Imbas kembali;
12/01/12
Aku ditolak masuk ke dalam labour room HRPZ sekitar jam 3 petang, setelah paginya dimasukkan ubat induce, dan setelah kontraksi sudah dapat dirasakan dalam sela masa 5-10 minit.
Di dalam labour room, bukaan serviks sudah terbuka 2cm. Ketuban dipecahkan, ubat induce (drips) dimasukkan. Kontraksi semakin kuat dan semakin lama tak tertahan. Tiba masanya, tak terkira berapa kali cubaan ‘push’, hingga akhirnya selamat melahirkan si kecil yang suci dan comel pada jam 11.58 pm. Tangisan bahagia mengiringi, kesakitan yang tadi ditanggung langsung pergi. Azan dan iqamah diperdengarkan di telinga. Aku mendakap tubuh kecil itu dengan air mata seorang ibu buat pertama kali, yang terlalu bahagia.
Hari ini.
6 tahun berlalu.
12/01/18
Anas bangun pagi seperti kebiasaan bila dikejutkan untuk ke sekolah. Ya, Anas sudah berusia 6 tahun dan sudah bersekolah sejak tahun lepas. Tahun ini bersekolah di Little Diamond Kindergarten bersama adiknya Mussaab.
Anas menjalani kehidupan seperti biasa, tiada apa yang terlalu istimewa. Ummi ingatkan Anas bahawa hari ini ‘birthday’nya. Ummi jelaskan pada Anas bahawa hari ini Anas dilahirkan, dengan penjelasan yang paling mudah difahami. Anas tersenyum faham. Semalam Anas minta kek untuk birthdaynya. Tapi hari ni Anas dah tak nak kek lagi bila ummi bertanya. Ummi juga tahu, Anas bukan suka makan kek. Maka kek dilupakan. Balik sekolah, makan seperti biasa, menonton tv, bermain dengan adik-adik, dan membuat aktiviti seperti biasa. Namun berkali ummi ulang, bahawa hari ini hari lahir Anas. Anas rasa seronok dan terasa bahawa hari ini ‘hari istimewa’ untuk dia.
Di hari kelahiran Anas ini juga, abi tiada bersama kerana bertugas. Tapi ummi percaya, abi juga tak lupa. Dari jauh, abi pasti mendoakan Anas. Sebagaimana setiap hari abi ingat dan berdoa pada Anas meskipun jauh.
Anas, doa dan redha ummi akan sentiasa mengiringi hidup Anas. Semoga Anas membesar menjadi hamba Allah yang taat, ikhlas berjuang dan berjasa pada agama, tanpa mengharap yang lain kecuali redha Allah semata.
Semoga Anas sentiasa dikurniakan kesihatan, kecerdasan, kesembuhan, kekuatan, kelancaran lisan, dilapangkan rezeki, dan usia yang dimanfaatkan.
Semoga Anas dewasa sebagai insan yang berilmu dan beramal soleh, beradab dan berakhlaq mulia.
Aameen.
Lasagna roti untuk birthday Anas. Sekadarnya mengingati hari kelahiran Anas :) Alhamdulillah di atas usia dan rezeki yang Allah kurniakan.
0 comments:
Post a Comment