Sunday, 10 April 2016 By: Naemah

DIA YANG PERTAMA BUAT SUAMI


picture: here


Saat sah bergelar isteri, kita bukan hanya ada suami, malah dikurniakan bersama ibubapa mertua dan ahli keluarga yang lain.

Wahai isteri,

Ketahuilah, meskipun kini dirimu adalah isteri buat suamimu, namun ibunya adalah yang paling berhak ke atas suamimu. Ibunya adalah yang pertama, maka jangan cuba untuk menyaingi ibu mertuamu.


Wahai isteri,

Jika ibu mertua kerap meminta tolong dari suamimu, maka jangan dihalang suami memenuhi hajat ibunya. Mungkin dia berhajat untuk dibawa ke sesuatu tempat, atau minta membelikannya sesuatu, atau minta membuat sesuatu, atau sebagainya. Biarkan suamimu memenuhi hasrat ibunya meski di saat dan ketika mana sekalipun.


Wahai isteri,

Jangan dilarang suami untuk menghulurkan wang ringgit pada ibunya meski kau tahu si ibu tidak memerlukannya. Asalkan nafkah buatmu cukup, mengapa tidak yang selebihnya dihulurkan buat ibu mertuamu. Mungkin dia tidak perlu, tetapi itu adalah sedikit tanda penghargaan dari suami buat ibunya. Rezeki yang hadir itu juga, datang kerana berkat si ibu meski kita jarang menyedarinya.


Wahai isteri, 

Jangan diambil hati jika melihat ibunya lebih tahu dan memahami suamimu. Saat kamu mahukan yang berbeza untuk suamimu, sedang ibunya mahukan yang lain, maka turutilah dengan rela, kerana hakikatnya ibunya lebih memahami anaknya itu. Atau mungkin ada situasi di mana suami lebih selesa bercerita masalahnya kepada ibunya berbanding dirimu, maka jangan rasa kecil hati kerana mungkin di situ suami beroleh ketenangan melalui kata nasihat ibu yang melahirkannya.


Wahai isteri, 

Jangan pernah ada rasa cemburu pada ibu mertuamu meski secebis. Dia seorang ibu yang mulia yang tidak wajar dicemburui. Jangan merasa suami terlalu melebih lebihkannya, dan jangan pula meminta perhatian yang lebih dari suami. Tak perlu juga untuk bersaing dengan ibu mertua sendiri demi meraih lebih perhatian dari sang suami. Berlapang dadalah, menyokong bakti suami buat ibunya, dan seadanya menikmati cinta ikhlas dari suami.


Wahai isteri,
Jangan biarkan dirimu menjadi penghalang buat suamimu berbakti kepada ibu yang telah melahirkannya. Meskipun dirimu adalah isteri, namun ibu  itu tetap adalah ibunya yang tak perlu dinafikan betapa besarnya pengorbanan si ibu buat anaknya ini. Dia yang melahirkan dan membesarkan dengan susah payah, dia yang saban hari mendoakan anaknya tanpa pernah jemu.

Wahai isteri,

Sedarlah di mana letakmu di sisi suami. Meski kamu seorang isteri yang sangat dicintai, sedarlah bahawa ibu mertua adalah yang paling penting buat suami untuk diutamakan dan dimuliakan. Kerana di situ letak syurga suami, di situ ada keredhaan buat suami. Biarkan sang suami terus berbakti buat ibunya, bersama sokonganmu. Jadilah isteri yang memahami, bukan hanya minta difahami.


Wahai isteri, 

Biarkan suami menjalani hidup ini dengan penuh ketenangan. Tidak berbelah bagi antara keutamaan buat ibunya dan cinta buat isterinya. Biarkan dia berbakti pada ibunya tanpa jemu dan tanpa halangan, dan terus mencintaimu tanpa rasa berdosa.


Hanya setitis peringatan buatku yang bergelar isteri. Semoga diri ini tidak menjadi penghalang buat suami untuk berbakti pada ibu yang melahirkannya. Semoga suami mendapat keredhaan ibu dan keredhaan Allah. Kerana dari situ juga akan lahir keberkatan di dalam rumahtangga yang sedang dijalani bersama suami tercinta. Insya Allah.

0 comments:

Post a Comment