Sunday 8 August 2021 By: Naemah

KEMATIAN YANG MENGHIDUPKAN BANYAK JIWA



Mutakhir ini,setiap hari mendengarkan berita kematian akibat virus covid-19. Semalam juga (8/8/2021) telah mencatat angka kematian tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 360 kematian.انّا للهوانّا اليه راجعون


Pagi ini (9/8/2021) sebaik terjaga dari tidur terus kucapai handphone dan menjenguk ig Shuib, suaminya Siti Sarah Raissuddin. Kenapa? Sebab semalam sebelum tidur menonton video live Shuib mengkhabarkan keadaan isterinya yang kritikal. Di hening pagi ini alangkah sebak menusuk hati, bila dapat tahu bahawa isterinya telah kembali ke pangkuan Pencipta sekitar jam 5.13 pagi tadi. Allahu Akbar! Tiada siapa boleh menidakkan ketentuanNya.


Tahukah semalam, kerap aku terjaga, ketika jaga ada ‘Siti Sarah’ dalam kepalaku. Lantas aku hadiahkan doa buatnya dan keluarganya. Entah kenapa. 


Aku percaya, bukan hanya aku, sejak Jumaat lalu kisahnya menjadi perhatian bila terpaksa ditidurkan untuk dikeluarkan bayi yang di dalam kandungannya, kerana keadannya yang kritikal oleh sebab virus covid-19. Selepas itu, aku asyik menjenguk ig suaminya untuk mengetahui perkembangannya. Lega dapat tahu bayi selamat dikeluarkan, lepas tu baby (premature) dah bergerak dan menendang, lepas tu level oksigen Sarah dah meningkat dari 40 ke 70, positif perkembangannya walaupun Sarah masih ‘tidur’. Suaminya pula yakin isterinya akan kembali dan tiap kalinya memohon untuk orang ramai mendoakan isterinya. Aku sudah membayangkan yang satu hari nanti Sarah akan kembali sihat dan bercerita pengalaman getirnya ini kepada umum.


Namun akhirnya, berita kematian juga yang diterima oleh kita semua. Dan aku lihat, bukan sedikit yang update dan mendoakan kesejahteraan buat arwah Siti Sarah. Para artis sudah tentunya, tak kurang ucapan takziah dari ahli-ahli politik, DG Hisyam sendiri, para doktor, asatizah, dan rakyat biasa yang mengenali dan tak mengenalinya. Hebat Siti Sarah ni! Ramai yang mendoakannya. Istimewa sungguh dia. 


Dalam masa yang sama, ramai yang bercerita dan menyebut tentang kebaikan Siti Sarah baik di kalangan rakan selebriti dan juga bukan selebriti. Kagum dengan kebaikan dan kebajikan di masa hidupnya. Tambahan sebelum ini melihatkan dia seorang yang sangat ceria, dan sangat bahagia dengan suami dan anak-anaknya. Ramai yang menyenanginya, suaminya pula sentiasa meredainya. Itu sudah cukup untuk buat banyak hati cemburu pada ‘kelebihan’nya.


Tidak ku pandang dia sebagai artis, dan bagaimana kisah hidup di zaman lampaunya. Kerana dia pergi saat dia sedang berusaha untuk berhijrah menjadi yang lebih baik dari yang sebelumnya. Sebelum pergi membuat banyak kebaikan, berbakti dan membahagiakan suami, memberi pendidikan agama pada anak-anak, dan mungkin amalan rahsia lain yang tak terlihat oleh manusia.


Perginya kerana wabak dan saat melahirkan, dan di dalam keredaan suami pula. Itu sudah memberi petunjuk kepada sebuah kematian yang baik (husnul khatimah). Insya Allah syurga buatnya.


Kini yang tinggal adalah kita yang masih hidup. Kisah kematian ini untuk ingatkan kita pada kematian kita yang juga bakal tiba. Tak tahu bagaimana pengakhiran kita nanti. Layakkah untuk mendapatkan sebuah kematian yang baik? 


Sesungguhnya aku cemburu. Sedar aku tak layak. Allah saja tahu, bahawa aku jauh dari layak untuk mendapatkan mati yang mulia seperti itu. Banyak sangat dosaku. Banyak sangat aib yang Allah tutup hingga tak terlihat oleh mata manusia. 


Kematian Siti Sarah ini memberi keinsafan padaku dan banyak orang. Bahawa kematian boleh datang bila-bila masa saja. Bahawa amal baik dalam kehidupan membawa kepada kematian yang baik. Bahawa keikhlasan membuatkan ramai orang sayang dan mendoakan. Bahawa keredaan suami akan mengiringi pemergian isteri solehah yang banyak menyenangkan hatinya. 


Ya Allah, moga Kau kurniakan keampunan buat Siti Sarah Raissuddin. Reda dan terima setiap amalan baiknya, dan anugerahkan dia tempat yang terbaik di sana. 


Ya Allah tenangkan dan lapangkan hati ibubapanya, suami, dan anak-anaknya yang ditinggalkan. Moga kan bersatu kembali mereka di sana.  


Doa dariku yang tak pernah mengenalinya secara individu. Hanya kenal dia sebagai artis terkenal dan berhijrah menjadi muslimah yang lebih baik. 


Moga aku juga kan mendapat sebuah pengakhiran yang baik. Moga kita semua… 


Allah bimbinglah langkah kami yang masih meneruskan kehidupan di dunia yang penuh tipu daya ini. 


آمين

0 comments:

Post a Comment