Tuesday, 5 September 2023 0 comments By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: 3 BULAN PERTAMA SUDAH BERLALU



Setelah menempuh hari-hari yang telah berlalu. Akhirnya di sini catatan ummi menyusul. Alhamdulillah sudah berada di bulan ke-4 kehamilan. Bermakna sudah berlalu trimester pertama (sehingga 23/8/2023) Alhamdulillah.


Nak tambah anak lagi?

Persoalan yang sering hadir kepada diri setelah Allah hadiahkan ummi dan abi 4 cahaya mata (Suri yang terakhir 2019).


Kalau ikutkan rasa, memang rasa teringin nak anak lagi. Tapi banyaknya yang perlu diambil kira, setelah umur kian meningkat, diuji dengan masalah kesihatan, dan betapa sibuknya hari yang berlalu bersama 4 anak yang sudah bersekolah semuanya.  Bimbangnya, kalau diri tak cukup mampu untuk ada yang ke-5.


Pregnant akhirnya

Namun rasa ingin itu tidak padam. Cuma berteka-teki dengan keupayaan diri. Dan akhirnya Allah memberikan jawabnya. Satu lagi hadir dalam rahim ummi. Dalam rasa ‘surprise’ sangat, tetap syukur itu mengatasi. Tambahan ketika tahu mengandung, abi jauh di tanah suci menunaikan haji. Biarpun terpisah beribu batu, ummi dan abi saling berkongsi rasa gembira dan syukur atas anugerah Allah ini. 


Melalui 3 bulan pertama dengan penuh debaran juga, memandangkan pernah dua kali keguguran (lama dahulu). Hanya mampu berdoa dan berserah. Semoga Allah jaga dan lindungi dari segala musibah. Dan Alhamdulillah, sudah melepasi 3 bulan pertama dengan baik.


Ultrasound pertama

Pada minggu ke-8, ummi ke Klinik Mediputri untuk scan kandungan buat pertama kali (abi belum balik). Untuk lebih confirm kehadiran janin dalam rahim ini, dan untuk pastikan dia sihat dan baik saja. Alhamdulillah Allah hadiahkan sekali lagi satu rasa yang tak mampu digambarkan dengan kata-kata, saat melihat kewujudannya buat pertama kali di dalam rahim. Kelihatannya baik dan sihat. Tapi ketika itu masih terlalu kecil.


Scan kedua adalah pada hari membuka buku mengandung di KK Rinching Tengah (minggu ke-9) dan kali ke-3 ketika berjumpa doktor pakar di KK Beranang (minggu ke-11). Semuanya tiada bermasalah. Baby membesar normal dan baik saja, Alhamdulillah.


Simpton mengandung

Rasanya pengalaman di awal mengandung tak ada beza sangat dengan yang lepas-lepas. Tiada alahan teruk, hanya mual biasa. Pening kepala dan sembelit hampir tiada, cuma badan cepat rasa penat dan malasss sangat nak buat kerja. Pernah rasa tak bermaya sangat, bila cek tekanan darah memang low. Beberapa hari jugalah dalam keadaan macam tu. Tapi lama kelamaan rasa lesu itu berlalu juga. Makin di hujung trimester 1, makin rasa bertenaga. Alhamdulillah.



Berkongsi berita gembira dengan anak-anak

Tidak sah rasanya jika tak berkongsi kegembiraan ini bersama dengan anak-anak yang lain. Mencari-cari waktu dan masa yang sesuai. Biarlah berita gembira ummi dan abi menjadi berita gembira buat anak-anak juga. Akhirnya ummi khabarkan pada anak-anak tentang ‘adik’ mereka beberapa hari selepas scan yang pertama. Sudah tentu mereka teruja, yang lelaki mahukan adik lelaki, dan yang perempuan mahukan adik perempuan. Ah sudah.. macamlah ummi boleh tentukan nak yang mana. Kita serah pada Allah sajalah, ya anak-anak!


Buka buku pink

Alhamdulillah akhirnya buka buku mengandung di KK Rinching Tengah pada minggu ke-9 kehamilan (28/7/2023) dan setelah itu perlu patuh pada setiap temujanji yang diberikan. Seperti pengalaman yang lepas juga, tiada apa yang berubah. Bila sudah jadi ibu mengandung, klinik menjadi tempat yang akan sering dikunjung. 



Bsp/kencing manis dan temujanji klinik

Satu bab yang sering menjadi ‘masalah’ ketika mengandung ialah ‘kencing manis’. Jika sebelum ini hanya mendapat kencing manis ketika mengandung, tapi kali ini sebelum mengandung dah ada kencing manis. Cuma pada ketika mengandung ini, bacaan hba1c (5.8) adalah terkawal dan dalam keadaan selamat untuk mengandung. Tapi bila sudah ada ‘penyakit’ ini, jadilah ummi ibu mengandung yang perlu diberi lebih perhatian. Kerap perlu ke klinik, kerap perlu jumpa doktor, malahan lebih kerap bila ada bacaan bsp yang tak cantik. Penat juga jadi ‘penunggu’ di klinik. Tapi apakan daya, bersabarlah. Ada hikmahnya. Insya Allah


Abi balik dari menunaikan haji

Alhamdulillah abi selamat tiba di Malaysia pada 30/7/2023. Pada ketika ini, kandungan ummi sudah berada pada minggu ke-9. Masih di trimester pertama, tiada perubahan ketara pada diri ummi, melainkan dah bermulanya rasa mual dan badan yang cepat penat. Alhamdulillah bila abi balik, banyak kerja ummi jadi mudah dan ringan. Paling tidak, bab hantar dan ambik anak sekolah, abi dah ambil alih. Kalau tak, semua di bahu ummi seorang. Walaupun abi juga perlu kembali bekerja, masih segalanya Allah permudahkan. Syukur sesungguhnya pada Allah yang mengatur segalanya.


Akhir catatan, tiada apa yang lebih baik dari ungkapan ALHAMDULILLAH atas kehadiran si kecil ini di dalam rahim ummi. Ummi mengharapkan kehadiranmu, dan ummi percaya Allah hadirkan pada saat dan waktu yang terbaik untuk ummi dan abi. Semoga terus sihat dan membesar sempurna di alam rahim ummi, sehingga sampai takdirNya kita bertemu dan bersua di alam dunia ini. Baik-baik saja anak ummi ya! Semua menanti kehadiranmu. 

Wednesday, 16 August 2023 0 comments By: Naemah

SELAMAT HARI LAHIR SURI LILYANA

15 Ogos 2023


Alhamdulillah genap usia Suri 4 tahun.

Dah lama Suri dok bertanyakan bila birthday Suri kan? Tak sabar-sabar nak birthday, walaupun kurang faham lagi maksud birthday tu. Yang Suri faham, birthday tu kena ada kek, ada jamuan, raikan ramai-ramai, macam yang selalu ditonton di tv dan sekeliling kan?


Tiba harinya, Suri bangun pagi seperti biasa. Ummi sambut Suri dengan ucapan happy birthday dan nyanyi sikit-sikit. Suri senyap je. Jeling kiri kanan, takde apa-apa pun! Apa yang birthday nya :D abi pun ucap happy birthday juga. Respon Suri biasa-biasa je. Dengan muka tak mandi lagi tu.


Pagi ni bersiap ke sekolah seperti biasa. Sempat la ummi ambik gambar dan video Suri sebelum ke sekolah untuk kenang-kenangan di hari lahir. Ummi pun agak rushing pagi ni, ada temujanji dengan doktor pakar di KK Beranang. Tinggal abi seorang kat rumah pagi ni. Abi masej ummi, dah tempah kek untuk Suri. Kek Hello Kitty yang selalu Suri sebut dan bayangkan. 


Balik sekolah, makan tengahari sama-sama. Suri belum rasa seronok walaupun berulangkali ummi dan abi ucap dan nyanyi happy birthday. Petang Suri ikut abi ambik Anas dan Miqdad. Balik rumah, tidur pula. Di kesempatan yang ada abi dan Miqdad deco sikit ruang tamu untuk birthday Suri. Semangat acik nak raikan birthday Suri. Hadiah (playdoh) pun dah beli untuk Suri sebab pagi tadi dah janji dengan Suri nak bagi hadiah. 


Jam 6 Mussaab pula balik dari sekolah. Suri pun dah bangun dari tidur. Texas chicken yang abi order pun dah sampai. Bermulalah ‘birthday party’ Suri seperti yang Suri inginkan. Seronoklah, ada kek Hello Kitty dan makanan special. Tadi bad mood sikit sebab baru bangun tidur, sekarang dah ok! Oh ya, angah pun bawa balik hadiah (keychain) yang dibeli di sekolah untuk Suri. Seronok Suri dapat hadiah. 


Petang ni makan sama-sama dalam suasana lebih meriah. Jarang sekali dapat makan kek (tapi semuanya pun bukan penggemar kek). Makan juga la sorang satu slice. Lepas makan kek makan nasi dengan ayam goreng texas. Makan sehingga kenyang. Alhamdulillah.


Tamat sudah la jamuan hari lahir Suri. Meraikan Suri seperti yang Suri mahu. Tak lupa juga la ummi bercerita tentang tarikh bermakna ini, dalam Suri faham dan tak faham. Cerita tentang perjuangan ummi melahirkan Suri. Takpelah, nanti-nanti Suri akan faham juga. 


Selamat hari lahir puteri ummi dan abi, Suri Lilyana. Semoga membesar dikau menjadi hamba Allah yang solehah, taat pada perintahNya, menghormati ibubapa dan abang-abang, dan sentiasa terjaga dan terpelihara maruah dan akhlak diri. Semoga hidupmu sentiasa dikelilingi oleh insan yang ikhlas menyayangimu. Semoga cemerlang dan berbahagialah hidupmu dunia dan akhirat. Ameen.


Ummi dan abi sayang Suri.

Along, angah dan acik juga sayang Suri.

Insya-Allah adik juga akan sayang ‘kakak’ Suri. 


Sayang dunia akhirat.


Suri and brothers

Saturday, 12 August 2023 0 comments By: Naemah

ABI DAH BALIK HAJI

30-7-2023


2 minggu sudah berlalu. Baru sempat nak mencatat. Alhamdulillah, setelah 42 hari meninggalkan tanah air, abi kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan baik dan sihat.


Penerbangan abi pada 29/7 dari Madinah ke Kuala Lumpur. Waktu tiba di Kuala Lumpur ialah jam 12.30 pagi (30/7/2023). Oleh kerana waktu yang kurang sesuai untuk ke airport bersama anak- anak, abi book hotel di Kota Warisan untuk ummi dan anak-anak stay satu malam sementara tunggu masa nak ambik abi. 


Selepas Zohor bergerak ke Kota Warisan dan check in di S8 Boutique Hotel. Lepak saja di bilik hotel, lepas asar beli makanan untuk dinner dan balik semula ke bilik. Anak-anak pada mulanya nak ikut ke airport jemput abi, tapi (dah biasa tidur awal) tertidur juga semuanya sekitar jam 10 malam. Ummi pun sempat lelap juga sekejap, kunci jam dan bangun balik jam 12. Cek penerbangan abi di apps, masih belum sampai.


Flight tiba di Kuala Lumpur jam 12.27 pagi. Tak terus pergi ke airport, sebab abi cakap akan call balik bila dah dapat semua beg. Lebih kurang pukul 1.30 pagi, abi call dan ummi segera ke airport (tinggalkan anak-anak) yang mengambil masa sekitar 15 minit (sepatutnya). Tapi dek tak biasa denga jalan, tengah malam pulak tu kan 2-3 kali juga la tersilap masuk lorong. Dan akhirnya sampai juga di airport. Abi dah lama menunggu kat luar balai ketibaan tu. Alhamdulillah. Berjaya sampai walaupun seorang diri meredah malam. 


Balik ke hotel semula. Anak-anak langsung tak sedar apa. Esok harinya barulah semua dapat jumpa abi. Salam peluk abi, solat subuh dan check out dari hotel. Bersarapan pagi di kedai berdekatan, dan terus balik rumah. Alhamdulillah. Segalanya lancar saja.


Kini 2 minggu dah berlalu. Abi masih ada bersama. Belum dipanggil bekerja. Tapi tak lama lagi akan pergi juga. Biasalah, abi takkan lama di rumah seperti selalunya juga. Inipun syukur sangat, abi masih ada bersama. Last weekend abi bawa ke Melaka. Stay satu malam di Bayou Lagoon Park Resort. Seronok anak-anak main kolam kat situ, setelah sekian lama habiskan masa di rumah saja.


Syukur pada Allah yang menyatukan kembali kita sekeluarga setelah menempuh perpisahan yang panjang. Sekejap lagi akan berpisah lagi, insya Allah tak lama, dan insya Allah akan bertemu kembali. Kita terima dengan reda atas takdir Allah yang pastinya terbaik buat kita ini. 


Bersyukur atas segala nikmat dan kurniaNya. Tahniah abi, sempurna sudah mengerjakan ibadah haji. Semoga terus istimaqah menuju kebaikan. Pimpinlah isteri dan anak-anakmu ini. 




Wednesday, 19 July 2023 0 comments By: Naemah

CATATAN 1 MUHARRAM 1445H



Petang 1 Muharram 1445 hijrah. Hujan rahmat turun mencurah-curah.


Hari ini full day bersama anak-anak. Sekolah bercuti sempena Awal Muharram. Dapatlah rehat di rumah saja hari ni. Tak perlu turun ke jalan raya :)


1 Muharram, suami berangkat dari Mekah ke Madinah. Selesai sudah urusan di Tanah Suci. Hari ni tunaikan tawaf Wada’ dan meninggalkan tanah suci Mekah. Tentunya detik hari ini menjadi detik yang meruntun hati. Tawaf selamat tinggal pasti ditemani derai air mata. Semoga dipermudahkan urusan suamiku di sana. 


31 hari sudah berjauhan dengannya. Satu tempoh yang bukan sekejap. Satu tempoh yang agak menguji. Namun aku bersyukur ujian Allah tidak pernah lebih dari kadar yang aku mampu.


Malahan banyak rahmat yang perlu aku syukuri.


Tubuh yang sihat- Alhamdulillah sepanjang menguruskan anak-anak bersendirian, Allah kurniakan bersama dengan kesihatan yang baik. Tiada satu hari yang aku tak mampu uruskan anak-anak bersekolah. Siapkan keperluan mereka, dan sebagainya. Cuma sudah tentu, tak sempurna bila sendirian. Pun begitu Allah menguji dengan kesihatan anak-anak, ada yang demam, ada yang batuk selesema, ada yang hari-hari mereka tak dapat ke sekolah, tapi Alhamdulillah sekadar sakit demam biasa. Tak lebih dari itu.


Kenderaan yang memudahkan pergerakan- Pun aku bersyukur, boleh bergerak ke sana sini dengan kenderaan yang ada. Syukur tak ada masalah dengan kenderaan. Ada minyak, pergerakan lancar. Banyak trip nak bawa setiap hari. Kalau kereta bermasalah, mati akal jugalah aku apa nak buat. 


Belanja yang mencukupi- Bab ini aku perlu banyak bersyukur. Aku tak perlu membanting tulang mencari rezeki. Hanya perlu uruskan rumah dan anak-anak sebaiknya. Bab makan minum cukup. Belanja sekolah anak-anak cukup. Yuran anak-anak tak ada yang tertunggak. Segala bil dibayar cukup. Tak perlu pening kepala. Tapi tetap perlu pandai mengurus wang dan berjimat cermat. Yalah, bukan mewah, tapi cukup. Alhamdulillah.


Masa yang cukup- Cukup untuk aku uruskan anak-anak bersendirian (walaupun kadangkala tercungap juga). Alhamdulillah setakat ni kehadiran anak ke sekolah tidak bermasalah, kecuali tak sihat. Sempat menguruskan hal yang wajib melibatkan anak-anak dan kerja-kerja di rumah. Ya sudah tentu tak sempurna juga. Tapi tetap berjalan kaki dan tangan ini sekadar yang mampu buat.


Anak-anak yang memberi kerjasama-Biasalah anak-anak, ada masa baik dengar cakap. Ada masa tak juga. Tapi sepanjang tempoh ini rasanya kurang ummi naik suara dengan anak-anak. Ummi pun ada ketika ambil langkah diam seribu bahasa bila rasa sakit hati dengan tingkah anak, dan anak-anak boleh faham bila ummi marah atau tak marah. Banyaklah urusan mudah bila anak bagi kerjasama. Boleh bersiap pagi pada waktunya, patuh pada waktu solat dan baca Quran, kemas rumah bila diminta, tak usik adik sampai menangis-nangis, dan sebagainya lah. Banyak yang rasanya ummi boleh ‘bertenang’ dengan sikap anak-anak. Alhamdulillah. Tapi anak-anak tetaplah anak-anak. Pastilah ada ragamnya sesekali yang menguji sabar seorang ibu. 


Pada hakikatnya banyak lagi yang perlu disyukuri atas banyaknya nikmat Allah berikan. Biar suami tiada di sisi, perjalanan aku dan anak-anak di sini masih diteruskan dengan baik. Biar tak ada sesiapa di sini yang boleh membantu untuk ringankan apa yang aku tanggung, tapi syukur Allah tak memberatkan aku lebih dari yang aku mampu tanggung seorang. 


Alhamdulillah. Hanya kesyukuran yang aku panjatkan padaNya. Ujian perpisahan ini hakikatnya satu rahmat untuk mengajar erti sabar dan kuat. Biar ketika rasa tersangat lemah, tetap aku perlu bangkit dan bina semangat. Tika aku lemah, Allah tempat aku bergantung dan berpaut sesungguhnya, dan sungguh Allah tak pernah menghampakan harapan hambaNya. 


Hingga aku masih bisa berdiri meneruskan kehidupan bersama anak-anak. Insya-Allah dah tak lama penantian ini. Yang ditunggu pasti kembali. Insya-Allah. 




Sunday, 9 July 2023 0 comments By: Naemah

3 MINGGU BERLALU




3 minggu berlalu. Alhamdulillah, ibadah haji sudah pun selesai. Mudah-mudahan suamiku beroleh haji mabrur. Ameen.


Kini jemaah dari Malaysia sudah mula berangkat balik ke tanah air mengikut kumpulan masing-masing. Suamiku di sana juga sudah tidak sibuk sangat selepas ibadah haji dah selesai. Sekarang ni boleh kata hampir setiap hari boleh video call. Whatsapp bertanya khabar juga kerap. Alhamdulillah. Teknologi hari ini sangat membantu untuk mendekatkan.


Perpisahan yang lama ini mengingatkan aku pada tempoh PKP yang dulu. Di mana suami perlu kerap berkuarantin untuk tujuan kerjanya. Tempoh itu sangat-sangat menguji. Anak-anak tak dapat jumpa abi dalam tempoh yang agak lama. Jumpa sekejap, then lepas tu kena kuarantin lagi. Berpisah lagi.  Berbulan lamanya mendepani situasi seperti itu.


Maka perpisahan kali ini, bukanlah hal yang luar biasa buat kami sekeluarga. Anak-anak sudah ‘biasa’ dengan perpisahan. Dan anak-anak faham dan mengerti mengapa perlu jauh dengan abi. Biarpun hakikatnya, perpisahan itu satu hal yang tidak diinginkan oleh sesiapa pun. 


Dan seperti biasa juga, bila abi tiada, ummi perlu jadi lebih kuat untuk urus segalanya. Bukan kuat sangat, tapi Allah tak biarkan diri ini lemah. Bila Allah hadirkan kekuatan, segalanya dapat diharung dengan baik. Alhamdulillah. 


Berbaki 3 minggu saja lagi. Insya Allah akan disatukan kembali keluarga ini. Biar 3 minggu ini, suamiku dapat terus menumpukan urusan ibadahnya di tanah suci. Aku pula dapat terus menjalani kehidupan yang baik bersama anak-anak di sini. Sampai saatnya, dengan izinNya, pertemuan yang kita harapkan akan tiba juga. Teruslah menanti dengan sabar dan doa. 





Cubalah.. 

untuk 42 hari yang ditinggalkan ini, aku berusaha melakukan apa yang dipesankan.


Cubalah..

42 hari ini aku istiqamah menjadi yang dia inginkan.


Cubalah.. 

42 hari yang jauh ini aku mengambil peluang menjadi isteri dan ibu dalam versi yang lebih baik.


Cubalah.

Berjuang untuk kebaikan bersama.





Friday, 30 June 2023 0 comments By: Naemah

AIDILADHA BERSAMA ANAK-ANAK


10 Zulhijjah 1444h jatuh pada 29/6/2023. Alhamdulillah Aidiladha disambut dengan serba sederhana bersama anak-anak.


Raya ni mengambil keputusan untuk tidak balik kampung memandangkan suami berada di tanah suci Mekah (sudah hari ke-12). Lagipun cuti sekolah sekejap je. Tak mengapalah tak balik.


Pagi Aidiladha, bersarapan dengan mi goreng simple saja. Lepas tu ke surau untuk solat raya, kemudian ke tempat sembelihan korban, dan kemudian balik berehat di rumah. Anak-anak memilih untuk main game dan buat hal sendiri saja. Untuk makan tengahari, just order nasi dagang (tertengok iklan di fb).


Dalam pukul 12, adik ipar maklumkan nak datang rumah. Mereka sekeluarga beraya di KL tahun ni. Seronoklah anak-anak, sepupu mereka nak datang. Lagipun dah lama tak jumpa. Mereka datang bawa juadah raya, nasi himpit, rendang, kuah kacang, sate, kuah lodeh, dan sambal jawa. Betul-betul raya dah ni. Itulah makan tengahari sampai malam. 


Lebih kurang jam 4 petang tetamu beransur balik. Anak-anak kembali ke hal masing-masing. Belum puas lagi sebenarnya bermain dengan sepupu. Takpelah, insya Allah jumpa lagi next time. 


Hari beransur petang, malam pula menyusul. Kembali ke rutin biasa. Solat, baca Quran dan tidur. Semua sudah kepenatan ‘berhari raya’. 


Aidiladha kali ini berbeza. Namun, Alhamdulillah tetap menyambutnya dengan penuh kesyukuran. Tiada apa yang kurang dari takdirNya. Syukur seadanya.