Saturday, 18 August 2018 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 180818






Cuti sekolah dah bermula. Anas, Mussaab dan Miqdad hanya di rumah. Hari ini abi berangkat ke Bintulu. Abi meninggalkan rumah seawal jam 5.30 pagi ketika anak-anak masih lena. Seperti biasa abi mengucup setiap seorangnya sebelum bertolak pergi. 


Anas, Mussaab dan Miqdad bangun dari tidur jam 8 pagi. Sedikit lewat, bila hari cuti sekolah. Apatah lagi kalau tak dikejutkan. Lepas mandi,  berpakaian dan turun ke bawah. Ummi keluar membeli nasi lemak bersama Miqdad. Anas dan Mussaab tak nak ikut, asyik menonton tv. Ummi kuncikan pintu dan keluar sekejap membeli nasi lemak dan lauk di kedai runcit. Ummi segera balik, dan makan bersama-sama. Anas, Mussaab dan Miqdad hanya menonton tv. Bosan menonton, bermain apa saja yang ada di dalam rumah. Ummi selesaikan kerja rumah. Miqdad yang semalam demam hari ini dah sihat, Alhamdulillah. Semalam lemah, hari ni aktif bermain segala benda dan memanjat.


10.30, lepak-lepak di depan tv lagi. Anas melukis, adik-adik menonton. Miqdad yang tadi aktif bermain dan berjalan sana sini dah meminta susu. Abi juga dah sampai di Bintulu. Abi bertanyakan khabar anak-anak.


 Jam 11 ummi keluar menjemur kain dan memasak. Anas, Mussaab dan Miqdad tetap dengan hal masing-masing. Anas ambil aiskrim di dalam peti dan makan bersama adik-adik. Alhamdulillah Miqdad ceria bermain dan duduk bersama abang-abang, tak menangis dan tak minta perhatian ummi sehingga selesai kerja memasak.


Jam 12.30, makan bersama-sama. Dah siap semua makan, giliran ummi pula makan. Anas, Mussaab dan Miqdad bermain di luar rumah. Hujan turun renyai, Anas dan Mussaab angkat kain di jemuran. Hujan hanya sekejap saja. Anas, Mussaab dan Miqdad sambung bermain di luar. 


Jam 1, masuk ke dalam rumah. Semua naik ke atas. Anas, Mussaab dan Miqdad masuk ke dalam bilik air dan leka sebentar bermain air dan meluncur di lantai yang basah. Lepas mandi main lompat-lompat di bilik tidur pula. Sabar jelah. Inilah permainan hari ni, di hari cuti sekolah. 


Lepas solat zohor, ummi susukan Miqdad dan cuba tidurkan Miqdad. Namun kemudian segar kembali, dan bermain lagi. Ummi lelapkan mata seketika, hingga kemudian Miqdad datang lagi meminta susu dan akhirnya tidur. Mussaab juga lena di sebelah Miqdad. Anas dari tadi leka dengan Hp ummi, explore apa yang ada. 


Jam 3.30, Anas turun ke bawah dan keluar ke halaman seketika. Ummi juga turun. Anas buka video di tv dan menonton lagi. Mussaab juga turun dan baring di sofa pula. Miqdad masih lena keseorangan di atas. Ummi ambil peluang makan ‘roti aiskrim’ sekejap. Sudah makan, Miqdad menangis terjaga dari tidur. Ummi naik susukan Miqdad, Miqdad tidur sekejap dan bangun menangis lagi. Ummi bawa Miqdad turun ke bawah. 


Anas, Mussaab dan Miqdad makan aiskrim lagi. Habis sudah sebekas aiskrim. Ummi masakkan spageti. Mussaab makan spageti hingga kekenyangan. Selepas asar, Anas dan Mussaab bermain basikal di jalan. Miqdad hanya bermain di halaman rumah. Dah puas bermain, masuk ke dalam rumah dan menonton tv lagi. Anas dan Miqdad makan nasi. Lepas makan lepak dan main lagi di depan tv.


7 malam, naik mandi, solat dan baca al-Quran. Kemudian bermain dan bermain lagi. Sempat juga melukis di buku journal. Lepas isyak video call abi, tapi tak cakap lama sebab abi berada di luar bersama kawan-kawannya. Bersiap untuk tidur. Tutup lampu dan rebahkan badan masing-masing. Miqdad dan Anas yang terawal tidur. Mussaab masih banyak cakap dan bertanya. Hampir jam 10, akhirnya lena juga Mussaab. Alhamdulillah :)


Semoga bermimpi indah semuanya anak-anak ummi. Semoga esok akan lebih baik dan lebih terisi dengan hal bermanfaat. Insya Allah. Semoga Allah menjaga kita semua dan abi di sana. Ummi love you all.


Wednesday, 15 August 2018 0 comments By: Naemah

4 MALAM 4 HARI: KEPULANGAN YANG MEMBERI ERTI

Balik kampung, dan kembali semula ke rumah. 4 malam, 4 hari. Alhamdulillah. Kepulangan yang memberi erti dan kepuasan tersendiri setelah sekian lama tak balik.


Tiba di rumah mak mertua pada 1.30am (12/08/18) ketika semua orang sudah lena dibuai mimpi. Kepulangan disambut mak yang katanya bangun untuk makan dan solat, kerana tadinya dah tidur selepas solat maghrib. Aku dan anak-anak menyambung lena, suamiku yang sudah penat memandu juga tidur bersama. Tidur yang benar-benar lena, hingga ke esok paginya.


Hari pertama (12/08/18), aku dan anak-anak tidak ke mana-mana, hanya berada di rumah. Suamiku masih melayan mengantuknya, menyambung tidur sepuasnya. Bangun dari tidur, suamiku ke rumah bapa saudaranya yang akan mengadakan kenduri pada esok harinya. Suamiku ke sana menolong membuat kerja, hingga masuknya waktu maghrib barulah balik ke rumah. Banyak kerja katanya. Di malam harinya, hanya berada di rumah dan berehat saja di rumah. Anas, Mussaab dan Miqdad seronok bermain dengan sepupu mereka Umar, Uwais dan Urwah yang juga bermalam di rumah nenek.



Menikmati hidangan nasi berlauk Bonda 



Bermain pasir di depan rumah nenek 


Hari kedua (13/08/18), habiskan masa di rumah juga pada waktu paginya. Suamiku sekali lagi ke rumah bapa saudara bersama mak dan adiknya untuk menghulurkan pertolongan dan membantu apa yang perlu. Jam 12, selesai kerjanya dan segera balik ke rumah. Kami sekeluarga bersiap untuk menghadiri majlis kenduri, dan seterusnya balik ke rumah ibuku pula. Sampai di rumah ibuku jam 5 petang, berehat dan bermalam di sini pula. 







Berbasikal di pagi hari




Ber’buai’an bersama



Berkenduri sebelum balik rumah mek 


Hari ke-3 (14/08/18) merancang untuk berkelah di sungai. Jam 10, ke kebun getah dan tapak rumah lama ibuku, di sini terdapat anak sungai untuk anak-anak bermain. Siap segala bekalan makanan untuk mengisi perut. Anak-anak seronok dapat bermain air sepuasnya, walaupun tempatnya agak terpencil dan tersorok. Di sini kami menjamu selera dan meninjau tapak rumah lama, tempat kelahiranku 33 tahun yang lalu. Jam 1, balik ke rumah, berehat sesudah kepenatan berjalan di ‘hutan’. Malam juga berlalu seperti kebiasaan. Malam ini berjumpa dengan abang sulung yang datang bertandang ke rumah mek.



Sungai-antara sumber kebahagiaan anak-anak





Di kelilingi pepohon getah-sumber rezeki penduduk kampung









Menikmati hidangan tengahari di pinggir anak sungai




Di tapak rumah lama 



Naik motor ke tempat letak kereta. Jalan agak curam berbukit 






Mengutip buah getah- permainanku di masa kecil dulu :)



Hari ke-4 (15/08/18), hari bertolak pulang ke rumah kami di Semenyih. Meninggalkan rumah Mek seawal jam 8.30 pagi. Bergerak menuju ke Gerik untuk mengambil kakak iparku yang juga akan ke rumah kami kerana ada urusan di Putrajaya. Sempat menyinggah di Perhentian Titiwangsa dan Tasik Banding dan seterusnya mengambil kakak ipar di Gerik. Berhenti makan dan solat, dan meneruskan perjalanan. Tiba di rumah jam 5.30 petang. 9 jam perjalanan, diiringi sedikit ujian ketika singgah di RnR tadi. Alhamdulillah, pertolongan Allah sentiasa ada. Anak-anak juga adakala baik-baik saja, ada ketikanya kecoh dan bising. Begitulah kebiasaan :) yang pasti perjalanan ini dipermudahkan olehNya dan sentiasa di dalam perlindunganNya.



Di puncak titiwangsa













Di tasik Banding



Kepulangan ini aku kira memberi erti yang tersendiri, meskipun kami pulang tidak lama. Pertamanya, suamiku berpeluang untuk menghulurkan bantuan untuk majlis kenduri bapa saudaranya, yang dia sendiri tak terfikir untuk terlibat dengan setiap kerja tersebut. Cadangnya, mahu balik makan kenduri saja :) 


Keduanya, berpeluang bersama suami dan anak-anakku menjejakkan kaki ke rumah lamaku yang aku sendiri sudah lupa bila kali terakhir datang ke sini. Langsung tak ingat. Walaupun tiada banyak kenangan di rumah ini, namun di sinilah hakikatnya aku dilahirkan, dan inilah rumah pertamaku. Walaupun rumahnya sudah tiada, kenangan itu tetap ada. Bukan aku semata, bahkan ibuku yang juga datang bersama, dapat mengimbau kenangan masa lalunya di sini. Terlalu banyak cerita mek di sini. Bersama ayah dan anak-anaknya. Mek pasti sangat rindu. 


Itulah antara bingkisan yang kami bawa pulang dalam singkatnya tempoh masa di sana. Hari ini kami sudah kembali ke rumah, dan akan jalani kehidupan biasa di rumah. Tetapi Insya Allah kami akan pulang lagi. AidilAdha pun sudah dekat. Insya Allah Kami akan pulang untuk raikan bersama keluarga tercinta 

Sunday, 12 August 2018 0 comments By: Naemah

BAKING CLASS AT LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN





update kali ini bukan tentang anak-anak Little Diamond. Tapi cerita ini tentang ummi dan kaum ibu yang lain, yang menyertai kelas memasak di Tadika Little Diamond :)


Pada 11/08/18, telah dianjurkan kelas memasak untuk para ibu/wanita bertempat di Little Diamond Kindergarten. Penyertaannya terbuka kepada semua yang berminat dengan bayaran rm 10. Teramat murah kan? Pun begitu, ianya terhad hanya untuk 20 orang peserta sahaja. Siapa cepat, dia dapat! :)


Alhamdulillah, aku termasuk dalam golongan yang ‘cepat ‘ tersebut. Maka 11/08/18 adalah harinya. Hari ini kami akan belajar cara-cara dan tips memasak roti, kek coklat dan nasi Arab. Masa sepatutnya adalah dari jam 9 pagi hingga 1 petang, tetapi di atas sebab tertentu, ia bermula jam 9.30 pagi dan selesai jam 12 tengahari, lebih cepat dari masa yang sepatutnya. Yang penting, semuanya berjalan baik dan lancar. Alhamdulillah.


Oh ya, guru memasak yang mengajar kami adalah seorang doktor perubatan. Dr. Yati namanya (rasanya dah betul nama tu). Kelas bermula dengan acara menyediakan bahan untuk membuat roti. Segala bahan disatukan, dan ditinggalkan di dalam bread maker Noxxa yang canggih itu selama satu jam setengah untuk menghasilkan doh roti. 


Dalam tempoh menunggu doh roti siap, dr. Yati mengajar membuat kek coklat. Kek ini pula dimasak menggunakan pressure cooker Noxxa. Melihat pada ‘demo’ yang ditunjukkan, tidaklah susah sangat. Tapi memang tak pernah buat, sebab anak-anak tak suka kek. Dah belajar ni, insya Allah boleh cuba nanti :)


Selesai kek, masa untuk masak nasi Arab pula. Melihat cara memasak dari awal menumis, memasukkan rempah, beras, ayam, air dan segala bahannya, hingga selesai. Pun menggunakan periuk tekanan Noxxa. Cepat dan sedap. 


Akhir sekali, setelah doh tadi pun sudah ‘menjadi’, tiba masa untuk membentuk roti mengikut bentuk yang diingini. Dr. Yati mengajar cara-cara membentuk roti. Akhirnya siap roti manis, roti sosej, dan mini pizza dengan berbagai bentuk dan rupa. Dan dari hasil air tangan yang berbeza. Hasil ‘kreativiti’ dibakar di dalam oven. Sementara menunggu roti masak, para peserta menjamu selera dengan menikmati nasi Arab yang dimasak tadi dan juga kek coklat. Alhamdulillah, Perut yang sudah lapar dah kenyang balik :D


Lepas makan nasi dan kek, makan roti pula. Dapat la sikit sorang untuk merasa hasil yang dibuat bersama-sama. Alhamdulillah, tak mengecewakan. Hasil yang boleh dibanggakan. Tapi oleh kerana ada anak kecil, ummi makan sikit je la. Simpan untuk anak-anak rasa. 


Tamat sessi memasak, masa untuk bergambar pula dengan semua peserta dan guru memasak. Alhamdulillah tamat sudah kelas memasak hari ini. 


Secara peribadi, ini adalah sebuah pengalaman sangat berharga buatku. Sebagai suri rumah, tak selalu dapat ‘bersosial’ macam ni. Hakikatnya tidaklah bersosial sangat. Tapi dapat bersalaman, berbalas senyum dan bertegur sapa dengan orang luar sesekali, sudah mampu buat diri rasa hidup bermasyarakat. Bukan hidup sendiri-sendiri dengan suami dan anak-anak saja :) 


Selain ilmu dan tips masakan yang baru dipelajari hari ini, dapat juga belajar tips menjaga kesihatan daripada dr. Yati, termasuk mengira BMI masing-masing. Haish, dah lama tak kira. Memang dapat agak dah termasuk dalam golongan ‘overweight’. Itulah. Makan tak ingat!


Antara lain juga, periuk tekanan Noxxa, bread maker Noxxa dan kitchen Aid menjadi watak utama dalam memudahkan kerja rumah para isteri dan ibu. Betul. Tak tipu. Ia antara ‘gadjet’ yang ‘wajib ada’ di rumah untuk menjimatkan masa di dapur. Semua tu dah ada sebenarnya kat rumah, tapi bukan jenama yang inilah. Pakai je apa yang dah ada kat rumah tu. Bab nak keluarkan duit ni memang kena fikir panjang sikit sebab suri rumah sepertiku ini, mana nak cekau duit banyak-banyak. Apa yang suami mampu dan sudah sediakan, pakai saja. Itupun sudah bersyukur banyak sebab dapat suami yang faham dan sebolehnya nak senangkan kerja isteri. Aku sangat bersyukur dan sangat menghargai hal itu :)


Terima kasih kepada pihak Little Diamond Kindergarten, teacher Zeeda khususnya yang memberi ruang pada golongan isteri dan ibu seperti kami untuk mencari ilmu baru dan saling berkenalan. Pengalaman ini sangat mahal harganya. Yang penting, kami enjoy sepanjang kelas ini berjalan :) Dan tak lupa, terima kasih pada dr. Yati yang sudi datang mengajar kami :) Kalau ada lagi, dan ada rezeki dan kelapangan masa lagi, memang teringin nak join lagi :) Insya Allah.




Foto hari ini;



Menjadi peserta pertama yang sampai. Menunggu ketibaan guru memasak dan peserta yang lain.




Dr Yati (baju purple) dan sebahagian peserta 




Mengadun bahan untuk kek coklat 













Membentuk roti 








Antara hasilnya




Dia yang tak sabar menunggu roti masak 









Saturday, 11 August 2018 0 comments By: Naemah

PERJALANAN SEMALAM

Sudah lama tak balik kampung. Sudah hampir 2 bulan. Memang terasa lamanya. Apa taknya, jika sebelum ini muka kami sering saja muncul di kampung. Paling tidak pun sebulan sekali itu ‘wajib’. Tapi sejak balik dari berhari raya puasa yang lepas, dek banyak kekangan, masa dan situasi yang tak terduga, plan nak balik kampung terpaksa ditangguhkan.


Semalam tibalah masanya. Suamiku yang sedang bercuti seminggu, dan kereta yang dihantar ke bengkel pun dah siap dibaiki, kami pun mengambil keputusan untuk balik kampung. Anas dan Mussaab ‘terpaksa’ bercuti dari sekolah untuk beberapa hari. 


Kebetulan pula semalam aku mengikuti baking class di Little Diamond kindergarten, maka kami terpaksa bertolak pada petang harinya. Nak cancel kelas tu rasa rugi pula. Bukan senang nak dapat ilmu macam tu.


Perjalanan kami bermula jam 4.30 petang. Kami singgah solat asar di sebuah stesen minyak di Gombak, dan meneruskan perjalanan hingga sampai di Raub. Anas dari tadi sudah mengadu lapar. Kami singgah di restoren Saffino’s Bistro dan menikmati pizza sebagai hidangan makan malam kami hari inii. Masing-masing makan dengan sangat berselera. Azan maghrib juga sudah berkumandang. 


Selesai makan kami meneruskan perjalanan. Singgah sekali lagi di perhentian Benta untuk ke tandas dan menunaikan solat. Perjalanan yang masih jauh diteruskan. Anak-anak sudah lena semuanya. Suasana sunyi dan sepi tanpa suara gamat mereka lagi. Ummi pun dah mengantuk sama dan akhirnya terlelap. Masih jauh perjalanan. Gua Musang pun belum sampai. Tinggallah si suami keseorangan meneruskan pemanduan.


Dalam tidur, ada juga terjaga beberapa kali. Suamiku berhenti untuk mengisi minyak dan sekali lagi untuk lelapkan matanya yang dah mula mengantuk. Tapi rasanya tak tidur pun. Macam selalu, bila dah stop mata yang tadi mengantuk jadi segar semula. Perjalanan diteruskan. Terdengar suara suamiku bernyanyi untuk lawan rasa mengantuknya. Terdengar juga alunan lagu dipasang di handphone nya. Kereta terus meluncur merempuh kegelapan malam. Tapi malam masih muda agaknya, kereta dan lori masih meriah di jalan. Itu juga punca kepada ‘lambat’nya perjalanan.


Akhirnya kami selamat tiba di rumah ibu mertuaku di Kampung Kijang, PCB pada jam 1.30 pagi. Lebih kurang 9 jam perjalanan malam ini, selepas perhentian demi perhentian. Alhamdulillah, masih sebuah perjalanan yang dipermudahkan olehNya. Hari ini dapat berjumpa ibu mertua, dan esok insya Allah akan balik ke rumah ibuku pula. 


Alhamdulillah. Itu saja ungkapan yang mampu terucap setelah sekian lama tak balik kampung. Perancangan demi perancangan, akhirnya kali inilah yang ‘menjadi’. Walaupun anak terpaksa bercuti, suami pula dalam keadaan serba salah sebab ada kemungkinan bos akan panggil mesyuarat, tapi tawakkal sajalah. Semoga tetap nanti akan dipermudahkan olehNya. Kerana rasa macam dah lama benar tak balik kampung.


Balik raya haji nanti pun tak boleh lama juga. Sebelum habis cuti sekolah dah kena balik semenyih , sebab suami akan kembali bertugas di Bintulu. Beginilah perjalanan cerita. Kita merancang, Allah juga merancang. Yang pasti, perancangan Allah itu adalah yang terbaik. 


Semoga dapat memanfaatkan masa yang singkat ini bersama keluarga di kampung. Insya Allah.



Musafir dan makan malam keluarga;








































Wednesday, 8 August 2018 0 comments By: Naemah

TENANGLAH DUHAI HATI



Dunia ini pentas ujian. 
Biasa dengar kan ayat ini? Ya, biasa sangat. Dan faham sangat, kerana kita masing-masingnya tiada yang terlepas dari menerima ujian. Kita diuji, dan mereka juga diuji.

Yang berbeza, adalah bentuk ujian yang kita terima. Yang berbeza, bentuk kekuatan yang kita masing-masing miliki. Yang berbeza, sejauh mana tahap redha dan sabar kita pada setiap ujianNya.

Jangan pernah mencemburui segala bentuk nikmat kesenangan dan kebahagiaan yang dimiliki oleh insan lain. Jangan pernah membandingkan kehidupan kita dengan kehidupan mereka. Jangan pernah merasakan nasib dan kehidupan mereka lebih baik dari kita.

Kerana hakikatnya, kita dan mereka, ada ujian tersendiri yang perlu ditempuh. Kita berjuang mengharung segala ujian hidup, dan mereka juga sama, sedang berjuang menempuh ujian hidup mereka yang tersendiri. 

Syukur menjadi kunci untuk kita merasakan ketenangan dalam menjalani hidup. Merasa cukup dengan apa yang kita miliki dan dengan kehidupan yang sedang kita jalani. Bersyukur, takkan membuatkan kita rasa  ‘kurang’ meski melihat pada mereka yang ‘lebih’.

Ajarkan hati untuk bersyukur. Ajarkan hati untuk redha, agar tenang menempuh ujian. Tak ada ujian yang tak termampu untuk ditempuh. Tak ada ujian yang di luar kemampuan hamba. Tak ada ujian, melainkan bersamanya hikmah dan kasih sayang Allah.  

Tenanglah duhai hati.


Tuesday, 7 August 2018 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 070818






Hari kedua abi di Bintulu. Pagi ini abi bertolak ke laut, bertugas seperti biasa. Anas, Mussaab dan Miqdad bangun jam 6.30, mandi dan bersiap dengan pakaian mandi kerana hari ni ada aktiviti splash di sekolah. Miqdad juga berpakaian kemas nak hantar Anas dan Mussaab ke sekolah. 


Turun ke bawah, makan roti cheese dan makaroni goreng sambil ummi pasangkan bacaan surah dari juzuk amma. Lepas makan, buat hal masing-masing, sementara menunggu masa untuk ke sekolah. Menonton video ‘baby bus ‘ seketika dan berjalan ke sekolah. Agak kecoh sikit pagi ini bila Mussaab menjerit menangis di jalan kerana semua orang dah berjalan keluar, dia masih tak pakai selipar. Ummi ‘tangkap’ Miqdad yang laju berjalan dan balik semula ke rumah tunggu Mussaab keluar dengan berselipar. Dengar Mussaab ‘membebel’ sebab dia ditinggalkan. Itulah, ummi cakap siap cepat, dengar la lain kali. 


Lepas hantar Anas dan Mussaab, balik ke rumah. Miqdad sambung menonton video, ummi menyiram pokok di luar. Kemudian ummi sambung kemas dalam rumah, Miqdad masih leka menonton. Kemudian Miqdad minta perhatian, ajak duduk sekali dengannya. Ummi temankan Miqdad. Lepas tu baca ABC, main dan berjalan sana sini sambil-sambil menonton video ‘dream English’ pula. 


Jam 9, ummi sambung kerja. Miqdad bermain sendiri, membelek buku dan main mainan vehicles. Miqdad baik-baik saja sehingga selesai kerja ummi dari mengemas hingga memasak. Jam 11 dah siap kerja ummi. Ummi temankan Miqdad lagi. Kali ni menonton video ‘mother goose club’ pula sambil Miqdad menyusu. Miqdad kembali aktif. Ummi masuk semula ke dapur dan goreng ayam dan keropok untuk Miqdad. Miqdad ulang alik ke dapur meminta keropok dan air. Ummi duduk bersama Miqdad sementara menunggu masa untuk ambil Anas dan Mussaab di sekolah.


Jam 12, berkereta mengambil Anas dan Mussaab di sekolah. Balik rumah, makan nasi dan menonton tv. Miqdad dah mula meragam dan menangis kuat. Ada saja yang tidak kena. Menangis semahunya. Ummi bawa naik ke atas untuk tidurkan Miqdad yang mungkin penat dan mengantuk. Ummi tukarkan pampers Miqdad. Diam sekejap, kemudian sambung menangis lagi. Entah apa mahunya. Kemudian Miqdad minta nak mandi dengan Mussaab. Leka sebentar di bilik air, selang seli dengan suara menangis. Dah agak lama kemudian tangisnya reda. Lepas mandi, ambil buku dan leka pula dengan buku.


Mussaab sibuk nak print gambar. Ummi print untuk Mussaab gambar kek yang dipilih. Anas pula di bawah, menonton dan melukis. Ummi susukan Miqdad dan akhirnya terlena juga Miqdad. Mussaab juga terlena di sisi ummi. Kiri dan kanan sudah lena, ummi pun tidur sekali. Sempat ‘intip’ Anas melalui cctv. Tengah asyik lagi dia menonton dan melukis. Bila lapar, Anas buat roti cheese untuknya menggunakan microwave.


Tengah tidur, Anas naik dan ambil Hp ummi. Anas kejutkan ummi untuk print gambar ‘Yellowstone ‘ tajuk yang sedang dia belajar di YouTube. Ummi printkan untuk Anas dan Anas turun semula ke bawah. Dah bosan di bawah, naik semula ke atas. Kejut ummi, kacau adik, sengaja nak suruh bangun. Tapi adik-adik masih layan mengantuk. Ummi turun bersama Anas.


Tak lama kemudian Mussaab juga turun. Kemudian Miqdad pula menangis bila bangun dah tak ada orang. Anas naik dan ajak Miqdad turun. Miqdad dah tak menangis lagi. Sama-sama duduk di sofa dan menonton tv. 


Jam 5, ummi masuk ke dapur untuk masak bubur pulut hitam. Tapi ummi dah agak, ummi seorang saja yang makan ni. Anas minta ummi gorengkan donat. Anas dan Mussaab makan donat bersama. Miqdad juga makan, tapi sikit saja. 


Orang yang baiki kereta abi datang ke rumah,katanya kereta dah siap. Mungkin abi balik nanti barulah akan diambil kereta di bengkel. Jam 6, ummi suapkan Miqdad makan nasi. Sikit juga makannya. 


Kemudian menonton tv dan bermain dan berlarian 3 beradik di depan tv. 6.30, Anas makan nasi. Mussaab dan Miqdad menonton ‘mother goose club’. Jam 7, semua naik ke atas dan mandi.


7.30, turun semula ke bawah untuk membaca al-Quran, Iqra’ dan hafazan seperti biasa. Tv juga terpasang, untuk lekakan Miqdad yang kalau tidak, akan memanggil-manggil ummi untuk melayannya. Selesai membaca, melukis dan menonton, naik semula ke atas. Sudah hampir jam 9 malam. Masa untuk tidur.


Seperti biasa, sebelum lelap mata akan banyak celoteh dan pertanyaan. Hingga akhirnya ummi minta diam dan tidur. Miqdad yang pertama lena, diikuti Anas. Mussaab yang siang tadi sudah tidur, sukar untuk lelap. Pusing kiri, pusing kanan, hampir jam 10 malam barulah terlena dengan sendirinya. 


Selamat malam Anas, Mussaab dan Miqdad. Semoga bermimpi indah semuanya. Semoga hari esok menjanjikan yang lebih baik untuk anak-anak ummi dan untuk kita semua. Tak lupa untuk abi yang jauh, semoga Allah menjaga dan melindungi abi sentiasa. Semoga jumpa lagi. Insya Allah.

Sunday, 5 August 2018 0 comments By: Naemah

KACANG PANJANG GORENG TELUR


Ok, ini adalah resepi kacang panjang. Manalah tahu ada orang yang tak pernah try masak kacang panjang, boleh la try resepi ni. Mudah, cepat dan sedap! Insya Allah :)