Setelah menempuh hari-hari yang telah berlalu. Akhirnya di sini catatan ummi menyusul. Alhamdulillah sudah berada di bulan ke-4 kehamilan. Bermakna sudah berlalu trimester pertama (sehingga 23/8/2023) Alhamdulillah.
Nak tambah anak lagi?
Persoalan yang sering hadir kepada diri setelah Allah hadiahkan ummi dan abi 4 cahaya mata (Suri yang terakhir 2019).
Kalau ikutkan rasa, memang rasa teringin nak anak lagi. Tapi banyaknya yang perlu diambil kira, setelah umur kian meningkat, diuji dengan masalah kesihatan, dan betapa sibuknya hari yang berlalu bersama 4 anak yang sudah bersekolah semuanya. Bimbangnya, kalau diri tak cukup mampu untuk ada yang ke-5.
Pregnant akhirnya
Namun rasa ingin itu tidak padam. Cuma berteka-teki dengan keupayaan diri. Dan akhirnya Allah memberikan jawabnya. Satu lagi hadir dalam rahim ummi. Dalam rasa ‘surprise’ sangat, tetap syukur itu mengatasi. Tambahan ketika tahu mengandung, abi jauh di tanah suci menunaikan haji. Biarpun terpisah beribu batu, ummi dan abi saling berkongsi rasa gembira dan syukur atas anugerah Allah ini.
Melalui 3 bulan pertama dengan penuh debaran juga, memandangkan pernah dua kali keguguran (lama dahulu). Hanya mampu berdoa dan berserah. Semoga Allah jaga dan lindungi dari segala musibah. Dan Alhamdulillah, sudah melepasi 3 bulan pertama dengan baik.
Ultrasound pertama
Pada minggu ke-8, ummi ke Klinik Mediputri untuk scan kandungan buat pertama kali (abi belum balik). Untuk lebih confirm kehadiran janin dalam rahim ini, dan untuk pastikan dia sihat dan baik saja. Alhamdulillah Allah hadiahkan sekali lagi satu rasa yang tak mampu digambarkan dengan kata-kata, saat melihat kewujudannya buat pertama kali di dalam rahim. Kelihatannya baik dan sihat. Tapi ketika itu masih terlalu kecil.
Scan kedua adalah pada hari membuka buku mengandung di KK Rinching Tengah (minggu ke-9) dan kali ke-3 ketika berjumpa doktor pakar di KK Beranang (minggu ke-11). Semuanya tiada bermasalah. Baby membesar normal dan baik saja, Alhamdulillah.
Simpton mengandung
Rasanya pengalaman di awal mengandung tak ada beza sangat dengan yang lepas-lepas. Tiada alahan teruk, hanya mual biasa. Pening kepala dan sembelit hampir tiada, cuma badan cepat rasa penat dan malasss sangat nak buat kerja. Pernah rasa tak bermaya sangat, bila cek tekanan darah memang low. Beberapa hari jugalah dalam keadaan macam tu. Tapi lama kelamaan rasa lesu itu berlalu juga. Makin di hujung trimester 1, makin rasa bertenaga. Alhamdulillah.
Berkongsi berita gembira dengan anak-anak
Tidak sah rasanya jika tak berkongsi kegembiraan ini bersama dengan anak-anak yang lain. Mencari-cari waktu dan masa yang sesuai. Biarlah berita gembira ummi dan abi menjadi berita gembira buat anak-anak juga. Akhirnya ummi khabarkan pada anak-anak tentang ‘adik’ mereka beberapa hari selepas scan yang pertama. Sudah tentu mereka teruja, yang lelaki mahukan adik lelaki, dan yang perempuan mahukan adik perempuan. Ah sudah.. macamlah ummi boleh tentukan nak yang mana. Kita serah pada Allah sajalah, ya anak-anak!
Buka buku pink
Alhamdulillah akhirnya buka buku mengandung di KK Rinching Tengah pada minggu ke-9 kehamilan (28/7/2023) dan setelah itu perlu patuh pada setiap temujanji yang diberikan. Seperti pengalaman yang lepas juga, tiada apa yang berubah. Bila sudah jadi ibu mengandung, klinik menjadi tempat yang akan sering dikunjung.
Bsp/kencing manis dan temujanji klinik
Satu bab yang sering menjadi ‘masalah’ ketika mengandung ialah ‘kencing manis’. Jika sebelum ini hanya mendapat kencing manis ketika mengandung, tapi kali ini sebelum mengandung dah ada kencing manis. Cuma pada ketika mengandung ini, bacaan hba1c (5.8) adalah terkawal dan dalam keadaan selamat untuk mengandung. Tapi bila sudah ada ‘penyakit’ ini, jadilah ummi ibu mengandung yang perlu diberi lebih perhatian. Kerap perlu ke klinik, kerap perlu jumpa doktor, malahan lebih kerap bila ada bacaan bsp yang tak cantik. Penat juga jadi ‘penunggu’ di klinik. Tapi apakan daya, bersabarlah. Ada hikmahnya. Insya Allah
Abi balik dari menunaikan haji
Alhamdulillah abi selamat tiba di Malaysia pada 30/7/2023. Pada ketika ini, kandungan ummi sudah berada pada minggu ke-9. Masih di trimester pertama, tiada perubahan ketara pada diri ummi, melainkan dah bermulanya rasa mual dan badan yang cepat penat. Alhamdulillah bila abi balik, banyak kerja ummi jadi mudah dan ringan. Paling tidak, bab hantar dan ambik anak sekolah, abi dah ambil alih. Kalau tak, semua di bahu ummi seorang. Walaupun abi juga perlu kembali bekerja, masih segalanya Allah permudahkan. Syukur sesungguhnya pada Allah yang mengatur segalanya.
Akhir catatan, tiada apa yang lebih baik dari ungkapan ALHAMDULILLAH atas kehadiran si kecil ini di dalam rahim ummi. Ummi mengharapkan kehadiranmu, dan ummi percaya Allah hadirkan pada saat dan waktu yang terbaik untuk ummi dan abi. Semoga terus sihat dan membesar sempurna di alam rahim ummi, sehingga sampai takdirNya kita bertemu dan bersua di alam dunia ini. Baik-baik saja anak ummi ya! Semua menanti kehadiranmu.
0 comments:
Post a Comment