjah 1437H: Raya kedua Aidiladha






Semalam menyambut aidiladha bersama suami dan anak anak di kampungku. Raya yang memenatkan buatku. Tak buat apa apa pun, cuma masak sikit untuk hidangan hari raya. Nasi minyak+ayam masak merah. Itupun masak bersama dengan suamiku. 

Tapi mungkin dalam keadaan aku tengah sarat mengandung (35 minggu) ni menyebabkan aku rasa penat luar biasa. Dari lepas subuh hingga 8.30 pagi, tak sempat duduk berehat kerana nak cepat siapkan juadah. Aku juga tak ikut suami dan anak anak untuk solat hari raya. Duduk di rumah saja. Dari pagi sampai ke malamnya, aku masih kepenatan dan terasa lenguh seluruh badan. Tak kemana mana, cuma ke rumah abangku.

Bangun pagi hari ini, terasa badan lebih segar dan bertenaga. Seawal 6.30 pagi, bertolak ke rumah ibu mertuaku yang hari ini mengadakan kenduri aqiqah (anak abang iparku). Sampai di sana dalam jam   8.30 pagi. 

Balik semula ke rumah ibuku selepas solat zohor, memandangkan suamiku akan balik ke semenyih pada petangnya. Esok dia akan ke Bintulu untuk menyambung tugas. Jam 4.30 petang sampai rumah, jam 6 petang suamiku bertolak meninggalkan kami anak dan isterinya. Sayu melepaskan dia pergi. Semoga Allah menjaganya, dan semoga urusan suamiku dipermudahkan sehingga kembali lagi ke pangkuan kami yang merinduinya. Insya Allah. 

Anas dah mula merindu abinya. Aduhai. Tak tahan bila anak meluahkan rasa rindu pada si ayah. Ummi hanya mampu ajar Anas berdoa agar abi dijaga Allah, dipermudahkan urusan dan selamat balik jumpa Anas semula. Semoga ia menjadi ubat rindu yang paling mujarab. 

Bakal melalui hari hari tanpa suami di sisi. Dalam keadaan sarat begini, pasti ada cabaran tersendiri. Semoga Allah memudahkan segalanya. 

Bisikan buat anak yang sedang ummi kandung ini; jangan keluar lagi ya sayang.  Tunggu abi balik dulu ya. Biar abi sambut kelahiran anaknya ini juga :)

Malam yang sudah sunyi. Anak anak sudah lena dibuai mimpi. Aku masih belum mampu untuk lena. Mendoakan perjalanan suamiku lancar dan selamat sampai. 

Ini juga sebuah 'pengorbanan', meninggalkan yang tersayang demi tugas dan tanggungjawab, melepaskan yang tersayang, walau dalam keadaan memerlukannya di sisi.

Semoga Allah menjagamu sayang :')

BERKALI JATUH CINTA

Pernah kah hadir perasaan jatuh cinta berkali kali pada insan yang sama??

Meski telah bertahun mengenalnya, bukan baru sehari dua atau sebulan dua berkenalan.

Umurnya bukan muda lagi, makin hari makin berusia, dan makin kelihatan wajah yang semakin dimamah usia. 

Bukan juga kerana dia terlalu baik atau sempurna, tetap dia manusia yang ada kelemahan dan kekurangan di sana sini.

Hari hari yang dilalui bersama juga bukanlah indah semata. Banyak asam garam, pahit manis, dan air mata yang tumpah juga.

Tapi di atas banyak sebab juga, hati sering jatuh cinta padanya. Berkali kali jatuh cinta. 

Barangkali kerana cinta ini halal untuk dinikmati. Cinta yang ikhlas bukan kerana nafsu semata.

Cinta yang mula lahir dari hati, bukan kerana hadir dari pandangan. 

Cinta yang diikat berlandaskan syariat, juga hadir bersama restu orang tua. 

Indahnya cinta itu melahirkan sakinah, mawaddah dan rahmah.

Kerana dia pasangan yang telah Allah tetapkan sedari awal.

Kerana dia adalah jawapan pada doa yang suatu ketika dipohon saban hari.

Indahnya cinta ini hanya dapat dinikmati oleh pasangan yang ikhlas bercinta kerana Allah, dan diikat melalui ikatan pernikahan.

Allah, berkali aku jatuh cinta dan sayang padanya, meski tanpa sebab dan syarat yang jelas. 

Barangkali kerana dia juga ikhlas mencintai, dan berusaha menjadi pasangan yang terbaik.

Semoga bersatu cinta ini hingga ke syurga. Aameen



~ WHEN I SAW HIM, I KNEW THIS WAS THE TRUE LOVE OF MY LIFE~



Friday, 9 September 2016 0 comments By: Naemah

TAK MUNGKIN MEMBEZAKAN

Hari Raya Aidiladha bakal tiba tak lama lagi. Aku kini berada di rumah ibu mertuaku. Alhamdulillah raya ini mungkin lebih meriah, kerana ramai adik beradik suamiku berkumpul bersama. Especially yang jauh, yang tak dapat pulang pada hari raya puasa yang lepas, diberi kesempatan balik beraya Aidiladha. 

Hari ini melihat ibu mertuaku pagi pagi lagi ke pasaraya membeli keperluan. Mungkin juga kerana hari raya kedua akan diadakan kenduri akikah, maka segala keperluan dicukupkan untuk majlis penting itu. Balik ke rumah, sibuk memasak pula. Menanti kepulangan anak dari sarawak, kemaskan bilik untuk keselesaan anak menantu dan cucu. 

 Aku melihat betapa seorang ibu itu sangat teruja menanti kepulangan anak yang sudah lama tidak bersua. Cuba untuk menyediakan sesuatu yang terbaik bagi menyambut kepulangan anaknya. 

Barangkali juga untuk keselesaan menantunya yang jarang bertemu. Dengan harapan, menantu suka balik rumah mak mertua dan selesa berada di rumahnya. Yelah, menantu masih orang luar. Menjalani kehidupan dan suasana berbeza. Namun harapannya, rumahnya ini tetap akan memberi keselesaan pada menantunya yang sesekali dapat balik.

Menantu dekat atau yang kerap balik, mungkin cara seorang ibu mertua berbeza pula. Menantu dah dianggapkan sudah 'biasa' dengan keadaan dan suasana rumahnya. Tak perlu dia nak bersiap bagai. 

Mungkin kebanyakan ibu mertua (termasuk ibuku) begitu lagaknya. Bukan kerana memilih kasih, meski 'mungkin' ada sesetengah menantu yang merasakan demikian. Pada pandanganku, perbezaan itu wujud atas sebab sebab yang langsung tiada kaitan dengan nilai kasih seorang ibu pada anak atau menantunya. Kasih seorang ibu tak mungkin berbeza, walau mungkin cara layanan dan cara dia meraikan anak menantu itu berbeza. 

Ya, sekurang kurangnya aku tak rasa dibezakan. Cukuplah aku rasa kepulangan kami disambut dengan senyuman dan layanan mesra. Anak anakku pula disayangi dan dilayan baik umpama cucu yang lain. Cukuplah. Mak punya ramai anak, dan ramai menantu. Berbeza peringkat usia, dan berbeza latar belakang pula. Nak menjaga hati semua orang, mungkin adakala tak termampu. Cukup anak menantu cuba memahami situasi dan hati seorang ibu mertua sepertinya. Tak mungkin dia mahu membezakan. Padaku, tak mungkin!

Thursday, 8 September 2016 0 comments By: Naemah

MULIA LAYAK UNTUK IBU

Merenung kedutan di wajah tuanya. Hati dihimpit sayu. Semakin tua dan uzur, seiring usiaku yang semakin dewasa dan bakal menyusul tua.

Terasa menggunung dosaku padanya. Pada dia yang melahirkan, yang mengganti tempat ayah membanting tulang menyaraku, belanja yang bukan sedikit untuk makan pakai dan pengajianku, yang mendoakan saban hari, yang sentiasa merestui tiap langkah dan pilihan hidup ini.

Apa jasaku padanya? Apa usahaku untuk membahagiakan hati tuanya? Apa yang mampu aku balas untuk setiap jerih payahnya? Tiada... Langsung tiada... 

Dia, seperti ibu lain juga, hanya manusia dan wanita biasa. Tak pernah sempurna. Namun layaknya seorang ibu, tempatnya tetap mulia. Semoga keampunan Allah sentiasa ada di atas setiap dosa dan khilafnya sebagai hamba dan insan biasa.

Aku hari ini, bukan juga seorang yang sempurna dan terlalu baik. Namun aku hari ini, membesar dewasa, dikurnia ilmu dan kehidupan yang baik, hasil dari penat lelah dan berkat doanya. 

Dia yang ikhlas berkorban. Dia yang tak minta balasan. Dia yang tak menagih  simpati. Hingga kini, selagi kudrat ada, selagi itu dia akan berdiri sendiri. 

Maafkan aku ibu. Aku kurang cakna pada keperluanmu. Aku selalu jauh, tak punya masa untukmu. Aku pandang ringan akan kesukaranmu. Aku buat tak dengar segala nasihat dan pesananmu. Aku tak berusaha untuk penuhi permintaanmu. Aku endah tak endah akan kebajikanmu. Aku juga tak punya wang untuk hulurkan padamu. 

Aku tak pasti entah berapa kali hatimu terguris kerana sikapku. Cuma yang aku tahu, hati muliamu sering bersedia memafkanku meski tanpa aku memintanya. Aku sedar betapa mulianya hati seorang ibu yang tak rela anaknya berdosa. 

Aku juga seorang ibu yang mencintai anak anakku. Aku tahu cintaku pada anak anak melebihi cintaku pada ibuku. Sanggup berkorban apa saja buat anak anak, tapi bukan buat ibu. Betapa aku tidak adil pada ibuku.

Ibu, setelah apa yang telah ibu lalui selama ini, berkorban setiap masa, sehingga hari ini, usia sudah semakin lanjut, namun episod pengorbanan seorang ibu masih belum berakhir...

Ibu, mulia itu layak buatmu. Meski ibu juga manusia biasa yang tak lepas dari dosa, namun semoga cinta dan keampunan Allah sentiasa ada untuk ibu yang sentiasa ikhlas mencintai anaknya. 

Ketika jauh, aku merasa berdosa kerana tidak mampu berbakti padamu. Ketika dekat, aku masih anak yang berdosa kerana sering memperlaku kasar denganmu. Entah bila aku benar benar akan menjadi anak yang baik untukmu. 

Aku takut kehilanganmu memberi penyesalan dan kesedihan yang tak tertanggung. Dek sikapku hari ini yang banyak melukakan hatimu.

Ampunkan anakmu ibu. Moga ibu akan sentiasa mulia di sisi Allah.
Wednesday, 7 September 2016 0 comments By: Naemah

MAGNETIC WORDPLAY

Hari ini berkesempatan main magnetic wordplay dengan Anas dan Mussaab. Dah lama beli (di pesta buku big bad wolf, dec 2015). Baru nak buka hari ni. Tu pun mujur juga sempat capai sebelum balik kampung hari tu :)

Kebetulan Anas pun dah pandai membaca, maka permainan ni tak susah untuknya. Malah tekun dan fokus pula dia bermain word :) mussaab main sekejap saja. Cepat bosan bermain dengan huruf agaknya :)

Permainan yang simple, tapi fun (untuk Anas). Kalau ibubapa nak buat sendiri pun boleh. Untuk Anas, ummi tak perlu baca satu persatu. Anas baca sendiri, cari word sendiri, dan minta Mussaab ambilkan picture. Saja nak libatkan Mussaab dalam aktiviti ni. Lepas tu Anas baca satu persatu. Ummi perhatikan dari awal hingga akhir. Anas berjaya main sampai habis. 

Lepas round pertama, Anas main seorang untuk round kedua. Tekun dia menyusun huruf dan gambar seorang diri. Mussaab kembali kepada mainannya.

Dalam keadaan ummi yang semakin sarat ni, seperti tiada masa (dan tiada mood) nak buat aktiviti bersama anak anak. Rasa nak bawa diri pun dah tak berapa larat. Buat apa yang patut saja, lepas tu biarkan Anas dan Mussaab buat hal sendiri.

Alhamdulillah hari ini diberi kesempatan untuk lakukan aktiviti ulangkaji seperti ini. Biarpun tak seberapa, yang penting ada pengisiannya. Untuk Anas, ia menyeronokkan. Untuk Mussaab, at least dia dapat 'sesuatu' juga walaupun dia kurang berminat berbanding Anas. Dapat libatkan Mussaab dalam aktiviti seperti ini pun dah kira berbaloi sangat, walaupun sekejap je fokusnya :)