Assalamualaikum :):):)
Masih lagi ingin menulis tentang bab makan makan dan masak masak :):):)
Sambungan kepada entri yang lepas juadah halal dan suci..
Kali ini ingin fokus pada pilihan untuk memasak sendiri di rumah. Aku tahu ramai di kalangan wanita hari ini bekerja dan hampir tiada masa untuk memasak sendiri di rumah. Barangkali tidak kerap masuk dapur seperti suri rumah, tapi sekurang kurangnya ada juga usaha untuk memasak sendiri dan tidak terlalu bergantung pada makanan luar. Paling tidak pun, di hujung minggu ada masa yang panjang di rumah dan tiada alasan untuk tidak memasak sendiri kan..
Berapa lama masa yang anda perlukan untuk berada di dapur ketika memasak ya? Pastinya kerja memasak bukan boleh dilakukan dalam masa yang sekejap atau segera. Kecuali kalau hanya untuk memasak mi segera dan yang sewaktu dengannya. Biasanya, untuk satu hidangan paling kurang pun kita perlu masak 2-3 jenis lauk dan sayur. Jadi, untuk masak nasi dan semua jenis lauk tersebut, rasanya tak kurang 30 minit kita perlu berada di dapur. Dalam proses memasak pula, banyak perkara yang perlu dibuat. Bukan sekadar buka gas letak kuali atau periuk, maka segalanya selesai. Sebelum memasak dah tentu kena siang dan bersihkan dulu ayam atau ikan, sayur juga perlu dibersih dan dipotong, bawang juga perlu dikopek dan dipotong atau kisar...dan banyak benda lagi lah. Semuanya memakan masa hingga tak sedar masa berlalu..
Aku ini, walaupun tak berapa pandai memasak seboleh bolehnya nak memasak sendiri untuk anak dan suami. Aku lebih suka mereka makan hasil air tangan aku sendiri. Kerana aku sebagai isteri dan ibu, sudah tentu memasak dengan penuh kasih sayang, dan sangat menjaga bab kebersihan dalam penyediaan makanan. Pendek kata, sedaya upaya mungkin untuk menjadikan makanan itu lazat dan berkhasiat. Suapan demi suapan yang masuk ke mulut suami dan anak anak, membuatkan aku rasa gembira, berpuas hati dan bersyukur...mereka mendapat hidangan yang terbaik untuk hari ini, meskipun masakan yang biasa biasa saja :)
Hakikatnya, aku pun bukanlah seorang yang pakar, mahir dan cekap di dapur. selepas berkahwin baru nak cuba belajar memasak. Satu persatu resepi dicuba. Setelah 4tahun lebih di alam rumahtangga dan bergelar suri rumah ni, adalah sedikit kemahiran dalam bidang masakan ni. Kalau dulu tiap kali nak masak kena goggle resepi, sekarang dah jarang jarang :) kalau dulu slow sangat bila kat dapur, sekarang lajulah sikit.
Bila cakap pasal masak sendiri, kalau boleh semua jenis masakan nak buat sendiri. Macam macam resepi yang berjaya dikumpul. Ada yang dah berjaya dibuat, dan banyak lagi yang belum dicuba. Kalau boleh biarlah semuanya homemade. Tapi, adakalanya beli juga di luar. Memang tak dinafikan lah yang itu. Ada masa rasa nak bercuti dari masuk dapur. Suami yang prihatin, bawa isteri dan anak anak makan di luar. Adakalanya juga, rasa takde mood nak masak dan berlama lama di dapur, capai saja lah makanan segera yang cepat dimasak dan sedap dimakan tu seperti nugget, burger, ayam goreng, fries, Maggie dan yang sewaktu dengannya. Tapi seboleh bolehnya aku cuba mengelakkan semua itu. Cuba cuba jugalah buat nugget sendiri, sosej sendiri, pizza, lasagna, kiub ayam, roti canai, dan yang lain lain. Sesekali buat dan frozenkan. Alhamdulillah, sedikit usaha untuk menjauhi makanan proses di luar, dan demi mengelakkan anak anak ketagih pada makanan segera. Insya Allah..
Aku sebagai ibu yang mempunyai anak kecil, kalau boleh tak nak masa dihabiskan di dapur saja dan membiarkan anak anak bermain sendiri, terutamanya ketika suami tiada. Kesian juga pada mereka. Kalau boleh nak layan je anak anak dan menemani mereka bermain atau menonton. Tapi mereka juga perlu makan dan ummi perlu masak. Jadi, adalah sedikit cara untuk menjimatkan masa di dapur.
Sedikit caraku yang boleh dikongsi bersama;
lauk: lauk seperti ayam dan ikan aku cucikan dan asingkan mengikut bahagian yang digunakan untuk sekali masak. Contoh, 4-5 ketul ayam untuk sekali masak. 3ekor ikan sekali masak. Masukkan dalam bekas/plastik kecil siap siap, bekukan. Nak masak, ambil je plastik tersebut. Tak perlu nak keluarkan semua sekali gus.
Sayur: untuk sayur yang cepat layu dan rosak seperti sawi dan daun sup, potong siap siap dan masukkan dalam bekas kedap udara, atau masukkan dalam plastik yang diikat kemas. Biasa kalau buat macam ni sayur boleh tahun lama sikit, dan nak memasak pun cepat je, tak payah potong potong dah.
Bawang, halia dan cili kering: bawang dikopek siap siap dalam kuantiti yang banyak, dan dikisar. Simpan di dalam bekas tertutup dan letak di dalam peti ais. Simpan sedikit yang tidak dikisar, kalau kalau tak nak pakai yang kisar boleh hiris je bawang tu. Yang penting kopek siap siap. Halia juga begitu. Cili kering juga dikisar siap dan disimpan di dalam peti. Nak masak,just ambil bahan tersebut dan proses memasak akan lebih cepat.
Menu: cuba ambil masa sekejap untuk rancang menu untuk seminggu, atau dua minggu, atau sebulan.. Boleh budget lauk apa yang nak dibeli, dan anggaran kos.lagi satu tak perlu fikir panjang dah esok nak masak apa. Lihat saja pada menu yang telah dirancang, just keluarkan lauk di dalam peti pada awal paginya untuk defrostkan ia. Menu itu sekadar guide saja, adakala tak ikut juga. Kalau rasa nak makan benda lain, cancel lah menu yang dirancang tu.hehe..takde salahnya pun. Sekadar nak membantu dan mengelakkan kebuntuan saja :):):)
Masak lebih: kadang kadang untuk sesetengah menu yang anak suka, dan sesuai disejukbekukan, aku akan masak dalam kuantiti yang banyak, dan simpan lebihan lauk di dalam peti sejuk beku. Makanan ini akan dimasakkan semula di masa yang akan datang, ketika suami tiada di rumah, atau ketika kesuntukan masa untuk memasak. Buat untuk sekali makan saja, tak perlu disejuk beku semula. Biasa buat untuk masakan berkuah seperti kari, sup, singgang, sambal dan sebagainya.
Oklah...mungkin Sampai di sini saja dulu coret coret tentang masak memasak ni.Ada masa boleh sambung lagi.yalah, topik makan makan ni penting juga, tak boleh buat main main. Kita nak memasak dengan ikhlas dan penuh kasih sayang untuk suami dan anak anak. Kalau boleh, janganlah hadir rasa 'terpaksa' memasak, tapi hadirkanlah rasa seronok dan bahagia dapat memasak untuk suami dan anak anak..insya Allah.
0 comments:
Post a Comment