Masuk tahun ke-4 kami sekeluarga menetap di Semenyih. Alhamdulillah.
Kami mula berhijrah ke sini pada Januari 2016 (Belum mengandungkan Miqdad lagi). Kami menyewa rumah di Taman Pelangi Semenyih 2, sementara menunggu rumah yang kami beli (rumah sekarang) siap. Setahun menyewa, akhirnya pada Januari 2017 kami mendiami rumah yang sekarang ini hingga sekarang. Begitulah cerita ringkasnya.
3 tahun dah pun berlalu. Boleh dikatakan sudah ‘serasi’ dengan tempat ini walau sebelum ini tak pernah terfikir pun yang kami akan membeli rumah di Semenyih dan menjadi antara ‘warga Semenyih’ :)
3 tahun di sini, sebenarnya tak arif sangat tempat-tempat menarik di sini, terutamanya tempat yang sesuai untuk membawa anak-anak. Awal-awal dulu, memang kami sering ‘keluar ‘ dari Semenyih untuk spend masa bersama anak-anak. Paling dekat kami ke Kajang, tak pun ke KL, menuju tempat-tempat menarik dan memang terkenal seperti Stadium Kajang, Taman Tasik Perdana, Planetarium Negara, Taman Botani di Shah Alam, dll.
Itupun jika suami ada di rumah. Jika dia ke laut, melepak di rumah sajalah jawabnya. Sebab sebelum ni memang aku tak berani nak drive (anak belum sekolah), dan sudah tentu tak tahu nak ke mana-mana.
Tapi kat sini mungkin aku boleh share sikit tempat-tempat menarik yang berdekatan sini (kami tinggal di Seksyen 6 Bdr Rinching) yang aku rasa berbaloi untuk bawa anak-anak habiskan masa luang mereka, terutamanya pada hari cuti sekolah (kalau tak nak biarkan anak terperap di rumah dan habiskan masa dengan tv dan seumpamanya).
Aisha Kidz Planet (indoor)
Ianya terletak di Beranang, berdekatan dengan Mara Japan Industrial Institute- MJII (satu bangunan dengan restoren Nasi Kukus Tok ‘We dan tadika al-Baghdadi Tasik Kesuma). Di sini anak-anak boleh bermain dengan bebas dengan segala alatan permainan yang disediakan. Ianya berbentuk indoor activity, dilengkapi hawa dingin, tv, free wifi, surau dan tandas, dan boleh dikatakan sangat selesa untuk anak-anak bermain dan ibubapa juga takkan penat atau jemu menemani anak-anak :)
Pertama kali kami ke sini ialah pada September 2017, masa ni hanya perlu bayar untuk 2 orang anak (Miqdad belum 2 tahun, free je masuk). Bayaran yang dikenakan ialah sebanyak rm 10 untuk satu jam, atau rm 15 untuk unlimited time (sah untuk hari tersebut saja ye)
Sudah kali ke-5 Anas dan Mussaab ke sini (sekali dengan rombongan sekolah), dan Miqdad pula sudah 4 kali. Boleh dikatakan anak-anak enjoy dan seronok setiap kali ke sini. Mungkin sesuai dengan usia mereka, tempat ini mampu memberikan mereka kegembiraan dan keceriaan dalam bermain; melompat di atas trampoline, menyusun blok, bermain pasir, bermain slide dan ‘berenang’ di dalam kolam bola- bola kecil, bermain pondok-pondok, membawa kereta mini, bermain jongkang jongket dan banyak lagi.
Pendek kata, Aisha Kidz Planet boleh dijadikan pilihan untuk ibubapa membawa anak-anak meluangkan masa dengan aktiviti yang berfaedah yang mampu memberikan keseronokan pada mereka. Anak-anak seronok, Mak ayah pula releks dan santai saja menunggu :)
Update: Aisha Kidz Planet dah berpindah ke Ecohill Taipan, Bandar Rinching
Update terkini (2023)- Dah tak beroperasi di Semenyih
The Parc, Setia Ecohill 1 (outdoor)
Tempat ini adalah yang paling dekat dengan rumah kami. Ia menjadi tumpuan penduduk setempat untuk beriadah di hari minggu seperti berjogging atau sekadar berjalan mengeluarkan peluh. Kawasannya juga agak luas dan berbukit. Memang berpeluh la kalau nak jalan kat semua tempat di situ :)
Selain aktiviti berjogging, di sini juga disediakan kemudahan untuk anak-anak beraktiviti lasak seperti memanjat, mendaki dan bergayut. Memang sesuai sangatlah untuk anak-anak yang suka melasak :) cumanya ia mungkin tak sesuai untuk anak-anak kecil seperti Miqdad (2 tahun), sebab tak ada permainan yang mesra budak kecil kecuali buaian :) nak main slide pun bukan main mencabar sebab tak ada tangga, kena panjat macam nak mendaki :D
Tapi oklah, kalau tak ada tempat lain nak pergi, di sini pun boleh saja. Yang penting anak-anak enjoy dan dapat bermain sepuasnya di sini.
Adventure Park, Setia Ecohill 2 (outdoor)
Adventure Park adalah antara tempat pilihan kami untuk membawa anak-anak beriadah dan melakukan aktiviti sihat. Kat sini tak adalah banyak tempat bermain, dan bukan tempat yang ideal jika nak lepaskan anak bermain. Kerana tempat ini agak berbukit, bercerun dan luas, dilengkapi trek untuk berjalan/berlari/berbasikal. Ia pada asalnya adalah sebuah kawasan ladang getah dan kelapa sawit yang dijadikan sebagai tempat beriadah oleh pihak pemaju. Tempatnya yang berbukit dan bercerun, boleh dikatakan ‘bahaya’ juga untuk lepaskan anak berlarian tanpa dipantau, apatah lagi untuk berbasikal. Tapi kalau nak berbasikal pastikan basikal yang digunakan itu memang yang telah direka khas untuk kayuhan di tempat yang berbukit sebegini :)
Walau sekadar berjalan, sudah mampu buat kita bermandi peluh. Pun begitu, ada juga disediakan perhentian demi perhentian untuk pengunjung berehat melepaskan lelah di sepanjang trek yang disediakan, terdapat juga taman permainan ‘mini’ untuk anak-anak memanjat dan bermain, juga satu kawasan lain untuk melakukan aktiviti lasak (siap boleh flying fox lagi) dan bersenam.
Pendek kata, tempat ini boleh dijadikan pilihan untuk membawa keluarga sekali-sekala untuk beriadah mengeluarkan peluh dan melakukan aktiviti sihat. Kawasannya luas, tenang dan dikelilingi pohon-pohon yang menghijau dan meneduhkan. Anak-anak yang sukakan kebebasan dan beraktiviti lasak, pasti suka untuk datang ke sini.
South Creek, Ecohill 2 (outdoor)
Ini satu lagi tempat yang sesuai untuk melepaskan anak-anak untuk bebas bermain dan meneroka. Kawasannya agak luas, cantik dan menenangkan. Tambahan pula terdapat tasik di sini, menjadikan landskapnya menarik dan mendamaikan. Juga dibina di sini sebuah ‘menara’ khas untuk pengunjung naik ke atas dan meninjau kawasan di sekitar tempat ini secara menyeluruh.
Di sini terdapat playground, trek dan kawasan untuk berbasikal, boleh juga melakukan aktiviti senaman, berjogging atau sekadar berjalan dan bersantai. Terdapat juga kawasan yang lapang, di sini anak-anak boleh bermain layang-layang, atau pelbagai aktiviti yang bersesuaian.
Rasa-rasanya inilah tempat yang paling memberikan keseronokan buat anak-anak kami, sebab boleh lakukan banyak aktiviti yang mereka suka di sini. Boleh berbasikal, boleh bermain di playground dan boleh bebas berlarian di kawasannya yang luas dan cantik :)
(Ada di sebahagian tempat ini masih di dalam penyelenggaraan, mungkin akan tampil lebih menarik dan cantik lepas ni)
Bukit Broga
Yang ini paling famous rasanya di Semenyih ni, jarang orang tak tahu :) kami sekeluarga baru sekali mendaki Bukit Broga ni (tahun 2015), masa ni baru anak dua. Anas masa tu 3 tahun lebih, dan Mussaab setahun lebih, macam tak percaya Anas boleh sampai ke puncak dengan kudratnya sendiri. Mussaab pula, dah tentulah abinya yang kendong sampai ke atas dan turun semula ke bawah :)
Walaupun baru sekali (suami dah dua kali), tetap nak tulis juga di sini :) Bukit Broga ini boleh dijadikan pilihan untuk melakukan aktiviti bersama keluarga di sekitar Semenyih ini.
Mendaki memang penat, tapi perasaan bila dah sampai ke puncak tu, Masya Allah tak dapat nak gambarkan dengan kata-kata. Tambahan pula hari tu kami mula mendaki sekitar jam 6.30 pagi (dah lupa berapa minit tempoh mendaki, mungkin dalam 30 minit) sampai je di puncak dapat menikmati cantiknya matahari terbit. Memang satu momen indah untuk dikenang :) dari puncak itu juga dapat melihat ‘Semenyih’ dengan pandangan menyeluruh. Best sangat! Bukan selalu dapat peluang macam ni kan?
Tapi itu cerita lama dah. Teringin nak mendaki lagi dengan suami dan anak-anak. Tapi belum ada kesempatan. Dan entahlah... masihkah larat :D
Oleh sebab dah lama sangat, gambar pun tak ada dalam simpanan. Semua dah transfer ke hard disk. Belanja gambar yang satu ni je lah :)
Oklah, setakat ini sajalah dulu yang dapat dikongsikan di sini. Kami pun masih agak ‘baru’ juga di sini, belum explore seluruh tempat. Mungkin ada tempat lain lagi yang menarik dan sesuai untuk spend masa bersama anak-anak di sekitar Semenyih ini kan.
Semenyih yang kini tengah ‘naik’ makin ramai penduduk, makin banyak rumah-rumah yang sedang dibina, moga seiring dengan perkembangan ini juga akan bertambah juga la tempat-tempat menarik yang berbentuk rekreasi dan santai untuk ibubapa spend masa berkualiti dengan anak-anak. Tak perlulah nanti nak keluar jauh, cukup sekadar di sini :) Insya Allah.
0 comments:
Post a Comment