Anas Zaydan, sekarang berusia 5 tahun 6 bulan. Anak sulung, abang kepada 2 adik. Mussaab pula berusia 3 tahun 6 bulan, anak kedua dan abang kepada seorang adik :)
Di kalangan mereka yang sebaya Anas dan Mussaab, ada yang mungkin anak tunggal atau anak bongsu (atau belum ada adik). Dah tentu mereka mendapat layanan lebih, dan dimanja lebih. Mungkin :)
Berbeza dengan Anas dan Mussaab, di usia sekarang sudah menjadi seorang abang, berbagi kasih dengan adik-adik. Adakala perlu mengalah, ada kala pula dimarah. Kerana 'gagal' menjadi abang yang baik untuk adik-adik.
Maafkan ummi, sayang. Kadang-kadang ummi lupa bahawa di usia sekarang, Anas dan Mussaab masih seorang anak kecil. Mahu bermain, mahu ketawa, mahu suka-suka, mahu dilayan dan dimanja. Anas dan Mussaab masih belum mengerti makna tanggungjawab dan bagaimana menjadi seorang abang. Apatah lagi mahu menjadi 'abang yang sempurna'.
Namun bukan salah takdir jika di usia sekarang Anas dan Mussaab sudah bergelar seorang abang. Ummi percaya Anas dan Mussaab juga bahagia dikurnia adik-adik sebagai teman bermain :)
Cuma peranannya sekarang adalah ummi dan abi. Perlu sentiasa ingat bahawa anak-anak masih kecil, dan perlu layanan manja dan adil. Bukan salah Anas dan Mussaab jika masih belum menjadi abang yang 'matang'. Ummi tahu semua itu perlukan masa. Ummi dan abi perlu lebih bersabar dalam mendidik. Bukan cepat menghukum jika ada yang tidak kena.
Ummi doakan Anas dan Mussaab akan menjadi lebih matang seiring meningkatnya usia. Insya Allah, Miqdad juga satu masa akan menjadi seorang abang :) semoga sentiasa baik, mesra dan saling menyayangi sesama adik beradik. Tiada siapa lebih dan siapa kurang. Ummi dan abi sayang semuanya. Walau kalian hadir dengan karakter dan watak yang berbeza. Ummi tetap sayang dan kasih semuanya.
Semoga menjadi anak-anak yang soleh semuanya. Semoga membesar menjadi 'abang' yang lebih baik, bertanggungjawab dan sangat menyayangi adik-adik :)
0 comments:
Post a Comment