Wednesday 29 November 2023 By: Naemah

THANKS NOVEMBER


30 November.

Sudah menutup bulan 11, dan berbaki 1 bulan lagi menuju ke tahun baru (2024). Masya Allah.


Menutup bulan ini dengan menjalani kehidupan bersama anak-anak sahaja. Genap seminggu sudah, suami berada di laut mencari rezeki. Pun begitu, cuaca di sana masih tak mengizinkan dia untuk menjalanka tugas. Oleh itu, belum ada kepastian bila tugasnya akan selesai dan bila dia akan kembali. Tenang dan sabar sajalah menanti, Allah pasti membantu dan menjaga.


Seminggu ini boleh dikatakan agak memenatkan bila perlu uruskan anak-anak bersendirian dalam keadaan diri yang semakin sarat mengandung (dah 26 minggu). Tapi Alhamdulillah, syukur setakat ini dapat juga harungi semua walau dalam bermacam keadaan dan situasi yang Allah saja tahu.


Hari semalam (Rabu) menempuh hari yang memenatkan bila bertembung dengan temujanji klinik. Alhamdulillah, temujanji di KK Rinching Tengah saja, tak jauh. 


Ditakdirkan juga, hari semalam badan rasa kurang sihat, pening, mual dan sakit perut. Lemah dari pagi hari. Selesai urusan 4 beradik (hantar sekolah semua), baring di sofa rehat dan lelap sekejap. Tak jadi plan nak masak. Lepas ambik Mussaab di sekolah agama, beli saja makanan untuk dia dan Suri. 


Waktu petang pula, lepas hantar Mussaab di SKKR, ke klinik untuk check-up. Terpaksa bawa Suri sekalilah kali ni. Jam 2 sampai klinik, jam 3.15 selesai urusan. Segera ke SRAIPB ambil Miqdad (balik 3.30), balik rumah solat asar dan terlelap juga sekejap. Jam 5 ke SRAIPB sekali lagi ambil Anas dan terus ambil Mussaab di SKKR (balik 6 petang). Makan malam pun beli juga, tak daya dah nak masak. Telan panadol 2 biji siang, dan 2 biji malam. Tidur..


Alhamdulillah bangun pagi ni dalam keadaan baik dan sihat. kepala tak pening lagi. Badan tak lemah macam semalam lagi. Alhamdulillah, syukur padaMu ya Allah. Sempatlah masak mi goreng untuk breakfast anak-anak. Juga sempat hantar anak-anak ke sekolah tepat pada waktunya. Alhamdulillah. 


Pagi ini juga sempat video call dengan suami di laut (Alhamdulillah ada line internet kat sana). Dia juga masih menunggu-nunggu waktu yang selamat untuk menjalankan tugasnya di laut. Semoga Allah mempermudahkan urusannya dan dapat segera kembali ke pangkuan keluarga. Ameen.


Anak-anak kini di sekolah semuanya. Sunyi sebentar suasana di rumah. Sekejap lagi Mussaab balik, lepas tu Suri. Begitulah hantar dan ambik anak-anak bergiliran seharian. Petang hari, selepas jam 6 barulah semuanya berkumpul di rumah. Tamatlah tugas ummi sebagai driver anak-anak bila hampir menjelangnya Maghrib. Penat, ya penat. Tapi Allah masih kurniakan kemampuan buat diri ini. 


Alhamdulillah untuk segalanya. Menutup November ini dengan rasa penuh kesyukuran atas segala kelebihan dan kekurangan, atas segala nikmat dan ujian. Pasti, segalanya adalah yang terbaik buat hambaNya ini.


Alhamdulillah.




ini pula cerita sebelum hari semalam.
Memang akan ada saja cerita dan kisahnya.

Inilah kehidupan.

0 comments:

Post a Comment