Monday, 31 July 2017 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 010817





Dah masuk bulan Ogos. Hari ni abi tiada di rumah kerana bertugas. Hari kedua abi di Bintulu. Semoga dipermudahkan urusan abi mencari rezeki. Hari ni dah tak dapat berhubung dengan abi yang sudah berada di tengah laut. Semoga Allah menjaga abi dan menjaga kita semua.

Seperti biasa, Miqdad bangun paling awal berbanding abang-abang. Seawal 6.30 pagi Miqdad dah bangun dari tidurnya. Kemudian Mussaab dan yang terakhir Anas.

Bangun pagi lepak di ruang tamu. Ummi tukarkan pampers Miqdad dan susukan Miqdad. Ummi pula yang terlena di sofa :) Anas kejutkan ummi dan menghulurkan remote tv. Minta ummi buka video paw patrol yang saban hari diulang tonton. Masih tak jemu lagi walaupun cerita sama je :)

Lepas menonton, breakfast bersama-sama jam 8.30 pagi. Ummi suapkan Miqdad yang makan berselera. Anas juga berselera makan. Mussaab juga makan, tapi tak sebanyak abang dan adiknya. 

Selesai makan, Anas dan Mussaab mandi. Macam biasa, mandi dan main air. Puas ummi panggil keluar tak keluar juga. Mussaab kemudian keluar dalam keadaan menangis. Katanya Anas buat. Hmm... Anas juga keluar, mengadu Mussaab basahkan lantai dapur. Hai.. macam-macam lah.

Siap berpakaian, menonton paw patrol lagi. Ummi tidurkan Miqdad yang dah mengantuk. Lepas Miqdad tidur, ummi keluar buang sampah dan jemur kain. Anas dan Mussaab juga keluar. Anas angkut air dan siram pokok di luar pagar. Mussaab keluar masuk rumah. 

Selesai kerja di luar, Miqdad bangun dari tidur dan menangis. Anas dan Mussaab masuk ke bilik dan melayan Miqdad. Ummi juga masuk kemudiannya. Miqdad happy bermain dengan abang-abang. Lepak sekejap di bilik bawah, dan kemudian naik ke tingkat atas. Main dan buat aktiviti sendiri. 

Kemudian turun semula ke bawah. Ummi buka tv dan menonton cerita 'Abi'. Best juga ceritanya, sebijik macam situasi family kita. Kisah ummi dan abi serta 3 anak lelaki mereka. Sama sangat. Anas dan Mussaab pun layan juga cerita tu :) sambil makan tengahari,  sambil menonton tv.

Lepas makan sambung duduk depan tv. Ummi kemaskan tempat makan dan mencuci pinggan. Kemudian mandikan Miqdad. Ummi juga bersiap untuk hantar Anas ke sekolah. Anas dan Mussaab juga bersiap sambil menonton tv rancangan nickelodeon jr pula. Ummi susukan Miqdad dan Miqdad terlena sekali lagi.

Jam 1, letak Miqdad yang tengah tidur dalam car seat. Tutup tv, dan menaiki kereta. Miqdad tidur lena sampai ke sekolah Anas. Seperti biasa, ummi dan adik-adik hantar Anas sampai ke kelas. Lepas tu terus balik ke rumah.

Sampai di rumah, Mussaab minta roti butter gula. Ummi buatkan 3 keping untuk Mussaab. Naik ke atas, solat dan bersedia untuk tidur. Miqdad yang tadi dah tidur masih nak bermain-main. Miqdad terjatuh dari katil dan menangis. Kesian Miqdad :( lebih kurang jam 2.30 Miqdad lena kembali. Mussaab juga keluar masuk bilik, main sendirian. Akhirnya terlena juga di toto.

Hampir jam 4 petang, Miqdad dan Mussaab bangun dan kejutkan ummi yang masih mengantuk. Bersiap pula untuk ambil Anas di sekolah. Jam 4.30, Anas balik dari sekolah. Singgah gerai beli pisang dan keropok goreng. Balik rumah makan sama-sama. Mussaab je yang tak join sebab asyik dengan handphone ummi.

Lepas ummi solat asar, keluar siram pokok di luar. Anas dan Mussaab tolong ummi isi air dalam bekas. Miqdad dilepaskan di atas rumput. Siap siram pokok, Anas dan Mussaab masuk mandi dan main air lagi. Anas minta ummi tampalkan poster doa yang dibeli di sekolah. Ummi tampal dulu sebahagiannya. 

Jam 6, ummi goreng nasi dan suapkan Anas, Mussaab dan Miqdad makan. Lepas tu menonton tv nick jr lagi hingga jam 7. Ummi mandikan Miqdad. Kemudian tutup tv dan naik ke atas untuk solat maghrib. Mussaab masuk bilik air dan main air lagi. Ummi angkat Mussaab yang tak mahu keluar dari bilik air.Menangis  semahunya kerana masih tak puas main air.

Lepas solat Maghrib ummi ajar Anas baca al-Quran. Alhamdulillah, bacaan Anas semakin baik. Mussaab pula main toys. Miqdad juga sibuk berminatkan al-Quran Anas. Anas baca sambil mengelak dari al-Quran ditarik Miqdad :D

Lepas baca Quran, sambung tampal poster doa Anas. Kemudian ummi tidurkan Miqdad. Anas dan Mussaab menonton video Tayo the little bus. Turun sekejap ke bawah minum air, sambung menonton lagi. Ummi solat isyak dan ajak Anas dan Mussaab tidur. Tiga kali susukan Miqdad yang terjaga dari tidur dan menangis.

Ummi temankan Anas dan Mussaab tidur. Anas terlena dulu, kemudian Mussaab. Jam 10 malam, anak-anak ummi semuanya sudah hanyut dibuai mimpi. Tinggal ummi yang masih ada urusan yang perlu diselesaikan. 

Tidurlah sayang. Semoga bermimpi yang indah. Tak lupa buat abi yang jauh. Moga sentiasa dalam rahmat dan kasih Allah. 

Semoga hari esok akan menjanjikan yang lebih baik untuk kita semua. Insya Allah :)

KERANA MENCINTAI DIA

Adakalanya terlintas di hati kecil; adakah suami akan jatuh cinta lagi? Di ketika hayatku atau selepas matiku? Ya. Aku cemburu. 

Dan aku juga tertanya. Mungkinkah akan ada penggantiku, seandai aku pergi dulu meninggalkan dia? Dan ya. Aku tetap cemburu.

Namun aku sedar, persoalan begitu tidak perlu terlalu dilayan dan difikirkan. Dan sudah fitrah, cemburu itu akan lahir bila memikirkan ada yang lain di hati insan yang kita cintai.

Saat hadir persoalan itu, aku hanya mampu memujuk hati. Usah cemburu pada urusan yang kita tidak pasti. Allah yang menentukan segalanya. Soal hati ini juga, segalanya dari Allah.

Usah cemburu. Walau bagaimana takdir di masa akan datang, tetap ianya yang terbaik dari Allah. Aku insan tiada daya, pasrah pada ketentuanNya.

Sesungguhnya aku cemburu, kerana aku terlalu mencintainya. Namun siapa aku untuk pegang hatinya untuk hanya mencintai aku. 

Aku hanya mampu berdoa. Moga cinta ini tetap akan menyatukan kami berdua di syurgaNya. 

Aameen.

DUNIA SURI RUMAH




Dunia seorang suri rumahtangga seperti ku, adalah suami dan anak-anak semata. Satu hari, 24 jam, mereka lah yg menjadi watak penting dalam kehidupan seorang suri rumah. Menguruskan hal ehwal mereka, menjaga makan minum mereka, di samping membuat kerja-kerja rumah yang tak pernah sudah :)

Ya. Hidup seorang suri rumah bagaikan tiada apa yang istimewa. Bukan sekadar penat, malah masa untuk diri juga bagaikan tiada.

Buka mata, rutin harian dah bermula. Tambah penat, bila anak masih kecil dan ramai pula :) memang tiada masa untuk hal lain, lebih-lebih lagi nak bersosial. Memang taklah kan :)

Kadang-kadang suri rumah dilanda kesunyian dan terasa bagai tiada yang mengerti penat lelahnya. Mahu dikongsi cerita, entah pada siapa. Pada suami juga selalunya tak terluah.

Tapi. Suri rumah perlu sentiasa membina positif dalam diri. 

Yang utama adalah dengan meletakkan keikhlasan dalam hati. Kita memilih untuk menjadi suri rumah kerana Allah. Rumah ini medan bakti kita, dan kita mahu sehabis baik menunaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Insya Allah ada ganjaran hebat di sisi Allah.

Bila hati ikhlas keranaNya, kita akan lebih tenang menjalani rutin seharian sebagai seorang suri rumah. Biar nampak biasa-biasa, tapi inilah tempat terbaik buat kita yang bergelar isteri dan ibu. 

Ada ketika kita rasa terlalu penat, ada ketika terasa sunyi dan seperti keseorangan, ada ketika juga hadir rasa rendah diri bila perlu bertemu muka dengan rakan sebaya dan wanita berkerjaya yang kelihatannya gah kehidupan dan pembawakan diri mereka :)

Tetapi. Rasa seperti itu perlu sentiasa dibendung dan dibuang dari mengusai diri. Biar penat, tapi bahagia setiap masa anak-anak ada di sisi. Tak apa tak ada yang sudi faham. Allah sentiasa ada untuk mendengar keluhan kita. Tak perlu rasa rendah diri. Kita dan mereka sama sahaja :) 

Sesungguhnya pilihan menjadi suri rumah bukan satu kesilapan. Biar tanpa gaji dan duit sendiri. Insya Allah rezeki kita sekeluarga dicukupkan atas asbab kita ikhlas berbakti pada rumahtangga.

Ya. Kita suri rumah, bukanlah bermakna lebih baik dari mereka yang bekerja. Semuanya baik jika tahu keutamaan. Isteri dan ibu, meski berkerjaya hebat, semoga tetap sedar bahawa yang utama untuknya ialah perhatian pada rumahtangga. Yang tidak bekerja pula, sehabis baik melaksanakan tanggungjawab di rumah saban hari dan saban waktu :)




Sunday, 30 July 2017 0 comments By: Naemah

WARISAN SEJARAH: BUKIT MALAWATI

29.07.17

Hari ini dalam sejarah :D
Kami sekeluarga berkesempatan menjejakkan kaki ke Bukit Malawati yang terletak di Kuala Selangor untuk melihat sendiri tempat bersejarah ini.

Sebenarnya kami tidak merancang untuk ke sini. Nak dijadikan cerita, pada malam sebelumnya abangku mengajak kami untuk menyertai keluarganya makan malam di Aroma ikan Bakar, Kg Jeram. Kami bertolak lewat petang dari rumah kami di semenyih. Sampai di sana lebih kurang jam 8 malam. 

Malam itu kami menumpang tidur di rumah anak saudaraku Fadhlullah di Sekinchan. Kami meninggalkan rumah anak saudaraku jam 9 pagi. Alang-alang dah sampai Kuala Selangor, suamiku mengajak kami ke Bukit Malawati. 

Mengikut sejarah yang dibaca, Bukit Malawati merupakan pusat pentadbiran dan kota kesultanan negeri Selagor pada akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19 :)

Sampai di sana dalam pukul 10 pagi. Kami dibawa ke puncak bukit dengan menaiki tram yang disediakan. Di situ terdapat tembok batu yang menjadi benteng pertahanan untuk melindungi kuala selangor dari serangan musuh pada ketika itu. 

Selain itu terdapat rumah api yang telah dibina pada abad yang lalu, dan masih berfungsi sehingga hari ini. Terdapat juga sebuah pondok kecil yang diberi nama baitul hilal. Ia menjadi tempat untuk melihat anak bulan bagi menentukan tarikh 1 ramadhan, syawal dan raya haji.

Tak melepaskan peluang, kami juga mengunjungi muzium yang terdapat di situ. Melihat monumen peninggalan masa silam, dan membaca serba sedikit sejarah yang tercatat di dalamnya :)

Pemandangan di puncak bukit itu sangat cantik dan menenangkan. Boleh juga jika sekadar untuk mengambil angin sepoi bahasa :) selain pengunjung yang datang untuk menziarahi tempat bersejarah ini, terdapat juga penduduk tempatan yang menjadikan tempat ini sebagai tempat riadah berbasikal. 

Oh ya, dari kaki bukit hingga ke puncak bukit, terdapat banyak monyet yang bebas berkeliaran dan bergayutan dari pokok ke pokok. Tapi jangan risau, monyet-monyet di situ tidak mengganggu orang yang datang berkunjung :)

Hampir sejam di puncak bukit tersebut, kami menaiki tram sekali lagi dan menuruni bukit untuk kembali ke bawah. Dalam perjalanan turun, kami dapat melihat sebuah kawasan yang dinamakan makam diraja, yang mana ia merupakan tempat bersemadinya raja-raja Selangor yang terdahulu.

Hampir jam 11, kami bertolak pulang meninggalkan kawasan itu. Agak berpuas hati dapat berkunjung di situ. Sekurang-kurangnya ada 'ilmu' sejarah baru yang dapat dipelajari oleh kami :) buat anak-anak pula, pastinya mereka seronok dapat menaiki tram dan menikmati indah pemandangan dari puncak bukit sambil bergambar kenangan :)



Menaiki tram





Di puncak bukit 





























Nak balik dah :)






Wednesday, 26 July 2017 0 comments By: Naemah

NASI MINYAK DAN AYAM MASAK MERAH

Menu hari ini; nasi minyak, ayam masak merah, sambal belacan dan acar. 

Dah terlalu lama tak masak nasi minyak. Kebetulan nak habiskan beras basmati yang dibeli untuk jamuan raya hari tu, maka terhasillah hidangan nasi minyak hari ini.





Di sini sy sertakan bersama resepinya. Boleh lah cuba ya :)














Thursday, 20 July 2017 0 comments By: Naemah

MIQDAD: LUKA DAN JANGKITAN KUMAN

Cerita Miqdad lagi. Kali ni tentang luka di hidung yang menyebabkan jangkitan kuman-merebak di sekitar hidung.

Alkisah, Miqdad yang baru sihat dari demam masih selesema dan batuk. Kerana kerap menggaru hidung (kuku juga panjang), maka terdapat kesan luka pada hidung Miqdad. Kecil saja lukanya, ingat akan cepat baik. 

Masuk hari kedua, kesan luka nampak makin besar. Hari ketiga, makin besar dan kehitaman. Agak merisaukan, takut bukan sekadar luka biasa. Aku bertanyakan biras yang juga seorang doktor. Katanya mungkin jangkitan kuman dan perlukan antibiotik.

Petang itu ke poliklinik Damai, Beranang untuk dapatkan rawatan. Doktor bagi ubat antibiotik untuk disapu ke tempat luka tersebut.

Lepas sapu ubat tu, luka makin kering dan nampak makin baik. 

Tapi nak dijadikan cerita lagi, ubat sapu tu hilang. Puas cari tak jumpa juga. Dua hari tak sapu, luka tu merebak lagi. Dari bahagian kanan, pindah ke kiri pula. Aduhai...

Usaha juga mencari. Alhamdulillah, jumpa juga, terselit di sebalik rak tv. Kecil sangat, memang susah nak jumpa :D

Kembali sapu ubat dan luka tu kering balik dan makin baik hari ke hari. Alhamdulillah :)

Moral of thr story: perlu pastikan kuku si kecil sentiasa pendek, sebab dia memang suka menggaru dan mencakar :)
Kedua, perlu segera mendapatkan nasihat dan rawatan doktor dalam hal yang melibatkan kesihatan anak-anak. Apatah lagi kalau ia tak pernah terjadi pada anak-anak sebelum ini :)

Alhamdulillah. Pengalaman sepanjang bergelar ibu banyak mengajar dan mendidik hati. Agar menjadi seorang ibu yang lebih baik dan bertanggungjawab. Serta berusaha sebaik mungkin dalam menjaga amanahNya ini :)




Hari ke-3 (sebelah kanan hidung)





Hari ke-4





Hari ke-6 (luka dah makin kering dan hilang)





Hari ke-8





Hari ke-9




Hari ke-12 (selepas 2 hari tak sapu ubat)




Hari ke-13 (dah sapu ubat balik)




Hari ke-15




Today-hari ke-17. Hampir baik sepenuhnya :)



UbAt yang disapu 






INSYA ALLAH ABANG YANG BAIK


Anas Zaydan, sekarang berusia 5 tahun 6 bulan. Anak sulung, abang kepada 2 adik. Mussaab pula berusia 3 tahun 6 bulan, anak kedua dan abang kepada seorang adik :)

Di kalangan mereka yang sebaya Anas dan Mussaab, ada yang mungkin anak tunggal atau anak bongsu (atau belum ada adik). Dah tentu mereka mendapat layanan lebih, dan dimanja lebih. Mungkin :)

Berbeza dengan Anas dan Mussaab, di usia sekarang sudah menjadi seorang abang, berbagi kasih dengan adik-adik. Adakala perlu mengalah, ada kala pula dimarah. Kerana 'gagal' menjadi abang yang baik untuk adik-adik.

Maafkan ummi, sayang. Kadang-kadang ummi lupa bahawa di usia sekarang, Anas dan Mussaab masih seorang anak kecil. Mahu bermain, mahu ketawa, mahu suka-suka, mahu dilayan dan dimanja. Anas dan Mussaab masih belum mengerti makna tanggungjawab dan bagaimana menjadi seorang abang. Apatah lagi mahu menjadi 'abang yang sempurna'.

Namun bukan salah takdir jika di usia sekarang Anas dan Mussaab sudah bergelar seorang abang. Ummi percaya Anas dan Mussaab juga bahagia dikurnia adik-adik sebagai teman bermain :)

Cuma peranannya sekarang adalah ummi dan abi. Perlu sentiasa ingat bahawa anak-anak masih kecil, dan perlu layanan manja dan adil. Bukan salah Anas dan Mussaab jika masih belum menjadi abang yang 'matang'. Ummi tahu semua itu perlukan masa. Ummi dan abi perlu lebih bersabar dalam mendidik. Bukan cepat menghukum jika ada yang tidak kena.

Ummi doakan Anas dan Mussaab akan menjadi lebih matang seiring meningkatnya usia. Insya Allah, Miqdad juga satu masa akan menjadi seorang abang :) semoga sentiasa baik, mesra dan saling menyayangi sesama adik beradik. Tiada siapa lebih dan siapa kurang. Ummi dan abi sayang semuanya. Walau kalian hadir dengan karakter dan watak yang berbeza. Ummi tetap sayang dan kasih semuanya.

Semoga menjadi anak-anak yang soleh semuanya. Semoga membesar menjadi 'abang' yang lebih baik, bertanggungjawab dan sangat menyayangi adik-adik :)