Thursday, 28 May 2020 By: Naemah

KEMBALI KE KEHIDUPAN NORMAL PKP




Pada 5 Syawal, suamiku kembali menyambung tugas setelah sebulan setengah berada di rumah. Kali ini tugasnya adalah di Miri, Sarawak. Kemudian akan ke Labuan, Sabah untuk satu tempoh yang mungkin agak lama. Lebih lama dari kebiasaannya. Ya, kerana PKP yang masih berlanjutan. Suamiku perlu menjalani kuarantin di tempat kerja, sebelum memulakan kerja dan sebelum kembali ke rumah. Allah.. ujian perpisahan yang menguji kesabaran. Tingkatkan sabar kami, ya Allah.


Namun kembali ke masa lepas, melalui hari-hari bersama yang penuh bermakna. Sebulan penuh, dapat berpuasa bersama-sama. Dapat berjemaah solat lima waktu, solat terawih dan solat sunat Aidilfitri. Syukur yang tak tergambar. Kerana belum pernah sebelum ini diberikan peluang seperti itu. Ia menjadi kenangan Ramadan dan Syawal yang sangat indah. Ya, itu antara hikmah di sebalik ujian Covid-19 dan PKP.


Sepanjang masa suami di rumah, terlalu banyak beban kerja yang diambil oleh suami termasuk memasak, mencuci dan menjemur kain, membuang sampah, mengemas rumah, dan banyak lagi. Aku pada kebanyakan masanya hanya perlu fokus pada Suri yang sukar nak berenggang. Pastinya aku takkan lupa tiap susah payah suami yang membantu, meski selama ini dia memang banyak membantu ketika berada di rumah. Barangkali kali ini sangat lama dia di rumah, aku dapat rasa terlalu besarnya rahmat Allah bila ada ada di samping.


Kini dia dah kembali ke tugas mencari rezeki. Kembali berpisah dan Insya Allah bertemu lagi. Aku tak sedih, kerana awal-awal lagi dah bersedia untuk dia ‘pergi’ bila-bila masa. Tapi sedikit sebanyak rasa kehilangan. Aku tahu aku akan kembali ‘sibuk’ dengan rutin harian. 

Dah cukup ‘rehat’ yang Allah berikan untuk aku. Dia kembali ke lapangannya, dan aku kembali ke lapanganku. Allah, aku perlu bersedia dan perlu bersemangat. Perlu sihat fizikal, dan kuat emosi. Kini aku seorang diri.


Alhamdulillah, setakat hari ini kes baru Covid-19 menunjukkan penurunan yang banyak. Seperti ada harapan yang cerah untuk rakyat Malaysia. Syarat PKP juga sudah semakin longgar. Namun tidak pasti sejauh mana cerahnya ‘masa depan’ kita semua. Allah sahaja mengetahui. Yang pasti, anak-anak masih dalam penantian yang panjang. Entah bila mereka akan kembali bersekolah. Aku juga bimbang, rutin di rumah lama kelamaan pasti akan membosankan mereka. Keluar masuk rumah, menonton TV dan bermain, belajar dalam suasana kurang menyeronokkan, aku juga jadi bingung, bagaimana nak jadikan setiap masa adalah masa yang bernilai dan berharga buat mereka. Bukan sia-sia. Moga Allah bantu aku yang sedang buntu ini. 


Sudah lebih dua bulan berada dalam tempoh PKP ini, banyak menguji iman dan sabar. Menempuh Ramadan dan menyambut Syawal dalam tempoh ini, benar-benar memberikan rasa yang berbeza. Dan dalam tempoh ini juga terhalang dari bertemu ahli keluarga yang jauh, kerinduan semakin sarat. Tak lain, Allah sedang menguji hamba-hambaNya. Moga tetap bertahan dengan sabar. Semua ini pasti akan berakhir. Semua ini tetap terkandung hikmahnya. 


Allah. Bantu hambaMu :,(



Hari ke-2 tanpa abi

Moga Allah jaga Abi di sana

Moga Allah permudahkan urusan abi

Insya Allah bersua lagi

Insya Allah baik-baik saja semuanya 

0 comments:

Post a Comment