Monday 31 July 2017 By: Naemah

DIARI ANAKKU: 010817





Dah masuk bulan Ogos. Hari ni abi tiada di rumah kerana bertugas. Hari kedua abi di Bintulu. Semoga dipermudahkan urusan abi mencari rezeki. Hari ni dah tak dapat berhubung dengan abi yang sudah berada di tengah laut. Semoga Allah menjaga abi dan menjaga kita semua.

Seperti biasa, Miqdad bangun paling awal berbanding abang-abang. Seawal 6.30 pagi Miqdad dah bangun dari tidurnya. Kemudian Mussaab dan yang terakhir Anas.

Bangun pagi lepak di ruang tamu. Ummi tukarkan pampers Miqdad dan susukan Miqdad. Ummi pula yang terlena di sofa :) Anas kejutkan ummi dan menghulurkan remote tv. Minta ummi buka video paw patrol yang saban hari diulang tonton. Masih tak jemu lagi walaupun cerita sama je :)

Lepas menonton, breakfast bersama-sama jam 8.30 pagi. Ummi suapkan Miqdad yang makan berselera. Anas juga berselera makan. Mussaab juga makan, tapi tak sebanyak abang dan adiknya. 

Selesai makan, Anas dan Mussaab mandi. Macam biasa, mandi dan main air. Puas ummi panggil keluar tak keluar juga. Mussaab kemudian keluar dalam keadaan menangis. Katanya Anas buat. Hmm... Anas juga keluar, mengadu Mussaab basahkan lantai dapur. Hai.. macam-macam lah.

Siap berpakaian, menonton paw patrol lagi. Ummi tidurkan Miqdad yang dah mengantuk. Lepas Miqdad tidur, ummi keluar buang sampah dan jemur kain. Anas dan Mussaab juga keluar. Anas angkut air dan siram pokok di luar pagar. Mussaab keluar masuk rumah. 

Selesai kerja di luar, Miqdad bangun dari tidur dan menangis. Anas dan Mussaab masuk ke bilik dan melayan Miqdad. Ummi juga masuk kemudiannya. Miqdad happy bermain dengan abang-abang. Lepak sekejap di bilik bawah, dan kemudian naik ke tingkat atas. Main dan buat aktiviti sendiri. 

Kemudian turun semula ke bawah. Ummi buka tv dan menonton cerita 'Abi'. Best juga ceritanya, sebijik macam situasi family kita. Kisah ummi dan abi serta 3 anak lelaki mereka. Sama sangat. Anas dan Mussaab pun layan juga cerita tu :) sambil makan tengahari,  sambil menonton tv.

Lepas makan sambung duduk depan tv. Ummi kemaskan tempat makan dan mencuci pinggan. Kemudian mandikan Miqdad. Ummi juga bersiap untuk hantar Anas ke sekolah. Anas dan Mussaab juga bersiap sambil menonton tv rancangan nickelodeon jr pula. Ummi susukan Miqdad dan Miqdad terlena sekali lagi.

Jam 1, letak Miqdad yang tengah tidur dalam car seat. Tutup tv, dan menaiki kereta. Miqdad tidur lena sampai ke sekolah Anas. Seperti biasa, ummi dan adik-adik hantar Anas sampai ke kelas. Lepas tu terus balik ke rumah.

Sampai di rumah, Mussaab minta roti butter gula. Ummi buatkan 3 keping untuk Mussaab. Naik ke atas, solat dan bersedia untuk tidur. Miqdad yang tadi dah tidur masih nak bermain-main. Miqdad terjatuh dari katil dan menangis. Kesian Miqdad :( lebih kurang jam 2.30 Miqdad lena kembali. Mussaab juga keluar masuk bilik, main sendirian. Akhirnya terlena juga di toto.

Hampir jam 4 petang, Miqdad dan Mussaab bangun dan kejutkan ummi yang masih mengantuk. Bersiap pula untuk ambil Anas di sekolah. Jam 4.30, Anas balik dari sekolah. Singgah gerai beli pisang dan keropok goreng. Balik rumah makan sama-sama. Mussaab je yang tak join sebab asyik dengan handphone ummi.

Lepas ummi solat asar, keluar siram pokok di luar. Anas dan Mussaab tolong ummi isi air dalam bekas. Miqdad dilepaskan di atas rumput. Siap siram pokok, Anas dan Mussaab masuk mandi dan main air lagi. Anas minta ummi tampalkan poster doa yang dibeli di sekolah. Ummi tampal dulu sebahagiannya. 

Jam 6, ummi goreng nasi dan suapkan Anas, Mussaab dan Miqdad makan. Lepas tu menonton tv nick jr lagi hingga jam 7. Ummi mandikan Miqdad. Kemudian tutup tv dan naik ke atas untuk solat maghrib. Mussaab masuk bilik air dan main air lagi. Ummi angkat Mussaab yang tak mahu keluar dari bilik air.Menangis  semahunya kerana masih tak puas main air.

Lepas solat Maghrib ummi ajar Anas baca al-Quran. Alhamdulillah, bacaan Anas semakin baik. Mussaab pula main toys. Miqdad juga sibuk berminatkan al-Quran Anas. Anas baca sambil mengelak dari al-Quran ditarik Miqdad :D

Lepas baca Quran, sambung tampal poster doa Anas. Kemudian ummi tidurkan Miqdad. Anas dan Mussaab menonton video Tayo the little bus. Turun sekejap ke bawah minum air, sambung menonton lagi. Ummi solat isyak dan ajak Anas dan Mussaab tidur. Tiga kali susukan Miqdad yang terjaga dari tidur dan menangis.

Ummi temankan Anas dan Mussaab tidur. Anas terlena dulu, kemudian Mussaab. Jam 10 malam, anak-anak ummi semuanya sudah hanyut dibuai mimpi. Tinggal ummi yang masih ada urusan yang perlu diselesaikan. 

Tidurlah sayang. Semoga bermimpi yang indah. Tak lupa buat abi yang jauh. Moga sentiasa dalam rahmat dan kasih Allah. 

Semoga hari esok akan menjanjikan yang lebih baik untuk kita semua. Insya Allah :)

0 comments:

Post a Comment