Alhamdulillah untuk kehidupan hari ini. Kehidupan yang merupakan satu anugerah yang tak ternilai dengan apapun. Syukur dapat bernafas dan meneruskan aktiviti harian di samping keluarga yang tercinta.
Namun kehidupan juga merupakan sebuah medan ujian. Di sini kita akan diuji, tak siapapun yang akan terlepas. Ya, ujian yang pelbagai dan berbeza bagi setiap insan. Diuji selayaknya, di mana kekuatan kita yang Allah sahaja mengetahuinya. Kadang kita fikir kita tak mampu menghadapi, tapi Allah lebih tahu yang kita mampu. Kerana itu ujian tersebut hadir untuk kita, bukan untuk orang lain.
Ujian itu bukti Allah sayang. Kerana seringkali ujian itulah yang akan kembalikan hati kita kepadaNya. Kerana disaat kita diuiji itulah hati kita teringat padaNya. Kerana di kala berhadapan dengan ujian itulah kita sedar hanya padaNya tempat kita bersandar, mengadu dan menangis.
Kita diuji dengan ujian yang berbeza. Sekali lagi ya, kerana Allah lebih tahu di mana kekuatan kita. Kerana Allah tahu kita lebih mampu menghadapi ujian ini berbanding orang lain. Ada insan diuji dengan penyakit meskipun berharta, ada yang diuji tanpa zuriat meskipun mereka pasangan rupawan yang dicemburui, ada yang diuji dengan kemiskinan meskipun kuat bekerja, dan segala bentuk ujian yang lain.
Namun bersama ujian itu, tetap kita diberi kelebihan yang lain yang mungkin kita tidak sedar, dan mungkin tiada pada orang lain. Alangkah baik jika kita menerima segala ujian dengan redha dan sabar. Alangkah lebih baik kita melihat ujian itu sebagai sesuatu yang sangat kecil, berbanding nikmat yang pastinya lebih banyak telah Allah kurniakan buat kita. Ya, terlalu banyak dan jarang dihitung dan disyukuri. Andainya kita sedar, pasti ujian dilihat sangat kecil dan insya Allah mampu diatasi.
Percayalah bahawa ujian yang hadir adalah kerana Allah kasih kepada kita. Percayalah ujian yang hadir akan meningkatkan darjat kita ke satu tahap yang lebih mulia di sisiNya. Dengan syarat, kita redha dan sabar menempuh segalanya kerana Allah.
Insan manakah yang tidak diuji? Semuanya berhadapan dengan ujian yang pelbagai, menuntut kesabaran dan kekuatan. Malah, insan mulia seperti para Rasul lebih berat ujiannya, dan lebih mulia mereka di sisi Allah.
Kita... Insan hina dan biasa ini. Hanya cebisan ujian yang Allah berikan. Menuntut kesabaran dan pasrah kita kepadaNya. Ujian dan dugaan yang pasti diiiringi dengan kesenangan dan jalan keluar. Kerana tak pernah Allah membiarkan kita sendiri dalam menempuh ujianNya tanpa dihulurkan pertolonganNya. Tak pernah sekali kali..
Ya, Allah sentiasa ada untuk kita. Allah ada... Dan sangat dekat.
Tabahkan hati dalam menempuh ujian hidup ini. La tahzan!! Usah bersedih wahai insan yang sedang diuji. Pertolongan Allah akan sentiasa ada untukmu..
0 comments:
Post a Comment