Aidilfitri menjelma lagi. Syukur kita masih bertemu Syawal tahun ini lagi. Masih lengkap sekeluarga, masih dapat pulang ke kampung meraikan bersama ahli keluarga yang lain.
Tahun ini 1 Syawal diraikan di Kota Bharu bersama keluarga nenek (sebelah abi). Tahun ini tak ramai yang balik (sebab tahun lepas sudah giliran beraya di rumah nenek). Daripada 10 beradik, hanya 5 yang beraya bersama nenek. Itupun dah ramai, namun tak cukup meriah seperti yang selalunya bila semua ada.
Tahun ini beraya bersama keluarga Mak Long, keluarga Mak Ngah, Makde dan Mak Su sahaja. Boleh dikatakan tradisi keluarga ini, bermulanya pagi selesai solat subuh, bersarapan dan sessi bergambar, semua akan menuju ke masjid untuk solat sunat Aidilfitri. Selepas itu langsung ziarah hari raya ke rumah saudara terdekat. Lepas satu rumah, ke satu rumah yang lain hingga hampirnya waktu zohor, pulang semula ke rumah. Kemudian sambung lagi ziarah hari raya pada waktu petang (sebahagian tinggal di rumah untuk terima tetamu). Begitulah setiap tahunnya.
Pada hari raya kedua pula, biasanya rumah nenek akan meriah dikunjungi ahli keluarga jauh dan dekat. Tapi pada hari raya kedua tahun ini, kita sekeluarga bertolak balik ke rumah mek di Jeli pula. Hari ni ada kenduri kahwin anak Pak Ngah (anak saudara ummi). Masa untuk beraya bersama keluarga di sebelah ummi pula.
Hari raya ketiga juga di rumah mek, dan hadir kenduri di rumah Pak Ngah pula (sebelah lelaki). Dan esok akan bertolak balik ke Semenyih. Terpaksa balik dulu walaupun cuti sekolah masih panjang sebab abi dah kena kerja. Frust jugalah anak-anak, tak sempat jumpa sepupu yang akan balik rumah nenek tak lama lagi. Nak buat macam mana, tak ada rezeki nak jumpa. Reda sajalah anak-anak.
Alhamdulillah syukur pada Allah, tahun ini diberi kesempatan balik beraya di kampung. Tak seperti tahun lepas yang kita tak dapat balik sebab abi bekerja. Tahun ni abi bercuti panjang, dapat balik kampung dan akhirnya kita perlu reda dan terima bila kerja abi sudah memanggil.
Alhamdulillah syukur seadanya, walaupun rasa macam raya tahun ini agak ‘kurang meriah’ sebab tak dapat berkumpul ramai-ramai macam selalu. Apapun syukur, dapat makan sedap, dapat duit raya, dapat jumpa saudara yang lama tak jumpa, dan banyak lagi kenikmatan Allah di hari raya ini. Moga anak-anakku juga bersyukur, kerana segalanya adalah sangat baik buat kita, berbanding mereka yang tiada dan tak merasai semua yang kita kecapi hari ini.
Salam Aidilfitri buat semua. Semoga Allah menerima puasa kita, dan segala amalan kita. Semoga bertemu lagi Ramadan yang akan datang. Ameen.
Oh ya, nak tambah kat sini - Suri berjaya puasa sebanyak 26 hari tahun ini (tahun pertama Suri berpuasa). Alhamdulillah. Tahniah buat kakak yang telah mencuba sebaiknya. Ummi percaya raya tahun ini lebih bermakna buat kakak setelah merasai sendiri puasa yang sebenar. Tahun depan cuba puasa penuh pula ya!
0 comments:
Post a Comment