Friday, 22 April 2016 0 comments By: Naemah

MULIA SEORANG IBU


Betapa seorang ibu itu sangat mulia di sisi Allah. Betapa ibu lebih dimuliakan berbanding bapa dan yang lain. Betapa Islam menitikberatkan soal ketaatan kepada ibu dan terlalu banyak ayat al Quran dan Hadis yang menceritakan tentang kemuliaan seorang ibu dan kewajipan dalam mentaati ibu.

YA, kerana hakikatnya seorang ibu itu tersangat mulia. Dari ibu kita dilahirkan, disusukan, dipeluk, dibelai, didodoi, dipujuk, dididik, diajar tentang banyak perkara, dan sesungguhnya ibu terlalu banyak berkorban dan berjasa. Hanya kita yang jarang menyedarinya...

Kerana jarang si ibu ingin mengeluh atas kesusahannya. Tak siapa yang rasa perit penderitaannya, dari melahirkan dan menjaga si anak hingga dewasa. Kesusahan yang kita lihat, hanya sebahagian dari apa yang diselindungkan di dalam hatinya.

kini setelah bergelar ibu, sedikit demi sedikit aku mengerti kepayahan seorang ibu. Masih belum sepenuhnya mengerti, namun gelaran ibu ini sedikit demi sedikit mengajarku erti pengorbanan seorang ibu. Meski banyak khilaf dalam menjalankan tugasan ini, aku tetap belajar dan cuba untuk mengerti. Rindu pada ibu yang melahirkan dan membesarkan, rasa berdosa pada ibu yang banyak berkorban dan berjasa. Tak mampu untuk ku balas jasanya. Semoga Allah tempatkan ibu di kalangan hambaNya yang soleh. ameen

Kerana mulianya seorang ibu, terkadang rasa bangga menjadi seorang ibu. Namun dalam masa yang sama, tetap perlu ingatkan diri bahawa kemuliaan itu sesuatu yang perlu diusahakan. Ya, betapa kita menanggung keperitan melahirkan si anak, menjaganya dari kecil dengan penuh kasih sayang, tapi bukan sekadar itu. Bagaimana pula dengan bentuk didikan yang kita berikan pada anak, adakah nilai murni yang kita tanamkan dalam jiwanya, bagaimana pembentukan akhlaknya, sudahkah kita kenalkan dia pada Allah dan Rasul, dan sebagainya.

Tak lupa, bagaimana pula tahap kesabaran saat berhadapan dengan sikap anak anak yang pasti banyak ragamnya. Adakah kita bersikap tenang dan sabar, atau lebih banyak menengking, mengherdik dan memarahinya. 

Dalam memikirkan kemuliaan seorang ibu, hati tak lepas dari rasa berdosa pada si anak. Salahnya sering dibalas dengan kemarahan, banyak pula pertanyaannya yang tak mampu diberi respon dengan sebaiknya, banyak masa yang sepatutnya untuk si anak dihabiskan pada perkara yang lain, mainnya jarang ditemani, permintaannya tak semua dapat dipenuhi meskipun simple, saat meragamnya pula dibalas dengan suara yang keras tanpa cuba untuk memahami hati dan kemahuannya. Sungguh, terlalu banyak dosa pada si kecil itu..

Dalam meraih kemuliaan itu, aku sedar aku perlu lebih banyak bersabar dan berusaha. Kemuliaan tak akan sendiri datang. Usah mimpikan kemuliaan andai kita sendiri jauh dari dari sikap yang mulia yang layaknya seorang ibu tampilkan. Usah juga mimpi untuk dimuliakan si anak jika kita sendiri sering mengabaikannya dan memberi layanan yang tak sewajarnya pada si anak. Bagaimana sikap dan layanan kita pada anak anak hari ini, memberikan gambaran bagaimana sikap dan layanan anak anak pada kita suatu hari nanti.

Maka  beringatlah wahai ibu sekalian, meskipun Allah meletakkan ibu di tempat yang mulia, namun kita juga perlu menilai diri kita apakah kemuliaan itu layak buat kita. Tidak salah untuk kita sentiasa muhasabah diri, kerana sesungguhnya kita sebagai manusia biasa pasti takkan terlepas dari melakukan kesalahan dan dosa meskipun pada anak anak kita. Ayuhlah bertaubat dan bersama memperbaiki kesilapan diri agar kemuliaan seorang ibu itu mampu kita raih. Insya Allah.

CATATAN KEHAMILAN: 15TH WEEK OF PREGNANCY



Alhamdulillah hari ini kandunganku berusia 15 minggu 2 hari. Sudah hampir mencecah usia 4 bulan. Tiada kata seindah lafaz Alhamdulillah, segala puji layaknya pada Allah yang satu.

Sempat ke klinik untuk scan baby di dalam kandungan. Sebenarnya agak risau dan tertanya tanya juga, bagaimana keadaannya. Walaupun sudah di trimester kedua, kebimbangan tetap ada, cuma kurang sedikit berbanding di awal kandungan dulu. Aku mengajak suami ke klinik sebaik pulangnya dari Labuan untuk scan anak ini.

Kami ke klinik berdekatan dengan rumah iaitu klinik pakar wanita asyifa di Pelangi 2 Semenyih. Suami dan anak anak ikut sama untuk melihat baby yang discan. Kali ketiga aku scan, dan ini kali pertama suamiku melihatnya. 

Alhamdulillah, segalanya baik. Gembira hati ini dapat melihat baby yang sihat di dalam rahimku. Nampak segala kepala, tangan, kaki, tulang dan pusat. Pembesarannya juga sama dengan tarikh jangka mengikut tarikh akhir period. Hati syukur tak terkata, lenyap kebimbangan yang ada. Suami juga kelihatannya teruja buat pertama kali melihat anaknya ini. Tambahan pula doktor memberi harapan anak ini mungkin girl. Lagi seronoklah... Insya Allah. Apa saja takdirNya aku tetap terima. Yang pasti, jantinanya masih belum pasti. Mengikut kata doktor, kalau lelaki kebiasaannya sudah nampak 'lelaki'nya :D

Anas tak kurang excitednya melihat baby yang sedang bergerak gerak. Dia tahu dia bakal dapat adik. Mussaab pula mungkin masih kurang mengerti. Tapi dia tahu dia sedang melihat seorang baby. Tapi tak tahulah pula dia akan ada adik nanti :)

Selesai scan, kami ke KL untuk settlekan urusan suami di ofisnya berdekatan KLCC. Sekejap saja urusannya. Kemudian kami ke Taman Tasik Perdana atas permintaan Anas. Walaupun cuaca dah agak panas, penuhi juga la permintaan si anak. Biarkan mereka bermain sepuasnya di taman permainan. Sempat juga menjamu selera di cafe yang ada di situ.

Selepas itu ke ioi Mall Putrajaya semata mata nak belikan mainan anak di toys r us. Maklumlah suamiku akan ke Labuan lagi untuk beberapa hari. Pastinya dia nak gembirakan hati si anak yang sudah banyak hari ditinggalkan dan bakal ditinggalkan lagi. 

Selesai urusan, terus bertolak balik ke rumah. Agak memenatkan juga, tapi syukur segala urusan selesai. Paling happy dapat lihat baby yang sihat di dalam kandunganku.

Terima kasih ya Allah di atas anugerah Mu ini. Semoga anak di dalam kandunganku ini terus sihat dan selamat dilahirkan. Permudahkan ya Allah...

Aameen
Wednesday, 13 April 2016 0 comments By: Naemah

BERAPA LAMA LAGI

picture: here


Semua insan mengimpikan hidup bahagia selamanya bersama pasangan. Jika diizinkan Allah, ingin bersama selamanya di dunia dan di akhirat.

Namun kita sendiri tidak tahu, entah berapa lama lagi akan hidup bersama. Mungkinkah masih ada hari esok untuk kita berdua meneruskan kehidupan dan cinta? Sesungguhnya tak siapa dapat menjamin bagaimana takdir hari esok.

Namun dalam sedar atau tidak, tempoh masa akan semakin singkat. Entah siapa yang akan pergi dulu. Entah bila...

Masa yang singkat tidak wajar dipersiakan. Mengapa antara kita mesti ada sengketa, sakit hati, salah sangka, hingga membawa kepada rajuk yang panjang, dan marah yang tidak reda.

Memang asam garam kehidupan, kita tak selalunya sefahaman. Malah sering pula berbeza, namun tenanglah mencari jalan keluar. Jangan diikut rasa hati yang sakit dan marah. Jangan renggangkan hubungan yang hakikatnya saling mencintai.

Ya. Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan sengketa dan masam muka. Kalaulah kita menyedari hakikat ini, pasti kita akan menghargai setiap detik bersama. Kerana hakikatnya kita saling mencintai.

Muhasabah diri... 
Agar masa bersama menjadi saat dan detik yang terindah dalam hidup kita dan dia. 
Agar tiada penyesalan di suatu hari nanti, saat dia sudah tiada di sisi lagi.

Sungguh, masa ini terlalu berharga untuk disiakan. Entah berapa lama lagi....
Sunday, 10 April 2016 0 comments By: Naemah

DIA YANG PERTAMA BUAT SUAMI


picture: here


Saat sah bergelar isteri, kita bukan hanya ada suami, malah dikurniakan bersama ibubapa mertua dan ahli keluarga yang lain.

Wahai isteri,

Ketahuilah, meskipun kini dirimu adalah isteri buat suamimu, namun ibunya adalah yang paling berhak ke atas suamimu. Ibunya adalah yang pertama, maka jangan cuba untuk menyaingi ibu mertuamu.


Wahai isteri,

Jika ibu mertua kerap meminta tolong dari suamimu, maka jangan dihalang suami memenuhi hajat ibunya. Mungkin dia berhajat untuk dibawa ke sesuatu tempat, atau minta membelikannya sesuatu, atau minta membuat sesuatu, atau sebagainya. Biarkan suamimu memenuhi hasrat ibunya meski di saat dan ketika mana sekalipun.


Wahai isteri,

Jangan dilarang suami untuk menghulurkan wang ringgit pada ibunya meski kau tahu si ibu tidak memerlukannya. Asalkan nafkah buatmu cukup, mengapa tidak yang selebihnya dihulurkan buat ibu mertuamu. Mungkin dia tidak perlu, tetapi itu adalah sedikit tanda penghargaan dari suami buat ibunya. Rezeki yang hadir itu juga, datang kerana berkat si ibu meski kita jarang menyedarinya.


Wahai isteri, 

Jangan diambil hati jika melihat ibunya lebih tahu dan memahami suamimu. Saat kamu mahukan yang berbeza untuk suamimu, sedang ibunya mahukan yang lain, maka turutilah dengan rela, kerana hakikatnya ibunya lebih memahami anaknya itu. Atau mungkin ada situasi di mana suami lebih selesa bercerita masalahnya kepada ibunya berbanding dirimu, maka jangan rasa kecil hati kerana mungkin di situ suami beroleh ketenangan melalui kata nasihat ibu yang melahirkannya.


Wahai isteri, 

Jangan pernah ada rasa cemburu pada ibu mertuamu meski secebis. Dia seorang ibu yang mulia yang tidak wajar dicemburui. Jangan merasa suami terlalu melebih lebihkannya, dan jangan pula meminta perhatian yang lebih dari suami. Tak perlu juga untuk bersaing dengan ibu mertua sendiri demi meraih lebih perhatian dari sang suami. Berlapang dadalah, menyokong bakti suami buat ibunya, dan seadanya menikmati cinta ikhlas dari suami.


Wahai isteri,
Jangan biarkan dirimu menjadi penghalang buat suamimu berbakti kepada ibu yang telah melahirkannya. Meskipun dirimu adalah isteri, namun ibu  itu tetap adalah ibunya yang tak perlu dinafikan betapa besarnya pengorbanan si ibu buat anaknya ini. Dia yang melahirkan dan membesarkan dengan susah payah, dia yang saban hari mendoakan anaknya tanpa pernah jemu.

Wahai isteri,

Sedarlah di mana letakmu di sisi suami. Meski kamu seorang isteri yang sangat dicintai, sedarlah bahawa ibu mertua adalah yang paling penting buat suami untuk diutamakan dan dimuliakan. Kerana di situ letak syurga suami, di situ ada keredhaan buat suami. Biarkan sang suami terus berbakti buat ibunya, bersama sokonganmu. Jadilah isteri yang memahami, bukan hanya minta difahami.


Wahai isteri, 

Biarkan suami menjalani hidup ini dengan penuh ketenangan. Tidak berbelah bagi antara keutamaan buat ibunya dan cinta buat isterinya. Biarkan dia berbakti pada ibunya tanpa jemu dan tanpa halangan, dan terus mencintaimu tanpa rasa berdosa.


Hanya setitis peringatan buatku yang bergelar isteri. Semoga diri ini tidak menjadi penghalang buat suami untuk berbakti pada ibu yang melahirkannya. Semoga suami mendapat keredhaan ibu dan keredhaan Allah. Kerana dari situ juga akan lahir keberkatan di dalam rumahtangga yang sedang dijalani bersama suami tercinta. Insya Allah.
Saturday, 9 April 2016 0 comments By: Naemah

KEHADIRAN YANG DINANTI

Kehamilan...
Kerap pula aku menulis tentang kehamilan di laman blog ini.
Ya, kerana keadaan diri yang sedang hamil, bercampur rasa syukur dan gembira di atas kehamilan ini. Ia kehamilan yang dinanti, kehadiran si kecil yang sangat diharapkan..


Aku bahagia dengan kehamilan ini. Walau ku tahu aku bukan ibu yang sempurna. Malah banyak khilaf pula sepanjang menjalankan tugas sebagai ibu. Khilaf yang sering ku kesali. Khilaf yang tak pasti mendapat pengampunan Allah atau sebaliknya. Ia sangat menggusarkan hatiku.

Malah dalam gembira dan tak sabar menanti kelahiran ini, aku sering dihimpit rasa bersalah dan berdosa pada anak anak yang dah ada di depan mata. Konon penat mengandung, aku abaikan mereka, dan sering pula marah marah mereka. Maka apa maknanya seorang anak padaku? Jika lahirnya dinantikan, kewujudannya sering diabaikan. Bimbang dan gusar, yang sedang dikandung ini juga diperlakukan yang sama. Betapa aku insan yang tidak bersyukur. Semoga Allah memberiku peluang untuk memperbaiki diri.

Di kehamilan ini juga, aku tak jemu mencatat tentang kandungan dan keadaan diriku saban hari. Sama seperti pengalaman mengandung yang lepas2 juga. Betapa aku bersyukur dan menghargai setiap kehamilanku. Betapa aku menanti kehadiran setiap anak anakku.

Dan kerana aku pernah merasakan kesedihan kerana sebuah kehilangan. Dua kehilangan akibat keguguran. Hanya aku yang merasakan betapa sedihnya, dan betapa sakitnya.. Maka aku perlu lebih menjaga, perlu lebih memerhati keadaan diri.

Pengalaman bersalin juga 'sakit' dan 'perit'. Tapi ia satu jalan kepada sebuah kebahagiaan. Bahagia menatap anak kecil yang dilahirkan. Comel dan sihat... Itu sudah memadai. Kesakitan itu mampu dilenyapkan oleh sebuah kebahagiaan. Ya, sangat bahagia dengan kehadiran si kecil.

Sudah dua kali mengecapi bahagia itu. Kini yang ketiga pula. Dalam gembira, hati tetap ada gusar. Kerana apa yang bakal terjadi di masa depan tak siapa yang tahu. Hanya berbekalkan harapan dan doa. Agar Allah sentiasa menjaganya untukku. Walau aku juga tak terlalu menjaga. Terutamanya bab makan dan bab mengawal emosi. Aku sering tewas dan sering tersilap. Dan pastinya... Hati tak lepas dari rasa berdosa pada janin di dalam rahim ini.

Ya Allah... Hanya padaMu aku memohon dan berserah. Aku terlalu banyak dosa dan khilaf. Aku pohon agar dilindungi kandunganku ini. Jadikan dia anakku yang sihat sempurna dan membesar sebagai hambaMu yang soleh. Aameen



PERTAMA DAN SETERUSNYA

Saat berbadan dua..
Saat kamu diberi perhatian, dibelai dan dimanja.


Ya, saat pertama kali mengandung itulah yang kamu rasakan.
Dapat berehat sepenuhnya, tiada yang marah kerana semua orang pun faham.


Bila kehamilan seterusnya, dan seterusnya...
Saat ini kamu juga mengharapkan situasi yang sama.
Dapat berehat, dapat 'bercuti' dari rutin harian, atau sekadar dapat merasakan keadaan diri difahami.


Tambahan pula mengandung dalam keadaan diri yang lebih 'berusia'.. 
Kadang sakit di situ, lenguh di sini.
Kadang lemah badan, sakit kepala.
Nak kerap mengadu, terasa dah bukan masanya untuk bermanja2,
Kadang bimbang dianggap mengada2,
Maklumlah... Bukan pertama kali.


Walau dalam hati merindui layanan seperti dulu,
Tetap perlu 'sedar diri' dan ingatkan diri,
Tak boleh nak senang lenang dan minta dibelai,
Anak anak yang ada harapkan perhatian dan layanan, 
Dulu tak mengapa hanya sendiri dilayan bak permaisuri.
+

Sedarlah diri...dulu dan kini dah tak serupa. 
Syukur andai masih ada yang sudi memahami dan mengambil berat tentang diri..
Friday, 8 April 2016 0 comments By: Naemah

APRIL DAN REJAB UPDATE

Berada di kampung..
Entah kali ke berapa balik kampung tahun ni. Agak kerap juga, atas pelbagai sebab. 
Kali ni pulang agak lama memandangkan suami akan bertugas di Labuan selama seminggu.


Alhamdulillah kandungan dah masuk 13 minggu. Syukur pada yang ESA atas anugerah dan nikmat ini. Semoga Allah sentiasa menjaga kandunganku.

Anas dan Mussaab makin membesar, sihat dan cerdik. Alhamdulillah.. Dah terlalu lama tak update tentang aktiviti dan pencapaian mereka di dalam blog ini. Tak dapat nak catatkan tentang mereka dek kerana kekangan demi kekangan. Tambahan pula menghadapi 3 bulan pertama mengandung yang penuh cabaran. Langsung tiada mood untuk menulis di blog.

Kini keadaan diri semakin baik. Tiada morning sickness yang mengganggu lagi. Makan pula bertambah2 seleranya. Excited nak teruskan minggu2 yang berikutnya. Insya Allah segalanya akan lebih baik.

Kini di bulan April 2016. Dah masuk 1 Rejab, Subhanallah. Bererti kian mendekati Ramadhan yang seterusnya. Ramadhan yang dinanti, semoga dapat bersua. Ramadhan kali ini akan ditempuhi dalam keadaan diri berbadan dua. Insya Allah dapat sempurnakan Ramadhan ini dengan sebaiknya. Lagipun sudah ada pengalaman berpuasa ketika mengandung. Ketika mengandungkan Anas dan Mussaab juga sempat melalui Ramadhan yang berkat. Alhamdulillah segalanya baik.

Semoga Allah menjaga kesihatanku dan anak yang sedang kukandung. Semoga Allah sentiasa menjaga kekuargaku, suami dan anak anakku. Semoga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayangNya. Aameen