Tuesday, 31 January 2023 0 comments By: Naemah

KENDURI DI KOTA TINGGI



Alhamdulillah berkesempatan menghadiri kenduri (ex-jiran suami di Bentong dulu) di Kota Tinggi, Johor pada 29/1/2023. Kenduri pertama untuk tahun ni :)


Bertolak dari rumah jam 9.30 pagi, dan tiba di majlis sekitar jam 1.30 petang. Alhamdulillah perjalanan lancar, meskipun diiringi hujan gerimis di sepanjang perjalanan.


Sebaik sampai, suami bertegur sapa dengan tuan rumah, dan kawan-kawan lamanya yang sudah lama tak berjumpa. Kami menjamu selera dengan hidangan yang ada. Lepas makan, suami ambik peluang bersembang dengan kawan-kawannya. Banyak pula ceritanya, bila dah lama tak jumpa. Aku dan anak-anak menunggu dengan sabar. Bagi can lah, dah lama tak jumpa kan. Lebih kurang 3.30 petang kami meninggalkan majlis.


Lepas tu kami ke Johor Bahru, menuju ke homestay yang telah suami booking. Kami menyewa di Pangsapuri Meridin, Medina, Nusajaya. Alhamdulillah agak selesa menginap di sini. 


Petang hari kami mengambil peluang untuk berjalan di sekitar bandar Johor Bahru. Kami makan malam di medan selera Hentian Tebrau, kemudian solat di Masjid Abu Bakar, lepas tu hiburkan anak-anak di Danga Bay Theme Park, dan akhir sekali ke Pasar Karat JB. Kami balik semula ke homestay sekitar jam 10.30 malam.


Esok harinya, check out dari homestay jam 9 pagi. Kami breakfast di Pontian (tak lalu highway sebab nak tengok tempat orang). Sambung perjalanan balik, santai-santai saja tak mengejar masa. Sempat juga singgah di gerai tepi jalan (di Muar kalau tak silap) membeli seafood dan mi siput. 


Kemudian singgah makan tengahari di Mai Salai (di Linggi Negeri Sembilan), kedai makan yang selalu kami singgah jika ke Melaka. Alhamdulillah menikmati masakan salai yang enak di sini. 


Dah kenyang, sambung perjalanan balik. Berhenti sekejap di r&r untuk solat, dan terus balik ke rumah. Sampai di rumah sekitar jam 4.30 petang. Agak panjang perjalanan hari ini. Penat, tapi berbaloi dan seronok. 


Inilah perjalanan ‘jauh’ yang pertama untuk tahun ini. Walaupun percutian singkat je, namun tetap memuaskan hati. Dapat cipta kenangan bersama, itulah saat terindah.


Insya Allah this weekend akan balik kampung pula. Ada cuti sempena Thaipusam, jadi bolehlah balik lama sikit. Insya Allah. 




















Sunday, 22 January 2023 0 comments By: Naemah

2023 SEPINTAS LALU




Sedar tak sedar dah pun berada pada tarikh 23 Januari 2023. 23 hari melangkah ke tahun baru, siapa sangka sampai ke usia ini kita meniti kehidupan di dunia. Aku yang semakin berusia, anak-anakku yang semakin membesar, suamiku yang sudah masuk ke fasa usia 40an. Masya Allah. Jauh sudah kita mengembara di bumi Allah. Apakah kita sedar? Apakah kita bersyukur?


23 hari berada di tahun baru, sungguh aku katakan mood aku masih ke laut dalam. Aku tak bermula dengan semangat yang berkobar. Sampai ke hari ni, aku masih mencari semangat dan kekuatan untuk terus berjalan. Impian aku, sudah tentu ingin mencipta lebih banyak kenangan manis dan berharga bersama keluarga tercinta.


Apa punca semangat ini merudum tak kunjung tiba? Pertama, sudah tentu aku masih terkenangkan ibuku (yang sakit) sejak lebih sebulan yang lepas. Kini hanya mampu bertanyakan khabar pada kakakku. Syukurlah aku terima berita yang baik saja tentang keadaan ibuku. Serba salah juga aku, hanya aku satu-satunya anak yang jauh dari ibuku. Syukurlah, 3 abang dan kakakku tinggal dekat dengan ibuku dan dapat selalu menjenguk dan menjaga. Tapi sungguh, selagi aku tak balik hati aku masih belum tenteram. 


Keduanya, kerana awal tahun ini diuji dengan tidak sihat badan satu keluarga. Demam yang bermula dengan Miqdad, seorang demi seorang, sampailah Suri yang terakhir. Alhamdulillah semua sudah beransur sihat. Tapi ya Allah, demam kali ini lain macam. Dah baik dari demam pun, still badan masih lemah dan rasa malas nak buat apa. 


Kini Allah hadirkan semangat dan kekuatan sedikit demi sedikit. Tambahan suami sudah kembali bekerja, maka aku perlu lebih kuat untuk bersama anak-anak. Alhamdulillah, rasa seperti dah hampir kembali ke rentak yang dulu. Dah tak rasa ‘malas’ sangat dah. Boleh buat aktiviti dengan anak-anak, walaupun sekadarnya saja.


Aku harapkan esok dan hari mendatang akan lebih baik. Tahun ni belum berpeluang balik kampung, insya Allah akan sampa masanya untuk balik juga. Semoga kesihatan seluruh ahli keluarga juga semakin baik. Allah sekadar menguji hamba-hambaNya. Pelangi kan hadir selepas gerimis. Insya Allah. Kita akan jalani kehidupan yang lebih baik. 


Alhamdulillah atas nikmat dan ujian dariNya.

SELAMAT HARI LAHIR ANAS DAN MUSSAAB




12-1-2023 genaplah usia Anas 11 tahun. Alhamdulillah.


19-1-2023. Genap pula usia Mussaab 9 tahun. Alhamdulillah.


Semakin besar panjang anak ummi. Syukur padaNya yang menghadirkan kalian dalam hidup ummi dan abi.


Sepanjang 2 minggu ini agak kelam rasanya kehidupan ini. Satu family diuji tak sihat badan. Bermula Miqdad, kemudian abi, ummi, Anas, Mussaab dan terakhir Suri. Berantai ujian demam kali ini (demam influenza barangkali). Meskipun dah sembuh dari demam, badan masih lemah tak bermaya. Batuk selesema masih mengganggu.


Hari lahir Anas dan Mussaab sedanya. Diingat dan disyukuri, tak lebih dari itu. Tiada jamuan istimewa, dalam keadaan tak sihat badan, makan pun tak berselera. Abi belanja MCD sebelum kembali bekerja, itupun hanya menjamah sedikit sorang. 


Ujian sungguh kali ini, bila cuti Raya Cina pun kita tak boleh balik kampung ziarah mek dan nenek. Ya, pertamanya sebab tak sihat. Keduanya, abi berkebetulan perlu bekerja. Maka bercuti di rumah sajalah kita semua. Dalam keadaan yang belum sihat sempurna lagi.


Apapun syukurlah, keadaan kita semakin baik dan semakin sihat. Allah sekadar menguji kita. Selama ni sihat saja, sesekali Allah ingatkan kita dengan sakit. Sabar dan syukurlah anakku!


Untuk Anas dan Mussaab yang semakin bertambah besar dewasa. Ummi tak pernah lupakan hari penting kelahiran putera ummi ini. Ummi sentiasa mendoakan kebaikan buat Anas dan Mussaab. Seiring bertambahnya usia, semoga bertambah juga kebaikan dan keberkatan Allah dalam hidupmu.


Selamat melangkah di dunia sementara ini. Moga Allah permudahkan langkah perjalananmu. Semoga Allah menunjukkanmu jalan yang benar. Semoga tercapai segala impian dan cita-citamu. Semoga kan bersama kita, di sini dan di sana. Ameen. 


Ummi sayang Anas dan Mussaab.

Ummi sayang semua.




Anas (12/1/2023)

Breakfast mi goreng sebelum ke sekolah.




Mussaab (19/1/2023)

Lepas demam 2 hari

Hari ni sambutan hari kanak-kanak di sekolah.

Sunday, 1 January 2023 0 comments By: Naemah

CERITA BALIK KAMPUNG



Imbas kenangan balik kampung pada cuti sekolah yang lepas (11/12-27/12/2022). Balik kampung kali ini, kita dihadiahkan dengan situasi dan suasana yang berbeza. Ia tak seperti yang kita ingin dan yang kita rancang, namun itulah perancangan terbaik dari Allah.


Beberapa hari sebelum cuti sekolah bermula, menerima berita mek jatuh di dapur rumah dan patah tulang peha. Ya Allah, tika itu Allah saja yang tahu betapa merontanya hati nak balik. Tapi tika itu juga, terhalang kerana Mussaab yang sedang menjalani exam pada minggu tersebut, abi pula janji nak tolong hantar pak lang ke airport, dan terikat juga dengan majlis graduasi Miqdad. Jadi, kita balik sebagaimana yang dirancang dengan menaiki keretapi. 


Sebaik tiba di kampung, terus melawat mek di Hospital Tanah Merah, dan hari itu juga ummi terus mengambil giliran menjaga mek di hospital. Alhamdulillah, kerana musim cuti sekolah, adalah anak menantu dan cucu-cucu mek yang boleh ambil giliran menjaga mek selama 2 minggu mek ditahan di wad. Ketika ummi menjaga mek, anak-anak bersama abi di rumah. Alhamdulillah, kebetulan abi juga bercuti panjang.


Sebagaimana mek tak ada di rumah, begitu juga nenek. Malang tak berbau, di kampung menerima berita pak lang yang jatuh sakit di Sarawak. Agak kritikal sakitnya, tak sangka sebab kita baru saja hantar pak lang ke airport hari tu. Nenek segera ambil tiket dan terbang ke Sarawak. Makanya, rumah nenek pun tak ada orang. Kurang seronok bila balik kampung dalam situasi seperti ini. Namun apa daya, inilah takdirNya.


Kebetulan juga musim tengkujuh, Kelantan dilanda banjir besar. Rumah nenek tak terkecuali, cuma tak teruk seperti di tempat lain. Disebabkan banjir juga, kita tak dapat kemana-mana untuk beberapa hari sehingga banjir surut. 


Alhamdulillah lepas 2 minggu mek dibenarkan balik selepas menjalani pembedahan. Nenek juga balik ke rumah bila keadaan pak lang bertambah baik. Di rumah, ummi ambil tanggungjawab menjaga mek hampir 24 jam sebelum tiba masanya untuk kembali ke rumah. Keadaan mek memerlukan penjagaan rapi sebab mek tak dapat dah nak berjalan macam dulu. Hanya mampu baring dan duduk. Ramai orang datang ziarah mek, termasuk nenek.


Cuti Anas, Mussaab dan Miqdad kali ini agak berbeza. Perlu faham keadaan dan situasi sukar ini. Alhamdulillah masih ada sepupu dan anak sepupu untuk berkawan dan bermain. Ada ketikanya, rumah mek jadi sangat meriah bila semua datang. Di siang hari, ikut ayah cik ‘mengembala’ biri-biri yang berpuluh ekor tu. Itupun antara keseronokan juga. Yang tak best, internet kat kampung sangatlah slow. Nak main game, memang tak bolehlah! Whatsapp pun susah nak lepas. Sabar jelah.


Selepas 3 malam ummi jaga mek di hospital, dan 6 malam di rumah, tiba masanya untuk kita pulang ke rumah. Berat hati nak tinggalkan mek, tapi ada tanggungjawab lain yang perlu dilunaskan di sini. Ummi serahkan penjagaan mek pada adik beradik yang lain, dan pada Allah seluruhnya. Mengharapkan keadaan mek akan bertambah baik, mek dijaga dengan sebaiknya. Dengan nenek pun hanya dapat jumpa sekejap saja.


Balik ke rumah, hampir masanya untuk Anas dan Mussaab kembali ke sekolah. Abi juga perlu bersedia untuk dipanggil bekerja. Semoga Allah permudahkan urusan mek dan semua ahli keluarga di kampung. Insya Allah kita akan balik lagi, jumpa mek dan nenek. Insya Allah segalanya akan baik-baik saja. Tidak Allah takdirkan semua ini terjadi, melainkan ianya baik buat kita. Ada hikmahnya, insya Allah.



Antara kenangan di kampung; 














Saturday, 31 December 2022 0 comments By: Naemah

DIARI KITA 2022



Januari 2022

Januari melabuhkan tirai. Kita telah mengharungi sebulan pertama 2022 dengan ‘jaya’nya. Alhamdulillah. 

Sekolah bermula pada 10/1/2022. Anas, Mussaab dan Miqdad kembali bersekolah seperti biasa (hanya Anas yang masih ikut penggiliran kumpulan A dan B). Rutin pagi kembali sibuk, terutama time abi tiada di rumah.

2/3 bulan ini abi di tempat kerja dan kuarantin. Namun pada kesempatan yang ada, sempat abi bawa berjalan dan balik kampung, dan spend masa berkualiti dengan keluarga. Alhamdulillah.

Bulan ini genap usia Anas 10 tahun dan genap usia Mussaab 8 tahun. Besar dah semua. Alhamdulillah.

Berada di kampung pada penghujung bulan ini (cuti CNY). Balik jumpa nenek, mek dan keluarga. Seronok dapat berkumpul. Moga Allah pelihara keluarga kita yang tercinta. Bertemu dan bersatu hingga ke syurgaNya. Ameen.

Masih hidup bersama covid-19. Kes menaik lagi. Moga tiada yang memudaratkan untuk kita semua.

11 bulan berbaki (2022). Kita akan terus melangkah gagah, insya Allah. Moga petunjuk Allah sentiasa menyuluh perjalanan hidup kita. Ameen.





Februari 2022

Berlalu 28 hari bulan Februari. Alhamdulillah. 

Anak-anak berada di hari-hari terakhir persekolahan sebelum melangkah ke sessi baru (2022) pada bulan Mac. Banyak tak hadir ke sekolah kerana kes positif di kalangan guru dan murid. Makin banyak pula kes yang muncul di sekolah-sekolah. Agak merisaukan. Alhamdulillah Anas, Mussaab dan Miqdad dah terima vaksin dos pertama pada 11/2/2022. Ummi dan abi pun dah dapat booster pada 8/2/2022. Moga Allah sentiasa lindungi.

Dan syukur, sebulan ini abi ada bersama. Dapat spend masa bersama-sama. Anas, Mussaab dan Miqdad juga register kelas berenang bermula Februari ini. 

Cuti sekolah bermula 26/2/2022 sehingga 20/3/2022. Kampung menjadi hala tuju utama kita sekeluarga. Alhamdulillah sudah berada di kampung pada penutup bulan ini. Abi masih ada banyak masa bersama, insya Allah dapat kumpul sebanyaknya memori bersama. Moga Allah restui dan berkati sentiasa keluarga kita. Bahagia selamanya dunia dan akhirat. Ameen.






Mac 2022

Mac 2022 menutup tirainya. Alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk meneruskan hari bersama yang tercinta.

Mac kita bermula di kampung. Lama juga dapat berada di kampung kali ini. Kebetulan cuti sekolah dan abi ada bersama. Alhamdulillah. 

Balik ke Semenyih pada 9/3, abi perlu kembali bertugas dan anak-anak sambung bercuti di rumah. Oh ya, selesai pendaftaran sekolah rendah Miqdad untuk tahun 2023. Alhamdulillah.

Di balik nikmat, Allah hadirkan ujian bila satu family dijangkiti virus covid-19. Bermula dengan Anas, berakhir dengan abi. Melalui satu minggu yang dirasakan agak panjang, merawat dan menjaga anak-anak yang tidak sihat silih berganti (pada ketika abi sedang jauh). 

Alhamdulillah semua sudah beransur sihat dan baik, dan sudah kembali bersekolah. Insya Allah semuanya akan baik-baik saja. 

Tak lama lagi bakal menyambut Ramadan. Moga Allah kurniakan kekuatan dan moga rahmatNya menyinari hidup kita. Moga Allah ampunkan segala dosa. Moga Allah sucikan hati kita, menyuluh dengan hidayahNya, memimpin dengan cintaNya.

Ya Allah. Berkati keluarga kami ini. Sejahterakan kehidupan kami dunia dan akhirat. Ameen.





April 2022


April melabuhkan tirainya. Bermula April, bermula juga Ramadan yang penuh kemuliaan.

Anak-anak bersekolah sepanjang Ramadan ini. Alhamdulillah, tahun ini Miqdad mula berpuasa penuh. Dan Alhamdulillah, Anas, Mussaab dan Miqdad masih cukup berpuasa sehingga hari ini (28 Ramadan). 

Abi pula, Ramadan kali ini juga banyak habiskan masa dengan kuarantin dan kerja. Baru beberapa hari dapat berpuasa bersama. Esok akan kembali berkuarantin dan bekerja lagi. Hari raya tahun ini juga tak dapat sambut dengan abi. Sabarlah atas ujian perpisahan ini. Pasti ada hikmahnya.

Sudah berada di kampung, di hari-hari terakhir Ramadan ini. Alhamdulillah, dapat beraya dengan keluarga di kampung, setelah 2 kali aidilfitri beraya di perantauan.

Agak sedih tak dapat raikan Aidilfitri dengan abi. Tapi apakan daya, begini takdirNya. 

Semoga akan baik-baik saja. Alhamdulillah, April dan Ramadan yang telah dilalui bersama. Susah senang, Allah ada sentiasa. Ikhlas menerima setiap takdirNya. Sudah pasti, takdir Allah yang terbaik untuk hambaNya. 





Mei 2022

Mei berakhir. 1 Syawal diraikan pada 2 Mei 2022, menjadikan ia Aidilfitri yang tidak terjangka (kerana dalam kalendar sepatutnya 3 Mei). Dan tak terjangka juga dapat beraya dengan abi walaupun sekejap. Raya kita raikan seadanya, namun cukup meriah, setelah 2 tahun tak dapat beraya di kampung halaman.

Selepas cuti hari raya, anak-anak kembali bersekolah seperti biasa. Di sekolah juga anak-anak dapat meraikan hari raya (dan sambutan hari guru) bersama guru dan kawan-kawan. Tentunya berganda kemeriahan Syawal tahun ini.

Alhamdulillah selepasa raya, abi bercuti panjang. Bulan ni dapat spend masa lebih lama dengan abi. 

Minggu terakhir sekolah(sebelum bercuti lagi selama seminggu) balik kampung sekali lagi untuk ziarah kematian (mak cik abi) di kampung.

Mei berakhir dengan baik. Semuanya berada dalam keadaan baik. Alhamdulillah. Semoga hari-hari mendatang juga akan lebih baik, dikurnia rahmat, kasih sayang, hidayah dan ‘inayah dariNya. Ameen





Jun 2022

Jun 2022 melabuhkan tirainya. Jun yang sungguh ‘luar biasa’. Jun yang lebih berliku dari yang biasa. Namun segalanya penuh hikmah dan pengajaran. 

Alhamdulillah kegembiraan buat anak-anak dapat bercuti bersama sepupu di Pulau Langkawi. Juga menjadi percutian pertama kita tanpa abi atas sebab yang tak dapat dielakkan.

Kemudian diuji dengan tragedi di mana ummi perlu dimasukkan ke wad dan menjalani pembedahan dan rawatan dalam tempoh yang agak lama. Abi memikul seluruh tanggungjawab menguruskan anak-anak dan mencukupkan keperluan ummi di hospital. Allah saja mampu mengganjari tiap susah payah dan pengorbanan abi.

Kehadiran anak-anak ke sekolah diusahakan sebaik mungkin agar tak ketinggalan, meskipun dalam tempoh ini ada yang tak sihat (demam, batuk dan selesema).

Namun di atas semua ini, cuba kita panjatkan syukur sebanyaknya kerana ujian ini tidak lain dari bukti cinta Allah terhadap hamba-hambaNya. Ujian ini tak lebih dari yang kita mampu untuk mengharunginya. Pada tiap kesukaran, bersamanya ada kemudahan dan bantuan dariNya. 

Julai yang bakal tiba. Insya Allah akan lebih baik buat kita dalam meniti hari. 





Julai 2022

Julai berakhir. Julai yang punya cerita tersendiri. Julai ini juga menyambut Aidiladha dengan meriah bersama ahli keluarga di kampung.

Ummi semakin sihat dan sembuh. Namun diuji pula dengan tragedi- kemalangan abi, Anas dan Mussaab dalam perjalanan ke sekolah. Alhamdulillah Anas dan Mussaab tak cedera, cuma abi yang teruk sikit. Namun tetap bersyukur juga kerana abi juga semakin sihat dan sembuh.

Anak-anak sihat dan dapat ke sekolah setiap hari. Tapi masih juga berlarutan batuk dan selesema (yang tak teruk sangat). Kehadiran ke sekolah memuaskan, harapannya juga semua memperoleh ilmu yang bermanfaat di sekolah.

Masa berlalu terasa agak pantas. Pejam celik dah nak masuk bulan Ogos dah. Sangat sibuk dengan urusan harian. Syukurlah dapat melalui hari dengan baik, meski ujian tetaplah ada.

Alhamdulillah atas segala kurniaNya. Semoga hari yang mendatang akan dapat dilalui dengan lebih baik dengan pertolonganNya.





Ogos 2022

Ogos menutup tirai. Bulan ni tak berkesempatan untuk balik kampung. Tiada cuti sekolah (kecuali weekend). Bulan ni juga anak-anak sibuk dengan exam di sekolah masing-masing. Miqdad juga, selesai menjalani Ujian Kelayakan Srai pada 20/8/2022.

Hajat nak balik kampung hari tu tak kesampaian dek tragedi kereta mati di tengah highway (12/8/2022). Ujian dari Allah, mendepani ujian seperti ini buat pertama kalinya. Kerana hal tak terduga itu, kita akhirnya sampai ke Temerloh-jadilah ia percutian yang tak dirancang. 

Pada kebanyakan masanya anak-anak habiskan masa di sekolah dan di rumah sahaja. Dah tak lama nak bercuti. Harapnya sempat balik kampung (dah plan hari keluarga). 

Abi kembali bertugas pada 31/8. Harap abi akan segera balik.

Alhamdulillah untuk sebulan ini yang berlalu baik. Biarpun ujian tetap hadir bersilih ganti, namun semuanya dapat diharungi dengan pertolongan Allah. 

Semoga hari yang mendatang akan lebih baik dan dipermudahkan segala urusan. Semoga kan menjadi hambaNya yang lebih baik dan mulia di sisiNya. 





September 2022

Sebulan September yang berlalu pergi. Banyak kisah bahagia, terselit ujian yang juga terkandung hikmah yang banyak. Alhamdulillah untuk segalanya.

Lama tempoh abi di rumah. Keberadaan abi banyak memudahkan, Alhamdulillah. Bagai ganti masa abi yang ‘hilang’ untuk keluarga suatu ketika dulu (masa pandemic).

Kehadiran anak-anak ke sekolah cemerlang, biarpun bersama batuk selesema yang masih belum reda. Bulan ni sibuk dengan exam, dan juga perjumpaan ibubapa dengan guru untuk bincang prestasi di sekolah. Alhamdulillah semuanya baik belaka.

Miqdad dapat result UKS, Alhamdulillah tahun depan masuk darjah satu di SRAI. Suri beraktiviti di rumah saja. Demam 3 hari, Alhamdulillah dah sihat.

Kenangan hari keluarga (di Pantai Sri Telong, Bachok) yang tak dapat dilupakan, kenangan menyertai Fun Run Anak Merdeka, dan menutup bulan ini dengan percutian di Stong Heritage Eco Resort bersama sebahagian ahli keluarga. Segalanya memori yang terpahat indah di hati kita semua.

Oktober mendatangi. Mengharapkan yang indah dan baik-baik juga yang akan kita semua tempuhi. Allah Maha Baik. Segala pujian dan pengharapan hanya untukNya. Tiada yang buruk pada takdirNya. Segalanya hanya yang terbaik buat hamba-hambaNya. 






Oktober 2022

Oktober melabuhkan tirai. Alhamdulillah untuk satu bulan yang penuh kenikmatan dariNya.

Abi masih dengan rutin kerjanya. Pergi dan selamat kembali, setiap kalinya. Alhamdulillah.

Anas, Mussaab dan Miqdad meneruskan persekolahan seperti biasa. Suri setia bersama ummi setiap masa.

Plan nak bercamping menjadi kenyataan. Alhamdulillah. Sekali di Cameron Highland, dan sekali di Kuantan. Insya Allah ada kesempatan akan teruskan lagi camping keluarga kita. 

Kesihatan juga baik, walaupun masih berselang-seli batuk dan selesema. Alhamdulillah. Syukur atas segalanya. Moga dikurniakan kesihatan yang lebih baik buat abi, ummi, Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri. Ameen. 

Cabaran menempuh hari-hari tetap ada, namun memang beginilah kehidupan. Nikmat dan ujian datang bersilih ganti. 

Moga tetap bertahan, biar bersama kesabaran yang sering teruji. Ya Allah, ampunkan segala khilaf. Pimpinlah hati dan langkah kami agar tak menyimpang, agar Kau sentiasa رضا. 





November 2022

November sampai ke penghujungnya. Berbaki sebulan lagi menuju tahun baru 2023. How time flies 🦋

Bulan ni anak-anak banyak terlibat dalam competitions. Menyertai pertandingan anjuran surau, pertandingan berenang, program sekolah masing-masing, dan yang terakhir larian bersama mechamato. Alhamdulillah boleh sama-sama mengumpul pengalaman dan kenangan.

Bulan ni juga berdepan dengan pru-15. Dapatlah balik kampung sekejap. Kerajaan pun dah bertukar, Malaysia menerima Perdana Menteri ke-10 yang baru. Sejarah terukir lagi buat Malaysia tercinta.

Dari segi kesihatan, Alhamdulillah baik-baik je semua. Selesema batuk ringan saja. 

Di samping itu, teruskan juga rutin-rutin yang biasa. Anak-anak sekolah, abi kerja, dan ummi dengan kerja rumah dan urusan anak-anak. 

Alhamdulillah untuk 11 bulan yang telah berlalu. Sebulan lagi, bakal menjelang tahun baru 2023. Sentiasa mendoakan kehidupan yang lebih baik buat kita semua. Semoga meningkat iman dan taqwa. Semoga akan lebih dekat dengaNya dan dilimpahi dengan kasih dan cinta Nya. Ameen.





Disember 2022

Disember menutup tirai sekaligus menutup tirai tahun 2022. Masya Allah pantas masa berlalu. Tahun 2023 menyusul pula.


Disember kita lalui dengan kisah yang tersendiri. Ada suka, ada duka, begitulah kehidupan.


Bulan ni anak-anak bercuti panjang. Miqdad sudah tamat belajar di Little Diamond Kindergarten. Alhamdulillah, dah selesai juga majlis graduation Miqdad. Sebelum balik kampung, abi bawa menonton movie Mechamato, lepas tu balik kampung sama-sama menaiki keretapi. What a sweet together moment!


Genap 12 tahun usia perkahwinan ummi dan abi, genap 40 tahun usia abi, syukur Alhamdulillah. Segala puji hanya layak buatNya. 


Balik kampung, situasi tak seperti biasa. Mek dirawat di hospital, nenek pula ke Sawarak menziarahi Pak Lang yang sakit. Berdepan pula dengan musim tengkujuh dan banjir besar, Alhamdulillah masih di dalam lindunganNya. Alhamdulillah keadaan beransur baik, mek dah balik ke rumah, nenek juga dah balik.


Mendoakan hari-hari yang mendatang akan baik-baik saja, dan lebih baik lagi. Sudah melalui kesukaran dan kesedihan yang Allah saja mengerti. Sudah melalui hari-hari kelam yang Allah takdirkan buat kita. Pasti ada hikmahNya. Pasti ada yang manis dan indah menanti di depan hari. Sungguh, Allah Maha Baik. 


Sudah meninggalkan kampung, untuk jalani hari di sini pula. Kembali kepada rutin di rumah, dan Anas dan Mussaab juga akan kembali bersekolah. 


Semoga kan baik-baik saja semua, kita dan ahli keluarga yang kita cintai. Dalam jagaan Allah sentiasa, dalam rahmat Allah setiap masa. Tiap takdirNya, yakinlah terbaik untuk kita hambaNya.


Semoga tahun baru 2023 akan memberikan kehidupan yang lebih baik buat kita semua. Ameen


.
Friday, 30 December 2022 0 comments By: Naemah

PENGALAMAN BALIK KAMPUNG MENAIKI KERETAPI

Catatan pengalaman menaiki keretapi buat pertama kalinya untuk pulang ke kampung (Kelantan).


Tiket keretapi dah beli beberapa bulan yang lalu, sebab tak boleh beli last minute, takut sold out. Kami ambil 6 tiket (katil), 4 katil bawah dan 2 katil atas. Perjalanan kami ialah pada 11/12/2022 jam 1.00 pagi (Gemas-Wakaf Bharu).


Pada 10/12/2022, adalah hari graduasi tadika Miqdad. Tiada masalah kerana ia berlangsung waktu pagi. Selesai majlis, balik berkemas dan ready apa yang patut (tak bawa banyak barang sangat sebab nanti abinya akan balik semula ambil kereta dan keperluan yang lain). 


Lepas solat asar, kami menaiki viva menuju ke stesen MRT Sungai Jernih. Parking kereta kat sini, dan menaiki MRT sekitar jam 5.30 petang menuju ke KL Central (perhentian Muzium Negara). 


Di KL Central, kami tunaikan solat jamak maghrib-isyak, makan malam di restoren KFC dan menunggu train-ets ke Gemas. Agak lama juga menunggu. Sekitar jam 10 malam kami menaiki ets dan sampai di Gemas jam 12.30 pagi. Kemudian menaiki keretapi ke Pantai Timur sekitar jam 1 pagi. 


Anak-anak teruja, menaiki keretapi balik kampung buat pertama kalinya. Siap ada katil lagi untuk tidur. Mussaab dan Miqdad ambil katil atas, dan yang lain tidur di katil bawah. Agak ramai juga penumpang termasuk kanak-kanak,  maklumlah cuti sekolah dah bermula. Semua naik ke katil masing-masing dan menyambung tidur (tadi dah lelap sekejap dalam ets). 


Tiba waktu Subuh, bangun tunaikan solat dan breakfast. Ada kantin yang menjual makanan, tapi pilihan makanan tak banyak. Beli nasi goreng 2 bungkus, share sorang sikit. Mujur jugalah ada bawa bekalan makanan dari rumah. Dapatlah sekali kenyang sebelum sampai ke destinasi. 


Asyik juga menikmati pemandangan di sepanjang perjalanan. Anak-anak kembali cergas, dan seronok bermain sesama mereka. Agak ‘meriah’ suasana dalam keretapi dengan suara anak-anak kami. Sekejap makan, sekejap main dan bergelak ketawa, turun dan naik katil entah berapa kali sebelum sampai ke destinasi.


Pada awalnya nak turun di Wakaf Bharu, nak balik rumah mak mertua dulu di Kota Bharu, tapi kemudian kami mengambil keputusan untuk turun di Tanah Merah memandangkan ibuku sedang dirawat di Hospital Tanah Merah sejak beberapa hari sebelum kepulangan kami. 


Kami tiba di stesen keretapi Tanah Merah pada jam 11.50 pagi. Alhamdulillah. Hampir 11 jam perjalanan kami dari Gemas ke Tanah Merah. Anak-anak sudah merasa sendiri perjalanan balik kampung menaiki keretapi. Ummi dan abi dah pernah rasa dulu, time bergelar student :)


Pada tarikh ini juga (11/12/2022) merupakan hari ulangtahun perkahwinanku dengan suami yang ke-12, juga hari lahir suamiku yang ke-40. Alhamdulillah atas nikmat usia dan nikmat kehidupan berumahtangga, dengan 4 cahaya mata kurniaan Allah ini. Kami bersyukur atas nikmatMu ya Allah. 


Kenangan hari ini menjadi hadiah terindah buat kami sekeluarga. Pengalaman pertama ini, sudah tentu kekal menjadi kenangan buat anak-anak. Kenangan manis bersama ini, akan kita ingat sampai bila-bila ya!




Di stesen MRT Sg. Jernih







Tiba di KL Central





Dinner di restoren KFC, KL Central





ETS to Gemas



Menunggu train ke Pantai Timur 







Sambung tidur hingga esok pagi



Menikmati panorama



Habiskan bekalan yang dibawa 



Happy kids








Tuesday, 13 December 2022 0 comments By: Naemah

LD: ANNUAL CONCERT & GRADUATION DAY 20


10/12/2022


Annual Concert & Graduation Day Little Diamond Kindergarten. 


Masya Allah cepat masa berlalu. Miqdad akhirnya tamat pengajian di sekolah pertamanya Little Diamond Kindergarten. Dulu ikut ummi berjalan hantar Anas dan Mussaab ke tadika, kini Miqdad sendiri pun dah tamat belajar di tadika yang sama. Tahun depan semua dah berada di sekolah rendah, menempuh fasa seterusnya di alam pengajian.


Terima kasih pada Teacher Zeeda yang meng’awal’kan majlis ke tarikh ini yang sepatutnya diadakan pada minggu berikutnya. Dek Miqdad yang perlu balik kampung (dan mungkin tak kembali ke sekolah dah), teacher awalkan tarikh, dan Alhamdulillah dapatlah Miqdad join majlis graduasi dengan kawan-kawan.


Hari ni kita sekeluarga hadir untuk meraikan hari graduasi anak-anak Little Diamond Kindergarten. Anas dan Mussaab (ex-student LD) turut hadir dan bertugas membantu teacher untuk majlis tersebut. 


Tema majlis hari ini ialah ‘Family Show’. Seakan santai menonton tv bersama keluarga, di mana ‘show’ tersebut dipersembahkan oleh anak- anak Little Diamond. Siap ada remote tv, dan kudap-kudapan untuk para penonton :)


Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan perasmian. Majlis hari ini dirasmikan anak-anak 6 tahun yang bakal meninggalkan Little Diamond kindergarten. 


Hari ini ibubapa disajikan dengan persembahan terbaik dari anak-anak 4-6 tahun. Ada lakonan berbentuk movie, ada nyanyian, dikir, news, masakan, iklan barangan, dan banyak lagi. Anak-anak sudah usaha yang terbaik, dan comel-comel semuanya. Cuma adalah part bercakap yang kurang jelas didengar. Apatah lagi kami duduk di seat belakang. Tapi takpelah, faham. Tak mungkin nak mengharapkan kesempurnaan dari anak-anak kecil ini. Apa yang mereka beri memang sudah yang terbaik. Satu pujian untuk keberanian mereka. 


Selain dari persembahan anak-anak, ada juga slot untuk lucky draw, dan satu lagi ibubapa hari ni dapat belajar bahasa isyarat yang disampaikan oleh penceramah jemputan. 


Seterusnya anak-anak membuat persembahan terakhir bersama-sama, dan akhir sekali adalah majlis penyampaian sijil/hadiah pada semua pelajar. Dengan ini rasmilah Miqdad menamatkan pengajiannya di Little Diamond Kindergarten. Walaupun kawan-kawan Miqdad masih terus ke tadika sampai hujung tahun ni (dan ada yang sambung sampai tahun depan sebelum masuk darjah satu), tapi Miqdad tak dapat hadir dah sebab nak spend lebih masa dengan keluarga di kampung sempena cuti panjang ni.


Alhamdulillah segalanya sudah lancar berjalan. Terima kasih buat Teacher Zeeda dan semua teacher Little Diamond Kindergarten yang bertungkus lumus menjadikan majlis ini satu kenyataan. Terima kasih raikan anak-anak kami dan menjadikan ini sebahagian dari momen terindah mereka di alam tadika. 


Miqdad dah tamat belajar di sini, tahun depan ummi tak hantar anak ke tadika dah. Ummi pula rasa sebak, rutin ummi dah berubah sedikit tahun depan, berbanding tahun-tahun sebelum (sejak zaman tadika Anas dan Mussaab lagi).


Apapun doa ummi akan sentiasa mengiringi langkah perjalanan Miqdad. Tahun depan Miqdad akan belajar di sekolah Anas. Miqdad akan belajar perkara baru, akan jumpa kawan-kawan baru, dan akan berdepan dengan cabaran baru, seterusnya mengumpul kenangan dan pengalaman yang baru juga. 


Moga terus sukses anak-anak ummi di masa yang akan datang. Cemerlang dunia dan akhirat. Insya Allah. 



Foto kenang-kenangan