Sunday 21 November 2021 By: Naemah

CAMERON HIGHLAND & SABAK BERNAM: PERCUTIAN TANPA DIRANCANG

Percutian tanpa dirancang.


Pada mulanya ibu mertua ada merancang untuk datang ke Semenyih pada cuti sempena hari keputeraan Sultan Kelantan yang lepas. 


Sehari sebelum hari tersebut aku bertanya, dan adik ipar (Nor) menyatakan mereka tak jadi datang ke rumah dan akan ke Cameron Highland bersama keluarga adik ipar (Azim dan family). 


Kebetulan suamiku ada di rumah (hari pertama balik dari laut), mereka mengajak kami untuk sertai mereka. Setelah berbincang, kami bersetuju untuk ikut serta (sebab katanya homestay tu masih muat untuk kami sekeluarga). Lagipun anak-anak juga dah lama tak bercuti, sudah tentu berganda keseronokan bila diajak bercuti bersama sepupu.



11/11/2021: Bertolak ke Cameron Highland


Kami bertolak sekitar jam 8 pagi (Mussaab dan Miqdad tak ke sekolah, sementara Anas minggu giliran pdpr). Perjalanan lancar hingga kami sampai di Lata Iskandar (tempat rekreasi Air Terjun) pada jam 11.40 pagi. Di sini kami sekadar bergambar dan makan tengahari di sebuah kedai makan yang sudah biasa kami singgah. Selepas itu, terus bertolak naik ke Cameron Highland.


Kami tiba lebih awal dari ahli keluarga yang lain (dari Kelantan dan Terengganu). Mereka datang dengan 3 buah kereta (mak, suami 5 beradik, 4 menantu, serta cucu seramai 13 orang semuanya). Memang meriah. 


Bila semua sampai, kami berkumpul dan berehat seketika di homestay (4 bilik) yang letaknya di Golden Hills, dekat dengan tapak pasar malam Cameron Highland.


Petang ini kami menuju ke Rainbow Garden (ini saja tempat yang masih dibuka selepas jam 6 petang). Ramai pengunjung yang datang ke sini untuk menikmati steamboat, tapi kami hanya datang melihat binatang peliharaan yang terdapat di sini (di dalam area ni lengang dan tak ramai orang). 


Dah puas berada di sini kami kembali semula ke homestay. Makan malam bersama (masak sendiri), agak mewah hidangan malam ini dengan pelbagai lauk (aneka seafood), puas dapat menikmatinya bersama ahli keluarga.


Suasana rumah memang agak meriah dengan suara riuh rendah anak-anak. Walaupun mengantuk dan penat, tetap masih nak bermain bersama.




12/11/2021: Gunung Brinchang Adventure dan turun ke Sabak Bernam


Pagi ini kami mengambil pakej yang ditawarkan untuk ke beberapa lokasi menarik di Cameron Highland dengan menaiki pacuan 4 roda. Lokasi yang mereka bawa ialah Mossy Forest, Ladang Teh Boh, Taman Rama-Rama dan Ladang Strawberry (Ladang Strawberry tak sempat kami pergi memandangkan jalan agak jem dan kami perlu menempuh perjalanan balik pula).


Kami dijemput di homestay jam 8.30 pagi dengan 2 buah kereta (pacuan 4 roda). Destinasi pertama kami ialah Mossy Forest. Pengalaman pertama untuk semua, menaiki puncak gunung ini. Perjalanan adalah sekitar 45 minit untuk sampai ke atas. Di sini kami perlu membeli tiket pula untuk naik ke atas (puncak) dengan mengikut trek yang telah disediakan. Sekitar 30 minit masa diambil untuk sampai ke atas, dan selepas itu kami kembali ke bawah semula, dan menuju pula ke Ladang Teh Boh.


Di ladang teh juga perlu mendaki ke atas (melalui jalan yang telah disediakan). Di sini kami minum teh dan makan beberapa jenis hidangan yang dijual di sini, dan turun semula untuk menuju ke Taman Rama-Rama.


Kami berada di Taman Rama-Rama pada jam 12.15 tengahari. Di sini kami dapat melihat banyak spesis rama-rama dan juga hidupan lain yang dipamerkan di sini. Anak-anak asyik sekali berada di sini. Tempatnya agak luas, dan pengunjung juga tidak ramai. 


Masa untuk kembali ke homestay dan meninggalkan Cameron Highland. Tidak berkesempatan untuk ke ladang Strawberry (tapi mak dan adik ipar yang tak sertai kami dah siap belikan strawberry). 


Sampai di homestay tepat masuknya waktu zohor. Kami berpisah (3 kumpulan) di sini. Adik ipar (Azim, isteri dan 2 anaknya) dan Kak Za dan seorang anak balik Kelantan, adik ipar (Asma dan family) stay di Cameron Highland, manakala keluarga kami (dan 3 anak Azim dan seorang anak kak Za) naik sebuah kereta dan mak dan 2 adik ipar (Nor dan Aisyah) sebuah kereta lagi menuju ke Sabak Bernam, rumah abang ipar (Abang Eki) yang tak sertai kami di Cameron Highland.


Perjalanan ke rumahnya hanya mengambil masa lebih kurang sejam setengah. Kami tiba di Sabak Bernam jam 5.30 petang. Malam ini hanya berehat di rumah Abang Eki. Keseronokan anak-anak berganda, geng mereka makin bertambah :)



13/11/2021: Mandi Kolam, Taman Bunga Matahari dan Sawah Padi Sekinchan.


Hari ini berpagian ke Teluk Intan, tempat anak-anak Abang Eki belajar berenang. Di sini anak-anak mandi kolam sepuasnya. Selesai di kolam, singgah makan di Restoren McD dan terus balik ke rumah. 


Selepas Zohor ke Taman Bunga Matahari yang terletak di Bagan Datok (lebih kurang satu jam perjalanan dari rumah). Di sini dapat menikmati kecantikan pemandangan yang berlatarkan pokok bunga matahari (tapi sebenarnya tak banyak sangat pun pohon bunga matahari), tasik yang terdapat di dalamnya ikan dan itik yang berenang bebas, dan yang pasti di sini kita dihidangkan dengan pemandangan yang cantik (bak kata suami, sesuai untuk instagrammer).


Selepas meninggalkan Bagan Datuk, kami ke Sekinchan pula, sebab Kak Yati (isteri Abang Eki) dah booking (kereta khas) untuk menikmati pemandangan sawah padi yang terbentang luas di Sekinchan. Lebih kurang setengah jam meronda di sekitar sawah padi, kami beransur pulang. Hari juga sudah gelap.


Semalaman lagi kami di rumah Abang Eki.



14/11/2021: Balik ke Semenyih


Tiba hari untuk kami pulang ke rumah. Mak, adik ipar dan anak-anak Azim dan Kak Za balik ke Kelantan, sementara kami menuju ke Semenyih. Sebelum itu singgah di rumah anak saudara yang tinggal di Sekinchan. Singgah sekejap saja, kemudian terus bertolak balik ke rumah. 


Tiba di rumah jam 2 petang. Alhamdulillah. Sebuah ‘percutian’ yang menyeronokkan buat anak-anak. Seronok dapat berkumpul dengan ahli keluarga, walaupun hanya sebahagian saja. Dah lama tak rasa detik-detik seperti ini.


Itu saja, sekadar catatan ringkas tentang musafir 4 hari 3 malam kami di Cameron Highland dan Sabak Bernam. Alhamdulillah atas nikmat kurniaNya ini.


Gambar menyusul…



Lata Iskandar














Homestay (Golden Hills)














Rainbow Garden




















Mossy Forest














































Ladang Teh Boh







Taman Rama-Rama























Taman Bunga Matahari




































Sawah Padi Sekinchan























0 comments:

Post a Comment