Saturday 3 February 2024 By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: INGIN MENIKMATINYA



Alhamdulillah, sudah berada di minggu ke-36 kehamilan. Jika memang perlu bersalin pada minggu ke-38 (kerana kencing manis), bermakna sudah tidak lama lagi penantian dan debaran ini. Tapi sehingga hari ini, belum diberi tarikh untuk bersalin (secara induce). Mungkin next appointment atau bila dah balik kampung nanti akan dapat tarikhnya.


Mengandung kali ini, ummi tak berkesempatan sangat nak mencatat perihal kehamilan ini. Banyak alasan, bila melalui hari yang penat, mood menulis pun langsung tiada.


Ini mungkin kehamilan ummi yang terakhir (Allah jualah yang Maha Tahu). Ummi kalau boleh, nak sangat memberi sepenuh perhatian pada kandungan ini. Sebab mungkin yang terakhir, yang satu hari nanti ummi pula merindu manisnya saat-saat mengandungkan anak-anak. Ya, kalau boleh nak ‘menikmati’ saat ini sebaiknya dari awal mengandung hingga melahirkanmu.


Tetapi, sedar-sedar kini dah di hujung kehamilan. Dah tak lama mahu melahirkanmu. Melalui segalanya dengan sangat mudah, Alhamdulillah! Tak dinafikan, terselit ujian di antara perjalanan sepanjang 9 bulan ini, namun bukanlah ujian berat yang hingga ummi perlu meratapi.


Mengimbas di awal kehamilan dulu, ummi sedar yang ummi mengandung ketika abi berada di tanah suci mengerjakan haji. Ummi lalui trimester pertama sendirian, sambil menguruskan anak-anak yang lain sepanjang abi di tanah suci. Trimester pertama ada banyak kerisauan memandangkan kandungan masih baru dan pernah melalui keguguran suatu ketika dulu. Dan tak kurang risaunya, bila mengandung kali ini ada pakej kencing manis sekali.


Namun Alhamdulillah segalanya baik. Abi pulang di hujung trimester pertama dan ummi meneruskan rutin yang biasa pada dua situasi (abi ada di rumah dan abi kembali bekerja di laut). Bila abi di rumah, banyak kerja ummi menjadi mudah kerana abi sangat membantu. Ummi juga tak perlu drive hantar dan ambik anak-anak sekolah. Banyak trip sehari, dan itu pun sudah memenatkan. Tapi bila abi tiada di rumah, terpaksalah. Dan syukur juga, segalanya Allah permudahkan, di samping ummi diberi kesihatan yang baik sepanjang kehamilan ini. Hanya diuji penat lelah yang biasa saja.


Dan begitulah sepanjang hari, minggu dan bulan. Tanpa culas memenuhi temujanji klinik dan hospital, tanpa culas mengambil ubat, sebaiknya menjaga makan minum, di samping memenuhi tuntutan harian sebagai ibu kepada 4 orang anak yang semuanya perlu diberi perhatian sewajarnya. Susah nak cakap, mencabar tetapi masih bisa diharungi dengan pertolongan Allah. Cumanya.. perhatian ummi banyak kepada aktiviti harian ummi. Jarang dapat duduk mengusap dan membelai kandungan yang kian membesar. Rutin membaca al-Quran juga singkat, sebab malamnya pula sessi mengajar anak-anak al-Quran. Itupun juga baik kan? Dan pada masa berehat, memang  ummi rehat dan layan perasaan sendiri saja kan? Maafkan ummi…


Mengandung kali ini, ummi masih setia dengan catatan di buku ‘diari hamil’, mencatat perkembangan dan keadaan diri sepanjang kehamilan ini. Pun tiada banyak yang perlu diberi perhatian kerana pada ummi, segalanya baik dan normal saja. Hanya perlu lebih perhatian pada bacaan bsp dan hb. Yang lain, tiada masalah.

 

Tanpa lupa juga, saban hari ummi mengira gerakan baby seperti yang disarankan. Alhamdulillah baby aktif dan cukup gerakan. Tiada yang ummi perlu risaukan. Seperti yang pernah ummi katakan, mengandung kali ini terasa amat mudah biarpun di balik ujian yang ada. Allah Maha Baik. 


Berbaki lebih kurang 2 minggu sahaja lagi, ummi harap dapat beri lebih perhatian pada kandungan ini. Tak terlalu selesa kerana melalui perjalanan yang mudah. Tak alpa, hingga tak sedar ada yang bermasalah, nauzubillah! Moga Allah terus melimpahkan rahmatNya dan memudahkan segalanya. 


Kehamilan kali ini. Ummi benar ingin menikmatinya. Tetapi sudah di hujung perjalanan. Ummi terasa seperti banyak yang tertinggal di belakang. Tetapi masa takkan berundur lagi. Perjalanan kita teruskan. Moga ummi dan kamu, sihat dan baik sentiasa dalam jagaan Allah. Masanya kian hampir. Nanti kamu tak lagi di alam rahim ini. Bakal bersua di alam dunia yang nyata ini. Bukan hanya bersama ummi, tetapi ramai lagi yang sedang menanti. Insya Allah melimpah kasih sayang buatmu yang bakal lahir ini. 


Ummi menanti saat manis bersua denganmu. 

0 comments:

Post a Comment