Wednesday 17 June 2020 By: Naemah

PKPP: BALIK KAMPUNG SELEPAS 3 BULAN



Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah bermula pada 18/3/2020 dan sepanjang tempoh itu seluruh rakyat Malaysia tidak dibenarkan untuk merentas negeri. Akhirnya pada 7/6/2020 diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula pada 10/6/2020 di mana semua orang dibenarkan untuk merentas negeri tanpa sekatan.


Alhamdulillah, syukur kerana Malaysia hampir memutuskan rantaian Covid-19 dengan mencatatkan penurunan bilangan kes setiap hari.Hari ni, 10 Jun 2020 hanya terdapat 2 kes baru. Insya Allah, jika rakyat Malaysia mengamalkan norma baru seperti yang disarankan dan sentiasa berjaga-jaga, tak mustahil negara ini akan pulih dan bebas covid-19 sepenuhnya. Mudah-mudahan.


Hampir 3 bulan tak balik kampung. Berpuasa dan berhari raya di perantauan, dan hanya berkurung sahaja di rumah selepas sekian lama, akhirnya dapat juga balik ke kampung berjumpa orang tua yang sangat dirindui.


Pagi ini, selepas selesaikan urusan menyerahkan borang permohonan Mussaab di SRAI Pekan Beranang, kami sekeluarga bersiap untuk balik kampung. Cadangnya nak bertolak malam, tapi oleh kerana Anas, Mussaab dan Miqdad dah tak sabar sangat nak balik dan tak henti bertanya bila nak balik kampung, maka abinya mengambil keputusan untuk bertolak pada siang hari ini juga. Kami meninggalkan rumah jam 12 tengahari.


Dalam perjalanan, sempat membeli nasi bungkus di gerai dan berhenti makan di tepi highway Karak (makan dalam kereta je). Tak seperti selalunya, mudah untuk mencari kedai makan dan makan di kedai, kali ni dah tak boleh lagi. Lepas makan, teruskan perjalanan ke kampung. Dalam perjalanan juga, susah nak cari tempat untuk solat. Pagar masjid terkunci rapat semuanya. Masih belum dibuka untuk musafir. Alhamdulillah, sempat tunaikan solat di masjid berdekatan jambatan setelu yang kebetulan dibuka ketika kami sampai.


Selesai bersolat, kami menyambung perjalanan ke destinasi yang sudah semakin hampir. Alhamdulillah tiba di jeli sekitar jam 8 malam. Perjalanan yang agak santai dan tak terlalu memenatkan. Anak-anak juga baik-baik saja di sepanjang perjalanan. Tak ada kecoh-kecoh macam selalu. 


Kini sudah berada di kampung halaman. Alhamdulillah. Saat yang ditunggu sekian lama. Allah menguji dengan kehadiran virus yang telah memberi kesan yang bukan sedikit pada kebanyakan kita. Masing-masing terkesan. Namun kerana ia dari Allah, yakin juga Allah mampu menghapuskannya bila-bila masa yang Allah kehendakkan. Ujian yang sarat terkandung hikmah dan pengajaran. 


Sabar, redha, syukur.

Allah sentiasa mendengar keluhan hambaNya

Allah tahu dan faham tiap kesukaran kita.

Allah jua yang mengeluarkan kita dari tiap beban dan belenggu.



Perjalanan Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri











0 comments:

Post a Comment