Saturday 19 January 2019 By: Naemah

BINGKISAN DI HARI LAHIR ABDULLAH MUSSAAB


19.1.19



Hari ini (19.1.19) genap usia Mussaab 5 tahun. Dah besar ye Mussaab :) ummi masih nampak Mussaab ni kecil dan comel sangat lagi.


Tahun ni masuk tahun kedua Mussaab bersekolah. Alhamdulillah setakat ini ummi tengok Mussaab masih bersemangat untuk ke sekolah walaupun Anas tak lagi bersama. Mussaab senang bangun pagi dan tak susah bersiap untuk ke sekolah. Cumanya, tahun ni Mussaab dah tak berjalan kaki lagi ke sekolah. Kalau ada abi mesti nak naik motor dengan abi, dan kalau abi tiada, Mussaab ikut ummi hantar Anas dulu ke sekolah, kemudian balik drop Mussaab pula di Little Diamond Kindergarten. Begitulah kisah rutin sekolah Mussaab tahun ni :)


Mussaab masih anak ummi yang mudah diuruskan, tak banyak ragam. Tapi ada juga waktu dan ketikanya tingkah Mussaab yang menguji kesabaran. Biasalah, Mussaab baru nak kenal dunia, melakukan kesalahan demi kesalahan itu sudah lumrah kan. Namun ummi juga kesal, sering ummi jadi ‘kasar’ dan terlebih menghukum Mussaab yang masih belum sepenuhnya mengerti . Maafkan ummi Mussaab. Adakala rutin yang sibuk dan memenatkan menjadikan ummi hilang rasional. Istighfar demi istighfar, moga Allah ampunkan ummi dan menuntun hati ummi untuk lebih berhikmah dalam mendidik.


Mussaab yang hari ini ummi lihat sangat menyukai aktiviti yang memerlukan kreativiti. Sering ummi kagum dengan ‘hasil tangan’ Mussaab dalam merekacipta sesuatu. Bagi lego, macam-macam model kapal terbang yang terhasil. Kertas, gunting ,pensel, gam, jadi teman potong dan tampal sana sini. Pengepit baju di ampaian pun jadi ‘bahan’. Sering rumah bersepah-sepah dengan bahan dan hasil kreativiti Mussaab. Adakalanya pening kepala ummi dibuatnya. Hai...


Mussaab anak yang tengah, ada adik dan ada abang. Pada kebanyakan masa Mussaab memilih untuk mengalah pada keduanya. Tapi ada masanya Mussaab meluahkan rasa tak puas hati, terasa ummi dan abi banyak lebihkan abang dan adik. Allah.. ujian buat ummi dan abi bila Mussaab merasakan begitu. Mussaab yang banyak tenang dan mudah diuruskan, mungkin itu puncanya (ummi tak perlu berlebih-lebih risau dan pesan macam-macam). Entahlah, yang pasti kasih sayang ummi tak sedikit pun kurang pada Mussaab berbanding Anas atau Miqdad. Barangkali ummi perlu lebih bijaksana untuk memenangi hati Mussaab.


Mussaab yang sangat baik hati dan penyayang. Itu ummi tak nafikan. Mussaab sayang pada Miqdad, paling rajin melayan Miqdad (ada juga part bertingkah, biasalah tu). Mussaab paling pandai melayan Miqdad dan rajin pula berjenaka sampai tak henti ketawa Miqdad. Mussaab juga tak kedekut untuk share apa saja kepunyaan dengan Miqdad. Pendek kata, Mussaab dah boleh diharap untuk menjaga dan melayan Miqdad time ummi sibuk. Terima kasih Mussaab :)


Kalau nak cerita lagi, panjang lagilah cerita Mussaab. Cukup sampai sini dululah :)


Di akhir baris kata ini, untuk kesekian kalinya ummi ingin nyatakan bahawa ummi sangat menyayangi Mussaab, sama seperti sayang ummi pada Anas dan 

Miqdad. Namun mungkin ada yang terlebih dan terkurang dalam membuktikan cinta ummi ini. Maafkan ummi andai banyak yang terkurang untuk Mussaab. Ummi tak pernah bermaksud. Kerana tak mungkin berbeza, ummi sayangkan semua.


Doa ummi sentiasa, semoga Mussaab membesar dengan sentiasa sihat dan cerdas. Belajar banyak perkara, menjadi apa yang Mussaab nanti mahu jadi. Moga sentiasa disenangi dan disayangi oleh sesiapapun, moga dihiasi dengan akhlaq dan peribadi Mulia. Moga dekat hati dengan Allah, dan moga mampu meraih cinta Allah yang paling agung. Semoga anakku..


آمين


 

Birthday picnic di tepi rumah 











0 comments:

Post a Comment