catatan seorang isteri dan ibu biasa** bertatih menjadi yang luar biasa ** gagal, kecewa, hampa sudah sentiasa** aku perlu bangkit demi amanah yang Esa :')
PKPB: BELAJAR DI RUMAH
20 HARI PKPB YANG SEMPURNA
Selepas 20 hari berada di rumah, suamiku kembali menyambung tugasnya. Alhamdulillah, kali ini agak lama dia di rumah. Macam mimpi. Sebab selalunya rumah jadi tempat transit untuk beberapa hari je, sebelum menyambung tugas demi tugas, dan kuarantin demi kuarantin. Mungkin juga ini hikmah di sebalik PKPB, yang mana suami tak perlu menjalani kuarantin di hotel (kira dah berkuarantin di rumah barangkali, sebab tak boleh ke mana-mana juga di musim PKPB ni).
Kali ni suamiku ke Bintulu, Sarawak. Aku tenang melepaskan dia pergi. Rasa ‘dicukupkan’ masa bersama dia, selama dia ada. Cukup cover masa berpisah lama sebelum ini. Terima kasih ya Allah.
Dia ada dan dia tiada, tetap ada bezanya. Tapi ini hakikat dan realiti kehidupan kami sekeluarga yang perlu ditempuh. Bertemu dan berpisah, seperti selalunya.
20 hari bersama, syukur terasa amat lengkap keluarga ini. Walaupun tak dapat nak ke mana-mana, di rumah pun cukup membahagiakan. 24 jam lalui kehidupan bersama satu keluarga. Tak dinafikan, bukan suasananya tenang dan baik setiap masa. Konflik itu juga lumrah. Dengan urusan rumahtangga yang tak berkesudahan, anak-anak yang bermacam ragamnya, suami isteri yang bukan sependapat dan sehaluan setiap masa, tapi Alhamdulillah, semua itu hakikatnya untuk meng’utuh’kan lagi cinta. Dalam gembira, sedih, marah, geram.. hakikatnya kita tetap cinta. Setia bersama-sama.
Insya Allah perginya kali ini juga tidak lama. Walaupun sentiasa ada kebimbangan, namun doa sentiasa akan mengiringi. Seperti selalunya juga pada setiap perpisahan, kami mendoakan pertemuan yang indah. Insya Allah.
Selamat kembali bertugas suamiku. Moga Allah sentiasa menjagamu dan menjaga kami yang menanti kepulanganmu.
MENDEKAT SATU DEKAD
Sebulan lagi genaplah 10 tahun usia perkahwinan kami.
Masya Allah. Tak tahu bagaimana untuk menggambarkan rasa. Sampai juga kita ke hari ni ye?
10 tahun - Allah pinjamkan dia untukku.
Bersamanya juga lahir putera dan puteri kami. 10 tahun yang bukan sekejap. Banyak yang dah ditempuh bersama. Banyak asam garam dan rencah rumahtangga yang dah dirasa bersama.
10 tahun juga usia perkenalan. Dari tak kenal langsung, sekarang dah kenal sangat perangai masing-masing :D baik buruk terserlah, tapi masih mahu kenal dan kenal lagi. Moga Allah masih izinkan.
10 tahun, kerap melalui episod bertemu dan berpisah. Tak sama dengan pasangan lain yang hampir setiap hari ada bersama. Pasrah, kerana ramai juga yang senasib, malah diuji lebih lagi. Tiap perpisahan diiring dengan doa agar sentiasa sihat, selamat dan dipertemukan kembali. Tiap pertemuan, sentiasa membahagiakan kerana detik itu sentiasa ditunggu-tunggu.
10 tahun bersama, hubungan tetap ada pasang surutnya. Tapi Alhamdulillah tak pernah bergaduh besar. Allah sentiasa lorongkan pada perdamaian. Allah sangat menjaga ikatan ini. Rugi yang amat besar, sudahlah sering jauh, dah jumpa asyik nak cari pasal saja. Hanya mengundang sesal.
Tiada kata yang lebih layak. Alhamdulillah untuk ikatan yang terjalin bersama restu ini. Restu orang tua dan keluarga, aku percaya ia mengundang restu Allah bersama. Aku percaya ikatan ini terpelihara oleh kasihNya. Ikhlas aku mencintainya. Dan yakin pada Ikhlasnya dia.
Semoga Allah pimpin langkah bersama sampai syurga. Ameen
SESEKALI DIUJI SAKIT
Diuji dengan 'sakit' yang dah lama aku tak rasa. Tak ingat bila kali terakhir demam, Allah je yang tahu betapa lemahnya diri bila diuji dengan demam. Baring saja yang termampu.
5/11/2020 bermula sakit di bahagian payudara sebelah kiri. Membengkak dan sakit teruk, memang tak boleh sentuh. Teringat dulu sebelum dapat tahu mengandungkan Suri, diuji sakit yang seperti ini juga. 2 minggu lamanya menanggung sakit. Tapi kali ni bukan sebab mengandung (tengah period takkan mengandung kan).
6/11/2020 sakit makin kuat. Badan rasa lemah, rasa nak demam. Tak termampu nak buat kerja dan layan anak-anak. Alhamdulillah, Allah uji time suami ada kat rumah. Terfikir juga aku, kalau suami takde, macam mana agaknya. Lihatlah betapa percaturan Allah itu baik dan bijaksana.
Sekitar jam 9 pagi suami ajak aku ke klinik. Kami menuju ke klinik pakar keluarga dan wanita asyfa yang letaknya di Taman Pelangi Semenyih 2. Lepas doktor cek semua, doktor cakap just bengkak disebabkan oleh infection. Sebab sekarang ni tengah menyusukan anak yang berusia 15 bulan, dengan suka gigitnya, dengan macam-macam style menyusunya, mana tak kena infectionnya? Demam ni pula memang normal kata doktor, tanda tindakbalas dari infection tersebut. Sedikit sebanyak lega, walaupun ada gusar dan takut pada mulanya. Tapi seksa dan sakitnya ni, Allah sajalah yang tahu. Umpama bengkak susu, tapi bukan. Doktor berikan ubat surut bengkak dan antibiotic.
Hari ni di rumah aku banyak rehat, baring, tidur, suami uruskan segalanya termasuk memasak. Kalau ikutkan food panda pun boleh, tapi suamiku memang jenis yang suka makan masakan di rumah. Aku memang tak berdaya sangat dah. Mata mengantuk sepanjang hari, mata berair dek kerap menguap, bernafas pun tak selesa, sakit kepala lagi.. Alah simpton demam, semua orang pernah rasa kan? Tambah lagi dengan sakit di bahagian payudara tu, berganda ujian. Walaupun sakit, masih perlu meneruskan penyusuan anak. Bertahan sajalah. Tapi aku tetap bersyukur, ia tak lebih dari yang mampu aku tanggung. Insya Allah, tak lama sakit ni. Moga Allah hapuskan dosaku bersama kesakitan yang aku tanggung ini.
Yang paling aku syukuri bersama ujian ini adalah kerana suami ada bersama. Boleh dikatakan sejak kebelakangan ini dia selalu tiada di rumah kerana menjalani kuarantin setiap kali perlu bertugas. Tapi ketika ini bersyukurnya aku bila dia ada di rumah saat aku diuji tak sihat badan. Padahal kalau ikutkan jadual kerja, sepatutnya dia perlu berkuarantin pada masa sekarang ni. Tapi takdir Allah tetap mengatasi segala. Siapa sangka, hingga ke hari ni dia masih ada bersama.
7/11/2020 keadaanku makin baik. Masih kurang sihat, tapi jauh lebih baik dari semalam. Alhamdulillah.
Terima kasih Allah. Sesekali aku diuji sakit. Aku terima semuanya dengan redha. Aku bersyukur sakitku masih bisa ditanggung, tidak berlarutan, malahan beransur baik dan sihat.
Semoga kembali sihat seperti sediakala. Kembali menunaikan tangungjawab yang tertangguh.
NOVEMBER YANG TAK SERUPA
Yang pasti tahun ini dilalui dalam situasi dan suasana yang berbeza. Sangat berbeza. Yang tak pernah terlintas akal sebelum ini.
Ya, angkara Covid-19, aktiviti dan rutin seharian banyak berubah. Malahan tak menyangka, rupanya dah sampai ke penghujung tahun.
Yalah, kalau sebelum ni anak-anak dah berkira-kira, berapa hari lagi nak cuti sekolah. Cuti akhir tahun, yang sangat ditunggu - tunggu. Boleh sertai aktiviti yang bermacam, boleh balik kampung jumpa saudara, atau boleh lepak di rumah main game sepuasnya. Dalam bulan ni juga, anak-anak dirai dengan majlis penyampaian hadiah, jamuan sekolah, atau hari graduasi sebagai penutup sessi persekolahan untuk tahun tersebut.
Tapi tahun ni lain. Oleh sebab anak-anak pun banyak tak ke sekolah (sebab PKP), cuti sekolah tahun ni pun jadi dianjak ke hujung bulan depan (Disember). Sessi persekolahan seolah semakin panjang (yelah, sebab time PKP pun kerja sekolah kena buat hari-hari). Nasiblah anak-anak.. Perlu terima semua ni dengan rela. Insya Allah ada baiknya untuk semua.
Di Selangor, tempoh PKPB masih berjalan sehingga hari ini (hingga 9/11/2020 atau mungkin dilanjutkan lagi, Wallahua'lam). Anas dan Mussaab tetap belajar di rumah setiap hari. Anas akan menerima WhatsApp dari guru subjek yang memberi latihan sepanjang minggu, Mussaab juga siapkan worksheet yang disediakan khas untuk tempoh PKPB ini. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya terisi juga masa mereka dengan aktiviti belajar walaupun hakikatnya tak sebanding dengan belajar di sekolah.
Tahun ini, boleh dikatakan semua orang banyak menghabiskan masa di rumah. Tempoh PKP lepas yang lama, lepas tu reda sekejap Covid-19 boleh jalan-jalan lihat dunia, anak-anak pun boleh kembali ke sekolah, walaupun perlu jalan norma baru, sikit sebanyak lega dan lebih bebas rasanya. Tapi kini kembali lagi ke episod PKPB, kes pula mencanak naik sampai ke 4 angka, entah bila akan kembali menurun ke satu angka seperti sebelum ni.
Apapun, ujian ini banyak mengajar. Ujian yang pasti terkandung hikmah yang banyak. Tak mahu meratapi takdir, sentiasa mencari sebab untuk sabar dan syukur.
Ujian ini, tak siapa tahu bila akan temui penghujungnya. Untuk yang sekarang, berdamai saja dengan takdir ini biarpun masih pahit dan kelat untuk telan semua. Ajarkan hati untuk sepenuhnya redha, mencari kebaikan di sebalik ujian, sinar di sebalik kelam, Insya Allah akan temukannya, akan merasakannya.
November, Moga jalanmu terang tersuluh. Membawa kami menemukan indah, biarpun disulami musibah.
DESARU DAN LEGOLAND: PERCUTIAN PKPP
Throwback-dah lebih sebulan yang lalu kisahnya
Percutian 3 hari 2 malam di Johor (12-14/9/2020)
Sebenarnya dah lama sangat tak sampai Johor. Kali terakhir ialah pada tahun 2012/2013, masa ni baru ada anak sorang.
Hari tu suami ada kat rumah seminggu, dan dia dah plan awal lagi nak bawa anak-anak ke Legoland.
Alhamdulillah menjadi juga plan. Dapat tunaikan impian anak-anak yang dah lama teringin nak ke Legoland. Dapat juga bermalam di hotel Legoland satu malam, dan sebelum tu ke Pantai Desaru dan bermalam di hotel di sana.
Sekadar catatan ringkas, sebagai kenang-kenangan :
Semenyih - Desaru
(12/9/2020)
Kami bertolak dari rumah sekitar jam 10 pagi menuju ke Desaru. Sampai di sana sekitar jam 3.30 petang. Di sana kami check in hotel budget yang letaknya di Bandar Penawar.
Sebelum masuk berehat di bilik hotel, kami menuju ke Pantai Desaru yang memang terkenal di sini. Pada mulanya sekadar untuk ambil angin di pantai saja, tapi anak-anak minta nak mandi pantai sebab memang dah lama mereka tak dibawa ke pantai.
Anak-anak dilepaskan untuk mandi di pantai sambil dipantau abi mereka. Suri tak terkecuali, seronok bila abi bawa mandi laut. Dari hanya beberapa keluarga sahaja, lama kelamaan makin ramai pengunjung yang datang ke pantai bila hari semakin beransur petang.
Pantai di sini cantik dan jernih airnya. Begitu asyik suami dan anak-anak bermandian di sini. Berkali diajak balik barulah berganjak.
Sebelum balik ke hotel, kami makan malam di sebuah kedai makan di tepi jalan, letaknya di antara pantai dan penginapan kami. Dah kenyang makan, terus kami balik ke hotel. Masa untuk rehat, selepas menempuh perjalanan panjang dan penat bermandian di pantai. Penat tapi seronok :)
Hotel ini sekadar hotel budget yang mempunyai 2 katil Queen dan 1 katil bujang. Bilik airnya terletak di luar (kena share dengan penyewa lain). Boleh la, sekadar untuk bermalam dan berehat.
Desaru-Legoland, Johor Bahru
(13/9/2020)
Selepas bersiap dan check out dari hotel, kami meninggalkan Desaru menuju ke Johor Bahru sekitar jam 7 pagi. Kami singgah breakfast di R&R (tak ingat lokasinya di mana). Alhamdulillah perjalanan lancar, kami tiba di Legoland jam 10 pagi. Anak-anak teruja saat menjejakkan kaki kali pertama di sini. Seronok bukan kepalang, akhirnya sampai juga mereka di tempat yang mereka teringin nak datang.
Lepas turunkan semua beg, aku dan anak-anak terlebih dahulu ke lobi hotel, sementara suami parking kereta dulu. Kemudian kami register di kaunter, dan selesaikan apa yang patut. Masih awal lagi untuk check in, makanya tempat pertama yang kami tuju di sini ialah Legoland Water Park.
Kebetulan pula hari ni cuaca hujan, redah jugala bermain air di sini. Suami seperti biasa memantau anak-anak bermain. Hujan yang tadinya hanya renyai saja, lama kelamaan semakin lebat. Anak-anak dah kesejukan, tapi masih belum puas mandi kolam. Anas dan Miqdad sambung mandi lagi. Mussaab pula rehat bersama ummi di dalam khemah yang kami sewa. Sejuk sangat katanya. Suri tadinya juga seronok main air, kini tidur selepas disusukan.
Tak lama kemudian sekitar jam 2 petang kami meninggalkan water park, kerana hujan masih lebat turun, anak-anak pula sudah kelaparan. Kami makan tengahari di restoren KFC (dalam kawasan Legoland juga), kemudian check in hotel jam 3.30 petang.
Bab bayaran hotel semua ni tak dapat nak tulis detail sebab memang nak ringkaskan entri :D, tapi yang sebenarnya harga yang kami book ni adalah separuh dari harga asal (promosi time ni, mungkin sebab musim covid ni juga). Untuk detail harga lagi mudah refer di website Legoland Malaysia. Untuk bilik hotel, suamiku pilih 'pirate theme' untuk kami sekeluarga menginap.
Dah check in hotel, kami berehat saja di bilik, suami keluar beli makanan untuk makan malam, dan kami menjamu selera di bilik. Seharian perjalanan dan bermain air, semuanya sudah kepenatan. Walaupun penat, sempat lagi main lego di bilik. Main sepuasnya hingga mengantuk dan tidur lena semuanya. Alhamdulillah.
Legoland - Semenyih
(14/9/2020)
Hari terakhir percutian kami di Johor. Sebelum bertolak balik, kami terlebih dahulu breakfast di cafe Hotel, check out siap-siap, kemudian masuk ke Legoland Theme Park dan juga Sea Life Malaysia.
Di Theme Park terdapat banyak permainan dan aktiviti yang disediakan untuk anak-anak, pendek kata perlukan satu hari khas untuk explore satu persatu yang ada di sini. Tapi oleh kerana masa kami juga suntuk, hari ni dah nak balik, makanya apa yang sempat sajalah.
Alhamdulillah hari ni cuaca baik, tak ada masalah untuk berjalan di sekitar Theme Park yang agak luas ini. Ada juga hujan renyai seketika, tapi Alhamdulillah tak menggangu aktiviti hari ini.
Dah penat berjalan dan bermain, kami masuk ke dalam kedai yang menjual permainan lego. Anak-anak memilih satu permainan setiap seorang. Puas hati semua, dapat beli apa yang mereka nak, walaupun harga 'bukan biasa-biasa'.
Kami meninggal kan Theme Park, makan tengahari di Chicken Rice Shop, dan menuju pula ke Sea Life Malaysia. Tak lama di sini, sekadar melihat hidupan laut yang dipamerkan, dan bersedia meninggalkan Legoland sekitar jam 5.30 petang bersama memori yang terindah untuk anak-anak.
Dalam perjalanan, singgah solat di R&R dan sampai di Semenyih jam 9 malam.
Alhamdulillah untuk percutian 3 hari 2 malam di Johor. Anak-anak paling seronok, sebab dah lama abi tak bawa jalan-jalan dek sibuknya abi dengan kerja.
Terima kasih suamiku tercinta. Sentiasa mencuba untuk gembirakan anak-anak walaupun dalam keterbatasan masa dan waktu. Moga dikira Allah sebagai 'sedekah' dan diganjarkan dengan setimpalnya atas tiap kebaikanmu. Insya Allah.








