Bertempat di Dewan Gemilang UKM, aku menerima suntikan vaksin-AstraZeneca- dos pertama pada 27/7/2021.
Alhamdulillah setelah mendaftar pada Mac yang lalu, kemudian ‘berebut’ slot (untuk vaksin AZ ni), akhirnya sudah menerima suntikan pada tarikh yang tersebut. Suamiku pula dah terima lebih awal iaitu pada 26/6/2021. Dia akan menerima suntikan dos kedua pada 28/8/2021, sementara aku pula akan menerima suntikan dos kedua pada 28/9/2021. Semoga akan dipermudahkan juga untuk kami untuk lengkapkan dos vaksin.
Pengalaman menerima vaksin, aku seperti kebanyakan orang juga, pada hari pertama selepas suntikan tak rasa apa-apa, just lenguh pada bahu yang disuntik (kiri). Tidur malam seperti biasa, cuma bangun esok paginya rasa sakit kepala ringan, rasa lemah dan lesu, pendek kata sepanjang hari tu rasa ‘malas’ nak buat apa-apa. Buat semua dalam terpaksa. Kerja pdpr anak-anak (yang tertangguh semalam sebab pergi vaksin) pun tak ambik peduli. Mujur juga (Alhamdulillah) suami ada kat rumah. Banyak kerja rumah serah kat dia. Keadaan taklah teruk sangat, cuma rasa lemah dan kurang semangat. Ambil panadol, rasa legalah sikit.
Tapi hari tu juga dalam hati rasa kurang sedap. Macam-macam terlintas di fikiran. Tambahan di musim kemuncak covid ini, sesiapapun boleh terkena jangkitan. Ya Allah, aku rasa takut sangat. Dengan sejarah suami yang baru balik dari pusat kuarantin lagi (oh ya, aku belum menulis tentangnya di blog ini). Pendek kata, hari tu aku rasa kurang bersemangat, banyak sedih dan berdukacita, mudah tersentuh, rasa nak menangis saja. Tapi hanya diam dan layan perasaan sendirian sajalah. Tak terluah pada sesiapa.
Malam berikutnya masih dalam keadaan lemah. Malam tu aku masuk tidur lebih awal dari kebiasaan. Alhamdulillah bangun esok paginya aku dah kembali sihat, dan jadi macam biasa. Datang kembali semangat untuk teruskan hari-hari bersama suami dan anak-anak. Hari ni dah boleh buat banyak kerja, dan settlekan hal pdpr anak-anak. Alhamdulillah. Allah masih memberiku kehidupan.
Hari ni hari ke-12 selepas menerima vaksin dos pertama. Tak ada yang berbeza, tetap teruskan kehidupan macam biasa. Sabar menunggu dos kedua, dalam masa yang sama dihantui pelbagai rasa (takut terutamanya) melihatkan situasi sekarang, dengan kes harian yang semakin meningkat. Semalam angka kes paling tinggi (20,889 kes). Ya Allah, tak tahu sejauh mana lagi angka tu akan meningkat setiap hari. Saban hari mendengar tentang kematian, syukurlah setakat ini keluarga terdekat tak ada yang pergi kerana wabak ini. Namun pada yang telah pergi, moga damailah mereka di sana. Pada yang kehilangan insan tercinta kerana wabak ini, moga Allah kurniakan sebanyaknya sabar dan kekuatan untuk jalani kehidupan tanpa mereka yang disayangi.
Sungguh, wabak ini telah mengambil banyak nyawa tanpa mengira usia. Seolah kita semua ini sedang berperang dengan musuh yang tak kelihatan. Sebelum musuh ini pergi menghilang, kita juga tak pasti adakah kita antara yang terselamat atau sebaliknya? Ya Allah, padaMu jua kami berlindung.
Vaksin yang diambil ini juga antara usaha untuk melindungi nyawa. Benar hidup mati itu urusan Allah. Namun kita juga perlu berikhtiar. Semoga ramai yang berkesedaran dan mengambil vaksin untuk melindungi diri. Kita ikhtiar, selebihnya terserah DIA.
Ya Allah, angkatlah wabak ini dari bumi ini. Hapuskan ia, hancurkan ia. Kembalikan masa bebas kami seperti dulu. Moga episod wabak ini memberi banyak keinsafan pada semua. Moga bertambah keimanan dan keyakinan hamba terhadapMu. Ameen
0 comments:
Post a Comment