Monday 10 April 2023 By: Naemah

JEMPUTAN AGUNG

Gambar Family 1 Ramadan 1444h                         


Sudah hari ke-19 Ramadan. Alhamdulillah. Sudah menghampiri penghujung Ramadan. Moga dapat lalui dengan lebih baik dan penuh erti.


Alhamudulillah Anas, Mussaab dan Miqdad masih berpuasa penuh tanpa sebarang keuzuran. Juga Alhamdulillah, abi dah kembali selepas 9 hari Ramadan tiada bersama.


Pagi ini seperti biasa anak-anak kembali ke sekolah, termasuk Suri yang sudah masuk minggu ke-2 bersekolah. Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan sihat dan dilindungi Allah.


Pagi ini juga abi berurusan di bank Tabung Haji dan klinik untuk urusan menunaikan haji tahun ini. Masya Allah, syukur tak terhingga, tahun ini abi dijemput menjadi tetamu Allah. 


Sebelum ini ummi dan abi dah bincang, nak pergi haji sama-sama. Ummi daftar lewat (lepas kawin baru daftar), jadi giliran haji ummi ialah tahun 1454 hijrah, 10 tahun lagi. Tapi boleh saja merayu untuk pergi bersama pasangan, dan kemungkinan besar rayuan diterima. Tapi nampaknya takdir Allah mengkehendakkan yang lain.


Siapa sangka, tahun ni bayaran untuk menunaikan haji dah tak sama macam dulu. Ada yang dapat subsidi penuh, ada yang dapat subsidi separuh dan ada pula tak dapat subsidi langsung. Bergantung pada ‘taraf’ ekonomi masing-masing. Dan untuk rayuan pula, syaratnya perlu pergi dengan bayaran penuh (tanpa subsidi). Dan seperti dijangka, abi ditawarkan untuk menunaikan haji tahun ini tanpa bantuan subsidi. Hmm.. harga untuk 2 orang tu, kalau untuk tahun sebelum-sebelumnya. 


Tapi begitulah. Abi dan ummi decide untuk abi pergi seorang dulu tahun ni. Dari segi wang, masih ada kemampuan untuk bayar (walaupun agak sesak juga). Tapi kata abi, ummi sabarlah menunggu giliran (10 tahun lagi tu), dan dalam masa yang sama kena fikirkan anak-anak yang masih kecil dan bersekolah semuanya (kena pulak musim haji ni tak ada cuti sekolah langsung). Dan abi janji, ada rezeki nak teman ummi buat haji bila tiba masanya nanti. Insya Allah. Semoga Allah panjangkan usia dan merezekikan ummi dan abi untuk tunaikan haji sama-sama nanti. Ameen.


Dan kini abi perlu bersedia untuk memenuhi jemputan agung ini. Bersedia segalanya, bukan hanya sekadar wang ringgit. Permulaan ini, abi kena selesaikan dulu urusan dokumen dengan Tabung Haji, buat visa, buat medical check up, ambil vaksin semua, lepas tu kena attend kursus haji, cukupkan keperluan untuk dibawa ke sana, dan sebagainya. Insya Allah, dipermudahkan urusan abi untuk menjadi tetamuNya, dan beroleh haji mabrur. Ameen.


Mengingatkan nanti bakal berpisah lama, rasa sayu juga hati. Kali ini, perpisahan lebih lama dari kebiasaan. Dan inilah ‘pengorbanan’. Berpisah dengan yang tersayang, demi seruan yang Maha Agung. Insya Allah, ini sekadar perpisahan sementara. Insya Allah, bakal bersua dan bertemu lagi. 


Ramadan hanya berbaki 1/3. Tak lama lagi bakal menyambut Aidilfitri. Semoga Allah menerima puasa dan amalan kita. Dan semoga Aidilfitri tahun ini semakin indah dan berseri buat semua. Ameen. 





0 comments:

Post a Comment