Rezeki yang Allah beri tak sama pada setiap hambaNya. Namun semua orang peroleh rezeki masing masing. Sama ada dalam bentuk yang kita mahu atau tidak, percayalah itu yang terbaik buat kita di sisiNya.
Begitu juga dalam hal zuriat. Ada pasangan yang dikurniakan zuriat, ada juga yang tidak. Ada yang cepat mendapat zuriat, ada pula yang lambat. Ada yang dikurniakan zuriat yang ramai, ada pula yang sedikit. Yang hanya dikurniakan zuriat lelaki juga ada, begitu juga yang hanya dikurniakan zuriat perempuan.
Barangkali takdir Allah bertepatan dengan kemahuan kita, barangkali juga tidak. Namun tetap itu yang terbaik dari Allah. Rahsianya, hanya Dia yang tahu.
Kita sebagai hamba, mampu merancang dan berusaha. Malah perlu merancang dan perlu berusaha sesungguhnya. Kemudian, hanya pada Allah saja kita berserah dan bertawakkal.
Dalam bab mengandung dan melahirkan anak, ada pasangan yang setiap tahun dikurniakan zuriat. Ada pula yang lelah menanti dan berusaha, namun rezeki zuriat belum menjadi milik mereka.
Ada pasangan yang hanya dikurniakan anak lelaki, sehingga teringin benar untuk memiliki anak perempuan. Begitu juga sebaliknya. Sekali lagi, Allah lebih tahu yang terbaik buat kita.
Kita sebagai hamba.. teruskan berusaha dan berdoa. Usah merungut, usah mengeluh, redhalah di atas segala takdir dan kurniaNya.
Yakinlah Allah lebih mengetahui yang terbaik untuk kita, dan Dia sentiasa memberikan yang terbaik buat kita, meski tanpa kita menyedari dan jarang pula mensyukuri.
Walau bagaimana takdir Allah buat kita, semoga kita dapat sentiasa berlapang dada dan bersangka baik padaNya. Allah knows best. Redhalah, pasti hati akan merasakan ketenangan dan bahagia.
0 comments:
Post a Comment