Sunday, 15 December 2019 0 comments By: Naemah

MENDAMBA BERKAT DI ALAM BERUMAHTANGGA





Aku nak tulis sikit pasal ‘keberkatan’ di dalam rumahtangga. Aku rasa tak layak pun nak berceramah panjang berkenaan tajuk ni. Ilmu rumahtangga aku pun masih cetek . Sekadarnya sajalah, tak setuju pun tak mengapa :) sama-samalah kita menegur dan bermuhasabah.


Kalau ditanya pada aku, apa yang aku mahu dalam sebuah perkahwinan? Jawapan aku, aku mahukan KEBERKATAN. Anda pula mahukan apa? Kerana pada aku, bila ada berkat, segalanya akan dapat diharung bersama kasihnya DIA (maksudnya dengan MUDAH). Baik senang baik susah, baik ketika bergembira, baik ketika menempuh ujian, bersama ‘berkat’ ini segalanya akan baik-baik saja. Insya Allah. 


Bagaimana mendapat berkat dalam rumahtangga? Pertamanya, kita tak mulakan ikatan kita (sebelum ikatan pernikahan) dengan dosa. Straight to the point, ‘jangan bercinta!’ (Ayat tegas) kerana bila dah bercinta, di situ permulaan dalam mengumpul dosa. Dosa merindu, dosa angau dan fantasi yang bukan- bukan, dosa bercakap dan bertemu berduaan, dosa bersentuhan, dan yang lain. Dosa yang lebih dari itu, apatah lagi (atau kita merasa dosa itu remeh?)


Bila kita sudah mulakan dengan dosa (yang mengundang murka Allah) bagaimana kita mahu meraih berkat dalam kehidupan berumahtangga- andai kita tak bertaubat!


Ada orang kata, ramai saja yang hidup bahagia sampai ke hujung hayat walaupun mereka dulu bermula dengan bercinta. Ramai juga yang bercerai berai walaupun tak pernah bercinta. 


Aku pun tak pandai nak mengulas panjang. Pokok pangkalnya ke mana kita mahu membawa perkahwinan kita ini? Bukan aku maksudkan, yang tak bercinta itu confirm lebih baik dari yang bercinta. Rumusannya bukan begitu. 


Persoalannya: Kerana setiap orang dambakan bahagia dan redha Allah (till jannah katanya), Kenapa sanggup kita mulakan dengan cara yang Allah tak suka? Dan tanpa ‘taubat’ atas dosa lalu apakah kita tetap rasa bangga dengan ‘kebahagiaan’ yang masih dikecapi hari ini? - Ya, Alhamdulillah syukurlah Allah mentakdirkan bahagia, tapi bertaubatlah ya! Mudah-mudahan lebih berbahagia. Insya Allah.


Jangan marah dan jangan ada yang terasa hati dengan coretan ini. Aku tahu di zaman moden ini sangat jarang orang tak bercinta. Bukan kerana aku tak bercinta, maka aku rasa aku lebih baik dan lebih bahagia. Hakikatnya, dosa aku yang menggunung tu Allah tutup, lalu nampaklah macam baik-baik je. Aku pun hamba berdosa. Dalam mengingatkan insan lain untuk bertaubat, sebenarnya nak ingatkan aku juga untuk selalu bertaubat. 


Itu baru bab bercinta. Belum lagi masuk bab di alam rumahtangga; apa pengisian bersama? Apa usaha ke arah keharmonian rumahtangga? Yang penting di mana kita letakkan Allah dalam kehidupan berumahtangga kita?


Setiap orang mahukan rumahtangga aman bahagia. Setiap orang mahukan keredhaan Allah dan dapat bersama pasangan sampai syurga. Jomlah, kita sama-sama baiki diri. Bukan saja mahu lebih baik untuk pasangan, tapi nak jadi yang lebih baik di pandangan Tuhan. Moga Allah ampunkan dosa-dosa kita, jangan berbaki dosa dalam ikatan perkahwinan kita ini. Biar suci, barulah datang berkat. Barulah bahagia sejati benar-benar akan dirasa. Insya Allah.


Sekali lagi, aku menulis bukan kerana aku sempurna. Aku juga banyak dosa, sedang berusaha memperbaiki diri. Nasihat ini untuk muhasabah diri aku sendiri.

Thursday, 12 December 2019 0 comments By: Naemah

TERIMA KASIH ‘AQIL STORY’




Cuti sekolah kali ini sangat-sangat berbeza dengan yang lepas-lepas. Dah 2 minggu aku dan anak-anak ‘berkampung’ di kampung tanpa suamiku yang ter’sangkut’ di laut dek cuaca yang tidak baik. Kali pertama dia perlu bertugas di bahagian Kerteh, kena pulak pada musim tengkujuh ni, memang tak boleh buat apa la.


2 minggu anak-anak tak ke mana. Hanya berada di rumah mek, atau ke rumah cik yang tak jauh dari rumah mek. Hari-hari buat aktiviti sama; main lego, melukis, naik moto ke rumah cik, gurau senda adik beradik, sesekali buat latihan dalam buku, dan sesekali ada sepupu yang datang bermain di rumah mek. 


Antara aktiviti lain ketika berada di kampung ni ialah menonton cerita ‘Aqil Story’. Cerita ni aku download masa umur Anas 2 tahun lebih (2014). Asalnya cerita kartun ‘Aqil Story’ ni ditayangkan di tv alhijrah. Memang bagus sangat kartun ni. Banyak pengajaran. Tapi yelah, masa tu anak masih kecil lagi, cerita kartun macam ni masih kurang sesuai untuk dia. Jadi kami download dari YouTube dan simpan dalam hard disk.


Dah bertahun, dah lupa terus pada ‘Aqil Story’ yang ada dalam hard disk tu. Balik kampung hari tu bawa sekali hard disk. Dalam banyak-banyak video kat dalam tu, terbuka hati nak bagi anak-anak tengok ‘Aqil Story’ yang berjumlah 14 episod semuanya. Dan tak sangka, Anas, Mussaab dan Miqdad suka tengok cerita ‘Aqil Story’


Kartun ‘Aqil Story’ mungkinlah tak secantik kartun animasi  boboiboy atau ejen Ali, tapi comel juga. Dengan dialog-dialog yang lucu, berunsur cerita dalam cerita yang sarat dengan pengajaran. Cerita ni berkisarkan tentang Aqil yang suka menyampaikan cerita yang berunsur nasihat. Aqil budaknya baik, sopan santun, hormat ibubapa, suka menolong orang, dan segala sifat baik pada dia. Pendek kata, jadi teladan baik pada pelajar lain. Ada juga watak nakal, iaitu Khairul dan Hanafi. Nakal dia ya Allah.. melampau. Tapi akhirnya di hujung cerita, yang nakal/jahat akhirnya menerima balasan setimpal.


Cerita ini sesuai untuk anak-anak yang sudah boleh membezakan baik dan buruk, dan boleh berfikir akibat pada setiap perbuatan mereka. Tapi sudah tentulah perlu guide dan interaksi dengan ibubapa juga. 


Keseluruhannya, aku sangat suka pada cerita ‘Aqil Story’ ni. Pada yang mungkin tak tahu, boleh try cari di YouTube. Dah lama sangat download ni, tapi mungkin masih ada di YouTube. Cerita ni sangat baik untuk anak-anak belajar tentang akhlak dan segala sifat baik seorang Muslim. Insya Allah 


Terima kasih ‘Aqil Story’ sebab mengisi masa luang Anas, Mussaab dan Miqdad sepanjang di kampung. Bukan sekali dua mereka tonton, dah berkali-kali hampir setiap hari. Tak jemu-jemu. Walaupun ada je pilihan cerita kartun yang lain :)


Dan catatan ini, untuk mereka ingat di esok hari ;)









Wednesday, 11 December 2019 0 comments By: Naemah

9 TAHUN


(December 2010)



IMBAS


Tahun 2010- tahun ni habis belajar, tahun ni bertunang, tahun ni  konvo, tahun ni kawin- rezeki/jodoh yang tak disangka-sangka. Sebelum tu, tahu dia ‘wujud’.. Tak pernah terlintas dialah ‘jodoh’

.


Sebelum berkahwin, dah tahu kerjanya apa. Katanya akan ditinggalkan sampai berbulan-bulan. Masa tu releks dan tenang saja. Takde masalah kot! Dah kawin, ya Allah, Kau saja faham hati ni. Sebelum ada cinta, dan setelahnya, ia dua rasa yg berbeza. Tapi akhirnya dia pilih famili, lupakan cita-cita.. walau hakikatnya satu tangga je lagi dia nk bergelar nakhoda 


Sebelum bertunang memang tak kenal dia. Selepas bertunang sekali dua berbalas emel atas keperluan. Tapi tak sempat berkenalan pun. Seminggu dua sebelum nikah, berbalas sms bincang tentang persediaan majlis. Lepas nikah, barulah mula berkenalan A to Z. 9 tahun dah cukup kenal? Belum cukup lagi.. mahu Allah berikan izin dan waktu, untuk terus bersamanya lagi.


Orang kata, mula-mula kawin semuanya manis, dah lama kawin manisnya dah hilang entah ke mana. Bagiku, manis dulu takkan sama dengan manis hari ini. Manis ketika berdua, manakan sama dengan manis bila dah ber-enam. Manis ketika tak banyak tanggungjawab, berbeza dengan manis bila diasak dengan tanggungjawab yang lebih besar. 


Manis yang tak perlu terlihat. Manis yang biarkan kita saja yang merasa. 


Selamat hari lahir suamiku dan selamat ulangtahun perkahwinan. Semoga Allah memberkati usia dan rumahtangga. Semoga bersatu kita hingga ke syurga.


آمين




Friday, 6 December 2019 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 061219




Genap seminggu abi berada di laut. Dengan cuaca yang kurang baik di sana, entah berapa lama lagi agaknya abi akan dapat balik jumpa anak-anak. 


Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri masih berada di kampung. Seminggu juga di sini, di rumah mek. Sepanjang seminggu ini hanya ulang alik ke rumah cik. Sesekali ada juga kak zana datang bermain.


Hari ni memulakan hari seperti biasa di rumah mek. Breakfast dan buat aktiviti bersama. Aktiviti biasa, tak ada yang menarik sangat. Main iPad, menonton Aqil story (dalam hard disk), melukis, buat aktiviti dalam buku latihan, bergurau senda, dan yang sewaktu dengannya. 


Hari ni cik tak datang, sebab cik ke Kota Bharu ada kenduri di sana. Jadinya, Anas, Mussaab dan Miqdad hanya berada di rumah Mek sepanjang hari. Kak zana juga tak datang, maka tak adalah kawan lain selain Anas, Mussaab, Miqdad (dan Suri) sahaja. Inilah teman akrab, sentiasa bersama-sama saban hari. 


Dan hari inipun berlalu. Sampai masanya untuk rehat dan tidur semuanya. Tadinya riuh rendah dengan suara bermain dan bergurau, kini dah sepi, bila semuanya sudah dibuai lena. 


Alhamdulillah untuk hari-hari yang ditempuh bersama. Walaupun tanpa abi, walaupun rindu sangat kat abi, tapi tak mengapalah, doa saja yang baik-baik. Moga dipermudahkan urusan abi di sana, cepat selesai kerja abi, cepat balik jumpa Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri. Alhamdulillah walaupun abi ‘sangkut’ kat sana, masih boleh whatsapp dan video call juga sesekali. 


Sudah hampir jam 11 malam. Selamat malam anak-anak ummi. Moga bermimpi indah, moga hari esok menjanjikan yang lebih baik untuk Anas, Mussaab, Miqdad, Suri dan kita semua. Insya Allah.





















Wednesday, 4 December 2019 0 comments By: Naemah

AKU SEORANG SURI RUMAH





Wah tajuk. Macam nak buat karangan budak sekolah rendah :b


Semua orang tahu definisi Suri rumah kan? Ringkasnya, suri rumah adalah gelaran kepada seorang isteri yang tak berkerjaya. Dok kat rumah je, jaga anak, siapkan makan minum dan pakaian suami dan anak-anak, masak, kemas rumah, dan banyak lagilah.. 


Di laman sosial banyak aku baca orang dok berdebat pasal siapa lebih banyak kerja? Siapa lebih penat? Siapa lebih mulia? Isteri bekerja atau suri rumah? Aku pun tak naklah masuk campur bab tu. Bagi aku, keduanya mulia dan terpuji, bergantung pada niat dan keikhlasan individu. Sebagai suri rumah, aku tak pernah rasa seorang suri rumah itu lebih baik dan lebih mulia dari seorang isteri/ibu yang bekerjaya. Tak layak nak rasa lebih baik, sebab ramai je aku tengok ibu yang mampu didik anak dengan baik (lebih baik dari aku) walaupun mereka tak sepanjang masa bersama anak-anak.


Kat sini aku cuma nak highlight bab ‘duit’ atau kuasa beli seorang suri rumah. Mungkin juga boleh jadi rujukan untuk seorang isteri yang sedang mempertimbang untuk teruskan kerjaya, atau berhenti kerja dan fokus pada rumahtangga.


Sebagaimana maklum, kami suri rumah tak ada ‘gaji’. Tak macam yang bekerja, tiap bulan gaji masuk, puas hati dapat hasil dari kerja keras sendiri, boleh sesuka hati berbelanja. Macam tulah mungkin rasanya kan?


Suri rumah tak ada gaji, tak ada duit sendiri. Bergantung pada suami. Ada yang suami kaya raya, tak hairan sangatlah. Mungkin tak payah minta, tiap bulan duit masuk akaun, dapat berbelanja sesuka hati. Ada juga yang mungkin suami dah tetapkan kadar yang nak dihulurkan pada isteri setiap bulan, sampai masa duit diserah ke tangan. Dengan duit tulah nak berbelanja apa yang perlu, cukup tak cukup, kena tunggu bulan seterusnya lah pula nak dapat duit lagi. Mungkin ada juga suami yang kena tunggu isteri minta dulu barulah diberinya duit. Entah, macam-macam cara dan kaedah lagilah agaknya bagaimana seorang suri rumah nak dapatkan ‘duit’. 


Aku ni bukanlah yang tergolong dalam kalangan isteri yang mempunyai suami kaya raya. Tak kaya, tapi Alhamdulillah cukup. Tak dapat pegang duit banyak, tapi Alhamdulillah dicukupkan semua keperluan. 


Bila sedar diri tak ada pendapatan sendiri, aku juga perlu sedar yang aku tak boleh berbelanja sesuka hati. Apa yang penting-penting saja. Apa yang mampu milik saja. Hakikatnya kemahuan itu banyak, tapi aku pilih diam dan pendam, sebab aku kena faham komitmen bulanan suami yang bukan sedikit. Senang je, kalau itu keperluan, minta! kalau sekadar kemahuan (takde pun tak apa), diam-diam sudah. 


Kawan-kawan atau saudara yang mungkin ada produk nak jual, nak saja aku cakap ; Tolong jangan iklan barang pada aku! Bukan aku tak suka, tapi aku tahu aku takkan beli (bergantung pada harga la) lebih-lebih lagi kalau ia bukan keperluan keluarga. Yang selalunya aku beli ialah makanan, sebab makanan selalunya harga dia tak mahal, dan boleh makan sama-sama anak beranak. Kalau barang mekap ke, supplement ke, peralatan rumah yang macam-macam tu ke, sorilah... saya bukan orang berduit, juallah kat orang lain ye. Kat suami saya pun boleh. Yang penting jangan pada saya :D


Begitu juga la part nak memberi hutang pada orang. Mungkinlah ada yang nampak aku macam ‘senang’ je hidup kan. Tapi ketahuilah aku tak pernah rasa aku berduit, sebab semua datang dari suami dan apa-apa keperluan memang kena melalui suami, walaupun duit tu dalam akaun sendiri. Sekali lagi, aku bukan jenis yang berani nak keluarkan duit sesuka hati tanpa pengetahuan suami. 


Begitulah serba sedikit coretan tentang ‘duit’ bagi seorang suri rumah seperti aku ni- tapi lain orang lain kisahnya. Nampak macam ‘miskin’ kan? Bergantunglah... bila kita redha dengan kerja kita, dan rasa cukup dengan apa yang kita ada, serta merta kita rasa kita dah ‘kaya’. Rasa cukup je semua.. ya, kuncinya fokus pada apa yang kita ada. Abaikan saja apa yang kita tak ada. Tenang...


Rasanya dah berjela dah kot aku menulis pasal aku seorang suri rumah ni. Kesimpulannya, seorang suri rumah ni perlu sentiasa tanamkan rasa ikhlas dalam diri, redha dengan tugas rutin harian yang memenatkan, walaupun tugas-tugas tu semua tak dibayar. Redha tak ada duit sendiri, tak dapat semua yang kita nak, dan perlu hidup dalam kemampuan kewangan suami.. 


Wahai isteri.. Moga sentiasa memilih untuk bersyukur. Kerana syukur itulah yang men’cukup’kan. Yakinlah.


ان شاء الله



Kepada yang mungkin sedang berkira-kira untuk berhenti kerja, mungkin boleh tanyakan pada diri, bolehkah nanti hidup dengan sekadarnya- bila tiada lagi wang masuk setiap bulan ke dalam akaun? 

Saturday, 30 November 2019 0 comments By: Naemah

CUTI SEKOLAH: EJEN ALI THE MOVIE DAN BALIK KAMPUNG






Seminggu cuti sekolah dah pun berlalu. November berakhir, Disember bermula. Begitulah pantasnya masa berlalu. Ya, tahun 2020 dah melambai di depan hari.


6 hari pertama cuti sekolah, Anas dan Mussaab tak ke mana-mana. Di rumah sahaja. Plan nak balik kampung lepas abi selesai satu kapal. Dan plan nak tengok ejen Ali the movie pada hari pertama tayangan (28 November 2019).  Sempat juga 2 hari bermain dengan Eiman (sepupu) yang datang ke rumah. Hari-hari yang lain, dengan family saja/atau Hafiz kawan Mussaab datang sesekali bermain.


Berlalunya hari, apa yang terjadi tak seperti apa yang dirancang. Kapal abi delay, lepas sehari, sehari lagi.. last-last abi buat keputusan hantar balik kampung dulu. Sebab dah beli tiket untuk menonton ejen Ali the movie, jadi balik kampung lepas selesai menonton lah. 


Hari Khamis (28/11/19), meninggalkan rumah jam 9 pagi menuju ke iOi City Mall, Putrajaya. Abi and the boys, masuk pawagam menonton ejen Ali. Ummi and the little girl, jalan-jalan tawaf Mall :D Selepas 2 jam, tamatlah sudah movie ejen Ali. Tepat jam 12, meninggalkan iOi City Mall dan menuju ke Kota Bharu. Selepas perhentian demi perhentian, akhirnya tiba di Kota Bharu jam 10.30 malam. Panjang sungguh perjalanan. Penat usah cakaplah.. especially yang memandu tu :)


Ujian pulak bila malam tu Suri menangis tak henti, entah apa sebab dan puncanya. Lama juga la, 15 minit atau lebih, non-stop. Risaunya ya Allah.. sebab kat rumah tak pernah macam ni. Mungkin penat travel jauh, mungkin tak selesa dengan tempat yang berbeza. Entahlah.. Alhamdulillah tangisan Suri reda dan lena di pangkuan abi akhirnya- lepas bergiliran ummi dan abi memangku dan cuba meredakan tangisan Suri. Lega.. dan syukur.


Semalaman di rumah nenek di Kota Bharu, balik pula ke rumah Mek di Jeli. Abi perlu segera balik, tugasnya belum selesai. Abi tinggalkan Ummi dengan anak-anak di kampung. Sekali lagi abi perlu drive balik dan menempuh perjalanan yang panjang. Kesian abi..


Anas dan adik-adik habiskan masa di kampung, dengan family yang ada di sini. Entahlah, tak tahu juga bagaimana masa akan terisi di sini. Berbeza dari rutin di rumah. Namun semoga akan tetap memberikan kegembiraan pada anak-anak ummi. Rindu pada abi yang jauh. Atas faktor cuaca juga, tak pasti berapa lama akan berjauhan dengan abi. Semoga Allah permudahkan urusan abi di sana, juga urusan kita di sini.


Semoga cuti sekolah ini akan dimanfaatkan sebaiknya. Semoga segalanya baik-baik saja. Insya Allah.











Saturday, 23 November 2019 0 comments By: Naemah

BERAKHIR SESSI PERSEKOLAHAN 2019




Hampir 11 bulan berlalu. Dan sessi persekolahan tahun 2019 pun berakhir juga akhirnya. Alhamdulillah.


Anak-anak melalui hari pengajian yang panjang. Keluar pagi, balik petang, hampir setiap hari. Hujung minggu masa untuk berehat, cuti panjang sikit dapatlah balik kampung atau bercuti di mana-mana. 


Kini masanya untuk berehat panjang. Lupakan buku dan matapelajaran semua. Pendek kata, boleh buat apa saja dan boleh main puas-puas. 


Anas dan Mussaab pun sama juga. Dah mula bercuti. Hari pertama duduk rumah saja. Tak boleh nak balik kampung lagi, tunggu abi habiskan satu kapal lagi. Insya Allah minggu depan boleh balik agaknya. Tak terfikir nak ke mana-mana. Terkenang pada kampung saja.


Mussaab; hari terakhir sekolah, meraikan sambutan birthday dan jamuan perpisahan dengan guru dan kawan-kawan. Mussaab masih ada setahun lagi untuk teruskan persekolahan di Little Diamond Kindergarten. 2 tahun di situ dah kutip banyak ilmu dan pengalaman, insya Allah. Setahun mendatang, ummi doakan Mussaab kembali dengan semangat baru. Harapan (khusus) untuk tahun depan, Mussaab akan jadi seorang yang lebih berkeyakinan diri, lebih berani bercakap dan bersuara, percaya diri- sebab bersandarkan report card yang dibawa balik, Mussaab masih kurang di situ. 


Lagi, harap dapat bantu Mussaab untuk lebih lancar membaca, sebagai persediaan ke tahun 1 tahun berikutnya. Bak kata abi, membaca tu kunci ilmu, bila dah boleh baca, boleh explore dan kutip banyak ilmu. Insya Allah, perlahan-lahan ya Mussaab. Semoga ummi tak tekan Mussaab lebih dari yang Mussaab mampu. Ummi selalu ingatkan diri untuk ‘berikan ruang dan masa’. Ummi minta maaf sebab adakalanya terlebih hingga menekan. 


Anas; hari terakhir sekolah, diadakan hari anugerah kecemerlangan pelajar, dan Anas salah seorang penerimanya. Bab pelajaran ummi tak risaukan sangat sebenarnya. Anas boleh la dikatakan rajin dan cepat tangkap bila belajar. Anas memang ‘lebih’ kat situ. Cumanya ummi harap Anas tak hanya selesa setakat itu saja. Mungkin Anas masih di usia untuk bermain-main. Bak kata abi lagi, time belajar jangan main-main, time main, main sungguh-sungguh (eh betul ke ayatnya tu). Maksudnya di sini Anas perlu bezakan bila waktu bermain, dan bila waktu belajar. Untuk keduanya yang penting adalah fokus dan sunguh-sungguh. Mudah-mudahan hasilnya terbaik.


Oklah, kata cuti sekolah, panjang pula ummi membebel bab sekolah. Selamat bercuti anak-anak ummi. Moga cuti sekolah ini terisi masa dengan baik. Insya Allah. Ummi memang tak ada plan apa-apa. Teringat nak balik kampung saja. Semoga Anas dan Mussaab dapat spend masa berkualiti di kampung bersama Mek, nenek, sepupu dan saudara di sana. Insya Allah.