Jalan-jalan Perlis. Akhirnya sampai juga. Ini adalah catatan ringkas kenang-kenangan percutian singkat kami (2 hari 1 malam) di Negeri Perlis.
19/9/2021 (Khamis)
Turun dari rumah mek jam 5.30 pagi dan singgah solat Subuh di Masjid Jeli. Meneruskan perjalanan dan singgah bersarapan di Gerik. Sambung perjalanan lagi, sehingga tiba di Perlis sekitar jam 12 tengahari. Alhamdulillah.
Wang Kelian View Point merupakan destinasi pertama kami. Ianya memang terkenal dan menjadi tarikan pengunjung yang datang ke Perlis. Pada ketinggian 304 meter, kita dapat menyaksikan panorama yang sangat indah. Tapi sayang, waktu kami datang cuaca tak begitu baik. Sekejap hujan, sekejap tidak. Langit pun ada ketikanya gelap dan ada ketikanya sedikit cerah. Walaupun tak seperti yang diharapkan, kami masih boleh menikmati pemandangan yang cantik dari Wang Kelian View Point ini.
Info
Gua Kelam 2 adalah destinasi kami yang seterusnya. Oleh kerana cuaca yang kurang baik, Gua Kelam 1 ditutup kepada pengunjung (biasanya orang masuk Gua Kelam 1). Hanya Gua Kelam 2 yang selamat untuk dilawati. Kami perlu berjalan sejauh 700 meter ke dalam, dan masa yang diambil lebih kurang 40 minit (20 minit masuk dan 20 minit keluar). Agak ramai juga pengunjung hari ini, meskipun dalam keadaan cuaca yang tak menentu ini. Anak-anak beroleh pengalaman berharga merasai suasana di dalam gua yang gelap dan melihat sendiri apa yang ada kat dalam gua.
Info
Dataran Kampung Wai adalah destinasi kami yang seterusnya. Kononnya nak naik bot menyusur sungai/terusan yang berhubung dengan empangan Timah Tasoh. Tapi sekali lagi, keadaan cuaca tak mengizinkan. Air sungai deras mengalir. Hanya datang melihat dan mengenal tempat sajalah.
Info
Kerana waktu dah hampir gelap, kami terus ke homestay yang sudah ditempah. Kami stay di D’Petak Homestay, Simpang Empat. Homestay 2 bilik yang kecil comel, namun selesa dan memadailah buat kami sekeluarga menginap. Dikelilingi pula sawah padi, memang cantik dan tenanglah menginap di situ. Kalau datang masa padi tengah menguning, tentunya lebih cantik pemandangannya (masa datang ni orang padi tengah dituai).
Lepas check-in, solat dan rehat sekejap, kami keluar untuk makan malam. Tadi hanya makan breakfast di Gerik, dan tak makan tengahari (adalah kunyah roti dan makan ringan yang dibeli di Wang Kelian tadi). Makanya semua sudah lapar yang amat.
Kami makan malam di Restoren Ana Burger yang agak famous juga di sini (carian google je). Alhamdulillah, makanan sedap-sedap, portion banyak, dan harga berpatutanlah dengan portion.
Lepas makan, menuju ke Masjid Alwi di Kangar. Suami yang memang teringin sangat nak solat kat sini, akhirnya dapat solat juga. Patutnya ada kuliah Dr Maza malam ni, tetapi dibatalkan. Tak ada rezeki nak dengar. Kami terus menuju balik ke homestay. Seharian berjalan, semua pun dan kepenatan dan tidur awal.
20/9/2024 (Jumaat)
Suami (bersama 2 anak) sekali lagi bersolat Subuh di Masjid Alwi (jaraknya dalam 15km dari homestay). Lepas solat subuh, beli nasi lemak di warung berdekatan homestay, dan menikmatinya bersama-sama di halaman. Menikmati sarapan di tepi sawah padi, nikmatnya! Walaupun asal kampung juga, suasana dan pemandangan kali ini sangat berbeza. Panorama yang susah nak jumpa dah!
Kemudian sekitar jam 9.30 pagi, terus check out dari homestay dan menuju ke destinasi pilihan yang seterusnya iaitu Muzium Kota Kayang. Agak leka juga berada di dalam muzium melihatkan khazanah dan bahan tinggalan sejarah yang berkaitan dengan negeri Perlis. Di luar muzium terdapat kolam ikan (boleh bagi makan ikan), ada gua, perigi diraja dan juga makam sultan terdahulu (muzium ini adalah tapak istana raja pada suatu ketika dulu).
Info
Seterusnya menuju ke Taman Ular dan Reptilia Perlis. Pusing-pusing kat dalam tu tengok berbagai spesis ular, dan binatang-binatang lain yang terdapat di situ seperti Rusa, burung unta, ayam, kucing (ada satu sangkar besar dinamakan bustana kucing) dan lain-lain. Tapi tak banyak sangatlah. Kami berada kat situ lebih kurang 1 jam.
Info
Jam 12.30 meninggalkan Taman Ular dan keluar mencari kedai makan untuk makan tengahari. Waktu solat Jumaat juga sudah semakin hampir. Mulanya menuju ke restoren viral (Restoren Suri), tapi penuh sesak dah dengan kereta dan orang ramai yang sedang makan dan beratur membeli makanan. Tak nak buang masa, kami menuju ke kedai makan yang lain yang tak jauh dari situ juga. Alhamdulillah, banyak pilihan dan sedap juga masakannya.
Lepas tu suami dan anak-anak lelaki menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid yang tak jauh dari kedai makan tadi (tak ingat nama masjidnya).
Selesai sudah, kami menuju pula ke destinasi terakhir kami di Perlis iaitu Padang Besar (kawasan sempadan Perlis dan Thailand) untuk ‘kenal’ tempat dan membeli apa yang patut kat sini. Tempatnya seakan Rantau Panjang di Kelantan, penuh dengan pasar-pasar dan jualan, tapi kat sini lagi banyak kedai. Barang yang dijual pun lebih kurang sama je dengan apa yang ada kat Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur.
Info
Tak shopping sakan sangat kat sini,sekadar belikan selipar untuk Anas dan Mussaab, mainan untuk Suri, burger (thai) dan kopi, dan kacang gajus. Itu saja. Kemudian terus meninggalkan Padang Besar, dan meninggalkan Perlis dengan 1001 kenangan yang manis. 2 hari 1 malam, memang tak sempatlah nak pergi banyak tempat.
Ingatkan dah menuju balik ke Semenyih, rupanya suami melencong ke Pulau Pinang. Nak cari nasi kandar, katanya. Jam 7 petang kami dah menyusuri jambatan Pulau Pinang. Solat jamak maghrib-isyak di Masjid Negeri Pulau Pinang yang besar dan selesa, kemudian menjamu selera di Restoren Nasi Kandar Kampung Melayu. Ianya famous kat sini, dan perlu beratur panjang nak beli, walaupun masa sampai tu dah pukul 8.30 (kedai tutup pukul 10 malam). Alhamdulillah puas hati makan kat sini. Tambahan lapar, nasi kandar terasa amat menyelerakan.
Lepas makan, tanpa membuang masa terus memecut balik ke Semenyih (bertolak dalam pukul 9.30 malam). Dan Alhamdulillah akhirnya tiba di rumah jam 2.30 pagi.
Tamatlah percutian singkat di Negeri terkecil di Malaysia iaitu Perlis. Walaupun kecil, banyak tempat menarik untuk dikunjung. 2 hari di sana, memang tak sempat nak jejak semua. Pergi mana yang sempat jelah. Apapun, bestlah jalan-jalan kat Perlis. Jalan tak sesak, suasana tenang dan lengang, dapat menikmati panorama cantik sawah padi, gunung dan bukit bukau, alam semulajadi ciptaan Allah. Jika ada rezeki dan peluang, bolehlah ke Perlis lagi dan mengunjungi tempat menarik yang lain pula :)
Apa yang lebih penting lagi, ianya satu pengalaman yang mampu abi hadiahkan buat anak-anaknya untuk dkenang di masa depan. Inilah saat manis perjalanan kita ketika masih dekat dan bersama-sama kan?
0 comments:
Post a Comment