Monday, 10 July 2017 0 comments By: Naemah

ADUHAI MIQDAD





Lagi 3 hari genap usia Miqdad 9 bulan. Alhamdulillah. Penuh syukur ummi panjatkan. Anak ummi dah makin besar dan sihat.

Miqdad yang comel dan manja. Hmm.. manja berbanding abang-abang suatu masa dulu.

Miqdad yang sering nak didukung dan dipangku. Yang tak boleh diletak bermain lama-lama. Yang sering memanggil dan menangis manja. 

Allah. Agak mencabar menjaga Miqdad di usia kecil ini. Tak tahan mendengar tangisan Miqdad setiap kali ummi tinggalkan untuk selesaikan urusan lain. Sering ummi terkejar-kejar dalam melakukan tugasan rumah. Ummi lega bila Miqdad leka bermain. Namun bila dah start memanggil, Allah saja yang tahu betapa kalutnya ummi. Banyak kerja yang ummi nak kena buat... tak dapat buat bila Miqdad memanggil-manggil.

Pantang lihat kelibat ummi. Terus lupakan yang di tangan. Mahu didukung. Menangis semahunya. Tika solat juga sama. Dari rakaat awal hingga akhir, tak berhenti menangis. Jika tidur juga mahu dipangku sentiasa. Pantang dengar 'bunyi' di bilik air juga meronta nak masuk sama.

Aduhai Miqdad. Ada masa ummi terpaksa biarkan Miqdad bersama tangisan. Bila ada urusan lain yang lebih mendesak dan perlu segera diselesaikan. Apatah lagi dengan abang-abang yang juga perlu perhatian. Kebanyakan masa ummi terpaksa duduk bersama Miqdad.Lupakan dulu urusan lain, demi untuk tenangkan dan diamkan Miqdad.

Tiba waktu malam, bila Miqdad sudah tidur barulah ummi rasa diberi ruang untuk buat sesuatu yang tertangguh. Itupun kalau ummi tak mengantuk :b kalau tak, sambung esok pula lah jawabnya.

Aduhai Miqdad. Semoga ummi diberi kesabaran dalam melayan dan menjaga Miqdad. Ummi tahu semua ini tak lama. Sepantas masa berlalu, Miqdad akan semakin dewasa. Miqdad bukan selamanya baby macam sekarang. Semoga ummi terus sabar dan sabar. Maafkan ummi, ada ketika tak sabar juga :(

Semoga Miqdad membesar dengan sihat dan cerdas, seperti Anas dan Mussaab. Ummi sayang Anas, Mussaab dan Miqdad. Sayang semuanya.

Sunday, 9 July 2017 0 comments By: Naemah

HARI ESOK BELUM PASTI




Hari ini hidup dalam kesenangan. Boleh dikatakan senang, walau bukan mewah dan punya serba serbi. Alhamdulillah. Kesyukuran yang jarang dipanjatkan. Mungkin kerana lupa. Mungkin masih berhajat pada kehidupan yang berbeza. Mungkin tak rasa semua ini anugerah yang sangat besar dari DIA. Ya Allah. Ampunkan segala alpa.

Sesungguhnya kehidupan hari ini sangat baik. Terlalu indah dan sempurna ( hakikatnya yang terindah dan sempurna itu hanya di syurga). Namun inilah syurga dunia yang dimiliki hari ini. Alhamdulillah.

Namun dalam senang dan sihat, sering terlupa dan alpa. Betapa anugerah hari ini perlu sentiasa disyukuri. Bukan semua insan berada di tempat seperti kita hari ini. Nikmat sihat, juga nikmat kehidupan yang baik. Bersyukurlah. Jangan alpa dan hanyut.

Hari ini gembira dan bahagia. Esok belum pasti bagaimana. Kadang hati disentap dengan cerita-cerita pilu dan duka insan lain. Ya, insan lain yang dahulunya kehidupan mereka baik dan indah seperti kita. Dulu bahagia bersama pasangan dan anak-anak. Kini, sendirian hilang tempat bergantung. Dulu cantik dan sihat tubuh badan. Hari ini bertarung melawan penyakit. Dulu mewah ada segala. Hari ini teruji dengan kesempitan harta.

Kadang aku terfikir. Allah sedang menegurku dengan penuh kelembutan. Aku yang sering hanyut dengan dunia sendiri. Lupa bersyukur, jarang beringat. Malah banyak mengeluh atas ujian yang sedikit. Tak terbanding pun dengan ujian insan lain yang jauh lebih hebat.

Ya Allah. Aku mohon dipermudahkan perjalanan hidup ini hingga ke akhirnya. Berikan hati yang tenang dan damai, yang tak pernah alpa dan lupa dari mengingatiMu. Teruskan menyentuh dan menjentik hatiku. Kerana aku tahu. Hatiku ini bukan suci hingga sering menjauh dariMu.

Ya Allah. Ampunkan segala dosaku. Pelihara suamiku, anak-anak kami, orang tua kami, keluarga kami dan semua insan yang hadir dalam kehidupan kami. Anugerahkan kami keimanan dan kesejahteraan dunia dan akhirat.

Aameen.


Friday, 7 July 2017 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 070717





Sudah hari ketiga kembali ke rumah setelah percutian yang agak lama di kampung. Cuti puasa dan cuti raya :)

Hari ini ummi dan abi berpuasa syawal. Abi dah masuk hari ke-5 sementara ummi baru hari ke-3. Alhamdulillah.

Miqdad seperti biasa menjadi yang pertama bangun berbanding abang-abang :) diikuti Anas dan Mussaab. Bangun pagi menghadap ipad yang baru diinstall dengan apps baru (marco polo-ocean). Keduanya bergilir bermain ipad. Miqdad juga bermain sendiri di lantai. 

Kemudian turun ke bawah untuk brekfast. Ummi masakkan roti canai (segera) +cheese. Anas makan paling banyak, Miqdad hanya makan beberapa suap. Kesian ummi melihat Miqdad yang masih batuk dan selesema. Hidung pula naik kemerahan entah apa sebabnya. Insya Allah akan bawa Miqdad ke klinik nanti. Ummi juga bertanyakan tentang keadaan Miqdad pada mak chu yang juga seorang doktor.

Pagi ini Anas dan Mussaab hanya menonton tv (BBC earth dan Paw Patrol). Ipad juga sering bertukar tangan. Miqdad pula adakala ok bila diletakkan bermain sendiri, adakala juga hanya mahu didukung. 

Keluar sekejap ke halaman rumah, dan masuk semula kerana hari semakin panas. Ummi susukan Miqdad dan Miqdad lena di pangkuan ummi. Ummi hanya biarkan Miqdad bersama ummi dan biarkan Miqdad puas tidur. Sedih dan kesian ummi melihatkan keadaan Miqdad. Malah risau, semoga Miqdad akan semakin baik dan sembuh. Insya Allah. 

Jam 10, Anas dan Mussaab masih setia bersama ipad. Masih dengan apps yang sama.

Jam 10.30, ke Poliklinik Damai, Beranang. Abi belikan ais krim untuk Anas dan Mussaab sementara menunggu Miqdad berjump doktor. Miqdad diberikan ubat sapu antibiotik, ubat selesema dan batuk. Kemudian ke kedai makan peladang, belikan nasi untuk Anas dan Mussaab. Sampai di rumah jam 12. Anas dan Mussaab makan nasi. Miqdad lena selepas menyusu.

Jam 12.30, Anas dan Mussaab main sendiri. Ummi tidur bersama Miqdad. Abi juga tidur sementara menunggu waktu untuk solat jumaat.

Jam 1, Anas ke sekolah bersama abi. Tinggal Mussaab dan Miqdad bersama ummi. Lepas solat zohor, tidur sama-sama. Jam 4, ambil Anas di sekolah. Abi, Mussaab dan Miqdad juga ikut. Kemudian temankan abi gunting rambut dan ke Bangi atas urusan abi. Dah selesai, balik ke rumah untuk solat asar. Anas dan Mussaab sudah kelaparan. Makan nasi tengahari tadi dan juga roti canai cheese. Miqdad meragam, mandi dan tidur. Ummi cuba suapkan makan, juga menolak. Anas dan Mussaab lepak di ruang tamu melayan paw patrol lagi.

Masuk waktu maghrib, solat dan ke kedai makan syafirah untuk makan malam (buka puasa ummi dan abi). Anas seperti biasa berselera makan nasi berlaukkan siakap 3 rasa. Mussaab juga makan, tapi hanya sebahagian dari nasinya. Miqdad pula makan ikan sahaja. Alhamdulillah, ada juga selera untuk makan :)

Lepas makan, singgah di speedmart untuk beli pampers Miqdad. Balik ke rumah dan solat isyak bersama. Miqdad sudah lena dulu di dalam kereta. Lepas solat, abi temankan Anas dan Mussaab tidur. Ummi selesaikan apa yang patut di dapur.

Alhamdulillah untuk hari ini. Semoga anak-anak ummi sihat dan dirahmati Allah sentiasa. Esok abi akan ke Bintulu untuk bertugas. Akan tinggal Anas, Mussaab dan Miqdad bersama ummi seperti kebiasaan. semoga Allah permudahkan urusan ummi untuk menjaga anak-anak soleh ummi ini, insya Allah :) 
Saturday, 1 July 2017 0 comments By: Naemah

SUAMI BERDIKARI


Lumrah seorang suami mengimpikan layanan 1st class dari seorang isteri. Makan minum siap terhidang, kamar tidur kemas dan selesa, rumah bersih tersusun, pakaian siap bergosok dan tersimpan di tempat sepatutnya, dibelai, dimanja, bla.bla.

Suami yang punya isteri seperti itu, Alhamdulillah. Syurga dunia untuknya :)

Namun hakikat hidup ini, bukan semua isteri yang mampu menjelma seperti bidadari impian. Terlalu banyak cabaran, atau jujur aku katakan, 'sukar' untuk menjadi sempurna dan terlalu baik seperti yang diimpikan.

Aku hanya mengharapkan pengertian seorang suami dan keampunan di atas segala kekurangan dan ketidaksempurnaan seorang isteri sepertiku.

Syukur Alhamdulillah, itu yang mampu aku lafazkan di atas pengertian seorang suami. Syukur, dikurnia 'suami berdikari' seperti dia. 

Dia suami yang bukan hanya mahu 'duduk saja-saja' di rumah, setelah berpenatan di lapangan kerja. Dia yang selalu ambil bahagian dalam menguruskan rumahtangga dari bab memasak, menguruskan anak-anak, mengemas rumah, membasuh dan menjemur pakaian, dan lain-lain.

Dia yang akan cuba masak sendiri bila teringin makan sesuatu. Yang akan menggosok kemeja dan seluar sendiri bila perlu masuk ke ofis, yang kemas kain baju sendiri bila nak travel jauh, yang bangun sediakan hidangan sahur bila nak berpuasa sunat/wajib, dan sebagainya, yang dia sebolehnya tak mahu menyusahkan isteri.

Suamiku,terima kasih kerana cuba untuk memahami. Maaf kiranya aku seakan mengambil kesempatan atas kebaikan dan sifat berdikarimu.

Aku faham, impian suami ingin yang lebih baik. Namun terima kasih atas pengertian, hingga impian hanya tersimpan rapi di hati. Insya Allah, doakan aku untuk menjadi yang lebih baik, untuk berikan yang terbaik, untukmu yang bergelar suami.

Terima kasih menjadi suami yang berdikari. I love you <3
Friday, 30 June 2017 0 comments By: Naemah

SELAMAT PENGANTIN BARU: FADHLULLAH DAN AINA



Alhamdulillah, selesai sudah majlis perkahwinan anak saudaraku Fadhlullah bersama pasangannya Aina Mardhiah. Majlis akad nikah diadakan pada 27 Jun di Masjid kg Alor Lintang, Besut. Hari itu juga diadakan kenduri di rumah keluarga pengantin perempuan. Pada 29 Jun pula diadakan kenduri sambut menantu di rumah abangku.

Alhamdulillah, majlis berjalan lancar dan pengantin selamat diijabkabulkan. Semoga Allah memberkati pasangan pengntin baru dan seluruh ahli keluarga dan para tetamu yang hadir memeriahkan majlis. 

Fadhlullah adalah anak saudara lelakiku yang pertama. Anak ketiga abangku, dan yang ketiga melangsungkan perkhwinan di kalangan anak saudara. Insya Allah anak-anak saudara yang lain pula bakal menyusul (ramai lagi)

Semoga Loh dapat menjadi suami yang baik dan bertanggungjawab. Semoga bahtera rumahtangga dapat dilayari bersama dengan penuh ketenangan dan sejahtera. Moga diberkati hingga syurga.

Wednesday, 21 June 2017 0 comments By: Naemah

MIQDAD DEMAM LAGI



25 Ramadhan 1438H

Miqdad demam lagi, untuk kesekian kali. Miqdad yang baru berusia 8 bulan, sudah 6kali (kalau tak silap ummi) diserang demam. Ada yang demam sekejap sahaja, ada juga yang on/off sampai seminggu. Bulan lepas dah ke klinik Beranang untuk ambil darah dan cek demam Miqdad. Alhamdulillah cuma demam biasa. 

Bulan Ramadhan ini, Miqdad demam sekali lagi. Hari ini (21/6) dah masuk hari kedua. Badan panas, dan asyik merengek. Miqdad juga batuk-batuk dan muntah selepas menyusu. Seharian hanya mahu dipangku, meskipun tidur. Ummi tak dapat nak buat kerja, kecuali kalau abi yang tolong jagakan Miqdad.

Hairan juga kenapa Miqdad selalu demam. Walaupun demam biasa, tetap ia merisaukan. Malah simpati melihat keadaan Miqdad dalam keadaan tidak sihat begitu. 

Miqdad masih menyusu badan sepenuhnya, di samping solid food yang dah diperkenalkan sejak usia Miqdad 6 bulan. Malah hampir setiap hari ummi masakkan makanan untuk Miqdad. Semua makanan Miqdad dimasak di rumah, tak ada makanan dari luar. 

Mungkin persekitaran sekarang berbeza dengan dulu. Yang menyebabkan Miqdad sering demam (tak sama macam Anas dan Mussaab). 

Ummi doakan Miqdad akan kembali sihat dan ceria. Tak lupa Anas dan Mussaab yang juga selesema dan batuk. Kesian ummi melihatnya. Semoga anak-anak ummi akan kembali sihat sepenuhnya. Tak lama lagi akan menyambut hari raya puasa. Sihat-sihatlah sayang ummi semuanya ya :)

اللهم رب الناس
اذهب الباءس 
واشف انت الشافي
لا شفاء الا شفاءك
شفاء لا يغادر سقما




 Miqdad pada 13 Jun 2017
(Berusia genap 8 bulan)
Friday, 16 June 2017 0 comments By: Naemah

NAK BALIK RAYA

Belum cukup seminggu kembali ke rumah. Baru 4 hari Anas kembali bersekolah selepas 2 minggu bercuti di kampung. Esok akan kembali ke kampung lagi, insya Allah.

Anas bercuti lebih awal berbanding kawan-kawan. Abi yang memang sedang bercuti, dah tak sabar nak balik ke kampung, nak berpuasa di kampung, dan seterusnya menyambut aidilfitri tak lama lagi. Insya Allah.

Namun raya abi tak lama di kampung. Raya kedua dah perlu kembali bekerja.

Esok akan bermusafir lagi untuk kesekian kali. Sebenarnya agak memenatkan bila berjalan jauh. Apatah lagi dengan anak-anak kecil. Tapi, tak kurang seronok dan excitednya. Walau kerap kali balik, tetap nak balik juga. Anas dan Mussaab juga seronok bila balik kampung. Perjalanan jauh dah biasa pada mereka :)

Kain baju semua dah siap packing. Rumah juga dah kemas seadanya. Alhamdulillah. 

Semoga dipermudahkan perjalanan esok. Insya Allah.