Saturday 5 June 2021 By: Naemah

IBU SEPERTI APA AKU





Kisah yang sekarang.

Pdpr/cuti sekolah/PKP/Suami berkuarantin/offshore 


Memulakan hari seawal Subuh pagi. Seorang demi seorang bangun dari tidur, tak ada yang terkecuali. Semua memulakan hari bersama-sama. Mandi dan solat Subuh. Kalau rasa ‘malas’ lagi nak turun baring sekejap di katil. Kadang terlelap, selalunya baring sekejap je sebab anak-anak dah menunggu nak breakfast, dan banyak lagi kerja tengah menunggu untuk dibuat.


Dalam 2 hari sekali akan masukkan kain baju dalam washing machine, tinggalkan dan turun ke bawah. Kalau Suri belum turun akan mandikan Suri dulu. Kalau dia dah turun dulu, lepas breakfast baru mandi. 


Turun bawah, anak-anak dah terlebih dulu aktif dengan aktiviti masing-masing. YouTube sering jadi pilihan. Kalau tengok educational video, ummi ok je! Kalau yang tak sesuai, membebel dulu seround. Masak breakfast. Kitar menu yang sama je. Nasi goreng, mee goreng, bihun goreng, roti sosej, burger, nasi lemak, roti telur, dan menu lain lagi yang simple dan cepat (time suami ada barulah pelbagai menunya sebab dia pun rajin sediakan breakfast). Kalau ‘malas’ nak bersilat kat dapur tu, foodpanda jelah. Tapi tak selalu lah. Mahal weh! Sekali order tak kurang rm30 untuk aku dan anak-anak.


Lepas siap breakfast semua, kemas meja makan, sapu lantai dan clearkan sinki. Anak-anak sambung ‘kerja’ masing- masing. Lama duduk mengadap tv, kena bebel seround lagi, sampai semua bergerak buat kerja lain. 


Siap di bawah naik atas jemur kain. Kalau Suri ikut naik, maknanya kena susukan dia dulu baru boleh rehat atau turun semula ke bawah. Kalau rajin sikit, lipat kain yang diangkat 2 hari lepas. Kalau tak rajin, kumpul dulu dengan kain hari ni dan lipat sama-sama dengan Anas dan Mussaab nanti. Kalau rajin lagi, kemas apa yang patut kat bahagian atas ni. Kalau tak rajin, biar je la dulu. Baring-baring layan social media la sekejap (selalunya taklah sekejap, selagi anak tak memanggil-manggil).


Dah selesai semua, turun semula ke bawah. Cari idea nak buat aktiviti apa dengan anak. Sesekali bagi tugasan dalam workbook, sesekali ajak melukis, buat kraf ke, atau apa-apa yang boleh buat mereka lupakan gadget. Aktiviti dengan Suri juga, ikut apa yang terlintas saja. Ambik masa dalam 30 minit ke 1 jam sebelum masuk dapur, siapkan hidangan tengahari pula. Tengahari selalunya akan masak, dah lama rasanya tak order makan luar.


Makan tengahari sama-sama. Ulang kerja yang sama, kemas dapur dan meja makan, sapu lantai dan cuci pinggan mangkuk. Anas dan Mussaab dah boleh harap cuci pinggan sendiri dan berkemas sorang sikit (kalau tak suruh tak buat juga, tapi kalau datang rajinnya tak perlu disuruh-suruh).


Zohor naik atas mandikan Suri, solat dan tidurkan Suri (dan tidur sekali dengan Suri). Anak-anak enjoy main game (lepas zohor dapat hadap gadget sorang satu). Bangun dari tidur selalunya lepak je kat bilik sampai asar. Lepas asar baru turun semula. Stopkan mereka yang tengah main game. Suruh solat, dan prepare makan malam pula. Memang makan malam awal, sebelum pukul 7 malam dah settle bab makan. 


Lepas makan ‘paksa’ main kat luar pula. Buatlah apa nak buat asalkan tak mengadap gadget dan skrin. Alhamdulillah ada halaman luas dan selesa untuk bebas bermain. 


Dah dekat Maghrib ‘paksa’ pula naik ke atas untuk mandi, solat dan mengaji Quran. Ajar seorang demi seorang, sambil layan Suri yang asyik nak mengacau saja. Kadang bagi ‘cuti’ mengaji (dalam 2 kali seminggu), ganti dengan sessi melipat kain baju bersama-sama. Atau kalau memang mood tak berapa baik, lebih baik tak mengajar al-Quran dari banyak meninggi suara time mengajar (padahal kesilapan anak tak seberapa). Jika suami sedang berkuarantin di hotel, memang tiap malam akan video call. Kalau dia dah ke laut, loss contact buat seketika.


Lepas Isyak semua akan tidur, tak ada aktiviti lain dah. Memang dah didisiplinkan untuk tidur awal supaya lepas tu boleh la ummi ada ‘me time’ sekejap (kononnya) sebelum tidur.


Lepas dah tidur semua turunlah ummi ke bawah. Masa nilah nak kemas, buang sampah segala. Kalau rajin, mop lantai sesekali. Kalau tak rajin, apa pun tak buat, dengan harapan esok pagi boleh la ajak anak-anak berkemas bersama. Layan drama di tv, layan je mana yang best sebelum masuk tidur.


Begitulah seharian berlalu di musim cuti sekolah dan PKP ni. Tapi kalau suami ada kat rumah, ada la sedikit berbeza. Kerja rumah dah banyak kurang dah kalau dia ada. Tapi tulah, sekarang ni dah makin kurang masa dia di rumah dek banyak habis masa dengan kuarantin di hotel.


Dalam kesibukan hari (taklah sibuk sangat kan), emosi turun naik tu dah tentulah. Watak pun sering je bertukar ganti, lembut dan kasar, nada rendah dan tinggi, wajah senyum manis dan mencuka, cukup semua. Kerana aku insan biasa. Tak sempurna pun. Not a supermom. Sedar dan sedang belajar dari kesilapan demi kesilapan. 


Memang masih banyak yang perlu diperbaiki. Tambahan anak-anak 24 jam di rumah. Masing-masing ada ragamnya. Dan mereka juga lah saksi utama atas tiap perilaku ibu mereka ni.


Ya, aku hanya ibu biasa seperti orang lain. Malahan kurang banyak. Mencuba dalam ketidaksempurnaan. Niat sentiasa mahu berikan yang terbaik buat anak-anak, namun adakala tersilap cara dan ‘melukakan’ hati mereka juga. Sering juga berada dalam situasi serba salah, apakah cara mendidikku ini baik untuk mereka, atau untuk kepuasan aku sahaja? 


Tak lepas kadang-kadang dari ‘menghukum’ diri. Aku ibu tak bertanggungjawab dan cuai-bila sesuatu terjadi pada anak.

Aku ibu yang gagal-bila anak berperilaku kurang baik.

Aku ibu yang tak pedulikan anak-bila terpaksa biarkan anak-anak buat hal masing-masing sendirian sepanjang hari.

Aku ibu yang kejam-bila banyak marah dan hanya tahu mengarah saja.


Sesungguhnya terasa penat menjalani hari. Namun sentiasa untuk selalu memberi motivasi pada diri agar sentiasa bersemangat menempuh hari bersama anak-anak, walau di dalam situasi ‘terkepung’ dan tak dapat ke mana-mana. Cuba untuk jadi ibu yang baik, yang mendidik dengan sebenarnya. Hapuskan segala fikiran negatif, sentiasa refresh niat dan bangkit untuk bermula semula. Jatuh lagi, dan bangkit lagi. Jangan sampai jatuh dan tak bangun-bangun lagi!


Benar ku tak sempurna. Pada Allah saja aku berlindung dari melakukan kesilapan yang tak sepatutnya dan tak selayaknya sebagai seorang ibu.


Allah ampunkan segala dosaku.

Allah bimbingku dalam mendidik

Agar anak-anakku mendapat dan menjadi seperti yang KAU mahu.




0 comments:

Post a Comment